Saturday, December 8, 2012

Projek 2013 masuk kantung kroni

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Keuzuran sekali lagi menghalang saya melakarkan catatan yang baik dan menyeluruh tentang isu-isu besar seperti Bajet 2013, yang sememangnya jelas bertujuan  "membeli undi" menjelang PRU13 -- pilihan raya paling kritikal buat BN dan Najib Razak. Apa pun, secara ringkas, dilontarkan beberapa persoalan yang wajar diberi perhatian.

Saya pernah tekankan, itulah saja satu-satunya "kelebihan" Najib untuk kelihatan kekal popular, iaitu meraih sokongan melalui "politik wang dan rasuah pembangunan". Dia yang semakin kalut dan panik terpaksa "membeli undi" dengan pelbagai insentif one-off, seperti BR1M 2.0, tanpa mengemukakan belanjawan yang dapat menangani masalah ekonomi semasa secara holistik.

Sasarannya tetap pengundi muda, terutama yang baru pertama kali membuat pilihan. Generasi baru  yang dilihat lebih berani membuat perubahan perlu dijinakkan, dengan tawaran yang nampak menarik walaupun hanya bersifat "fatamorgana".

Namun, keghairahan Umno-BN seakan menjerat diri apabila akhbar mereka memperincikan, melalui kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Dr Awang Adek Hussin, di Tanjung Chat, Kota Bharu, bahawa  mahasiswa juga berhak mendapat saguhati RM250 -- di samping baucer buku RM250 -- yang khusus untuk orang bujang melebihi usia 21 tahun. Sehari kemudian ia dinafikan Pejabat Menteri Kewangan!

Ada rakan mengingatkan bahawa bajet itu juga menjadikan masyarakat India sebagai sasaran, dan beliau meminta Pakatan Rakyat mengambil berat trend mengundi kelompok terbabit.

Ramai menjangkakan, apa pun yang ditawarkan dalam Bajet 2013, dalam PRU13 sokongan pengundi Tionghua tetap meningkat dan bakal membawa masalah besar kepada BN, termasuk di Johor, tetapi kecenderungan orang Melayu masih menjadi tanda tanya besar. (Dan sekali lagi PAS yang akan "pening kepala").

"Usah remehkan kesan belanjawan ini kepada orang Melayu, khususnya di kampung-kampung dan India di estet. Juga kakitangan kerajaan yang berjumlah lebih sejuta orang itu. Minda politik mereka tidak seperti orang Cina yang sudah terpahat kukuh untuk berubah. Giatkan penerangan ke peringkat akar umbi dengan penjelasan yang munasabah," tambah rakan yang bersetuju dengan tulisan awal saya agar menekankan soal korupsi yang menjadi musuh no 1 negara.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, memberi reaksi mudah: "Bagi saya, setiap kali bajet dibentangkan, ia nampak baik dan membantu rakyat. Soalan paling besar, bagaimana dengan amanah dan integriti, yang boleh menyebabkan ketirisan, rasuah dan dana awam disalahguna? Misalnya, skandal Scorpene dan NFC tak pernah terbayang semasa bajet dikemukakan, 'kan?"

Semasa mendengar taklimat pakar-pakar ekonomi mengulas bajet Sabtu lalu, saya tertarik apabila seorang penalis membangkitkan isu projek-projek mega untuk 2013, terutama berkaitan pembinaan lebuh raya, yang "sengaja dirancang" bagi menyediakan kesempatan mengaut keuntungan besar dan mudah buat kroni-kroni Umno-BN. Atas nama kepentingan dan kemajuan buat rakyat, mereka membolot rakus wang pembayar cukai tanpa segan silu.

Seorang lagi ahli penal tidak berpuas hati apabila bajet tersebut langsung tidak menggariskan sebarang langkah penjimatan, misalnya terhadap perbelanjaan pegawai tinggi kerajaan dan menteri, bagi mengatasi masalah defisit yang berlarutan untuk kali ke-16.

Dalam masa sama, saya bersetuju dengan saranan agar pengundi Melayu harus didedahkan dengan gambaran lebih besar terhadap isu-isu kritikal ekonomi negara, sehingga dapat menyentuh nurani dan emosi mereka, sepertimana isu-isu politik lain.

Soal habuan dan gula-gula politik yang ditawarkan -- walaupun harga gula naik 20 sen tanpa sedar -- ya, persilakan saya warga yang berhak untuk menerimanya., tapi orang Melayu mesti ditanam kesedaran untuk menghukum pemerintah yang korup, pentingkan diri dan suku-sakat, serta beraksi bagai singa buas melihat kesempatan "buat duit" daripada wang rakyat.

Najib boleh sahaja menggunakan platform bajet untuk menyinggung, mengkritik, hatta menyerang seteru politik ketatnya, Anwar Ibrahim. Anwar semasa Menteri Kewangan dahulu pun pernah memanfatkan pentas sama untuk menyindir dan membidas pembangkang. Cuma Anwar lebih diingati dengan istilah-istilah baru yang diperkenalkan dalam ucapannya itu.

Cuma, jika Najib kelihatan seronok membelasah Anwar dan Pakatan Rakyat, disambut tepukan meja juak-juaknya, apatah lagi menyedari ia siaran langsung TV yang menjadi tumpuan jutaan rakyat, maka tunjukkanlah jiwa besarnya untuk bersama-sama memeriahkan perbahasan di Parlimen, terutama ketika giliran Ketua Pembangkang berdebat. Hidupkan tradisi politik baru yang lebih segar.

Semasa berucap pada Majlis Makan Malam Perdana Pakatan Rakyat di Stadium Melewati Shah Alam 28 September lalu, Anwar menjemput Najib "kalau tak nak debat pun tak apa ... saya minta dia datang dengar ucapan ulasan belanjawan saya pada Isnin, 1 Oktober, jam 11.30 pagi."

Anwar dilaporkan berkata, selain mengharapkan ahli Parlimen Pekan itu hadir, beliau turut akan memberi ruang kepada Najib untuk mengulas dan mencelah semasa beliau berucap. "Semasa saya jadi Menteri Kewangan, saya tak pernah tak hadir ulasan awal ketua pembangkang. Saya fikir oleh kerana ucapan dia kita dengar, maka wajar hormati sistem demokrasi," kata Anwar.


Saya kira "bajet panik" Najib ini tidak mampu mengubah persepsi rakyat terhadap regim BN, namun dalam keadaan tiada penunjuk jelas siapa bakal pemenang PRU13, apa jua riak kecil boleh menentukan keputusan akhirnya nanti. Sedikit sebanyak ia juga satu faktor yang boleh mempengaruhi kecenderungan mengundi.

Sementara itu, saya lebih tertarik dengan kemenangan besar kumpulan Pro-Mahasiswa UIAM yang dikatakan menyapu bersih kerusi dalam pilihan raya kampus yang  terpaksa diadakan semula secara manual Selasa lalu. Ini bermakna tiga kampus utama yang menjadi tumpuan pegawai-pegawai kanan Najib, termasuk melakukan komplot terancang Ops 2020, iaitu UM, UKM dan UIAM, kekal di bawah Pro-M.

Saya turut terkesan dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang membatalkan keputusan Kementerian Dalam Negeri untuk tidak memberikan permit penerbitan kepada Malaysiakini, bagi menerbitkan akhbar harian. Kemenangan awal buat pelobi kebebasan akhbar di negara kita. Ia juga disifatkan satu penghakiman paling progresif dan pengiktirafan penting mahkamah terhadap hak menerbitkan akhbar.

Akhir sekali, kenyataan Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam, bahawa tiada salahnya bagi badan pemantau hak asasi manusia, Suaram, yang disiasat oleh pihak berkuasa, menerima dana asing jika ia untuk mempertahankan hak asasi manusia, juga menyenangkan, ketika NGO itu cuba sedaya upaya dimusnahkan kredibiliti dan kewujudannya sendiri oleh pemerintah.

Sekurang-kurangnya semasa saya uzur ini, banyak juga berita-berita yang mengembirakan, selain lima bekas tahanan ISA dianugerahkan ganti rugi RM4 juta!

No comments: