Sunday, May 12, 2013

PAS Temerloh, slot 10 minit RTM dan fenomena Kit Siang

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Pagi Ahad lalu, dalam tempoh tidak sampai dua bulan, sekali lagi saya berkunjung ke Temerloh. Selain berhasrat menyerahkan lebih 5,000 naskhah Bangkit untuk edaran negeri Pahang, saya cuba menyelami perkembangan mutakhir politik negeri yang seolah-olah "tidak begitu diperhatikan" itu.

Ketika ramai penganalisis lebih tertumpu ke selatan tanahair, khususnya Negeri Sembilan dan Johor, yang dilihat berupaya membentuk tsunami politik dari bahagian bawah Semenanjung melanda ke utara, hati kecil saya mengimpikan Pahang juga mampu melakar sejarah, sekali gus mengejutkan Najib Razak.

Temerloh yang popular dengan masakan tempoyak ikan patin ini memang menyimpan kisah suka duka pejuang Melayu zaman berzaman. Ia menjadi kubu pertahanan semangat nasionalisme menentang penjajah dan melahirkan ramai wira bangsa. Justeru, slogan perubahan bukan sesuatu yang aneh bagi warganya. Apatah lagi jarak yang relatif dekat dengan Lembah Klang dan faktor demografinya memungkinkan Temerloh menyalakan obor kemenangan Pakatan di Pahang. 

Malah, kepada pendokong PAS, Temerloh yang menempatkan Pejabat Perhubungan Negeri dan menjadi pusat kegiatan parti, serta tunjang kekuatan mewakili kawasan tengah Pahang, memberi makna tersendiri. Temerloh mempunyai jumlah cawangan dan keahlian PAS paling ramai di negeri Perdana Menteri ini.

Kebetulan 24 Mac itu, Pejabat Dun Kuala Semantan, di Damai Courts, Jalan Damai, Temerloh, menganjurkan program Himpunan Rakyat Semantan, bermula 9 pagi hingga lewat tengah malam. Sambutan sekitar jam 12 tengah hari, ketika saya tiba, agak meriah. Ramai kanak-kanak dan ibu bapa terlibat dalam acara kekeluargaan. Malamnya dijadualkan pidato rakyat.

Sempat seorang warga emas, pembaca setia Harakah, beramah mesra dan seperti mahu bersembang panjang, sebelum saya diajak naik ke tingkat satu bersama Yang Dipertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus dan naibnya, Syed Hamid Syed Mohamed, yang juga Adun Kuala Semantan.

Perbincangan santai kami turut disertai Timbalan Yang Dipertua, Hassanuddin Salim, Ketua Pemuda, Ustaz Muhammad Shukri Shuib dan wartawan Harakah Pahang, Basiron Abd Wahab. Meskipun agak terganggu dengan kebingitan program di bawah pejabat, termasuk persembahan tabla yang rancak, saya tetap terkesan dengan harapan cukup tinggi agar wakil PAS terpilih sebagai calon Pakatan untuk kerusi Parlimen Temerloh.

(Lima tahun lalu, di saat-saat akhir menjelang hari penamaan calon PRU2008, pimpinan di peringkat pusat  memutuskan PAS perlu memberi laluan kepada calon KeADILan untuk bertanding di Temerloh. Dan tentunya arahan itu diterima kepemimpinan kawasan).

Saya lebih suka mendengar sambil cuba menyelami kegelisahan mereka menanti konsensus pimpinan tertinggi. Ya, ketika semua potensi kekuatan dikerah untuk berdepan pilihan raya paling sengit, tentu sekali soal dalaman tidak boleh dibiarkan menganggu konsentrasi, apatah lagi kawasan sekitar Temerloh, seperti Bera, Jerantut dan Kuala Krau, juga merupakan kerusi sasaran.

Sejumlah 42 kerusi Dun ditawarkan di Pahang dan PAS diberi kepercayaan bertanding separuh daripadanya, iaitu 21 kerusi, manakala KeADILAN, 14 dan DAP, 7. Bagaimanapun saya difahamkan, agihan kerusi di antara DAP dan KeADILan masih dalam perbincangan.

Di peringkat Parlimen, secara umumnya PAS dan KeADILan diperuntukkan masing-masing enam kerusi dan selebihnya, dua, kepada DAP. Namun, ada beberapa kerusi bertindih, melibatkan ketiga-tiga parti, belum diputuskan secara rasmi.


Berdasarkan laporan blog Selamatkan Pahang, menurut Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Pahang (JPN), Cikgu Abdul Majid Hasan, kerusi Dun yang akan ditandingi PAS ialah N2 Jelai, N3 Padang Tengku, N8 Dong, N9 Tahan, N11 Pulau Tawar, N12 Beserah, N15 Tanjung Lumpur, N16 Inderapura, N17 Sungai Lembing, N19 Panching, N20 Pulau Manis, N21 Peramu Jaya, N24 Luit, N26 Chenor, N28 Kerdau, N29 Jengka, N32 Kuala Semantan, N36 Pelangai, N37 Guai, N40 Bukit Ibam dan N42 Tioman.

Selain empat Dun yang sudah dimenangi Pakatan, iaitu dua oleh PAS di Kuala Semantan dan Beserah, serta dua oleh DAP di Triang dan Tras, terdapat lapan kerusi Dun yang menyaksikan kekalahan di bawah 1,000 undi pada PRU2008, iaitu Sabai (145), Teruntum (293), Tanjung Lumpur (496), Damak (509), Tanah Rata ( 575), Jengka (596), Inderapura (873) dan Ketari (882).

Manakala lapan Dun lagi majoriti kekalahan Pakatan di bawah 1,500 ialah Luit (1,068), Bilut (1,108), Padang Tengku (1,188), Cheka (1,280), Tahan (1,357), Benta (1,358), Jenderak (1,374) dan Panching (1,444).

Untuk menguasai Wisma Sri Pahang, beberapa kerusi yang menyaksikan perbedaan undi sekitar 2,000, seperti Guai (1,941), Semambu (2,136), Lanchang (2,139) Batu Talam (2,415) dan Mentakab (2,439) juga harus diberi penekanan istimewa.

Dalam pertemuan sebelumnya dengan Pesuruhjaya Negeri, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Perhubungan, Roslan Zainal Al-Ahmadi, saya dimaklumkan, cabaran besar yang harus ditangani segera ialah penyampaian maklumat yang berkesan, terutama melalui media tradisi di kawasan yang masih sukar ditembusi internet.
 
II.

 

AhmadLutfi-harakah

 

Sebagai penggerak utama Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang prihatin dengan fungsi media dalam  pilihan raya, termasuk menganjurkan Konvensyen Akses Media Dalam PRU13, di Hotel Nouvelle, pada 12 Mei 2012, saya dengan penuh minat memerhati  reaksi terhadap pengumuman Dr Rais Yatim yang menawarkan slot 10 minit  setiap parti untuk muncul di RTM menyampaikan manifesto yang siap dirakam.


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menolaknya sambil menyifatkan tawaran itu sebagai jenaka dan usaha BN untuk berlakon seolah-olah mereka melaksanakan kebebasan media. Ia juga seolah-olah memperlihatkan Pakatan seperti pengemis.

Menurutnya,  Pakatan menuntut diberi hak untuk menjawab pertuduhan dan fitnah yang disiarkan secara berterusan oleh media  yang dikawal Umno-BN, bukan sahaja sewaktu musim pilihan raya tetapi sepanjang masa.


Walaupun PAS menghargai keputusan kerajaan itu, namun Ketua Penerangannya, Tuan Ibrahim Tuan Man melihatnya tidak lebih sebagai 'ajak-ajak ayam'. Katanya, dalam  tempoh 10 minit, "pembaharuan" itu satu perkara yang mengaibkan.

"Apa pun, PAS masih belum ada keputusan dan perlu berbincang dan akan dimaklumkan kemudian," katanya.

Bagi Pengarah Komunukasi KeADILan, Nik Nazmi Nik Ahmad, partinya juga menolak tawaran 10 minit itu. "Ia satu sandiwara hodoh pihak yang jahil peranan media dalam demokrasi," katanya.

"Peranan media dalam sistem demokrasi ialah memberi liputan dan laporan berita yang objektif, adil dan saksama.  Adalah tidak wajar media diperalatkan sebagai mesin propaganda untuk memaksakan pandangan Umno ke atas rakyat. Tawaran ini adalah penghinaan terhadap kepintaran rakyat," ujarnya.


Sebagai pengamal media, saya mengimpikan setiap parti diberi ruang dan masa munasabah, bukan saja dalam TV, tetapi juga radio dan akhbar, serta tidak terhad kepada penjelasan manifesto, iaitu merangkumi persoalan pokok yang perlu dimaklumkan kepada rakyat.

"Semasa siaran manifesto ini ada, semua media dituntut mematikan etika kewartawanan dipertahan dan dipelihara, termasuk hak untuk menjawab," kata seorang rakan saya, wartawan penyiaran berpengalaman. "Walaupun Pakatan menolak, saya masih harapkan slot di RTM itu menjadi kenyataan, dengan tempoh lebih lama," tambahnya.

"Ya," saya mencelah, "tapi isu besar dalam kebebasan akhbar, seperti konsep pemilikan media dan syarat-syarat karut-marut berkaitan permit dan sebagainya harus dimansuhkan."

KAMI juga menuntut tempoh kempen minimum selama 21 hari bagi memastikan setiap pngundi mendapat maklumat secukupnya agar dapat membuat pilihan yang rasional dan tepat.

Dalam pada itu, KAMI masih dalam kempen mendapatkan dana untuk menjayakan projek penerbitan PRU13; salurkan sumbangan ikhlas anda ke dalam  akaun Maybank KAMI MEDIA 514075606399.

III.

Sukar menelah apa yang menganggu dan meracau pemikiran  Najib Razak sehingga terlalu sukar menentukan tarikh pembubaran Parlimen meskipun berulang kali beliau melahirkan keyakinan bahawa Umno-BN bukan saja menang dalam PRU13, malah berjaya mengembalikan majoriti dua pertiga.

Seperti kata Lim Kit Siang, Najib bukan sekadar Perdana Menteri paling lama di tampuk kuasa tanpa mendapat mandat pengundi, malah beliau mengetuai kerajaan dan kabinet "yang telah tamat tempoh" selepas masa lima tahun berakhir 8 Mac lalu.

Di zamannya juga kita menyaksikan suasana atau mood berkempen paling paling lama bermula semenjak beliau dipilih menggantikan Abdullah Ahmad Badawi pada April 2009. Dalam waktu itu ratusan ringgit dihanguskan untuk mengupah firma perunding seperti Apco Worlwide dan FBC Media baik menaikkan imejnya dalam dan luar negara.

Ternyata Najib  belum selesa dengan sokongan yang diperolehinya, walaupun pelbagai insentif tunai dan habuan lain diagihkan kepada rakyat, selain memanipulasi sepenuhnya kes pencerobohan di Lahad Datu, demi survival politiknya, tidak terkecuali dengan cuba mengaitkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.
 

Sehingga kolum ini ditulis, iaitu tidak sampai 24 jam Dun Negeri Sembilan akan terbubar secara automatik pada tengah malam Khamis, 28 Mac, Najib secara tidak langsung seolah-olah tidak menghormati peranan dan fungsi politik Raja-Raja Melayu yang sedia terhad itu.

Hatta jika Menteri Besar Negeri Sembilan menghadap Yang Dipertuan Besar pada pagi Rabu untuk mencadangkan pembubaran Dun, baginda sebenarnya  tidak berpeluang untuk melaksanakan haknya bagi menolak tarikh yang diusulkan itu.

IV.

Lagi tentang Lim Kit Siang, ahli politik berpengalaman hampir lima dekad, yang melalui pelbagai rintangan dan pancaroba, termasuk ditahan ISA dan turun naik mahkamah.

Tokoh yang digeruni seteru politik dan dihormati kerana prinsip dan ketegasannya dalam perjuangan ini mencetuskan dua kejutan baru-baru ini. Pertama, beliau memilih Johor atau lebih tepat kerusi Parlimen Gelang Patah untuk bertanding dalam PRU13 sebagai bukti keseriusannya untuk meleburkan kubu kuat Umno itu.

Kedua, kesediaannya untuk bertanding  menggunakan lambang PAS sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran DAP ekoran kesilapan dalam pemilihan kepimpinan parti  tahun lalu.

"Jika BN salah guna kuasa (batalkan pendaftaran DAP), saya mungkin guna lambang PAS untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat," kata Kit Siang.

Mengulas kenyataan itu, Setiausaha Agung KeADILan menegaskan: "“Umno cuba pecah=belahkan Pakatan dengan isu perkauman tapi bayangkan jika Lim Kit Siang bertanding dengan lambang PAS. Kita mahu tengok apa lagi hujah Umno untuk dimainkan. Umno hendak cakap apa lagi?"

"Jika berlaku pembatalan (DAP), PAS mengalu-alukan calon-calon DAP dan Kit Siang untuk bertanding menggunakan lambang PAS mahupun KeADILan,” kata Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali.

Segera saya terkenang perbualan dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, di LCCT, KLIA, Sepang tidak lama selepas saya menjalani pembedahan pintasan jantung.

Sambil mengharapkan kesihatan saya cepat pulih, Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyentuh isu-isu yang sengaja ditimbulkan untuk menimbulkan kecurigaan di antara PAS dan DAP.

Beliau berkata, selagi ada tokoh-tokoh lama kedua-dua parti, yang melalui perjuangan berliku puluhan tahun serta mendapat tekanan dahsyat pemerintah, misalnya Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dan Kit Siang, dia yakin PAS dan DAP akan terus bersama.

No comments: