Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Semasa mengisytiharkan calon PRU13 untuk tiga kerusi Parlimen, iaitu Titiwangsa, Baling dan Temerloh, serta mengumumkan bekas Duta Besar Arab Saudi dan Iran menyertai PAS, di pusat media, Pejabat Agung PAS, pagi 24 April lalu, saya perhatikan wajah Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam mood cukup ceria dan menyenangkan.
Sesekali Tok Guru Presiden berjenaka, memberi respons mudah, disambut Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali, juga disulami elemen humor. Soalan wartawan dijawab tenang walaupun ada rakan-rakan media cuba menimbulkan sedikit provokasi.Biasalah situasi sebegitu. Perang hampir bermula. Kesilapan kecil boleh mengundang padah.
Setiap gerak, aksi dan bicara pemimpin oposisi sentiasa diteliti dan diteropong dari dekat. Silap mengatur langkah, terlanjur memberi pendapat ... segalanya boleh dijadikan perangkap
Apa pun saya lebih terkesan dengan keyakinan tinggi yang ditunjukkan Ustaz Abdul Hadi; azimat terbaik buat aktivis parti melangkah turun ke gelanggang. Tidak mudah mengharung "ibu segala pilihan raya" ....
Kempen kali ini menjanjikan hanya mereka yang terbaik sahaja -- selain mengelak 'kesalahan bodoh' -- bakal menang. PAS yang berdepan kompleksiti pengundi Melayu dan 'kekuatan' Umno sebagai tonggak BN, terpaksa memikul beban lebih besar dan mencabar berbanding rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.
Penyertaan Brig-Jen (B) Dato' Najmi Ahmad, bekas Pengarah Kor Agama Tentera Malaysia dan Dato' Adnan Othman, bekas diplomat, bersama PAS, seperti diumumkan Abdul Ustaz Hadi sememangnya bukan satu berita mengejutkan, tetapi ia mengukuhkan lagi harapan majoriti rakyat yang mendambakan perubahan.
Senarai nama personaliti berpengaruh, termasuk artis popular, yang memilih PAS rupanya semakin panjang. Alhamdulillah.
Najmi diamanahkan bertanding di Baling, yang pernah dimenangi PAS pada 1978 oleh abangnya, Ustaz Nakhaie Ahmad. Pada 1999, manfaat daripada kebangkitan dan protes pengundi Melayu kepada Dr Mahathir Mohamad, bekas Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Taib Azamuddin terpilih. Tsunami politik 2008 memenangkannya sekali lagi.
Ditanya sama ada isu Nakhaie yang keluar daripada PAS pada penghujung 1980-an boleh menjejaskan sokongan kepada PAS di Baling, Ustaz Hadi dilaporkan berkata, sambil ketawa kecil: "Saya rasa lebih kuat jika Dato' Nakhaie menyokong dan memenangkan (adiknya)."
Pemilihan peguam muda, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi, anak kelahiran Sentul, Kuala Lumpur, yang terbabit secara aktif dalam Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) sebagai pengganti Almarhumah Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali di Titiwangsa disifatkan keputusan bijak.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan itu bukan saja dikira mampu melangsungkan legasi Dr Lo'Lo' malah berupaya memperkukuhkan kedudukan dan pengaruh parti Islam di tengah kota raya.
Saya juga dapat menjangkakan kelegaan pimpinan PAS Kawasan Temerloh yang saya temui minggu lalu apabila Ketua Pemuda Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi diisytihar calon Pakatan di kerusi Parlimen berkenaan.
Biarpun kemungkinan bakal berdepan penyandang, Saifuddin Abdullah, yang dilihat sebagai 'tokoh pembaharu' dalam Umno -- tetapi tidak digemari pimpinan setempat partinya sendiri -- namun Ustaz Nasruddin tetap mempunyai potensi lebih cerah.
Kedua-duanya perlu bersaing sengit khususnya untuk merebut sokongan pemilih muda atau yang baru pertama kali mengundi.
II.
Tulisan A Kadir Jasin, bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, bertajuk "Ironi rintihan Perdana Menteri" dalam blognya, 1 April lalu, menyentuh keluhan Najib Razak bahawa beliau tidak dibenarkan memandu sendiri, menarik perhatian ramai.
Dalam temu bual dengan stesen radio UFM 101.3 pada 22 Mac, Najib menyatakan kerinduan untuk memandu sendiri tetapi tidak kesampaian kerana larangan polis.
Dalam berita bertajuk "Najib dedahkan jiwanya kepada stesen radio", The Star, antara lain, melaporkan: "Beliau juga menyatakan kerinduannya untuk memandu keretanya sendiri tetapi tidak boleh berbuat demikian kerana larangan polis."
Najib memberitahu radio UFM 101.3: "Tetapi saya dibenarkan sekali memandu dari Putrajaya ke Hotel Majestic dengan keluarga saya untuk makan malam dua minggu lalu, tetapi dengan diiringi polis."
Kadir merumuskan "rintihan" Najib itu sebagai "maka sahlah negara kita tidak seselamat dulu lagi".
Sebelumnya beliau mencatatkan: "Kalau orang kenamaan yang mendapat perlindungan polis atau yang ada pengawal peribadi pun masih dinasihatkan berjaga-jaga, apa halnya dengan orang biasa yang terdedah kepada pelbagai bentuk jenayah dan ancaman?
"Tidak hairanlah banyak pemilik rumah dan kedai sanggup menggali kocek mengeluarkan wang sendiri bagi mendirikan pagar berduri, membina pondok kawalan dan memasang televisyen litar tutup serta semboyan. Kemudian mengupah pengawal tempatan dan Nepal untuk menjadi keselamatan mereka.
"Taman perumahan sudah menjadi macam kampung baru waktu darurat 1948-60 yang dikelilingi pagar berduri dan dikawal oleh polis, tentera dan Home Guard. Maaf cakaplah, tidakkah orang dan pihak yang diberi mandat dan amanah menjaga keselamatan dalam negara berasa malu atau bertanggungjawab terhadap keadaan yang serba tidak menentu dan kacau-bilau seperti sekarang?"
III.
Dr Mahathir Mohamad semakin aktif berkempen ke seluruh negara untuk memenangkan BN dan liputan media kepadanya seolah-olah dia masih Perdana Menteri. Dalam sebuah negara demokrasi, bekas Perdana Menteri itu tidak boleh dihalang daripada mengamalkan hak untuk
berpartisipasi dalam politik. Biarkanlah.
Kalau dulu tumpuan kritikannya lebih kepada Anwar Ibrahim, tetapi kali ini, amarahnya terhadap Lim Kit Siang tidak boleh disembunyikan lagi. Puncanya, Ketua Ahli Parlimen DAP itu berpindah untuk bertanding di Johor, sebuah negeri yang dianggap kubu terkuat Umno.
Kit Siang mengambil tindakan drastik itu, meninggalkan kerusi selamatnya di Ipoh Timur ke Gelang Patah yang dimenangi BN dengan majoriti besar pada 2008, telah menghantar mesej jelas bahawa tsunami politik lebih menyeluruh kali ini akan bermula dari selatan.
Johor -- dan juga Sabah serta Sarawak -- bukan lagi "simpanan tetap" buat BN. Langkah Kit Siang itu, untuk "menyerang" kubu terkuat Umno dan kemungkinan diikuti beberapa pemimpin kanan DAP yang turut bersedia bertanding di Johor, cukup menggusarkan Dr Mahathir. Jika Johor goncang, besar musibahnya untuk BN secara keseluruhan.
"Kalau Kit Siang berani datang sini, orang Johor mesti ganyang dia habis-habisan. Biar itu menjadi hari terakhirnya dalam politik. Jika nak bertanding tempat lain kita faham tapi nak serang kubu besar Umno di Johor, satu perbuatan tak masuk akal," kata Dr Mahathir semasa berucap hampir dua jam, di Kempas Permas, Johor Bahru, 1 April lalu.
Dr Mahathir bukanlah menjolok sarang tebuan tetapi kecaman melampaunya itu, saya kira, bukan saja mendorong semangat aktivis DAP, malah mampu menyemarakkan lagi motivasi penggerak PAS dan KeADILan bagi menamatkan penguasaan Umno-BN di Johor.
Kelihatan Dr Mahathir seperti berkuasa penuh ke atas perjalanan kempen BN, malah ada beranggapan dialah PM "de facto" yang turut digeruni Najib.
"Tiada jalan untuk menutup mulut Mahathir melainkan memastikan BN kalah dalam PRU13 dan Johor mesti menyumbang banyak kerusi Parlimen buat Pakatan," kata seorang rakan. Saya separuh bersetuju dengannya; biarkanlah Dr Mahathir dan Najib sendiri terus bersuara lantang sebagai pembangkang nanti.
Bukankah oposisi juga mempunyai fungsi besar untuk membangunkan negara, 'kan? Dr Mahathir, Najib dan ramai lagi pemimpin BN mempunyai pengalaman yang cukup lama menerajui kerajaan, dan ia sesuatu yang cukup berharga untuk dikongsi bersama untuk terus menyumbang kepada pembinaan Malaysia baru, walaupun selepas berada pada kerusi pembangkang!
IV.
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) merakam penghargaan dan ucapan terima kasih di atas sokongan dan bantuan berterusan masyarakat, khususnya pembaca Harakah, bagi menjayakan projek penerbitan PRU13, yang menyasarkan pengedaran bahan-bahan bercetak kepada pengundi Melayu di kawasan yang dianggap tidak begitu terdedah dengan media baru.
Salurkan sumbangan anda kepada akaun KAMI MEDIA Maybank 514075606399. -- lutfi_detik@yahoo.com
No comments:
Post a Comment