Oleh Ahmad Lutfi Othman
Tersasar sekali lagi ramalan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13.
Daripada bulan November 2011 (sebenarnya teka-teki itu bermula lebih awal lagi) kepada Mac 2012, seterusnya beralih Jun (lebih tepat 9 Jun), dan kini Dr Mahathir Mohamad menjangkakan selepas Aidilfitri pula (1 Syawal 19 Ogos), walaupun lebih ramai yang berhati-hati bahawa Parlimen boleh dibubarkan selepas Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, 2 Jun nanti.
Begitulah adatnya ... Perdana Menteri berkuasa mutlak mencadangkan kepada Agong tarikh yang difikirkannya paling sesuai. Dato' Seri Najib Razak sengaja membiarkan "permainan" ini berterusan, antara lain, untuk memerangkap Pakatan Rakyat, atau sekurang-kurangnya meletihkan saingan yang digeruninya itu.
Meskipun dibantu pelbagai agensi perisikan dan "badan penyelidikan", tidak semestinya PM mempunyai banyak kelebihan dengan tarikh yang bakal (atau terpaksa) dipilihnya. Realiti politik selepas tsunami politik tidak semudah dahulu untuk ditafsirkan, termasuk oleh "peramal profesional".
Semakin ramai pengundi dijangka membuat pilihan di saat-saat akhir. Tun Abdullah Ahmad Badawi sendiri terperangkap dengan keyakinannya sendiri ketika mengusulkan Parlimen dibubarkan pada Februari 2008. Malah, pada minggu pertama kempen, suasana agak suram, tiada petanda jelas BN bakal menghadapi kemerosotan ketara.
Najib juga tidak terkecuali daripada bakal mengulangi nasib malang Abdullah, mungkin lebih parah lagi. Apa yang "dibaca" mungkin jauh berbeda dengan keadaan sebenar akar umbi. Justeru, Najib belum "kejap hati" untuk memilih tarikh paling sesuai untuknya "turun bertarung".
Bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik sendiri sangsi BN boleh menang jika pilihan raya diadakan dalam waktu terdekat, khususnya Jun ini, kerana "banyak isu masih belum selesai". Beliau juga tidak yakin Pakatan Rakyat dapat dikalahkan di Selangor memandangkan kebanyakan pemimpinnya tidak terlibat dengan isu gejala moral dan rasuah.
Dr Ling dilaporkan "memuji Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dan dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang bebas daripada skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa".
Biarpun pelbagai bentuk "bantuan" 1Malaysia (ada menyifatkannya rasuah politik) yang dicurahkan kelihatan diterima rakyat dengan senang hati, tidak semestinya ia menggambarkan segalanya cerah buat Umno-BN.
Walaupun komplot jahat BN-SPR-Jabatan Pendaftaran Negara sudah terlaksana, melalui senarai daftar pemilih, tetapi ia tidak cukup kuat untuk meyakinkan Najib bahawa Pakatan bakal tumbang di negeri-negeri yang kini dikuasainya, terutama Selangor.
Pada satu sisi, Najib mesti memastikan tahap terbaik persiapan BN, terutama mengelak perpecahan ekoran kekecewaan mereka yang tidak terpilih sebagai calon (agak lama kita tidak mendengar istilah winnable candidate atau calon boleh menang) selain mengharapkan Pakatan dalam situasi paling lemah.
Ketika komitmen majoriti masyarakat Cina kepada Pakatan tidak menampakkan kemungkinan dapat dilunakkan, perhatian lebih tertumpu kepada gelagat undi orang Melayu, dan juga India. Rakan yang menemani saya ketika Bersih 3.0 turut merungut: "Kawan-kawan India nampak kurang hari ini?"
Kawan lama yang bergiat aktif dalam Umno pernah mengusulkan: 'Daripada BN membazirkan wang untuk menjinakkan hati pengundi Cina lebih baik peruntukan itu dialihkan kepada masyarakat India, terutama di estet-estet atau kawasan yang terpinggir."
Selain terus memanipulasi dakwaan "skandal seks" pemimpin KeADILan, dengan menukar akhbar-akhbar terutama dari kumpulan Utusan Melayu menjadi akhbar lucah, wibawa tokoh-tokoh PAS dan juga dasar perjuangan parti Islam itu sendiri cuba dilemahkan.
Mungkin tokoh-tokoh seperti Dr Hasan Ali dan Mufti Harussani Zakaria dapat membantu Umno menjayakan misi itu, sekurang-kurangnya menyuntik keraguan di kalangan masyarakat Islam terhadap PAS,
Ya, sasarannya tetap pengundi Melayu, bukan saja di luar bandar seperti dimaklumi, tetapi juga masyarakat Islam kelas menengah, yang mungkin boleh dikelirukan atas propaganda "demi agama dan bangsa". Saya harap aktivis PAS tidak memandang mudah sokongan yang diperolehinya pada 2008; ia boleh saja beralih arah jika "tidak dijaga" dengan baik.
Strategis Umno satu ketika -- entah kenapa -- nampak yakin dengan taktik untuk "memecah-belahkan dalaman PAS" dan cuba mengherat parti keluar daripada Pakatan. Tohmahan bahawa PAS sudah lari daripada pejuangan asal, seperti idea negara berkebajikan yang dilabelkan bercanggah dengan gagasan negara Islam, cuba diperbesarkan, namun jelas ia tidak berhasil.
PAS wajar melipatgandakan gerakerja penerangan, termasuk menjelaskan konsep Negara Berkebajikan (nampak agak terabai) dan merumuskan perjuangan bersama Pakatan Rakyat, seperti tertera dalam Buku Jinga -- misalnya dalam membentuk good governance dan pemerintahan antirasuah -- dalam kerangka Islam.
Saya kira idea AJK Dr Dzulkefly Ahmad tentang perkara ini, wajar diberi perhatian. Dalam perbualan telefon dengannya baru-baru ini, beliau sempat mengaitkan beberapa peringatan dalam al-Quran, termasuk penekanan tentang aqidah, misalnya dalam surah Makkiyah, Al-Mutaffifin (orang yang curang), yang boleh dikaitkan dengan konsep good governance.
Apa pun, bagi saya, pertarungan PRU13 masih berkisar antara dua seteru tradisi, PAS dan Umno -- satu usaha memenangi hati, minda, emosi dan jiwa orang Melayu yang menjadi penentu kemenangan kepada BN ataupun Pakatan Rakyat.
No comments:
Post a Comment