Saturday, December 8, 2012

Umno yang berdosa, mengapa Pakatan pula yang dicurigai?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Himpunan Kebangkitan Rakyat, 3 November, di Seremban Jaya membawa mesej jelas; momentum tsunami perubahan kini berada di jajaran yang cukup melegakan. Hujan lebat langsung tidak menjejaskan penyertaan proaktif penduduk Negeri Sembilan dan masyarakat sekitar, seterusnya menunjukkan sokongan padu kepada kempen "Ubah Sekarang, Bersihkan Malaysia"

Hampir 30,000 menjadi saksi kesepaduan tiga parti -- PAS, KeADILan dan DAP -- untuk menggembleng hasrat dan aspirasi rakyat, bagi melakukan perubahan besar dan cukup bererti dalam PRU13 nanti. Keserasian yang dibina secara formal sejak 1998, walaupun pada satu ketika ada pasang surutnya, ternyata kini sukar untuk dirobek. Dan himpunan itu seperti mahu menzahirkan, bahawa apa pun rintangan menghalang, ia tidak seharusnya membantut usaha lebih murni, bagi menyelamatkan  tanahair tercinta daripada mangsa kerakusan pemimpin BN.

Ketua Pemuda DAP, yang juga Ketua Pembangkang di Dun Negeri Sembilan, Anthony Loke, dalam pidatonya pada majlis berkenaan, yang disorak tepukan bergemuruh, mengungkapkan: "Jika agama Buddha dihina, saya yakin pemimpin PAS akan mempertahankannya. Kalau agama Hindu dan Kristian dihina, saya yakin KeADILan akan mempertahankan. Kalau agama Islam dihina, DAP akan mempertahankannya."


Saya kira angan-angan pemimpin Umno untuk mengadu-domba pemimpin PAS dan DAP, seterusnya menimbulkan rasa curiga, apatah lagi menyemai bibit sengketa, di kalangan penyokong kedua-dua parti, semakin berderai dengan komitmen bersama yang ditunjukkan pada malam Ahad itu. Bukan sahaja terjalin persefahaman yang baik di kalangan pemimpin atasan, malahan kerjasama padu di peringkat akar umbi.

Di kala majoriti masyarakat bertambah yakin dengan keupayaan Pakatan untuk mengambil alih kerajaan persekutuan, masih timbul kecelaruan pemikiran dan usaha terancang memomokkan bahawa kepentingan Melayu akan terabai di bawah kerajaan baru nanti, manakala kebejatan pemerintah akan disalin-ganti oleh penguasa yang baru. Dakwa kelompok ini, apa guna kerajaan bertukar jika reformasi menyeluruh gagal dilaksanakan.

Strategis Umno masih menggunakan pendekatan lapuk, yang diwariskan Biro Tata Negara dan jentera kempen turun-temurunnya, iaitu untuk merenggangkan (atau sekurang-kurangnya meragukan) orang Melayu dengan Pakatan. Pelbagai fantasi dan falasi direka, semata-mata untuk menimbulkan kegelisahan tidak berasas. Sesungguhnya tiada lagi aset kekuatan BN untuk melobi sokongan rakyat, selain melancarkan dakyah dan perang saraf bagi memburukkan oposisi.

Sudah pasti kaedah itu tidak lagi berkesan seperti dahulu, namun saya bimbang masih ada -- termasuk mereka yang berpendidikan tinggi dan menempati kelas menengah -- yang terus terpedaya, sehingga ragu-ragu untuk melakukan perubahan walaupun menyedari elit politik Umno-BN berlaku curang, mengkhianati amanah rakyat dan memperdagangkan sokongan awam.

Saya tertarik dengan tulisan Nurul Izzah Anwar bahawa tiang teras kenegaraan seperti Perlembagaan teras demokrasi, institusi Raja-Raja Melayu, Islam Agama Persekutuan, Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputara tetap akan terpelihara dan terjamin walaupun berlaku perubahan di Putrajaya.

Namun masih ada juga yang curiga, mampukah Pakatan yang berkuasa nanti dapat membanteras rasuah dan segala penyelewengan, selain memulihkan demokrasi, membela kebajikan rakyat, merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memastikan pengagihan khazanah negara lebih adil?

Tiada siapa dapat memberi jaminan seratus peratus bahawa, misalnya korupsi yang sudah membarah dan mengakar dalam setiap sektor  kehidupan, sejak dibudayakan elit Umno lima dekad lalu, dapat dihapuskan segera sebaik pemerintahan bertukar tangan. Begitu juga dengan pelbagai skandal, kecurangan dan ketirisan yang lain? Dalam tempoh singkat, ia amat menuntut dan menagih keazaman politik yang begitu tinggi, serta terpaksa menempuh cabaran dalaman dan luaran yang cukup sengit.

Dr Siddiq Fadzil mengungkapkan fenomena itu dengan baik sekali: "Untuk mengamankan dirinya daripada gugatan, seorang pemimpin korup biasanya akan berusaha agar orang lain juga jadi korup. Apabila semuanya sama-sama korup, maka tidak siapa pun yang akan berani menuding orang lain sebagai korup. Dalam kaitan ini, Ajib Rosidi menyebut bahawa dosa Soeharto sebenarnya tidak hanya melaksanakan korupsi tetapi lebih daripada itu beliau telah membudayakan korupsi dengan membuka ruang agar mereka yang di kelilingnya juga melakukan perbuatan sama. Dengan demikian lahirlah budaya "korupsi secara berjemaah".

Saya sendiri menaruh sedikit syak tentang kemampuan Pakatan merealisasikan janji-janjinya menyelamatkan negara daripada seribu satu penyakit kronik itu. Soalnya, apakah dengan kecurigaan itu membuatkan kita perlu membeku di takuk lama dan membiarkan kemungkaran BN berleluasa?

Tentulah tidak! Kerajaan BN yang memerintah hampir 60 tahun itu, sehingga telah "sempurna" segala kebobrokan dan kejahatannya, wajib ditukar. Hal itu tiada kompromi lagi. Peluang mesti diberikan agar Pakatan -- bersama-sama gerakan rakyat -- menerajui perubahan dan melakukan proses reformasi ke akar umbi.

20120814-034910

Lebih jauh lagi, saya turut mengesan persoalan berbangkit seterusnya, apakah Pakatan perlu menanggung beban dosa pemimpin Umno-BN selama ini, apabila kita turut menghukum lebih awal, dengan andaian (dan sangkaan buruk) pemimpinnya yang bakal berkuasa nanti juga pasti mengulangi kesalahan sama? Tentulah tidak adil sama sekali, 'kan?

Saya dapat memahami, sebahagian kita, yang sudah muak dan jelak dengan jenayah BN mengkhinati amanah kepimpinan ini, mudah pesimis dan seakan-akan menyerah kalah. Pada mereka, sesiapa saja yang menang dalam pilihan raya dan kemudiannya berkuasa, akan melupakan segala janji manis serta kembali kepada tabiat buruk penguasa rakus, seperti rasuah, curang, boros, membazir, pentingkan kroni dan suku-sakat, ego-takbur .... 

Ya, setiap manusia terdedah kepada kelemahan dan kesilapan, terutama mereka yang berada di singgahsana kuasa, termasuk saf kepemimpinan PAS, DAP dan KeADILan. Prinsip perjuangan yang suci tidak semestinya dapat menahan kerakusan dan membentengi ketamakan. Tidak mengapa jika anda rasa perlu terus mencurigai penguasa baru nanti.

Namun, jalan penyelesaiannya mesti ada dan ini telahpun ditawarkan oleh Pakatan. Justeru, siapa pun yang bertakhta, kuasa mesti disekat dan dipisah-pisahkan. Pemerintah tiada lagi kuasa mutlak, dan harus ada faktor semak dan imbang, serta pemantauan langsung rakyat, di samping pemantapan institusi strategik seperti Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya, Jabatan Audit Negara, badan kehakiman dan jaminan media yang independen.

