Sunday, May 12, 2013

Bebaskan pengundi PRU13 dari putaran ganas proses pembodohan

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Selama ini Umno-BN sememangnya berusaha keras mengekalkan sebahagian pengundi dalam keadaan jahil, tidak terdedah dengan maklumat, terperosok dalam perangkap kemiskinan, bersikap tertutup, mudah dibakar emosi, dan gerun untuk melakukan perubahan.

Semakin bijak dan berpengetahuan rakyat, apatah lagi posisi terangkat kepada tahap kelompok kelas menengah, dan sentiasa dibekalkan dengan informasi terkini, juga berfikiran rasional dan mengelak daripada bertindak melulu; semuanya adalah ciri-ciri positif yang memudahkan proses perubahan dapat berjalan lancar.

Sebenarnya tidaklah sukar untuk menjangkakan kawasan  pilihan raya yang masih payah ditembusi pengaruh Pakatan Rakyat. Meskipun masa kian terbatas dan majoriti pengundi dikatakan sudah membuat pilihan, namun peluang masih terbentang untuk mempengaruhi "pemilih yang boleh dipengaruhi".

 

Selain faktor komposisi kaum yang menjadi pertimbangan utama -- dengan majoriti masyarakat Tionghua dilihat sudah berpatah arang dengan BN -- kategori pengundi kota, penduduk pinggir bandar, kampung tradisi dan rancangan Felda sudah dianggap memadai untuk menelah keputusan PRU13 nanti.

(Namun, tidak mustahil apa yang sudah dijangka dan dianggap realiti boleh bertukar tanpa isyarat awal; bukankah ada pemerhati meramalkan Malaysia di ambang "revolusi"?)


Elit penguasa amat memahami fenomena ini.  Mereka arif dengan tonggak kekuatan yang menyokong singgahsana kekuasaan selama hampir enam dekad ini. Justeru, tiada perancangan holistik untuk mengeluarkan  masyarakat yang hidup serba kekurangan, terkepung dengan "proses pembodohan umat", yang berpaut terus dengan subsidi dan bantuan kerajaan.

Namun begitu, saya pernah menulis dalam kolum ini, sempena Syarahan Baling yang disampaikan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, pada 10 Disember 2012 -- mengingati demonstrasi bersejarah lebih 30,000 penduduk miskin pada Disember 1974 -- usah remehkan minda politik orang kampung.

Kemiskinan tidak semestinya memenjarakan mereka asalkan dapat bebas-lepas daripada mentaliti jiwa hamba, bersedia memprotes dan berdiri tegak mempersoalkan kelaziman kuno dan khurafat lama. 

Lokasi penempatan yang terpisah jauh ke pendalaman, tersorok daripada aliran maklumat, yang menyukarkan perhubungan dan komunikasi, memang satu cabaran besar, tetapi penghuninya masih berpotensi untuk turut berpartisipasi dalam gelombang menuntut perubahan.

Sesungguhnya proses pendemokrasian sudah menjadi wabak sejagat dan telah terbukti berjaya menukar regim autokratik dan meruntuhkan diktator zalim zaman berzaman. Sekali imbas,  tiada siapa menduga golongan tertindas yang kelihatan hilang upaya sebagai insan mampu bersuara, menjerit tentang kepedihan dan kesakitan terpendam.

Rakyat yang kelihatan daif tiba-tiba bangkit serentak menuntut hak dan tidak peduli lagi dengan muncung meriam, apatah lagi tembakan gas pemedih mata dan hayunan belantan. Sekurang-kurangnya itulah yang berlaku di negara-negara Timur Tengah, yang mencetuskan fenomena Arab Spring.

Secara peribadi, saya memilih faktor pengaliran maklumat yang bebas dan lancar sebagai punca utama sejarah baru dapat dilakar. Dalam suasana informasi -- yang kemudiannya membentuk persepsi -- tidak lagi dapat dikawal dan dimonopoli seperti dahulu, maka "padang permainan" boleh dikatakan hampir sama rata, sekali gus  menyediakan "gelanggang pertarungan" yang seimbang.   

Dalam konteks berdepan  BN dalam PRU13, aktivis Pakatan umpama sudah dapat berdiri sama tinggi dan  duduk sama rendah. Kelebihan di pihak BN yang menguasai (secara tidak sah) pelbagai sumber dan kemudahan, bukan alasan untuk merasa gugup dan gentar, sebaliknya mendorong inovasi lebih kreatif mencari pendekatan terbaik meraih sokongan rakyat.

Kunci kata adalah penyebaran (dan juga pembentukan) maklumat.

Soalnya, sejauh mana minda pengundi dicerdaskan dengan bekalan informasi secukupnya agar mereka dapat membuat keputusan rasional yang tepat? Ledakan maklumat di hujung jari, terutama melalui media baru, hanya mewujudkan situasi lebih demokratik, tetapi ia tidak semestinya secara automatik menguntungkan Pakatan.

Masyarakat yang diasak dengan kerencaman maklumat tidak lagi menelan bulat-bulat, sebaliknya dapat menyaring dan mencerakinkannya. Operasi pencerdasan dan pencerahan, sekali gus membebaskan rakyat daripada proses pembodohan yang berakar sejak sekian lama itu tidak datang sendiri; ia harus direncana dan digerakkan secara sistematik, dalam keadaan penuh kesedaran bahawa umat yang bijaksana dan peduli akan memilih kebenaran.


Kerajaan cuba memperlihatkan sikap responsifnya terhadap beberapa cadangan penambahbaikan sistem demokrasi dan perjalanan pilihan raya tetapi apabila dihadapkan soal akses media -- seperti dituntut gabungan Bersih dan ratusan NGO sealiran -- elit pemerintah tetap bersikap "pekak badak" dan mencari sejuta daleh.

Slot 10 minit RTM untuk menyiarkan manifesto secara rakaman selepas Parlimen dibubarkan lebih berupa penghinaan terhadap tuntutan kebebasan media. Ia diperkukuhkan lagi dengan penolakan Harian Metro untuk menyiarkan iklan program pembasmian kemiskinan kerajaan Pulau Pinang.

Selain memperkasakan medium internet sebagai saluran kempen paling berkesan, cepat dan murah, Pakatan bukan sahaja tidak harus melupakan media tradisi -- iaitu bahan bercetak, terutama untuk profil pengundi tertentu -- malah perlu menampilkannya dalam persembahan lebih berkualiti, dengan sebaran dari pintu ke pintu.

Saya perhatikan, klip video yang dihasilkan aktivis Pakatan untuk menjelaskan tawaran baru seperti penurunan harga kereta, rumah mampu milik, pendidikan percuma, ditambah siri ceramah tokoh-tokoh utamanya dalam YouTube, merupakan daya penarik yang sukar diatasi BN. Buletin Utama TV3 secara drastik kehilangan bisanya dan semakin tidak dipedulikan.

Siaran televisyen internet adalah produk terkini yang memusnahkan sama sekali keegoan strategis media BN. "Cuma, PAS yang menjadi perintis awalnya agak perlahan sekarang. DAP lebih ke depan dalam hal ini, dituruti KeADILan," kata seorang penganalisis. 

Persaingan merebut hati dan minda pengundi dalam PRU13 tentunya akan menyaksikan pendekatan baru "membentuk dan menyampaikan maklumat" yang mengkagumkan. Namun, jangan dilupakan kaedah tradisi berkempen secara bersemuka, dan dibawa bersama bahan bercetak yang tinggi mutu kandungan dan grafiknya oleh petugas dari rumah ke rumah.

Kami di Harakah, antara lain, menawarkan sisipan Bangkit, yang akan dipergiatkan lagi selepas Parlimen dibubarkan. Selaku peneraju Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), saya dan rakan-rakan yang terlibat sejak lebih 12 tahun lalu, mohon sokongan untuk menjayakan projek penerbitan PRU13. Sumbangan boleh disalur terus ke akaun KAMI MEDIA Maybank 514075606399.

Kunci kata seterusnya ialah pengundi Melayu, khususnya di luar bandar, harus terus dibekalkan maklumat yang mudah diakses.

Pagi Ahad lalu, ketika saya turun dari kompleks membeli-belah di Ampang, selepas gagal mencari bahan bacaan menarik di kedai buku Popular, seorang anak muda, memakai kemeja-T Harian Metro, sibuk mengagihkan naskhah NST secara percuma.

"Ada orang BN taja ke?" kata seorang wanita Tionghua separuh abad. "Ada apa isu menarik di dalam hentam Pakatan?" tanya saya pula. Anak muda itu hanya ketawa kecil.

Rupanya akhbar hujung minggu itu memuatkan laporan eksklusif, dengan tajuk muka depan "Kelantan After Dark", selain wawancara bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, dengan gambar besar Mohamad Hassan.

Terlintas dalam fikiran saya idea penajaan akhbar Harakah yang pernah dilancarkan enam tahun lalu, yang masih belum berjaya dilaksanakan. Diharapkan idea KAMI untuk membekalkan kempen bahan bercetak, menjelaskan persoalan pokok yang perlu difahami rakyat, selain menepis kecelaruan yang sengaja ditimbulkan, akan mendapat sokongan ramai, insya-ALlah.

 

No comments: