Oleh Ahmad Lutfi Othman
Kerajaan BN pimpinan Najib Razak memang tertekan dengan demonstrasi Bersih, 9 Julai. Pelbagai momokan dan fitnah dilemparkan saban hari bagi memastikan gelombang kebangkitan rakyat itu segera surut. Paling dibimbangi jika perhimpunan aman petang Sabtu yang dihadiri lebih 100,000 orang itu berupaya menggandakan lagi momentum Pakatan Rakyat untuk menerajui Putrajaya dalam PRU13.
Saya melihat banyak pihak yang kembali berminat dengan politik apabila kerajaan mengisytiharkan “perang” dengan Bersih. Mereka didorong rasa tanda tanya yang mendalam terutama selepas melihat serangan “menggila” media dan usaha mengaibkan aktivis Bersih, termasuk tangkapan tanpa alasan munasabah
Cubalah lawati YouTube, anda akan temui aneka ragam wajah rakyat Malaysia, yang selama ini jarang ditemui dalam program-program politik pembangkang, tetapi bergandingan tangan berarak sekitar kotaraya.
Masyarakat Malaysia yang semakin celik politik juga dapat melihat bagaimana kalutnya strategis Umno bermain propaganda murahan. Segala rasional dan logika dikesampingkan. Pasukan polis kembali menggunakan taktik zaman darurat, yang serba canggung itu. Ya, jangan lupa rampasan senjata yang ditinggalkan bersama kemeja-T kuning Bersih! Media berbahasa Melayu (akhbar dan siaran berita TV), mengeksploitasi sepenuhnya sentimen perkauman; mendendangkan orang Melayu dipermainkan bangsa lain yang ingin melihat mereka “berperang sesama sendiri”.
Pembabitan Pengerusi Bersih, S Ambiga dalam perbicaraan kes murtad diperbesarkan, seolah-olah Umno itu juara mempertahankan akidah umat. PAS dituduh menjadi kuda tunggangan dan dicucuk-hidung oleh kumpulan anti-Islam, yang juga mahu memecah-belahkan Melayu. (Macam biasa aja dengar kalimat itu ...). Saya yakin hubungan rapat yang kini terjalin di antara aktivis Bersih, yang mempunyai pelbagai latar belakang itu, membawa banyak kebaikan, bukan hanya kepada proses penambahbaikan sistem pilihan raya, malah memungkinkan persefahaman lebih mantap dalam isu-isu lain juga.
Lagipun komitmen PAS dalam usaha melakukan reformasi menyeluruh terhadap sistem demokrasi dan proses pilihan raya negara ini bermula sejak lama, bukan dikejutkan oleh fenomena Bersih. Ia bukan disebabkan PAS kalah teruk dalam pilihan raya 2004 (calon-calon PAS biasa hilang wang pertaruhan tetapi menerima keputusan dengan tenang) tetapi berdasarkan bukti jelas bagaimana ia diuruskan secara tempang dan pincang. Bukan sahaja SPR menjadi perkakas Umno, malah seluruh jentera dan kemudahan kerajaan diperalatkan semahunya bagi memenangkan BN.
Apa yang berlaku dalam Bersih tidak sepatutnya dilihat dalam konteks “siapa mempergunakan siapa”, tetapi lebih kepada satu bentuk kerjasama pintar dan strategik membabitkan pelbagai kelompok yang prihatin, bagi mempastikan amalan pilihan raya berjalan secara telus, adil dan bersih. Perarakan untuk demokrasi 9 Julai menyaksikan kesatuan padu rakyat yang mendambakan perubahan, antirasuah, pemerintahan yang baik dan berintegriti. Ugutan dan tangkapan, belantan dan gas pemedih mata, gari dan tembakan meriam air tidak digeruni lagi. Mereka lebih berani bersuara.
Gelombang deras budaya politik baru tidak dapat disekat lagi. Tiada lagi pemisahan kaum dan prejudis agama dalam gerakan pembaharuan. Lihat wawancara Dr Chua Jui Ming dan dua catatan pengalaman demonstran bukan Melayu dalam Harakah kali ini. Umno-BN yang masih terkurung dalam kepompong lama akan ditinggalkan juga akhirnya. Demo kuning 9 Julai hanya mukadimah ke arah mewujudkan Malaysia yang lebih adil, dengan khazanah kekayaan dan kemakmurannya dapat dinikmati lebih merata, manakala rakyat terpinggir dapat kembali tersenyum.
No comments:
Post a Comment