Lord Acton pernah mengingatkan: "Power tends to corrupts and absolute power corrupts absolutely." Montesquiue turut merumuskan: "Apabila seseorang memiliki kuasa yang kuat, maka kecenderungan untuk menyalahgunakan kuasa adalah tinggi. Dengan itu, kuasa mesti dipisah-pisahkan."

Secara umumnya, mana-mana kerajaan yang baru dipilih, bukan sahaja cuba sedaya mungkin mengotakan janjinya, setidaknya bagi menunjukkan kelainan daripada regim terdahulu, malah sukar untuk sewenangnya menyalahgunakan kuasa. Umno yang berkuasa sejak 55 tahun merdeka, begitu arif dengan kelemahan sistem dan ketempangan penguatkuasaan, sehingga dapat (mahir dan cekap) berkomplot  untuk "merampok" kekayaan negara dan melakukan siri pengkhianatan.

Rakyat selama ini hanya dirujuk dan diusung bagaikan raja pada hari mengundi; selepas itu ditinggalkan dan diremehkan. Pakatan menjanjikan tiada lagi gejala elit politik menguasai dan menentukan segalanya buat rakyat. Negara harus dibangunkan dan dikendalikan bersama. Masyarakat sivil akan berkembang. Partisipasi politik bertambah rancak, melibatkan segenap lapisan masyarakat.

Kuasa akan dikawal dari dua arah. Pertama, dari atas, ketundukan dan pengabdian kepada Allah. Kedua, dari bawah, pemantauan berterusan rakyat. Proses pembodohan massa akan dihentikan, sebaliknya berlaku pemerdayaan umat. Rakyat akan dimerdekakan dan seterusnya berlaku proses pencerahan. Cengkaman berbentuk akta drakonian dibatalkan, budaya takut dipecahkan. Aliran maklumat bebas untuk dikongsi. Ilmu dan ilmuwan akan dimartabatkan.

Selagi kedaulatan rakyat diiktiraf, suara ramai didengar, rintihan golongan minoriti dipandang berat, institusi syura diimplementasikan,  ilmu dan kebenaran dihormati, saya percaya sebagai permulaannya ia sudah memadai.

 Satu lagi aspek yang saya lihat cukup istimewa ialah sikap penyokong Pakatan. Mereka sukar untuk digula-gulakan atau dijadikan seperti "lembu kenyang". Latihan perkaderan dan pendedahan selama ini meletakkan mereka begitu sensitif dengan tunas-tunas penyelewengan, salahguna kuasa dan korupsi yang mungkin dilakukan pemimpin Pakatan. Selain berdirinya institusi penguatkuasa yang kompeten, cekap dan berintegriti, rakyat juga akan bertindak untuk menolak penguasa curang.

Lazimnya, mana-mana penguasa tidak akan bersedia secara sukarela untuk dibatasi kuasa dan pengaruh mereka. Rakyat mesti bangun menuntut dan memperjuangkan hak mereka, serta berperanan proaktif untuk merombak sistem dan struktur pemerintahan. Oleh itu, proses reformasi tidak boleh ditangguh sebaik Pakatan berkuasa. Dan ia mesti digerakkan bersama; jangan memberi cek kosong kepada orang politik, apatah lagi kelompok teratas.

Saya cukup yakin, berdasarkan pengalaman tokoh-tokoh utama Pakatan, jiwa besar pemimpinnya, prinsip perjuangan yang teguh, kebijaksanaan membaca realiti, kewarasan berdepan provokasi, insya-Allah negara ini akan melangkah ke era yang lebih baik selepas berlaku perubahan besar dalam PRU13 nanti.

 Ia Rakyat yang berdaulat akan terus memastikan tiada lagi pengkhianatan terhadap mandat majoriti, dan mereka nescaya segera bangkit memperbetulkan  kepincangan sebelum tradisi hodoh BN yang dikuburkan itu tidak mampu bangkit lagi!

No comments: