Oleh Ahmad Lutfi Othman
Siapa berani sangkal Umno lubuk rasuah? Siapa berani nafi Umno telah menyuburkan budaya korupsi yang mendarah-daging sejak sekian lama? Siapa berani sanggah Umno menyediakan tapak paling kondusif untuk "menternak" perasuah?
Mungkin ada yang beranggapan bahawa soalan saya itu begitu keras namun saya kira saya tidak perlu memohon maaf jika berani merumuskan bahawa pendekatan Umno tidak pernah berubah terhadap jenayah terkutuk itu. Tsunami politik 2008 juga tidak berupaya memberi pengajaran kepada Umno untuk mengisytiharkan perang terhadap amalan korupsi.
Dr Mahathir Mohamad yang berpengalaman lebih 22 tahun mengetuai Umno sendiri mengakui hakikat itu. Pada 30 November 2009, dalam blognya, Mahathir mengungkapkan kata-kata seorang bekas pemimpin kanan Umno bahawa "Umno busuk hingga ke ususnya" dan mengaitkannya dengan rasuah yang membarah teruk dalam parti itu.
"Umno busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi," tulisan Mahathir dipetik. Beliau kemudian memperincikan bagaimana rasuah atau politik wang menjalar daripada peringkat cawangan Umno hingga ke Majlis Tertinggi parti, dan ia digunakan untuk mempastikan ketua Umno tidak dicabar.
Dan Mahathir merumuskan: "Sebab itu tidak ramai ahli profesional yang dapat menjadi ahli Umno. Sebaliknya semakin ramai daripada pemimpin PAS terdiri daripada doktor, peguam, jurutera dan lain-lain profesyen."
Saya mengutip pandangan Mahathir bukan untuk menunjukkan bekas Perdana Menteri itu mempunyai keazaman politik yang tinggi bagi membanteras rasuah, malah beliaulah yang bertanggungjawab "menternak" begitu ramai perasuah dan menjadikan mereka sebagai temen-teman baiknya. Fal-fail rasuah juga kerap dijadikan senjata tarik tali untuk mengekalkan sokongan di dalam parti atau demi menjinakkan lawan politiknya.
Di zaman Mahathir, segala institusi utama dan strategik untuk memerangi perlakuan rasuah dan salahguna kuasa, seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR), Jabatan Peguam Negara, polis, badan kehakiman dan media, dikongkong ketat dan harus tunduk dengan kemahuannya. Budaya kronisme dan nepotisme juga berkembang biak.
Pengganti Mahathir, Abdullah Ahmad Badawi -- yang bertukar menjadi seteru politiknya dalam sekelip mata -- cuba melakukan perubahan dan memperkenalkan dasar-dasar yang dikira melambangkan proses de-Mahathirisation, misalnya penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (JAC); akhirnya ia hanya dijalankan dalam "versi yang dilembutkan". Malah cadangan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) gagal dilaksanakan.
Dalam buku Wacana Baru Politik Malaysia (2012), Mohamad Takiyuddin Ismail dan Ahmad Fauzi Abdul Hamid, melalui bab "Umno dan Konservatisme" mengulas hal tersebut, terutama dalam tajuk kecil "Abdullah Ahmad Badawi: Kejatuhan Seorang Reformis". Antara lain dicatatkan: "Abdullah juga seolah-olah keseorangan dalam usaha memerangi rasuah dan politik wang". Namun begitu, saya kira Abdullah gagal lebih disebabkan kualiti kepemimpinannya yang lemah.
Sesungguhnya para aktivis antirasuah seluruh dunia menyifatkan "politik wang adalah ibu segala rasuah". Di negara ini, BN dilihat mampu bertahan disebabkan faktor 3M (money, machinery, media) iaitu politik wang, salahguna jentera kerajaan dan manipulasi media.
Dalam Kajian Global Corruption Barometer 2009, yang dijalankan Transparency International di Malaysia, apabila ditanya soalan manakah antara enam sektor/organisasi yang anda anggap paling banyak dilanda rasuah, 42 peratus menjawab "parti politik", diikuti 37 peratus, "kakitangan awam".
Saya pernah dimaklumkan oleh sumber rapat yang terlibat dalam urusan tender perolehan kerajaan di peringkat tertinggi bahawa wang sogokan diserahkan secara tunai dalam beg-beg besar yang dihantar ke Putrajaya.
Sesungguhnya "rasuah atau tumbuk rusuk yang sudah diinstitusikan" dalam proses rundingan untuk menganugerahkan tender projek-projek mega itu seolah-olah tidak lagi bercanggah dengan undang-undang, malah diterima sebagai sesuatu yang lazim dan diabsahkan.
Justeru, kontroversi "sumbangan politik" berjumlah RM40 juta daripada ahli perniagaan Michael Chia kepada Umno Sabah (atas nama Ketua Menteri Musa Aman) langsung tidak mengejutkan. Malah saya menjangkakan "wang sekecil itu" hanya mampu digunakan untuk membiayai kempen BN untuk keperluan satu kawasan Parlimen di Sabah! Dan tidak pelik pun, jika ia memang benar diberikan kepada Musa atas kapasiti peribadinya dan bukan kegunaan parti.
Sememangnya jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri begitu diidamkan kerana ia menyediakan peluang terbaik untuk meraih sebanyak mungkin wang, yang diperolehi atas nama dana politik. (Elok untuk kepastian, cubalah bertanya bekas MB Selangor, Dr Khir Toyo dan juga jangan lupa dengan Muhammad Muhd Taib).
Rasuah seringkali diserahkan secara tunai dan selalunya tidak direkodkan. Ya, lihat saja Michael Chia yang terpaksa membawa wang tunai RM40 juta dari Hong Kong pada 14 Ogos 2008 dan tidak pula dipindahkan kepada akaun atas nama Umno Sabah melalui transaksi biasa.
Sudah tentu "penyumbangnya" adalah individu yang mendapat habuan besar daripada penganugerahan projek-projek kerajaan yang sengaja ditingkatkan kosnya dan intim hubungannya dengan elit penguasa. Sesungguhnya kaitan di antara ahli perniagaan dan mereka yang berkuasa di Malaysia cukup dekat dan sukar dicerai-tanggal.
Laman Sarawak Report sebelum ini mendakwa Michael Chia pernah membuat pembayaran menggunakan akaun-akaunnya kepada anak-anak Musa selama beberapa tahun mereka menuntut di luar negara. Beliau juga dikatakan mendapat banyak lesen pembalakan di Sabah. Saya mencadangkan laman berkenaan dikunjungi memandangkan banyak pendedahan ekskslusif. khususnya membabitkan Ketua Menteri Taib Mahmud.
Dalam pada itu, saya tidak pasti berapa ramai dapat diyakinkan dengan penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz bahawa SPRM sudah mengesahkan wang seludup itu bebas daripada elemen rasuah.
Dibimbangi ia hanya mengundang rasa jengkel berpanjangan memandangkan SPRM masih terikat dengan kehendak Perdana Menteri dan begitu mengambil kira pertimbangan serta survival politik Umno-BN, khususnya menjelang PRU13 yang kritikal itu.
Apa pun, saya kira rakyat yang semakin sedar dan terdedah dengan maklumat, lebih bersetuju untuk menuntut satu siasatan rapi dan terperinci, ataupun sekurang-kurangnya penjelasan lanjut daripada Peguam Negara, terhadap kes tersebut. (Oops ... lupa, keputusan AG untuk membawa kes atau tidak, juga memilih di bawah undang-undang mana untuk mendakwa, tidak boleh dipersoalkan, 'kan?)
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa Najib Razak menubuhkan suruhanjaya diraja menyiasar kemasukan wang dari Hong Kong itu, sekali gus membersihkan nama Malaysia dan BN sendiri. "Apa yang diabaikan sepenuhnya, RM40 juta itu bukan bersih tetapi wang kotor," tegasnya.
Lim juga menimbulkan begitu banyak pertentangan dalam keterangan Nazri di Parlimen, menjawab soalan Tan Kok Wai, MP Cheras dan Tian Chua, MP Batu. "Nazri telah menjerut dirinya dalam percanggahan," katanya.
Cukup dahulu dirakamkan persoalan pertama Lima: Bilakah SPRM menghantar kertas siasatan tentang wang seludup RM40 juta itu kepada Peguam Negara? Bilakah Peguam Negara membuat keputusan "elemen rasuah tidak dapat dibuktikan" lalu menutup fail? Adakah SPRM bersetuju sepenuhya dengan Peguam Negara bahawa "elemen rasuah tidak dapat dibuktikan" dalam kes itu; jika begitu, bilakah SPRM sendiri sampai kepada kesimpulan sedemikian?
Bagaimana dengan arahan Panel Penilai Operasi SPRM kepada SPRM dalam mesyuaratnya pada bulan Mei untuk mengumpul bukti lanjut terhadap Musa sebelum dibawa untuk pendakwaan yang kemudiannya Peguam Negara dapati "elemen rasuah tidak dapat dibuktikan" terhadap Musa dalam kes wang seludup RM40 juta dari Hong Kong?
Malang sekali apabila Peguam Negara, Abdul Ghani Patail sendiri kini berdepan dengan laporan polis berkenaan pertuduhan rasuah melibatkan buku seorang peguam, Zainal Abidin Ahmad, bertajuk Tan Sri Gani Patail: Pemalsu, Penipu, Penjenayah?
Dalam "Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan", terbitan Jabatan Perdana Menteri (2010), halaman 157, dibutirkan beberapa cadangan dalam Bab 7 Membanteras Rasuah, di antaranya ialah untuk "kebebasan institusi utama", membabitkan Pejabat Ketua Audit Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya, SPRM dan Jabatan Peguam Negara.
Mengenai SPRM, dicadangkan Pendakwa Raya dilantik dari luar Jabatan Peguam Negara, contohnya hakim dan peguam bersara, berdasarkan kontrak, untuk menggalakkan kebebasan yang lebih tinggi dalam pendakwaan kes-kes.
Menyentuh Jabatan Peguam Negara, insiatif yang disyorkan ialah prestasi dan perlakuan Jabatan Peguam Negara akan dipantau oleh sebuah Jawatankuasa Parlimen untuk memastikan bahawa pendakwaan dilaksanakan dengan cara yang ketat dan saksama.
Nampaknya, Najib harus mencerminkan dirinya dengan program tranformasi yang dicadangkan beliau sendiri, atau mungkin pelan hala tuju itu pun sebenarnya tidak disedarinya!
No comments:
Post a Comment