Sunday, May 27, 2012

Catatan Bersih 3.0 senja 28 April

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Untuk memberi ruang buat Harakah menampilkan laporan terkini tentang perhimpunan Bersih 3.0, deadline edisi Isnin ini terpaksa dianjak, daripada sekitar jam 2-4 pagi Sabtu kepada lewat petangnya, selepas selesai demonstrasi raksasa itu. Meskipun agak sukar mengetengahkan analisis menyeluruh, dalam tempoh singkat, sekurang-kurangnya pembaca dapat menatap gambar-gambar bersejarah yang bakal membentuk Malaysia Baru, yang lebih terbuka dan demokratik


Seperti demonstrasi Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, saya ditemani seorang rakan menempah bilik hotel untuk penginapan malam Sabtu lalu. Dalam keadaan keuzuran, saya kira perlu mencari lokasi lebih selesa, juga dapat mengurangkan pergerakan fizikal, yang agak dekat dengan Dataran Merdeka, dan lebih penting dapat merasai (juga menikmati) "debar dan getar" himpunan menuntut proses pilihan raya yang adil dan bersih itu.

Tentunya tunjuk perasaan kali ketiga (pertama, November 2007 dan kedua, September 2011), yang menggesa tuntutan sama bukan perkara main-main. "Duduk Bantah" mungkin ringan pada sebutannya, santai pada tanggapan awalnya, tetapi berat dan mendalam pada bebanan maknanya.

Isu sistem demokrasi yang pincang dan tempang, dengan siri penipuan yang menjolok mata, terutama membabitkan senarai daftar pemilih yang kotor, ditambah komplot Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) -- diburukkan lagi dengan pendedahan bahawa pengerusinya, Abd Aziz Mohd Yusof dan timbalan, Wan Ahmad Wan Omar adalah masing-masing anggota Umno Ampang, Selangor dan Pasir Mas, Kelantan -- bersama agensi kerajaan lain bagi memenangkan Umno-BN, mencapai kemuncaknya.

Dan Bersih 3.0 adalah jawapan terbaik, sekurang-kurangnya untuk menyuarakan protes terbuka rakyat dan mengingatkan pemerintah bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 wajib dikendalikan secara telus, bersih dan adil. "Petaka dan padah" akan menimpa negara jika PRU13, yang cukup kritikal buat BN dan juga Pakatan Rakyat itu, berjalan penuh tipu muslihat.

Disebabkan menunggu stamina kembali pulih selepas baru balik dari lawatan kerja ke Tawau, Sabah seawal pagi Jumaat, 27 April itu, saya agak terlewat menyusup masuk ibu kota, kira-kira 15 minit sebelum jam 12 tengah malam. Berbeda setahun lalu, suasana kali ini lebih tenang, tanpa sekatan jalan raya yang menganggu, apatah lagi siri laporan polis yang memualkan. Baju rasmi Bersih, kuning, juga bebas dijual dan dipakai.

Malam itu, mulanya saya ingin berehat dan memanjakan diri di bilik penginapan Hotel Ancasa, Jalan Tun Tan Cheng Lock, berdekatan Pudu Raya dan Menara Maybank. Semasa belajar di Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Gurney (kini Jalan Semarak), 30 tahun lalu, saya kerap menapak laluan berkenaan, selepas turun bas di Kompleks Kota Raya, menuju stesen bas Pudu Raya, untuk balik kampung.

Jam sudah 2 pagi. Suasana sunyi, tapi deretan kenderaan melalui Jalan Tun Perak, menghala ke Dataran Merdeka, hampir tidak bergerak. Mulanya saya perhatikan tidak ramai pejalan kaki berbaju kuning, namun sesekali terdengar sorakan bergemuruh "Bersih! Bersih!", disambut bunyi hon yang bingit. Ramai melambaikan tangan tanda sokongan moral.

Tidak mahu terperangkap dalam kesesakan yang makin teruk, saya dan rakan kembali ke hotel. Rasanya lebih pantas bergerak dengan berjalan kaki. Semasa singgah di sebuah restoran mamak, tidak jauh dari Masjid Jamek, saya terjumpa dengan sahabat lama, bekas pelajar UTM, selain diajak bergambar oleh demonstran yang makan di situ, bersama Tian Chua Tidak terhenti setakat itu, rupanya Bersih 3.0 menemukan ramai lagi kenalan yang terpisah.

Tempoh tiga jam sebelum azan Subuh pagi Sabtu bersejarah itu cukup bermakna sekali. Laluan sepanjang 2km ke simpang Jalan Tun Perak dan Jalan Tunku Abdul Rahman bukan hanya mempereratkan hubungan dengan rakan-rakan seperjuangan, di samping menyuntik kesegaran baru berdepan cabaran dan gugatan lebih sengit, juga mengingatkan saya bahawa pembaca Harakah (yang mengenali saya sebagai Ketua Pengarangnya) turut membabitkan golongan belia dan remaja.

Lebih mengujakan apabila kemesraan di kalangan peserta Bersih 3.0 melewati sempadan kaum. Melihat reaksi masyarakat Tionghua yang begitu bersemangat, dengan jumlah kehadiran yang cukup ramai, dan nampak komitmen mereka di tahap tinggi, maka tidak pelik jika pemimpin Umno mengambil sikap berpatang arang untuk memujuk pengundi penentu itu kembali menyokong BN dalam PRU13.

Mungkin bersimpati dengan keuzuran saya yang terpaksa bertongkat dan berjalan perlahan penuh cermat, lima enam orang yang berselisih di jalan berpesan: "Jalan hati-hati, ya!" Sekitar jam 3.30 pagi, seorang lelaki Cina, dalam usia 25 tahun, tinggi lampai, menegur saya: "Jaga baik-baik abang, jalan elok-elok."

Melihat kaki saya mula membengkak dan berjalan agak tempang, beliau menunjukkan kepada pasangannya: "Dia juga bersemangat datang sini, tengok kakinya juga bengkak macam abang. Kaki dia sudah jadi macam kaki gajah tapi dia tetap berkeras mahu datang." Kami sama-sama ketawa. Lelaki Cina itu kemudian menarik tangan teman wanitanya, dan berjalan perlahan-lahan ke arah Dataran Merdeka.

Semasa balik ke hotel, jam menghampiri pukul 4 pagi. Beberapa kumpulan anak muda, dalam usia belasan tahun, berjalan pantas, menuju ke arah masjid. "Dari mana, ni?" saoa rakan saya. "Ipoh, bang," jawab seorang darinya. "Bersemangat nampak?" "Kali ini kita mesti tukar," pantas sekali responsnya.

Jawapan sama juga diberikan seorang belia Cina, dari Johor Bahru, ketika saya melintasi restoran McDonald berdekatan Jalan Sultan. Cuma dia menjawab dengan pertanyaan: "Mesti tukar, ya?" Wajahnya keanak-anakan, mungkin belum "cukup umur" untuk mengundi, tetapi bicaranya serius.

"Mesti tukar" dimaksudkan kepada pertukaran kerajaan persekutuan, daripada BN kepada Pakatan Rakyat!

II.

Mulanya, saya mahu mengulas demo Bersih 3.0 dalam bentuk santai dan bercerita mudah, tetapi malang sekali, permulaan yang baik telah diakhiri dengan pencabulan tindakan ganas polis. Apabila saya meninggalkan kawasan Menara Maybank jam 3 petang selepas tidak mampu berdiri lama, suasana nampak berjalan lancar.

Sekembali ke pejabat Harakah, macam-macam SMS diterima, hampir semuanya mendakwa aksi polis melampau dan di luar batas. Selain tembakan meriam air, ramai bertanyakan benarkah polis melanggar peserta demonstrasi sehingga parah dan membelasah beberapa tahanan bagaikan lagak seorang samseng?

Mungkin ketika akhbar ini berada di pasaran, media baru telah mendedahkan foto sensasi keganasan polis itu. Ada laporan mengatakan aktivis Cikgu Bard dihantam teruk

Media, seperti TV3 dan Utusan Malaysia, pasti bingkas menyambar dan membesar-besarkan kes orang ramai menendang kereta polis yang diterbalikkan dan dakwaan pistol polis yang dilarikan. Mungkinkah impian Umno untuk memburuk-burukkan Bersih 3.0 akan tercapai?

Memang bukannya mudah mengendalikan 500,000 peserta himpunan bersejarah ini. Ya, tidak semudah melepaskan gas pemedih mata atau bertindak bebal melepaskan geram. Ada yang mendakwa, melewati senja, amukan polis tambah dahsyat apabila orang yang memakai baju kuning pun ditahan.

Insiden seumpama itu, jika benar, amatlah menyedihkan. Siasatan rapi perlu dilakukan mengetahui akar puncanya. Apa pun, saya lebih khuatir mesej sebenar Bersih 3.0 akan tenggelam begitu sahaja, dikaburi dengan ending yang menyedihkan itu.

Apa khabar senarai daftar pemilih? Bagaimana dengan akses media yang adil dan saksama? ...

Kolum ini disiapkan pada petang 28 April 2012

No comments: