Oleh Ahmad Lutfi Othman
Pilihan raya adalah permainan angka. Kebetulan pada 31 Mac lalu saya berkunjung ke Kota Kinabalu, dan esoknya terbang ke Miri. Kali ini, elok kita teliti fakta-fakta pilihan raya, khususnya di Sabah.Daripada jumlah 222 kerusi Parlimen yang ditawarkan, 25 peratus daripadanya berada di Sabah dan Sarawak, dua negeri yang dianggap "simpanan tetap" BN dalam Pilihan Raya Umum 2008. Malah ada beberapa kerusi yang dimenangi BN tanpa bertanding.
Membadai dengan dahsyatnya
Sarawak sudahpun melepasi Pilihan Raya Negeri Ke-10 tahun lalu. Tsunami politik PRU12 yang menggemparkan Semenanjung, kini membadai dengan dahsyatnya Bumi Kenyalang, terutama di kawasan majoriti pengundi Cina.
Justeru, pemerhati politik menjangka Sarawak mampu menyumbang lebih 10 kerusi Parlimen buat Pakatan Rakyat dalam PRU13. Empat tahun lalu, DAP hanya menang di Bandar Kuching, seterusnya pada Mei 2010, parti itu memperolehi satu lagi kerusi Parlimen, Sibu, melalui pilihan raya kecil.
Di Kota Kinabalu, semasa menghadiri kursus kewartawanan dan media baru, dan dilanjutkan pada malamnya, secara santai sambil menjamah "ikan terbang" di sebuah restoran masakan Padang di gigi air, saya berkongsi maklumat dan sudut pandang dengan pimpinan tertinggi PAS Sabah.
Selama ini, dalam tiga kali kunjungan ke Sabah, saya lebih tertumpu kepada usaha mengagihkan bantuan kepada keluarga tahanan ISA, khususnya di Sandakan dan Tawau, selalunya menjelang Aidilfitri, bersama teman-teman Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).
Nada agak berhati-hati
Pesuruhjaya Negeri, Aminuddin Aling, timbalannya, Hamzah Abdullah (yang agak kerap mengirim SMS melontarkan idea dan juga teguran membina kepada Harakah) dan Setiausaha Perhubungan, Ustaz Awang Leman Ikin ternyata optimis -- meskipun dalam nada agak berhati-hati -- dengan potensi rakyat Sabah untuk melakukan perubahan.
Mereka senada menyuarakan harapan agar berlaku persefahaman erat di kalangan pembangkang, bukan sahaja dalam Pakatan Rakyat, tetapi juga parti-parti lokal seperti SAPP dan STAR. BN dijangka turut menaja calon-calon Bebas, termasuk daripada parti-parti kecil bagi mempertahankan kuasa.
Keberanian pengundi Sabah untuk menukar tampuk kepimpinan kerajaan negeri sudah teruji. Parti pemerintah bersilih ganti -- BERJAYA, USNO, PBS -- menerima penghakiman rakyat. Dan sekarang Umno-BN dilihat terlalu lama dan selesa bertakhta, sedangkan negeri yang cukup kaya dengan hasil bumi dan sumber alam ini terus terkepung dan terbelit dengan pelbagai masalah, terutama kemiskinan dan pengangguran.
Sebelumnya, sekitar jam 3 pagi 31 Mac, sebaik tiba di lokasi penginapan, Setiausaha Pilihan Raya PAS Sabah, Rahimin, yang juga 'orang kuat' Jabatan IT PAS Negeri, sempat menitipkan bekalan bermanfaat tentang keunikan latar belakang politik Negeri Di Bawah Bayu itu. Saya hanya pernah menelaah buku Dr Mohammmad Agus Yusoff, Politik Akomodasi di Sabah 1962-1992, diterbitkan pada 1992.
Saya masih sukar untuk memahami keragaman etnik, umpamanya Kadazan-Dusun yang membentuk kelompok Bumiputera bukan Islam; begitu juga kompleksiti struktur masyarakat Bumiputera Islam, seperti Melayu, Berunai, Bajau, Illanun, Suluk dan banyak lagi.
Bukan lagi simpanan tetap
Jika tidak diteliti secara dekat situasi terkini politik Sabah, mungkin saya seperti orang lain juga, merasakan Umno tetap dalam zon selesa dan percaya negeri itu masih merupakan "fixed deposit" BN bagi mempertahankan Putrajaya
Ya, masakan tidak, pembangkang hanya menghantar wakil tunggal (Sri Tanjung) dalam sidang Dun, Jimmy Wong Sze Phin, Pengerusi DAP Negeri. Dr Hiew King Cheu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP pula merupakan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, satu-satunya wakil Pakatan dari Sabah di Dewan Rakyat.
Persempadanan semula kawasan pilihan raya dan pertambahan pengundi Bumiputera Islam menjadikan Umno kelihatan dominan. Sistem penggiliran ketua menteri yang dimansuhkan, sebaik pusingan Musa Aman, membuktikan hal ini.
PBS yang suatu ketika dahulu begitu berkuku dan digeruni, kini terpaksa akur dengan tekanan real politik, sekadar berpuas hati dengan kuota tiga kerusi Parlimen (daripada 25 kerusi di Sabah) dan 12 Dun (berbanding 60 semuanya). Saya kira presidennya, Joseph Pairin Kitingan amat memahami hakikat itu.
"Rakyat Sabah harus disedarkan bahawa mereka menjadi harapan besar orang Semenanjung untuk menukar kerajaan Pusat. Kalaupun BN masih pertahankan kerajaan Sabah, biarkan ... kita nak tengok juga macamana ia tadbir negeri sebagai kerajaan pembangkang, istilah songsang yang sekarang dilabelkan kepada kerajaan negeri Pakatan," usik seorang sahabat, semasa kami minum teh tarik di sebuah restoran di bawah Pejabat Perhubungan PAS Sabah.
PAS lebih akrab dengan DAP?
Semasa mengadakan wawancara ringkas dengan Adun Sri Tanjung, Jimmy Wong bersama Setiausaha DAP Sabah, Dr Edwin Bosi, sambil ditemani Setiausaha Publisitinya, saya dapat mengesan hubungan mereka yang rapat dengan pimpinan PAS Negeri. Malah nampaknya seperti lebih akrab berbanding DAP dan KeADILan itu sendiri!
"Kita tidak mahu ada parti dalam Pakatan Rakyat yang kelihatan begitu dominan berbanding rakan-rakan yang lain, seperti Umno dalam BN," kata Jimmy.
Jimmy turut menekankan kepentingan kerjasama dan persepakatan parti-parti pembangkang. Seterusnya beliau petah menuturkan isu-isu besar di Sabah, yang tidak dapat lari daripada soal kemudahan paling asas, seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya.
"Kadar air di Sabah paling mahal dalam Malaysia, lebih kurang empat kali ganda tarif di Pulau Pinang walaupun di sana bekalan air mentahnya dibeli dari Kedah. Air pula kotor dan berbau. Saya dah berkali-kali bawa isu ini ke sidang Dun, termasuk untuk mengurangkan Non-Revenue Water (NRFW) yang begitu tinggi di Sabah, tapi tiada reaksi berkesan diambil," katanya.
"Sabah berada di tempat kedua dalam senarai negeri paling miskin walaupun negeri ini mempunyai sumber petroleum, tanah yang luas dan lokasi pelancongan menarik. Jalan pun ditampal sana sini tanpa perancangan, macam kita tampal koyok bila sakit kepala atau demam," katanya, disambut ketawa kecil saya dan rakan-rakan lain.
"Contoh mudahnya, jika kita dalam perjalanan dari Sabah, masuk Brunei dan keluar ke Sarawak. Cuba pejamkan mata, bila rasa macam berombak, itu tandanya kita masih di Sabah. Kemudian rasa stabil, itu sudah masuk Brunei dan bila berombak balik, ia menandakan kita di Sarawak," tambahnya, sekali lagi mencetuskan suasana ceria di kalangan kami.
Seusai perbincangan ringkas itu, kami bertukar-tukar kad nama. Saya tertarik membaca Janji-janji Pakatan Rakyat Sabah di sebelah belakang kad Jimmy.
Petro Sabah
Sepuluh janji tertulis: Merealisasikan autonomi Sabah; menubuhkan suruhanjaya diraja masalah Pendatang Tanpa Izin; menuntut 20% royalti minyak; mempertahankan hak Tanah Adat; merombak Felda; menjanjikan dividen Tabung Yayasan Sabah RM300 Kepada setiap rakyat Sabah; menghapuskan masar kabotaj; menubuhkan Petro Sabah dan menuntut balik Blok L&M; menubuhkan Yayasan Orang Asal Untuk membasmikan kemiskinan; dan menaiktarafkan kemudahan asas Sabah dalam lima tahun.
Isu tanah adat segera mengingatkan saya dengan NGO Bela Tanah Rakyat Sabah (TABAH), yang berjaya menghimpunkan ratusan rakyat Sabah yang prihatin untuk berarak secara aman pada 12 Mac lalu ke Pejabat Ketua Menteri dalam "123 Bangkit".
Sayang saya tidak sempat bertemu penggerak utamanya, Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu, yang juga Setiausaha TABAH. Hamzah Abdullah juga, dalam panggilan telefonnya sebelum saya ke KK, menimbulkan hal tanah adat ini.
Semasa dibawa mengeliling bandaraya Kota Kinabalu, saya turut ditunjukkan banyak projek dan bangunan yang dikaitkan dengan kepentingan Musa Aman.
Dalam pada itu, rumusan yang dibuat oleh Ahli Parlimen, Kota Kinabalu, Dr Hiew King Cheu dalam temubual dengan Roketkini cukup menarik: "Kita kena tukar pengurus. Dulu di Sabah kalau pilihan raya kita lihat baju kena tukar, tapi orangnya tidak bertukar. Pairin berapa kali? Yong Teck Lee ke, Musa Aman ke, masih duduk sana! Ini bukannya perubahan!
"Baju sudah tukar, parti sudah tukar, tapi orangnya masih duduk atas sana. Orang Sabah bukannya orang bodoh dan mereka dapat melihat semua ini. Orang Sabah mahukan perubahan. Kalau kita tak ubah, kita hanya menunggu kematian."
Dalam wawancara dengan Harakah, Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminudin Aling juga menekankan hal sama: "Rakyat Sabah juga cerdik, jika diberikan wang mereka pasti ambil, tapi bila mengundi mereka akan mengundi Pakatan Rakyat. Begitulah yang terjadi ketika BN menghadapi PBS dahulu, tapi akhirnya PBS juga yang menang."
Rakyat Sabah kalah dengan rasuah politik?
Saya juga mengharapkan begitu. Bukankah selama ini kita dimomokkan bahawa pengundi di Sabah mudah menukar sokongan hanya kerana rasuah politik di saat-saat akhir?
Saya turut mengharapkan ada gelombang besar yang mampu menenggelamkan arus deras politik wang yang sentiasa menjadi tradisi BN dalam setiap kali pilihan raya di Sabah.
Hati kecil saya agak berat untuk meninggalkan KK untuk ke Miri, pagi Ahad, 1 April itu. Banyak lagi persoalan politik Sabah yang masih menjadi teka-teki dalam fikiran saya.
Meskipun ada pihak agak ragu keupayaan Sabah untuk menyumbang lebih banyak kerusi bagi menjayakan misi Pakatan Ke Putrajaya, saya kira potensi itu tetap besar dan makin menyerlah.
Apa pun, saya percaya, dalam PRU13 nanti, untuk mengambil alih kerajaan Persekutuan, aktivis dan pemimpin Pakatan harus kerap melintasi Laut Cina Selatan ....
BERSAMBUNG ....
No comments:
Post a Comment