Wednesday, February 20, 2013

Mengapa kerajaan tak berani usik Cina Pengerang?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

HAMPIR sepanjang perjalanan kami dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru, 8 Februari lalu, diiringi hujan lebat. Dua hari kemudian, Ahad, semasa sarapan pagi bersama AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman dan rakan-rakan aktivis PAS Kulai, di bilik gerakan PRU13 Bukit Permai, hujan turun renyai-renyai.

 Semasa wartawan kanan Harakah, Wan Nordin Wan Yaacob, wartawan Johor, Salman Hussin, jurufoto Wan Zahari Wan Salleh, Mazlan, anak lelakinya dan saya bertolak ke Pengerang, hujan masih belum reda. Malah bertambah lebat apabila kami menghampiri pekan Sungai Rengit.

Anis Afida gadis berani 

Sambil menunggu Pengerusi Gabungan NGO Pengerang, Anis Afida Mohd Azli, kami memesan makanan. Oleh kerana sajian pagi agak berat -- pertama, di Pulai bersama Onn Jaafar, Setiausaha Perhubungan PAS Johor dan kedua, dengan petugas muda yang sedia berkempen untuk Mazlan -- saya memilih mee bandung; sebenarnya juga tidak sesuai untuk penghidap diabetis dan pernah menjadi pembedahan pintasan jantung seperti saya!

Saya perhatikan bandar kecil ini tenang, damai dan menyenangkan. Jauh daripada kesibukan. Suasana hujung minggu agak sunyi, apatah lagi ia hari pertama Tahun Baru Cina. Saya cuba mencari topi atau payung untuk melindungi kepala yang mudah sakit apabila terkena hujan, tapi banyak kedai tutup.

Menghadap ke laut, walaupun dibatasi titisan hujan, saya perasan projek penambakan laut giat dijalankan. Entah kenapa kepiluan segera menerpa. Waktu itu saya belum dimaklumkan masalah sebenar yang mengasak penduduk Pengerang, sekadar beberapa isu asas seperti pengambilan tanah dan masalah alam sekitar ekoran projek Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC).

Namun naluri saya menangkap, ada kepedihan yang tersimpan. sekurang-kurangnya para nelayan terjejas mata pencarian.

Rupanya Anis Afida, aktivis gigih memperjuangkan hak penduduk di sini -- yang saya dengar namanya dari jauh -- masih muda, baru menamatkan pengajian di UTM, Skudai. Awal bicara dengan Anis, terserlah kematangan berbanding usianya, 24 tahun. Lancar dia menjelaskan mukadimah awal isu-isu kritikal yang perlu ditangani.

Penggerak berpotensi 

Alhamdulillah, Pengerang yang tersorok paling bawah di bahagian kanan selatan tanahair, masih mampu membekalkan penggerak berpotensi, wanita pula. Saya bimbang lokasi seumpama itu ketandusan tenaga tempatan, khususnya daripada kalangan anak-anak muda, apatah lagi yang berminat dengan Parti Islam (PAS).

Bayangkan, kerusi Parlimen P157 Pengerang, yang mula terbentuk selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya,  dimenangi Dato Seri Azlina Othman Said tanpa bertanding pada 2004 dan 2008.

Justeru, sekiranya Pakatan Rakyat belum bertapak kukuh di sini, saya dapat faham. Bagaimanapun, di celah-celah bangunan kedai di seberang jalan, ada bendera parti pembangkang berkibar.

Anis menunjuk jalan ke rumah Ah Chai atau nama sebenar, Chua Peng San, di Bukit Buloh, berdekatan Pekan Sungai Rengit, selepas melintasi sungai. Banyak bot nelayan tersadai di muara. Mungkin pandangan itu tiada lagi selepas penduduk dihalau secara terhormat.

Pertama kali berjumpa tapi ramah

Ah Chai memang ramah dan mesra sekali, membuatkan kami, warga Harakah, tidak kekok bila dijemput masuk ke rumahnya. Anis dan Mazlan nampak sudah lama mengenali dan akrab dengannya. Keluarga Ah Chai, terutama isterinya, juga gembira.

"Tahun ini raya tidak berseri, dan mungkin kali terakhir kami sambut Tahun Baru Cina di sini," kata Ah Chai, sambil mempelawa kami menjamah makanan ringan dan biskut, sebahagiannya dapat ditemui pada pagi Aidilfitri.

"Apa pun kita mesti tukar," tambahnya merujuk kewajipan menukar kerajaan dalam PRU13. "Dan saya semalam, waktu makan besar bersama keluarga, saya dah tukar tradisi itu dengan makan di luar bersama rakan-rakan Melayu saya,' ujar Ah Chai, ketawa.

Saya agak kurang senang apabila Ah Chai terpaksa meninggalkan rumah pada tengahari raya pertamanya, untuk membantu kami meninjau kawasan terjejas dengan projek bernilai RM170 bilion, termasuk projek Rapid Petronas, RM60 bilion. Seorang tetamu terpaksa berpatah balik selepas berselisih 100 meter dari rumah Ah Chai.

Mengikut Mazlan, Ah Chai cukup mahir dan masak dengan isu Pengerang, termasuk kedudukan kawasan penempatan yang terbabit dengan projek mega, yang diwarisi sejak 100 tahun lalu. Malah, dalam isu perpindahan kubur orang Islam, dia dikatakan antara yang mula prihatin.

Akan dipertahankan

Anis memberitahu saya, 37 peratus daripada jumlah pelaburan di bawah Program Transformasi Ekonomi Negara disumbangkan daripada pelaburan industri mintak dan gas di Pengerang. Wow! Tentu sekali, ia akan dipertahankan dengan apa jua kaedah, by hook or by crook.

Ia melibatkan saiz seluas 22,500 ekar dengan populasi 28,050 orang. Enam masjid, 11 surau, sembilan kuil, empat sekolah rendah, sebuah sekolah menengan, tiga sekolah Cina, 11 perkuburan Islam dan tujuh bukan Islam terbabit.

Saya difahamkan kawasan perairan yang terbabit memiliki habitat dugong yang merupakan spesis terancam di Malaysia. Udang karanya (lobster) adalah antara yang terbaik di negara ini. Saya perhatikan semasa sampai  tadi, banyak restoran Cina di pekan kecil itu, petanda ramai pelancong dari luar.


Melihat saya bertongkat dan kadang-kadang nampak seperti menahan kesakitan, isteri Ah Chai mencadangkan ubat-ubat Cina sebagai rawatan. Bersungguh-sungguh dia menceritakan bagaimana cara menyediakannya. Saya terharu dengan keprihatinannya.

Ah Chai memandu arah kami ke Tanjung Pengelih. Ada pangkalan TLDM di situ. Sepanjang jalan dia tidak jemu-jemu menghubungkaitkan kampung-kampung yang kami lintasi dengan projek yang bakal dibangunkan.

Produk pelancongan terabai

Hujan renyai-renyai membataskan pergerakan saya. Rupanya Ah Chai mahu menunjukkan kepada kami kesan-kesan sejarah, yang berpotensi sebagai produk pelancongan, termasuk kubu tentera penjajah yang terbiar, berdekatan Pos Imigresen Tanjung Pengelih, salah satu pintu keluar  ke Singapura.

Jalan menyusuri pantai itu mendedahkan kami dengan panorama menarik, walaupun terganggu dengan objek-objek pembangunan yang berceragah di kawasan perairan.

Tiba-tiba saya teringat komen tokoh perniagaan, Dato' Seri Abd Rahman Maidin, yang pernah menerajui Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, terlibat dengan konglomerat terkemuka dan mengasaskan Institut Peduli Rakyat.

Semasa kunjungannya ke pejabat Harakah beberapa bulan dahulu, beliau melontarkan kritikan keras terhadap konsep atau falsafah pembangunan yang diamalkan pihak berkuasa, sehingga banyak berlaku kes-kes rampasan tanah di seluruh negara.

Konsep pembangunan yang meruntuhkan

Rahman menentang cara mudah pembangunan yang menghalau orang Melayu keluar daripada kampung-kampung tradisi. Baginya, itu bukan pembangunan tetapi satu proses meruntuhkan dan memiskinkan kehidupan orang Melayu. Sepatutnya kawasan penempatan dikekalkan tetapi projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Ah Chai bercerita, Rahman selalu berkunjung ke Pengerang dan pernah bermalam di rumahnya. Saya sendiri berasa teruja untuk lebih lama merasai degup jantung masyarakat di sini ... dan tidak cukup sekadar meninjau dalam masa hanya sehari.

Sepanjang perjalanan, nama-nama kampung memikat hati saya, antaranya, kampung-kampung Sungai Kapal, Teluk Empang, Langkah Baik dan Sungai Buntu.

"Siapa lagi yang 'langkah baik' di sini kalau bukan pemimpin-pemimpin BN dan kroni mereka yang lapar projek dan rela menjual kepentingan orang kampung," tingkah saya, melintasi papan tanda jalan Kampung Langkah Baik.

"Dan yang 'buntu' tentulah masyarakat bawahan, yang dipaksa berpindah dan menjual tanah dengan harga murah," tambah saya, sambil ketawa kecil.

Eksploitasi melampau

Sesungguhnya majoriti pemimpin Umno, termasuk di peringkat bahagian dan cawangan, berdasarkan pengalaman saya membongkar beberapa kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah, tidak dapat lari daripada terjebak dengan manipulasi dan eksploitasi melampau terhadap rakyat yang jahil dan tidak berani bersuara.

Justeru, saya tidak menolak kemungkinan dakwaan bahawa dalam proses pemindahan kubur di Pengerang pun terselit elemen rasuah dan transaksi yang meragukan. Sudahlah pengebumian semula jenazah dibuat secara tergesa, dalam keadaan daif dan menimbulkan fitnah.

saya tidak dapat menyaksikan dari dekat situasi menyedihkan di kawasan perkuburan baru di Kampung Punggai disebabkan laluan becak dan berselut. Apa pun, ia tidak menghalang saya daripada mengesan proses penambakan yang tidak mengambil kira faktor perubahan cuaca.

Namun begitu, elit penguasa yang hanya memikirkan keuntungan untuk diri dan suku-sakat, serta menyamar di sebalik projek pembangunan, termasuk di Pengerang, beruntung memandangkan kebanyakan penduduk Melayu masih bermentaliti "apa saja daripada kerajaan harus dipatuhi". 

Saya tertanya-tanya, mengapa reaksi masyarakat Tionghua lebih lantang, berani dan bersedia menanggung risiko. Paling penting mereka seperti bersatu hati dan berpadu dalam mengatur gerakan penentangan.

Kubur mereka bukan saja tidak (berani) diusik malah semakin terpelihara dan terjaga.

Saya kira, bukan saja di Pengerang, malah di mana-mana pun, sekiranya kawasan penempatan atau kepentingan mereka terjejas, yang akhirnya terpaksa juga berpindah, pampasan yang diterima jauh lebih tinggi.

Petang Ahad itu, selesai menziarahi kubur yang dipindahkan, dan ditunjukkan kawasan lapang yang cukup luas, berdekatan rumah agam Azalina, yang sebenarnya bagi penduduk, lebih sesuai dibangunkan, walaupun berdepan Laut China Selatan,  saya agak resah dan gelisah memikirkan jalur pemikiran bangsa sendiri.

Anjurkan pemberontakan

Bukanlah kita mahu menganjurkan pemberontakan atau penentangan membabi-buta terhadap projek pembangunan, serta berkeras tidak mahu berpindah tanpa alasan kukuh.

Pertahankan hak dan berani berhujah menyanggah daleh bodoh yang tidak masuk akal. Jangan hinakan diri sendiri dengan meletakkan "harga yang cukup murah". Cukuplah selama ini aset dan kepentingan kita diperdagangkan.

Terngiang-ngiang lagi kata-kata seorang tua yang menyapa kami ketika menziarahi kawasan perkuburan yang telah dipindahkan. "Apa boleh kita buat, ikut ajalah kehendak orang berkuasa," begitulah lebih kurang maksudnya.

Ketika kami bertolak balik ke Kulai, hujan mencurah dengan lebat. Saya masih teringat anak mata Ah Chai yang merah mengiringi kepulangan kami. Dia nampak sebak dan terharu. Ya, Pengerang sememangnya sudah lama menangis.

"Terima kasih banyak," kata saya, ringkas sebelum pamit. "Saya sepatutnya mengucapkan terima kasih kerana Harakah sudi datang membuat liputan di sini," sambut Ah Chai.

Semasa Wan Nordin memandu perlahan dan berhati-hati  keluar dari Sungai Rengit, saya berazam dalam hati: "Pengerang, tunggu aku akan datang lagi." 

 

Baca Seterusnya......

4 hari tinjau politik Johor; saingan sengit, semangat luar biasa

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Mulanya saya bercadang ke Johor setakat dua hari. Bertolak pagi Jumaat, singgah sekejap di UKM, Bangi, berjumpa Dr Nidzam Sulaiman, menyiapkan wawancara sekitar isu-isu berkaitan PRU13 dari sudut pandang sarjana sains politik,  dan balik Kuala Lumpur esok petangnya.

 Hari Ahad sudah dirancang program bersama keluarga. Dan terpaksa bertugas pada cuti Tahun Baru Cina pada Isnin dan Selasa. Bagaimanapun, Johor berjaya menambat kaki saya sehingga pagi 11 Februari.

Hasrat awal saya sekadar  bertemu dan berbincang dengan seorang dua pimpinan PAS Johor, khususnya Pesuruhjaya Negeri, Dato' Dr Mahfodz Mohamad. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman, mudah diajak bersembang di pejabat Harakah, Jalan Pahang.

Selain mendapatkan sudut pandang langsung aktivis akar umbi, naluri saya terdorong untuk merasai debar dan getar suasana sebenar di lapangan. Johor, yang pernah menyaksikan kekalahan teruk sehingga hilang wang pertaruhan calon-calon PAS, kini menjadi tumpuan ramai pemerhati.

Apabila mengetahui saya turun Johor Bahru, empat lima rakan-rakan tidak sabar-sabar bertanya  soalan, hampir sama: "Pakatan boleh menang? Macamana mood rakyat Johor?" Seorang sahabat lebih prihatin dengan kecenderungan mengundi masyarakat Melayu -- yang dilihat sebagai faktor penentu siapa menerajui Nusajaya -- selepas kaum Tionghua "berpatah arang" dengan BN.    

Daripada sebuah negeri yang dikenali kubu terkuat Umno dan langsung tidak terusik kekuatannya walaupun ketika negara digoncang kuat gelombang reformasi pada 1998-99, Johor selepas PRU12 bertukar menjadi medan sengit buat BN dan Pakatan meraih sokongan rakyat.

Berbekalkan jumlah kerusi Parlimen yang agak besar, iaitu 26, yang semuanya sekarang dikuasai BN kecuali satu, maka perubahan sokongan pengundi Cina, kelas pertengahan dan generasi muda dilihat satu kelebihan besar buat Pakatan dalam "roadmap" ke Putrajaya, selain memastikan Nusajaya (pusat pentadbiran negeri) juga bertukar tangan.


Setiausaha Perhubungan PAS Johor, Onn Jaafar menyambut saya, wartawan kanan Wan Nordin Wan Yaacob dan jurufoto Wan Zahari Wan Salleh, di bilik gerakan PRU13 Parlimen Pulai, Taman Munshi Ibrahim, Johor Bahru. Salahuddin menunggu kami di bilik atas.

Salahuddin yang dijangka bertanding Parlimen Pulai dan Dun Nusa Jaya kelihatan menyimpan keyakinannya. Bicaranya tenang, menjelaskan kerencaman politik Johor dan harapan tinggi rakyat untuk melihat perubahan.

Beliau mahu saya menyelami isu-isu kritikal yang menyentuh sekali gus menekan kehidupan seharian bukan saja penduduk sekitar JB tetapi juga seluruh negeri. Sepintas lalu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menyentuh persoalan kenaikan harga barangan, masalah pemilikan tanah, saingan hebat daripada orang luar, gejala sosial termasuk isu keselamatan.

Ketika mengiringinya -- setakat dua tiga kedai sahaja kerana keletihan -- untuk mengagihkan buah limau di Taman Universiti, Skudai, saya dapat mengesan reaksi positif masyarakat Cina terhadap Salahuddin.

"Sambutan lebih hebat diberikan kepada Salahuddin dalam majlis-majlis makan malam sebelum ini," kata Onn. "Saya sendiri saksikan orang Cina meraikannya bagaikan seorang MB baru. Mereka ternyata menaruh harapan dan keyakinan begitu tinggi kepada Salahuddin. Apa pun, fokus kita di Johor masih pengundi Melayu, bukan saja di Felda dan kampung tradisi, malah di kawasan bandaraya seperti JB ini, terutama kawasan terpinggir," tambahnya.

Esoknya, Sabtu, kami ke Pejabat PAS Kawasan Simpang Renggam. Onn memberitahu, ada pertemuan Dewan Harian PAS Johor dan kami boleh mengadakan wawancara dengan Dr Mahfodz seusai  mesyuarat. Dijangkakan ia berakhir sekitar jam 12 tengahari tetapi terlajak menjelang Zuhur.

Sementara menunggu selesai mesyuarat, saya berbual-bual dengan dua aktivis parti setempat. Rupanya mereka cukup mengambil berat perkembangan Harakah dan nampak seronok memberi komentar bagaimana kami seharusnya menyorot sesuatu isu.

Saya tertarik dengan pandangan tajam "di luar kotak" seorang penggerak PAS kawasan, seorang pesara kerajaan, yang pernah bertugas selama 23 tahun di Kelantan. "Saya mungkin berbeda dengan orang lain, tapi yang penting PAS di Johor ini, perlu pendekatan lebih segar,  lebih berani, proaktif,  jangan malu-malu lagi, biarlah kalau orang nak kata kurang ajar pun," tambahnya, dengan nada penuh yakin.

Ditanya persepsinya mengenai sambutan rakyat Johor terhadap PAS, beliau berkata: "Saya tak pandai mentafsir. Cuma, kepada petugas parti, tidak ada segan silu berlebihan macam dulu. Kami seronok buat kerja, yakin dengan diri sendiri. Suasana meriah, sama-sama pasang poster, sediakan tempat ceramah.

"Kalau dulu kita takut-takut berkempen, sekarang tidak lagi. Ibarat pasukan bola, kita bersedia berlawan dengan siapa saja. Sebaliknya, penyakit kita dulu, yang segan-segan dan malu-malu untuk ke depan, sudah beralih kepada orang Umno. Kita bukan dikongkong psikologi orang kalah lagi, Alhamdulillah. Harapnya Harakah dapat menyiarkan bahan-bahan yang mampu menyemarakkan semangat petugas-petugas parti."

Kami kemudian diajak ke majlis kenduri penyokong PAS, Daud Ithnin. Rumahnya tidak jauh. Kami menumpang kereta Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda Negeri, yang dijangka bertanding Parlimen Simpang Renggam. Kata Suhaizan, hari itu saja dia mendapat enam undangan majlis kahwin.  

Wawancara dengan Pesuruhjaya Dr Mahfodz cukup menarik. Naib Ketua Dewan Ulama Pusat, yang juga Ahli Majlis Syuara ini bersuara perlahan dan teratur tetapi penuh yakin.

Beliau menitipkan pesanan kepada anggota parti agar lebih gigih berusaha, menyusun gerakerja dan jangan tunggu sehingga Parlimen dibubarkan. Dr Mahfodz berkongsi harapan; daripada 29 Dun yang ditandingi, sasarannya 17 kerusi. Di peringkat Parlimen, katanya, daripada lapan kerusi yang ditandingi, tiga kerusi menjadi tumpuan, iaitu Pulai, Simpang Renggam dan Ayer Hitam.

Bekas tokoh akademik, yang kini menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), begitu teliti untuk menzahirkan keyakinannya terhadap kemenangan Pakatan di Johor.

"Asas sokongan kita masih orang Melayu, kita perlu mendekati mereka dengan ikhlas, memang ada kesukaran terutama di kawasan Felda dan Felcra, tapi kita mesti giatkan gerakerja," ujarnya.

"Kita ada bincangkan hal ini dalam mesyuarat Dewan Harian tadi, bagaimana untuk mengatasi kelesuan di tempat tertentu," tambah Dr Mahfodz. 

Jam 3 petang, kami bergegas ke Parit Yaani, Batu Pahat, menjenguk kawasan yang bakal ditandingi Timbalan Pesuruhjaya I, Aminolhuda Hassan. Hujan lebat menyambut kami.

Pertemuan diatur dengan penduduk Kg Mohd Noor, yang berdepan dengan "projek sampah" Bukit Payong. Asalnya mereka penyokong tegar Umno. Sejak merdeka, parti pembangkang tiada ruang di sini.

Kesetiaan terhadap Umno tidak dihargai. Bantahan penduduk tidak dipeduli. Malah, wakil rakyat yang diberi kepercayaan bertindak menghina mereka.

Abang Utuh atau nama sebenar Abd Samad Saharan belum balik daripada rawatan dialisis ketika kami sampai. Bendera PAS dan KeADILan berkibar sepanjang lorong ke rumahnya.

Anak beliau, Mohd Nazreen, mesra mempersilakan kami masuk. Nazreen, yang lebih dikenali sebagai Black masih Timbalan Ketua Pemuda Cawangan Umno kampungnya, tetapi bertindak nekad menyuarakan keresahan penduduk, termasuk di atas pentas Pakatan.

Abd Samad menjelaskan sebab penentangan terhadap pfojek pelupusan sampah Bukit Payong, yang bakal menyumbangkan bau busuk dan pencemaran udara, selain masalah lalulintas daripada lori berulang ali membawa lebih 600 tan sampah setiap hari.

"Kalau diteruskan juga projek sampah ini, mungkin akan bermula Arab Spring di Batu Pahat ini," katanya. Walaupun kami ketawa mendengarnya, saya yakin Abang Utuh mahu menunjukkan beliau dan penduduk serius mempertahankan hak.

"Kalau Mohamad Sabu dapat datang ke sini, cukup baik sekali. Kita gotong-royong buat kenduri. Lebih baik kalau Anwar Ibrahim turut sama, sekurang-kurangnya dapat makan tengahari di rumah saya," harapnya ikhlas.

Abd Samad pernah menjadi Ketua Cawangan Umno selama 25 tahun, dan timbalan ketua, 9 tahun. Beliau menubuhkan Umno cawangan Kg Mohd Noor pada 1974. Dilantik ketua kampung daripada tahun 2004-2009.

Saya perhatikan mereka dua beranak begitu menghormati Aminolhuda, seolah-olah sudah kenal lama. Sebelum pulang, saya hadiahkan buku Detik Utopia buat mereka, di samping memberi  jaminan untuk sama-sama menyokong bantahan penduduk.

Pagi Ahad, hari pertama Tahun Baru Cina, dari JB, kami bertolak ke Kulai, bilik gerakan PRU13 Dun Bukit Permai. Mazlan Aliman, Yang Dipertua PAS kawasan, Hisham Zin dan hampir 20 petugas parti sedia untuk bersarapan sekali.

Tidak boleh menunggu lama, walaupun teruja untuk menyelami pengalaman aktivis akar umbi, kami memburu masa ke Pengerang, ditemani Mazlan.

Lokasi paling selatan di timur Johor itu memang mendamaikan terutama dalam keadaan hujan renyai. Pekan Sungai Rengit memikat hati saya, apatah lagi apabila menyusuri jalan pantai ke Tanjung Pengelih. Pemandangan cukup cantik.

Apa pun saya tidak dapat melupakan hati budi dan keramahan Bendahari Gabungan NGO Pengerang (GNP), Chua Peng San atau lebih popular dengan panggilan Ah Chai.

Dari tengahari ke malam, pada hari raya Cina -- dan beberapa tetamunya terpaksa pulang hampa --  dia mengiringi kami ke tempat strategi, dari kubu tentera Jepun ke perkuburan Islam yang dipindahkan, meninjau jirat Cina yang masih dapat dipertahankan, melihat keunikan hubungan muhibbah di antara penduduk Melayu dan Tionghua yang bukan saja berjiran tetapi saling menumpang tanah.

Cukup serasi sekali hubungan anak gadis lulusan UTM,  Anis Afida Azli, yang juga Pengerusi GNP, yang dianggap seperti anak angkat keluarga Ah Chai.

Saya akan merakamkan pengalaman seharian bersama Ah Chai dan Anis di bumi Pengerang yang kini menangis, dalam keluaran Harakah akan datang. 

 

Baca Seterusnya......

Harapan rakyat Pahang, Tuan Ibrahim dan ketakutan Dr M

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Kekuatan dan pengaruh PAS di Pahang memang berakar sejak lama. Ia ditandai dengan kemenangan enam kerusi Dun pada 1999, di kawasan majoriti pengundi Melayu, atas persefahaman Barisan Alternatif.

 Lebih manis diingati, pilihan raya yang menyaksikan protes dan amarah terbuka orang Melayu kepada Umno itu,  menyebabkan calon PAS hampir menang di Pekan dan Temerloh, dibedakan hanya sekitar 200 undi, walaupun berdepan tokoh-tokoh besar BN, termasuk Dato' Seri Najib Razak.

Sebelumnya, negeri berkeluasan paling besar di Semenanjung itu kerap menerima guru-guru yang "dibuang daerah" disebabkan pendirian politik pembangkang.

Pagi Rabu, 30 Januari lalu, meskipun badan masih lenguh dan penat berkunjung ke Melaka, saya bersama wartawan kanan, Wan Nordin Wan Yaacob dan jurugambar Nasir Sudin, ke Pejabat Perhubungan PAS Pahang di Temerloh.

Sedia menunggu, Pesuruhjaya PAS Negeri, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man. Mengetahui saya di bawah pejabatnya, dan perlu mengambil nafas sebelum mendaki tangga, Tuan Ibrahim segera turun mengajak sarapan. Turut bersamanya, Setiausaha Perhubungan, Roslan Zainal dan Pengarah Pilihan Raya Negeri, Abdul Majid Hassan.

Saya perhatikan suasana pejabat perhubungan di Jalan Datuk Bahaman itu kemas dan rapi, dengan kakitangan yang mudah mesra. Petunjuk awal PAS Pahang sudah bersedia menghadapi saingan getir di negeri kelahiran Perdana Menteri,

Sememangnya Tuan Ibrahim mempunyai aura tersendiri, kelihatan tenang dan menyenangkan. Hatta di luar lingkungan parti, Ketua Penerangan PAS Pusat ini kelihatan dekat serta mesra dengan rakyat, malah hubungannya dengan pihak istana sendiri dikatakan rapat.

Saya menyedari tugasnya cukup besar dan amat mencabar. Mungkin ramai pemerhati politik melihat Pahang bukan lagi sebuah negeri sasaran untuk dimenangi dalam PRU13. Bagi mereka, era gemilangnya pada 1999, agak sukar dipertahankan, apatah lagi untuk ditingkatkan jumlah penguasaan kerusi.

"Jika Pakatan menang Putrajaya, Pahang rasanya masih ditawan BN," kata seorang teman sepengajian, yang tinggal di Kuantan. "Baguslah kalau macam itu, rakyatnya akan dijaga oleh dua kerajaan berbeda," usik saya. 

Riak wajah Tuan Ibrahim yang jernih melambangkan kesediaan beliau bersama rakan-rakan pimpinan PAS Pahang lainnya, bukan sahaja untuk menyerap harapan (sekali gus tekanan) tinggi rakyat, malah membuktikan sejarah juga mampu dicipta dalam PRU13, di negeri yang pernah melahirkan ramai pejuang kemerdekaan itu.

Saya kira cukup sedikit rakan-rakan yang berani dan optimis membuat unjuran bahawa Pahang dapat dimenangi Pakatan. Malah ada yang lebih yakin dengan kemampuan rakyat Johor untuk menukar kerajaan. "Mungkin Melaka lebih awal menang berbanding Pahang," kata seorang penganalisis pilihan raya semasa membentangkan kajiannya di Masjid Tanah, Melaka.

"Saya tidak melihat faktor Najib sebagai kekuatan akar umbi yang sukar disanggah," kata seorang pensyarah politik, "tetapi lebih bimbang dengan majoriti pengundi Melayu di kampung-kampung tradisi. Mereka mungkin kurang terdedah dengan maklumat, menyebabkan terikat kepada saluran rasmi, dan dipisahkan jauh antara satu sama lain."  Sememangnya kawasan-kawasan mengundi di Pahang cukup luas.

Ketika pengkaji melihat komposisi kaum, dengan merujuk jumlah pengundi Cina sebagai ramuan terbaik meramalkan petunjuk keputusan pilihan raya, Pakatan Pahang mungkin tidak mempunyai kelebihan itu. Apatah lagi PAS yang secara tradisinya bertanding di kerusi majoriti Melayu.

Lima tahun lalu, PAS yang diamanahkan bertanding paling banyak kerusi Dun, hanya menang dua, di kawasan pinggir bandar, dengan masyarakat lebih terbuka, iaitu Kuala Semantan (Temerloh) dan Baserah (Kuantan).


Saingan sengit dan cabaran terbesar, dalam konteks Pahang, masih di kawasan-kawasan penempatan Felda. Kebanyakan daripada 21 kerusi Dun -- separuh daripada keseluruhan 42 -- yang bakal ditandingi PAS mempunyai pengaruh signifikan Felda.

Saya difahamkan hampir 40 peratus pengundi di Pahang datang dari kawasan Felda. Dengan perisytiharan perang terbuka pengurusan Felda terhadap Pakatan Rakyat, termasuk menghalang penganjuran ceramah politik pembangkang di tanah rancangan sehingga PRU13, cabaran untuk menjelaskan isu-isu semasa kepada pengundi Melayu bertambah hebat.

Semasa makan tengahari nasi Arab, kami bersembang ringkas isu-isu kritikal Felda dengan Pengerusi Anak, Mazlan Aliman, yang kebetulan singgah di Pejabat Perhubungan PAS Pahang. Saya agak terkilan kerana tidak dapat berbual panjang dengan Mohd Harris Abdullah, peguam yang banyak memperjuangkan isu-isu berkaitan Felda. Hanya sempat bersalaman semasa kami berbincang dengan Tuan Ibrahim.

Namun, Roslan Zainal nampak lebih yakin: "Memang cabaran kami lebih sengit berbanding negeri lain, tetapi saya percaya, jika jentera kempen dapat menyampaikan mesej dengan berkesan, dibantu isu-isu yang banyak menyebelahi kita, khususnya masalah tanah, ditambah persefahaman Pakatan Rakyat yang jitu, Pahang juga akan bersama arus perubahan nasional."

"Sasaran kita adalah 12 kerusi, dan dibantu pencapaian rakan-rakan dalam DAP dan KeADILan, saya kira, insya-Allah Pakatan dapat menang dengan majoriti mudah di Pahang, iaitu sekurang-kurangnya 22 kerusi," tambahnya, sambil mengimbau kerjasama erat sesama oposisi sejak lama dulu.


Tuan Ibrahim sempat menceritakan keistimewaan hubungan antara PAS dengan KeADILan, apatah lagi DAP. "Semasa DAP keluar Barisan Alternatif pada tahun 2001, tetapi DAP Pahang tetap kekal bersama, itulah yang uniknya. Jadi DAP tak perlu masuk balik pada 2008 sebab ia tak pernah keluar," jelasnya sambil ketawa kecil.


Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, kami diajak bertemu penduduk berdekatan bandar Temerloh, mendekati masalah berlarutan tentang pemilikan flat kos rendah dan kemungkinan terpaksa berpindah ekoran projek pembangunan bakal melanda kawasan kediaman mereka.

Rupa-rupanya karenah Umno-BN ini sama sahaja di mana-manapun; sebahagian pimpinannya licik beraksi sebagai broker tanah yang mengharapkan komisyen tinggi! Menggunakan daleh "pembangunan", penduduk  mudah diusir keluar, dan ditempatkan semula di sudut atau penjuru tertentu, dengan nilai pampasan yang rendah dan lokasi pemindahan tidak strategik.

Berteduh di bawah pepohonan rimbun dekat kelompok rumah pangsa berkenaan, Tuan Ibrahim yang turut bersama kami kelihatan mesra dengan penduduk terlibat dan prihatin mendengar luahan hati mereka.

Saya yakin, bukan hanya penghuni di Taman Damai, Temerloh itu sahaja yang menggantung harapan kepada Tuan Ibrahim dan pemimpin Pakatan Rakyat Pahang, malah seluruh warga Darul Makmur menaruh keyakinan yang sama, agar babak baru yang lebih gemilang, sejahtera dan adil dapat dikongsi.

II.

Sukar dipastikan sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad benar-benar serius dengan kenyataannya pada 31 Januari lalu atau seperti hanya bersifat sinikal atau sindirin halus, seperti lazimnya.
  
Bekas Perdana Menteri itu berkata, Pakatan Rakyat akan bertindak terhadap pesaing politiknya sebaik sahaja mereka berkuasa.

Katanya, mereka akan mengambil tindakan terhadap orang yang tidak baik dengan mereka atau yang mereka rasa tidak baik dengan mereka.

Dr Mahathir menambah, terdapat desas-desus bahawa kerajaan persekutuan yang dikuasai Pakatan, akan menangkap orang seperti itu, termasuk dirinya sendiri.

Ujarnya, ada yang mengatakan beliau harus meninggalkan Malaysia sebelum keputusan PRU13 diumumkan.

"Perkara pertama yang mereka (Pakatan) akan lakukan (apabila berkuasa) ialah menutup semua lapangan terbang supaya tidak ada pesawat persendirian boleh berlepas," katanya.

Apa pun, daripada kenyataan Mahathir itu, dan juga penekanan Najib yang sering mengingatkan bahaya pertukaran kerajaan, saya kira kedua-duanya memang risau, bimbang dan takut dengan keputusan PRU13.

Mahathir seperti mahu menggambarkan sikap negatif pemimpin Pakatan, terutama Dato' Seri Anwar Ibrahim, selepas berkuasa nanti, yang bakal membalas dendam dan bertindak di luar batas undang-undang.

Sekali gus beliau mahu menghantar mesej bahawa Malaysia di bawah pentadbiran baru Pakatan akan bertukar huru-hura, rusuhan tercetus di sana sini, ekonomi merudum, pelabur takut dan pelancong larii. Mudah kata, anarkis.

Bukankah Mahathir juga yang membayangkan akan berlaku suasana tidak stabil jika BN kalah dalam PRU13?

Sedangkan, antara isu-isu asas yang sering ditimbulkan Pakatan ialah kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara yang independen, dan pihak keselamatan -- khususnya pasukan polis --  yang profesional, tanpa mudah dipengaruhi elit politik.

Ataupun mungkin Mahathir sendiri sering diganggu mimpi ngeri memandangkan kezaliman yang pernah dilakukannya  semasa berkuasa dahulu, bukan hanya kepada Anwar, yang diaibkan dengan seribu satu cara, tetapi juga mangsa yang dianiayainya, seperti bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas.

Tidak mustahil juga kerisauannya terhadap nasib dan masa depan anak-anak beliau, yang kini kaya-raya membolot khazanah negara. Mahathir tentu arif dengan kesalahan sendiri, sepanjang 22 tahun menerajui negara, menjadikan Malaysia seperti milik personalnya.

Jika beliau pernah bertindak ganas kepada orang lain, tidak semestinya mangsa kezaliman Mahathir akan bertindak serupa. Undang-undang tetap dihormati.

Anwar sendiri kerap mengulangi, beliau dapat memaafkan walaupun sukar melupakan. Namun, kata Anwar, setiap wang rakyat yang dirompak akan dikembalikan semula kepada yang berhak.

Mahathir, Najib dan sekutunya usah gelabah. Negara ini mempunyai begitu ramai tenaga baru yang berkebolehan untuk memimpin dan mentadbir dengan lebih baik lagi. Cubalah berfikir secara rasional dan terbuka.

Mungkin Mahathir melihat pemansuhan ISA sebagai rahmat terselindung kepada pemimpin Umno-BN yang korup dan menyeleweng, iaitu mereka tidak akan dikurung tanpa bicara jika Pakatan berkuasa nanti.

Walhal sebenarnya, yang dipentingkan ialah keadilan harus meliputi semua orang, tidak terkecuali. Proses pendakwaan ke atas mereka yang disyaki bersalah dibuat secara telus, tanpa campur tangan politik.

Kezaliman, termasuk membalas dendam, adalah perbuatan terkutuk yang mesti dihindari sejauh-jauhnya. Rupanya Mahathir masih terkepung dengan corak pemikiran penguasa yang keras dan dominan, sepertinya dahulu.

 

Baca Seterusnya......

Friday, February 8, 2013

"Saya harap tiada kejutan keputusan PRU13!"

Oleh Ahmad Lutfi Othman

TIDAK sampai sebulan lagi kita akan menyambut ulangtahun kelima tsunami politik Mac 2008. Sejak merdeka rakyat negara ini tidak berkesempatan merasai tempoh Parlimen yang begitu lama.

Lim Kit Siang menyifatkan Najib Razak mencipta rekod kerana menjadi Perdana Menteri paling lama tanpa mandat yang diperolehinya sendiri, lebih lama daripada empat PM sebelumnya, sebelum mereka mendapatkan mandat sendiri selepas mengambil alih tampuk pemerintahan.

Tiba-tiba saya terkenang tajuk muka depan Harakah keluaran pertama tahun baru, “2008 TAHUN TUKAR KERAJAAN”.

Saya bukannya peramal politik, dan rasanya tiada siapa menduga akan berlaku peralihan kuasa di peringkat persekutuan, memandangkan rekod Abdullah Ahmad Badawi dalam pilihan raya sebelumnya, 2004, begitu menakjubkan.

BN meraih 64 peratus undi popular dan menguasai lebih 90 peratus kerusi Parlimen. Saya menerima teguran, termasuk dari pimpinan parti, kerana memilih tajuk “seberani” itu. Ada yang menyifatkannya sebagai kesilapan strategi kerana boleh mengundang rasa cuak pengundi untuk memilih PAS. “Tahap ini kita perlu pamerkan wibawa sebagai pembangkang yang kuat dan berkesan dulu,” kata seorang darinya.

Minggu lalu, saya cuba mendapatkan pandangan rakan-rakan terhadap begitu banyak kaji selidik dan ramalan keputusan PRU13.

Sebahagian mereka menjangka laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya semakin cerah walaupun pemerhati bebas melihat cabaran hampir seimbang, dengan jumlah “pengundi atas pagar” bertambah ramai.

“Aku malas nak fikir siapa pemenang, tapi aku yakin Umno-BN tiada masa depan lagi, sudah tak boleh diubah,” ujar seorang editor kanan akhbar. “Lebih senang membayangkan bagaimana Malaysia di bawah Pakatan nanti, terutama nasib media arus perdana.”

Saya juga sempat berbicara dengan Prof Dr Redzuan Othman, Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, UMCEDEL, yang popular dengan servei isu dan kecenderungan pengundi menjelang PRU13 (kajian lapangan pada 26 Disember 2012 hingga 11 Januari 2013).

Beliau menarik perhatian saya terhadap kecenderungan mengundi wanita, yang dilihat lebih memihak BN, khususnya membabitkan wanita Melayu dan yang berpendidikan SPM ke bawah. Bukan saja program transformasi Najib mudah memikat hati mereka, serangan tohmahan negatif kepada pembangkang juga dipercayai.

Sokongan masyarakat India terhadap Pakatan turut dikatakan merosot dan ia boleh menggugat kemenangan di negeri tertentu. “Satu lagi isu besar ialah sumber maklumat, masih ramai bergantung kepada Utusan Malaysia dan TV3,” katanya. Segera saya teringat kekhuatiran bekas Menteri Penerangan, Kadir Sheikh Fadzir, yang kerap berpesan agar keberkesanan penyebaran informasi harus dipertingkatkan.

Mengulas perkembangan sama, seorang profesor politik berkata: “Politik cukup dinamik sifatnya.

Kajian-kajian tersebut mungkin terpakai waktu itu, tapi ia akan terus berubah. Setakat ini, trend menunjukkan semakin hari perubahan itu menguntungkan Pakatan. Apa pun, kalau esok PRU13, survei hari ini pun boleh berubah lagi.”

Bagi saya, peningkatan jumlah pengundi yang “belum membuat keputusan”, seperti didedahkan dalam banyak kaji selidik, merupakan cabaran terbesar agar gerakerja yang tepat dan bersesuaian dilipatgandakan.

Ia juga satu petanda bahawa kredibiliti calon akan diberi perhatian besar oleh pemilih, khususnya generasi muda atau yang baru pertama kali mengundi.

Selasa lalu, semasa sarapan pagi di sebuah restoran mamak di Bandar Baru Ampang, seorang penyokong tegar PAS menekankan: “Kerja jahat Umno bersama SPR untuk menafikan kemenangan Pakatan hanya satu peringatan supaya kita lebih tekun dan tak ambil mudah. Kita harus berhati-hati, operasi mereka mungkin tidak seperti yang kita jangkakan.”

Rakannya, bekas guru memandu, mencelah: “Kita mesti menang, bang. Teruk sangat Umno ini. Punah negara kalau dibiarkan. Macam saya, lima anak bersekolah, susah ....”

Saya segera membayangkan bagaimana jutaan rakyat kini menaruh harapan tinggi kepada Pakatan, bukan saja untuk menang PRU13 tetapi lebih penting lagi, dapat memenuhi impian mereka, memperbaiki kualiti kehidupan dan menyelesaikan masalah yang bertimbun.

“Calon kita mesti disaring betul-betul. Dugaan bila menang nanti hebat dan dahsyat. Jangan jadi macam wakil rakyat Umno. Rakyat bukan hanya menyumpah seranah kita tetapi mereka akan bangkit berontak kalau dikhianati.”

Tersentak saya mendengar luahan hati penyokong akar umbi itu.

Dalam pada itu, pesanan Naib Presiden PAS, Husam Musa, kepada lebih 1,000 petugas pilihan raya seluruh negara dari kawasan-kawasan yang bakal ditandingi PAS, perlu dilaksanakan.

Katanya, PAS berada dalam tempoh berpantang sebelum PRU13 dan dalam tempoh kritikal itu. pemimpin dan ahli-ahli tidak boleh melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat.

“Kalau orang perempuan berpantang selepas bersalin, kita berpantang sebelum bersalin. Kandungan kita ialah harapan perubahan rakyat Malaysia. Jadi sewaktu berpantang ini, kita tidak boleh melakukan satu pun kesalahan,” katanya.

Ya, banyak pihak mengakui, kemenangan bakal diraih oleh parti atau calon yang paling minimum melakukan kesilapan. Sebarang kesalahan kecil, termasuk di peringkat paling bawah, boleh dimanipulasi khususnya oleh media yang menjadi perkakas BN.

Bukankah Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri, dalam pengakuannya kepada European Muslim Election Comittee, 5 Februari lalu, bahawa media Malaysia menjadi “alat kerajaan” (sebenarnya parti pemerintah) terutama kempen semasa pilihan raya?

Patutlah penarafan media dalam kajian persepsi Reporters Without Border bagi tahun 2011/2012 meletakkan Malaysia di kedudukan ke-122 daripada 179 negara, setaraf dengan Algeria dan Tajikistan, tetapi lebih buruk daripada Zimbabwe, Oman, Fiji dan Kemboja.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST, A Kadir Jasin menulis: “Penarafan Malaysia tidak menjadi bertambah baik kerana sejak cakap-cakap PRU13 timbul, media massa arus perdana kembali membuat laporan berat sebelah menyokong kerajaan dan memburuk- burukkan pembangkang.”

Kalau pada awal 2008, tiada siapa berani menjangka pembangkang boleh menang besar, kini selepas lima tahun, tajuk seperti yang saya pilih itu bukan kejutan lagi. Dan saya pun tidak mahu mendengar berita yang mengejutkan selepas PRU13 nanti. Biarlah apa yang dijangka menjadi kenyataan ...

Baca Seterusnya......

Ubahlah, usah tangguh lagi, jangan takut ugutan!

Oleh Ahmad Lutfi Othman 

Majoriti rakyat Malaysia amat mendambakan perubahan. Dan hasrat itu tidak boleh ditangguh lagi. Menunggu lebih lama hanya memburukkan situasi, menyeret negara ke kancah kemusnahan dan menyukarkan usaha pembaharuan nanti, selain memakan kos lebih mahal.

Satu demi satu masalah bertindan-timbun. Negara dikepung krisis dan konflik. Pemimpin lebih memikirkan soal kepentingan diri, kelompok, kroni dan suku-sakat.

Kalau ada pun perubahan, ia semata-mata demi meraih simpati dan sokongan politik. Segalanya kosmetik. Misalnya, pemberian bantuan 'one-off' yang dipopularkan Najib Razak, mungkin difaktorkan janji-janji Pakatan Rakyat sendiri, melalui Buku Jingga.

 

Susun semula ekonomi 

Dr Mohamad Agus Yusof pernah mengulas: "Tawaran mana-mana parti berbentuk 'one-off' hanya sekadar gula-gula sementara kepada rakyat. Saya kira dasar seperti itu tidak adil pada ekonomi negara yang memerlukan banyak wang untuk membayar hutang luar dan menyediakan pembangunan fizikal kepada rakyat. Saya harap selepas PRU13, dasar ekonomi negara dan sistem percukaian negara perlu disusun semula supaya kerajaan boleh berlaku adil kepada kepada rakyat mahupun ekonomi negara."


Sebenarnya tsunami politik lima tahun lalu, yang hampir mengheret BN ke posisi pembangkang, langsung tidak pernah memberi iktibar kepada pemimpinnya, malah rakyat terus disogok dengan "rasuah yang dihalalkan undang-undang". Isu integriti dan penyalahgunaan kuasa pemimpin BN yang begitu menarik perhatian pengundi tidak pula dipandang penting pemerintah. Hutang negara berlipatganda. Kebajikan masyarakat bawahan dijadikan komoditi untuk mendapatkan undi.

Korupsi  dan salahguna kuasa bermaharajalela. Khazanah kekayaan negara dipunggah rakus. Jurang kaya miskin melebar. Terbina kebangsawanan baru, menghidupkan fenomena antara dua darjat. Keselamatan keluarga juga terancam. 

Demi survival kuasa, elit pemerintah Umno-BN sanggup memainkan emosi bahaya perkauman. Untuk mempertahankan takhta, sentimen agama yang sempit berterusan dibakar. Mereka langsung tidak hiraukan keharmonian dan kesentosaan bakal terjejas, asalkan dapat terus berkuasa. Peliknya, pada masa sama. Menteri Dalam Negeri menuduh Pakatan yang menjolok emosi perkauman.

Cukup menggerunkan 

Keberanian rakyat untuk menggerakkan perubahan cukup menggerunkan pemimpin korup dan curang. Mungkin ramai di antaranya yang tidak dapat lena tidur mengenangkan nasib kehilangan kuasa. Bagi pemimpin yang selama ini tamak "merampok" wang rakyat, mungkin sentiasa diasak mimpi ngeri dikejar dosa sendiri.


Justeru, taktik usang-kuno digunakan, bagi menggertak dan menakutkan golongan yang bertekad melakukan pembaharuan itu. Bagi rakyat, kaedah menyelamatkan negara bukanlah susah pun; hanya bersedia untuk memilih kerajaan baru, terutama di peringkat persekutuan.

Hampir semua pengundi menyedari bahawa medan terbaik untuk mereka menukar impian menjadikan Malaysia lebih sejahtera, demokratik, makmur, dan lebih penting rakyatnya dilayan secara adil,  adalah dalam PRU13 ini. 


Tempoh 55 tahun Umno menerajui kerajaan sudah lebih daripada mencukupi. Melalui 12 kali pilihan raya umum, bermula daripada Parikatan sehinggalah BN, peluang menabur bakti, melakar hala tuju dan mengemudi teraju pemerintahan terbentang seluas-luasnya, dengan kemudahan cukup selesa, apatah lagi berbekalkan majoriti dua pertiga. Peluang dan ruang itu disia-siakan; amanah dikhianati.

Punah dan berderai 

Selama lebih lima dekad, rakyat menggantung harap agar negara dipacu dan dikendali secara penuh kejujuran, telus, berintegriti dan melaksanakan prinsip good governance. Diimpikan  suara mereka didengar, pemimpin turun padang menyelami degup jantung rakyat, kongkongan dibebaskan, tuntutan agama dijulang dan maruah sebagai insan dipertahan.

Galasan harapan itu punah. Kalungan impian itu putus berderai. Elit penguasa hanya mahukan mandat dan sokongan, tetapi tidak bersedia memikul tanggungjawab setulusnya. 

Dalam sistem demokrasi, menukar kerajaan adalah lumrah dan tidak perlu dirisaukan. Kerajaan yang menyeleweng dan gagal menjalankan amanah akan direhatkan. Di negara maju, peralihan kerajaan tidak pernah membawa kehancuran sebaliknya dilihat suatu penambahbaikan.

Pemerintah yang bergelumang rasuah serta menyebabkan ekonomi negara merudum, kebajikan rakyat terabai, hutang meningkat dan peluang pekerjaan terbatas segera "dipencenkanan" apabila mandat berakhir. Malah, jika keadaan terdesak, undi tidak percaya boleh dikemuka di Parlimen, atau ada parti sekutu yang menarik balik sokongan.

Namun, di negara kita, Perdana Menteri  Najib Razak dan mentornya, Dr Mahathir Mohamad, untuk kesekian kalinya mendendangkan kembali lagu lama. Mengetahui mood rakyat untuk berubah semakin kuat, kedua-duanya mengulangi "nasihat berbaur ugutan", dengan harapan dapat mengendurkan komitmen untuk menukar kerajaan itu.

Berita Harian, 1 Februari memilih tajuk depan "Jangan ikut emosi -- Ubah kerajaan secara mendadak boleh hancurkan negara: PM".

Gertakan Najib 

Najib, mengikut laporan itu, mengingatkan rakyat bahawa perubahan mendadak dan tidak terancang untuk mengubah pentadbiran negara tidak menjamin kesan positif kepada masa depan negara.

"Sebaliknya, Najib berkata, "sebarang perubahan perlu mengikut undang-undang serta akal fikiran dan bukan kerana emosi akibat terpengaruh dengan dakyah semata-mata."

Pelik bin ajaib, Najib sebenarnya mahu merendahkan kemampuan berfikir masyarakat kita apabila cuba menegakkan benang basah. Siapa sebenarnya yang galak mempermainkan emosi rakyat? Pihak manakah yang memilih pendekatan perkauman dan menabur fitnah untuk kekal berkuasa? Bacalah Utusan Malaysia, tontonlah Buletin Utama TV3, anda sudah tahu jawapannya.

Lihatlah isu-isu yang dikemukakan BN dan bandingkan dengan Pakatan, siapa yang berterusan membakar emosi dan menolak perdebatan sihat? Lagipun, hasrat untuk menukar kerajaan tidak pernah berlaku secara mendadak. Ia suatu proses yang agak lama dan memakan masa. Sesiapa pun yang begitu lama ditindas, dizalimi, diperbodoh dan dikhianati, sampai waktunya akan bingkas menuntut hak.

Bosan, muak dan jelak 

Rakyat telah membuat penilaian menyeluruh terhadap pemerintahan lima dekad Umno-BN. Mereka telah bosan, muak dan jelak dengan siri salahguna kuasa, kecurangan, rasuah, penompokan kekayaan buat elit penguasa, sikap meremehkan pandangan rakyat.

Selepas 55 tahun, mengapa arus perubahan ini masih dianggap mendadak? Peluang telah diberi secukupnya. Rakyat juga telah mencuba menukar kerajaan negeri sejak 1959 lagi, tetapi hanya berjaya di beberapa negeri. Di Parlimen, majoriti dua pertiga BN hanya berjaya disekat pada 2008.


Sukar dipastikan sama ada Dr  Mahathir benar-benar serius dengan kenyataannya pada 31 Januari lalu atau seperti hanya bersifat sinikal atau sindirin halus seperti lazimnya.
  
Bekas Perdana Menteri itu berkata, Pakatan Rakyat akan bertindak terhadap pesaing politiknya sebaik sahaja mereka berkuasa.

Mahathir bakal ditangkap? 

Katanya, mereka akan mengambil tindakan terhadap orang yang tidak baik dengan mereka atau yang mereka rasa tidak baik dengan mereka.

Dr Mahathir menambah, terdapat desas-desus bahawa kerajaan persekutuan yang dikuasai Pakatan, akan menangkap orang seperti itu, termasuk dirinya sendiri.

Ujarnya, ada yang mengatakan beliau harus meninggalkan Malaysia sebelum keputusan PRU13 diumumkan.

"Perkara pertama yang mereka (Pakatan) akan lakukan (apabila berkuasa) ialah menutup semua lapangan terbang supaya tidak ada pesawat persendirian boleh berlepas," katanya.

Apa pun, daripada kenyataan Mahathir itu, dan juga penekanan Najib yang sering mengingatkan  tentang bahaya pertukaran kerajaan, saya kira kedua-duanya memang risau, bimbang dan takut dengan keputusan PRU13.

Anwar balas dendam? 

Mahathir seperti mahu menggambarkan sikap negatif pemimpin Pakatan, terutama Dato' Seri Anwar Ibrahim, selepas berkuasa nanti, yang bakal membalas dendam dan bertindak di luar batas undang-undang.

Sekali gus Dr Mahathir  mahu menghantar mesej bahawa Malaysia di bawah pentadbiran baru Pakatan akan bertukar huru-hura, rusuhan tercetus di sana sini, ekonomi merudum, pelabur takut dan pelancong lari. Mudah kata, anarkis!

Bukankah Mahathir juga yang membayangkan akan berlaku suasana tidak stabil jika BN kalah dalam PRU13?

Sedangkan, antara isu-isu asas yang sering ditimbulkan Pakatan ialah kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara yang independen, dan pihak keselamatan -- khususnya pasukan polis -- yang profesional, tanpa mudah dipengaruhi elit politik.

Diganggu mimpi ngeri 

Ataupun mungkin Mahathir sendiri sering diganggu mimpi ngeri memandangkan kezaliman yang pernah dilakukannya  semasa berkuasa dahulu, bukan hanya kepada Anwar, yang diaibkan dengan seribu satu cara, tetapi juga mangsa yang dianiayainya, seperti bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas.

Tidak mustahil juga kerisauannya terhadap nasib dan masa depan anak-anak beliau, yang kini kaya-raya membolot khazanah negara. Mahathir tentu arif dengan kesalahan sendiri, sepanjang 22 tahun menerajui negara, menjadikan Malaysia seperti milik personalnya. Segala kehendaknya akan dipaksakan menjadi projek negara walaupun menghanguskan berbilion ringgit.

Apa pun, Mahathir harus ingat, jika beliau pernah bertindak ganas kepada orang lain, tidak semestinya mangsa kezaliman beliau itu akan bertindak serupa apabila mendapat kuasa. Beliau mungkin gelabah menunggu Anwar naik takhta.

Undang-undang tetap dihormati.  Anwar sendiri kerap mengulangi, beliau dapat memaafkan kesalahan Mahathir, walaupun sukar melupakan. Namun, kata Anwar, setiap wang rakyat yang dirompak akan dipastikan kembali semula kepada yang berhak.

Usah panik, gelabah 

Mahathir, Najib dan sekutunya usah panik. Negara ini mempunyai begitu ramai tenaga baruyang berkebolehan untuk memimpin dan mentadbir dengan lebih baik lagi. Cubalah berfikir secara rasional dan terbuka.

Mungkin Mahathir melihat pemansuhan ISA sebagai rahmat terselindung kepada pemimpin Umno-BN yang korup dan menyeleweng, iaitu mereka tidak akan dikurung tanpa bicara jika Pakatan berkuasa nanti.

Walhal sebenarnya, yang dipentingkan ialah keadilan harus meliputi semua orang, tidak terkecuali. Proses pendakwaan ke atas mereka yang disyaki bersalah dibuat secara telus, tanpa campur tangan politik.

Kezaliman, termasuk membalas dendam, adalah perbuatan terkutuk yang mesti dihindari sejauh-jauhnya. Rupanya Mahathir masih terkepung dengan corak pemikiran penguasa yang keras dan dominan, sepertinya dahulu.

Secara peribadi, saya mengangap proses perubahan di Malaysia mengengsot terlalu lambat, jauh daripada ciri-ciri radikal atau mendadak. Justeru, saya tidak mahu ia tertangguh lagi, melewati PRU13, 'kan?

Baca Seterusnya......

Pengundi Melayu masih curiga dengan Anwar?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Berbanding kajian badan-badan penyelidikan universiti yang lain -- khususnya Majlis Profesor Negara (MPN) -- saya lebih menunggu rumusan yang dihasilkan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).

 Pertama, saya tertarik dengan kewibawaan pengarahnya, Prof Dato' Dr Mohammad Redzuan Othman. Beberapa kali berpeluang menemubualnya -- walaupun beliau lebih selesa dengan tema politik antarabangsa, terutama pergolakan di Timur Tengah, apatah lagi berkaitan gerakan Islam, misalnya Ikhwan Muslimin -- saya dapat mengesan pakar sejarah ini cukup mementingkan disiplin ilmu dan  cermat dengan pendekatan penyelidikan.

Kedua, meneliti carta organisasi UMCEDEL dan barisan felo penyelidiknya, saya kira, ia satu kombinasi yang mantap. Ketiga, beberapa buku yang dihasilkan, seperti "Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-12: Isu dan Pola Pengundian", serta   empat  judul tentang siri pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Sibu, menambahkan lagi keyakinan kepada UMCEDEL.

Tulisan ini bukan sekadar bertujuan untuk respons  dapatan terbaru UMCEDEL, berdasarkan kajiannya pada 26 Disember 2012 hingga 11 Januari 2013, yang dilihat menyenangkan pemimpin Pakatan Rakyat dan para penyokongnya. Saya cuba meneliti "sisi-sisi gelap" Pakatan yang boleh diambil iktibar pemimpinnya bagi mengkoreksi diri sebelum terlambat.

Selagi Parlimen dan Dun belum dibubarkan, dan kempen secara rasmi belum berjalan, saya lebih teruja dengan hasil kajian, tinjauan pendapat atau himpunan persepsi rakyat, yang dikira berjejak dan membumi, biarpun nampak negatif buat Pakatan. Kadang-kadang sebagai "pemain aktif" di lapangan, kita keliru dengan tanggapan "penonton".

Sekurang-kurangnya ia dapat membantu kita membuat pemerhatian secara lebih menyeluruh, dengan gambaran akar umbi yang menghampiri realiti sebenar. Selama ini agak sukar kita menelah atau meramal kecenderungan pengundi walaupun dibuat bancian atau culaan undi dari rumah ke rumah.

Ungkapan "undi itu rahsia" ketika di pusat mengundi rupa-rupanya menjadi pegangan ramai rakyat Malaysia, walaupun sebelum dan selepas hari mengundi. Ia turut difaktorkan  oleh suasana persekitaran yang tertutup dan  tidak demokratik. Menyokong parti pembangkang waktu itu dianggap satu kesalahan dan boleh menyebabkan kepentingan tergugat.

Justeru, saya lebih suka memberi perhatian kepada hasil kajian yang memungkinkan Pakatan dapat meneliti kelemahan dan kealpaan, yang sebahagiannya mungkin tidak disedari.

Ia juga seharusnya membantu para strategis mengatur langkah ke depan atau menawarkan formula penyelesaian, tanpa perlu mempertikai atau merendahkan kredibiliti badan penyelidikan walaupun sememangnya terserlah "udang di sebalik batu".

(Di zaman begitu ramai cendekiawan boleh "diupah" bagi menemukan keputusan yang menyenangkan "pengupahnya", memang agak sukar mencari hasil penyelidikan politik yang  benar-benar bebas).

Misalnya, apabila ada kajian mengunjurkan bahawa di antara empat negeri yang dikuasai Pakatan, kemungkinan Kedah sukar dipertahankan dalam PRU13, maka saya pasti rakan-rakan aktivis PAS di negeri kelahiran saya itu tidak memandang rendah perkara ini. Lagipun bukannya mudah untuk mempertahankan kemenangan untuk pusingan kedua.

Masing-masing melihatnya sebagai cabaran untuk merencanakan kembali pendekatan terbaik dan berusaha membetulkan salahfaham atau sistem penyampaian sehingga akhirnya memungkinkan Kedah dapat melonjak keluar daripada "zon kelabu".

Bagaimanapun, kajian UMCEDEL yang dikeluarkan pada 23 Januari, menghantar beberapa mesej 
penting. Semasa banyak pihak lebih tertumpu kepada kemerosotan pengaruh BN dan menjunamnya populariti Najib, saya pula mahu menarik perhatian terhadap petunjuk lain.

Benar, populariti Najib merosot daripada 61 peratus (di antara 31 Mac - 15 April 2012) kepada 58 peratus (1 - 16 September 2012), seterusnya 54 peratus (26 Disember 2012 - 11 Januari 2013).


Bagi kajian persepsi pengundi kali pertama dalam PRU13, Dato' Seri Anwar Ibrahim jauh mengatasi Najib, iaitu 52 peratus berbanding 30 peratus.

Pastinya soalan yang paling menarik minat penyokong Pakatan ialah: "Dengan andaian anda tidak memihak kepada mana-mana parti politik, parti manakah yang anda jangka akan menang di peringkat nasional dalam PRU13 dan menguasai Putrajaya?"

Walaupun keputusannya lebih memihak BN, dan  kemerosotannya tidaklah begitu ketara, iaitu daripada 43 peratus (25 Oktober - 15 Disember 2011) kepada 42 peratus (26 Disember 2012 - 11 Januari 2013), namun peningkatan Pakatan nampak menonjol, iaitu daripada hanya 18 peratus kepada 37 peratus, berdasarkan tempoh yang sama.

Ia juga memaparkan keperitan yang terpaksa ditanggung Najib. Semakin dianjak tarikh PRU13 ke hadapan -- mungkin atas nasihat mentornya, Dr Mahathir Mohamad -- populariti Najib dan peluang BN kian merosot. Dan kini Najib tidak berpeluang lagi mencipta kejutan tarikh pembubaran Parlimen; dia sudah diasak sehingga ke dinding.

Dalam suasana yang nampak seimbang, iaitu kekuatan BN dan Pakatan hampir setara, tumpuan diberikan kepada kelompok 21 peratus yang masih belum membuat keputusan. Hasil kajian UMCEDEL mendapati pengundi muda dalam lingkungan 21 hingga 30 tahun dan masyarakat Cina masih "tidak pasti", sama ada untuk mengundi BN ataupun Pakatan.

Dengan itu, persaingan sengit adalah untuk merebut hati dan menawan minda kedua-dua kategori ini: Pengundi muda dan masyarakat Tionghua. Sekali imbas, ia seolah-olah memberi kelebihan awal kepada Pakatan, namun kesungguhan Najib merapati kelompok belia, melalui pelbagai insentif dalam Belanjawan 2013, tidak boleh dipandang ringan.


Untuk meraih sokongan pengundi Cina, malah sehingga kepada 80 peratus, ia tidaklah mustahil, tetapi menghadapi karenah dan kompleksiti anak-anak muda, saya rasa peluang Pakatan dan BN hampir sama rata. Generasi muda, terutama yang pertama kali mengundi, masih belum membuat keputusan muktamad. Saya kira mereka  terus memerhati, menilai dan menghakimi, sehinggalah hari mengundi.

Harus diingat, pemberian bermacam-macam bantuan secara berkala oleh kerajaan, seperti BR1M dan baucer buku, turut dapat meningkatkan sokongan kepada BN, iaitu 75% berbanding hanya 61% (September 2012).

Begitu juga persepsi terhadap program transformasi kerajaan, seperti Kilnik 1Malaysia dan Kedai 1Malaysia. 73 peratus melihatnya positif buat BN, malah kepada pengundi wanita, ia meningkat sehingga 80%.

 DSC00774

Tanggapan positif terhadap Bajet 2011,  yang dilihat memanfaatkan rakyat berada pada tahap 55%, namun bagi persepsi pengundi wanita melonjak kepada 63%. Sekurang-kurangnya ia memberi indikator penting -- walaupun telah disedar sejak lama -- bahawa kalangan kaum hawa lebih mudah dipengaruhi oleh BN. Dan seharusnya fenomena ini diberi tumpuan khusus, terutama oleh sayap wanita parti-parti dalam Pakatan.

"Peratusan pengundi muda adalah yang paling tinggi 'tidak pasti'," kata Dr Redzuan. Tambahnya, pengundi Cina pula paling sukar untuk menentukan sama ada mereka menyokong atau tidak dan terlalu berahsia serta sukar didekati.

Lebih menarik, majoriti pengundi "tidak pasti" ini terdiri daripada mereka yang memiliki kelayakan pendidikan tinggi iaitu berijazah di universiti sebanyak 49 peratus, berpendidikan SPM (18%) dan STPM (15%).


Meskipun pengundi Melayu mungkin dikira sudah membuat keputusan awal, tetapi pada hemat saya,  wajar diberikan perhatian istimewa kepada petunjuk lain kajian UMCEDEL ini.

Dari segi persepsi pengundi Melayu, Najib berada di depan sebagai tokoh paling layak menjadi PM selepas PRU13, memperolehi 46 peratus, berbanding Anwar 34%, manakala Tuan Guru Abdul Hadi Awang  mendapat 36%.

 

"Anwar wajar menilai kembali sokongan pengundi Melayu kepadanya," kata seorang pensyarah sains politik, "mungkin propaganda media Umno seperti Utusan Malaysia dan TV3 sedikit sebanyak berkesan juga, terutama yang tidak terdedah dengan media baru. Anwar memang popular di kalangan masyarakat Cina dan juga pengundi kali pertama, tapi segmen Melayu perlu lebih tumpuan."


"Ya, Anwar dan jurukempen serta strategisnya wajar memandang serius tanggapan rendah orang Melayu kepadanya. Media alternatif, terutama akhbar bercetak seperti Harakah dan Suara Keadilan, patut menyemak kembali, bukan saja kandungannya tetapi lebih penting lagi ialah sistem dan rangkaian pengedarannya," kata seorang veteran politik yang rajin menghubungi saya, meluahkan rasa bimbang Pakatan mungkin kalah disebabkan masalah teknikal dan bukannya kerana ditolak rakyat.

"Saya bimbang dua organ parti itu tidak sampai kepada golongan  akar umbi, yang masih bergantung dengan Utusan Malatysia dan TV3," tambahnya, sambil mengharapkan PAS dan KeADILan dapat merebut kembali sokongan majoriti masyarakat Melayu.


Mengenai isu-isu yang boleh menghalang sokongan pengundi kepada Pakatan Rakyat, soal percanggahan pendapat di kalangan parti-parti  dalam Pakatan dilihat penting, iaitu 59 peratus, kekal seperti kajian pada September 2012.


Semasa kredibiliti pemimpin BN berada pada kedudukan paling rendah dan dilihat telah mengkhinati amanah rakyat sejak lebih 55 tahun lalu, Pakatan pula "diancam" oleh sedikit rasa curiga pengundi, ekoran perselisihan pandangan para pemimpinnya.

Dibimbangi terdapat golongan yang sudah muak dan jelik dengan karenah dan keletah pemimpin Umnp-BN, tetapi mereka tidak bersedia untuk berubah hanya kerana ketakutan tidak berasas terhadap "pertelingkahan" Pakatan. Elok benarlah jika pemimpin utama Pakatan bersikap "menutup mulut" bila berdepan media musuh, yang sengaja mencungkil kelemahan dan kesalahan.

Dalam pada itu, walaupun hanya 43 peratus bersetuju persoalan "dominasi DAP dan bukan Melayu dalam Pakatan", serta "kehilangan kuasa politik Melayu",  boleh menjadi penghalang sokongan, bagi saya isu ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja, apatah lagi di kalangan responden Melayu, 53% bersetuju.
 

Isu integriti dan penyalahgunaan kuasa melibatkan pemimpin BN memang dimainkan dengan cukup berkesan. BN terpaksa lebih teliti dengan penampilan calon-calonnya dalam PRU13. Mungkin mereka perlu akur dengan senarai nama tokoh-tokoh yang tidak melepasi "tapisan" Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebanyak 78 peratus melihatnya sebagai isu yang boleh menjejaskan sokongan pengundi kepada BN. Lebih menakjubkan, di kalangan pengundi Cina, isu integriti dan salahguna kuasa ini memperolehi 95%, satu angka yang cukup tinggi.

Saya merasakan pengundi Melayu juga boleh mempunyai kecenderungan yang sama jika isu-isu seumpama itu dapat disampaikan dengan lebih berkesan, terutama dengan mengemukakan kes-kes secara terperinci. Mungkin Harakah sendiri dapat membantunya, di samping penekanan oleh pemimpin PAS sendiri.

Hasil kajian UMCEDEL ini wajar ditelaah secara lebih khusus, juga mengambil kira tinjauan pendapat terbaru badan-badan penyelidikan lain, terutama Merdeka Centre. Masyarakat terbukti semakin terbuka dan bijak menilai, serta tidak bergantung dengan saluran maklumat tradisional sahaja.

Sementara Pakatan mengutamakan isu-isu yang praktikal dan menyentuh kehidupan seharian denyut nadi rakyat, BN masih dengan tradisi lapuk, iaitu bergantung harap dengan persoalan sensasi membakar sentimen, yang sengaja direka-reka bagi meneruskan "kebergantungan" pengundi Melayu kepadanya.

Baca Seterusnya......

Jangan remehkan potensi menang walau di mana bertanding

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Mhttps://encrypted-tbn0.gstatic.com/images?q=tbn:ANd9GcTKV1GodJAckoPnNiIElGVRysgcLT7Trab7weDvJ6QXhLkxSDMZdwungkin tidak ramai menaruh harapan tinggi bahawa Melaka dapat dikuasai Pakatan Rakyat dalam PRU13. Malah, ada pihak menyifatkannya sebagai negeri paling selamat buat BN.

PAS dan KeADILan belum mempunyai wakil dalam sidang Dun Melaka. Lebih tepat lagi, tiada pembangkang Melayu dalam Dun berkenaan. Daripada 28 kerusi, DAP menang lima, manakala di peringkat Parlimen, BN hanya tewas satu kerusi di Kota Melaka, juga kepada DAP.

Ketika perhatian rakyat lebih tertumpu ke Putrajaya, kerusi Parlimen Bukit Katil dikira menjanjikan persaingan sengit, selain Alor Gajah yang diwakili MCA, parti yang dilihat semakin terhakis sokongan masyarakat Cina. Kedua-duanya merupakan kerusi campuran.

"Kami mungkin mempunyai 'kerajaan pembangkang' di peringkat negeri selepas PRU13 nanti," kata seorang rakan, yang lama menetap di Melaka. Beliau merujuk andaian BN masih kekal mentadbir negeri walaupun Putrajaya dijangka mengalami perubahan.  

 

"Tanpa mengira suatu perkara luar biasa boleh berlaku nanti, Pakatan hanya dapat mengharapkan dua lagi kerusi Parlimen dari Melaka," tambahnya, sambil menekankan jumlah itu sudah cukup untuk membuatkan kerajaan persekutuan bertukar tangan.

Istilah pelik 'kerajaan pembangkang' itu sebenarnya dipopularkan media Umno-BN, yang ditujukan  khas kepada negeri-negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, menzahirkan kejengkelan mereka untuk mengiktiraf pilihan rakyat yang menyokong Pakatan membentuk kerajaan baru.

Namun, dalam kunjungan ke negeri bersejarah itu, hujung minggu lalu -- 26 dan 27 Januari -- saya tetap merasakan kehangatan iklim perubahan yang kini melanda seluruh negara juga terpercik di Melaka.

Mood untuk sama-sama mencipta sejarah, terutama di kalangan pengundi kali pertama, tidak boleh diperkecil. Bagaimanapun, rakan saya, Zaili Muhammad, yang juga wartawan Harakah Melaka mengingatkan: "Kita perlu kerja lebih kuat, terutama mendekati anak muda yang nampaknya seperti selesa dengan kerajaan yang ada,"

Lagipun, Melaka yang dianggap telah mencapai tahap negeri maju lebih dua tahun lalu, tentunya membekalkan peluang akses maklumat yang memadai -- suatu prasyarat terpenting sebelum menyaksikan perubahan benar-benar berlaku.

 


 Ahmad Lutfi Othman semasa melawat Autocity di Melaka, Mei tahun 2012, yang disifatkannya sebagai "autacity" 

Tsunami politik yang tertampan di Negeri Sembilan pada Mac 2008, dan dijangka membadai Johor kali ini, sudah pasti turut mempengaruhi kecenderungan mengundi di Melaka.

Apabila  diundang dalam program bicara santai anjuran PAS Bukit Katil, malam Ahad itu, sambil membicarakan karya terbaru, Detik Utopia, berdasarkan pengalaman menghadiri wacana buku sebelum ini, saya tidak mengharapkan kehadiran melebihi 20 orang.

Namun begitu, Ketua Penerangan PAs Kawasan, Cikgu Yusof Wahab, yang bertindak sebagai moderator, tidak menunjukkan kerisauan walaupun ada dua tiga program lebih besar turut berlangsung pada masa sama. Alhamdulillah, dewan sekolah agama rakyat, Madrasah Ar- Rahmah, Ayer Molek, hampir penuh.

Semasa dialog, saya dapat mengesan masih ada kebimbangan terhadap masa depan politik Melayu sekiranya Pakatan menang PRU13. Sememangnya jarum halus dakyah Umno-BN tidak boleh diremehkan.

Ketika Pakatan menawarkan formula praktikal menangani isu-isu besar-kritikal negara, BN masih bermain dengan sentimen dan emosi yang berbahaya.

Lebih melucukan -- tetapi masih perlu ditangani dengan serius, bijaksana dan cermat -- apabila orang Melayu seolah-olah sedang menyaksikan satu perdebatan nasional bahawa siapa lebih tulus perjuangan Islamnya, di antara PAS mahupun Umno?

Satu waktu dahulu, tidak tergambar dalam lintasan fikiran kita bahawa Umno begitu ghairah mahu "bertanding" dengan PAS, daripada segi komitmen parti itu terhadap agenda perjuangan Islam.

Pengalaman lebih 50 tahun Umno menjadi tunjang pemerintahan negara, dan begitu dominan dalam Pakatan dan seterusnya BN, dengan penguasaan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen sejak merdeka, serta memegang jawatan dan kementerian kanan-strategik; ia sudah cukup untuk rakyat membuat penilaian seadilnya tentang rekod panjang pengkhianatan Umno.


Namun, strategis dan jurukempen Umno, termasuk Dr Mahathir Mohamad, melihat harapan terakhir mereka hanyalah pengundi Melayu. "Psikologi takut" sebahagian masyarakat Melayu dieksploit sepenuhnya, dengan momokan tidak masuk akal seperti "takut Cina kuasai Malaysia", "takut Kristian jadi agama terbesar", "takut DAP buang hak istimewa Melayu" dan macam-macam lagi yang menakutkan orang Islam.

Segera saya terbayang peringatan Dato' Mustafa Ali semasa program retreat Jabatan Pengarang Harakah, 19 Januari lalu, yang cuba menggambarkan situasi "sulit"  PAS yang terpaksa berdepan langsung dengan Umno, parti yang dilihat terkuat dalam BN, dan menguasai pelbagai sumber dan kemudahan kerajaan.


"PAS yang dilihat agak tertekan hari ini berbanding dengan rakan-rakannya dalam DAP dan KeADILan, serta diserang kiri kanan oleh media, perlu pertahanan diri yang lebih kuat," ujar seorang penganalisis politik, lama sebelum Mustafa melontarkannya.

Pagi Ahad itu, saya  bersarapan di Pekan Merlimau, bersama Ketua Muslimat PAS Melaka, Kintan Man. Beliau telahpun diisytiharkan sebagai calon wanita pertama di Melaka yang akan bertanding kerusi Dun Sungai Rambai.

Sambil menikmati roti canai telur di sebuah warung yang agak sibuk, Kintan bercerita tentang cabaran yang bakal didepaninya. Sesekali Pengarah MTD Sungai Rambai, Abdul Karim Kassim,  mencelah, menjelaskan lagi situasi politik tempatan.

Walaupun Dun Sungai Rambai tidak diletakkan dalam kumpulan kerusi target, namun ia tetap dilihat berpotensi.  Dalam pilihan raya 1999, pengundi Melayu di kawasan itu pernah memberikan antara undi tertinggi kepada PAS.

Kawasan itu juga  berjiran dengan dua kerusi Dun yang dimenangi PAS di Muar, Johor pada 2008.

"Jika maklumat dapat disampaikan dengan berkesan dan tepat kepada pengundi, saya yakin mereka dapat membuat keputusan dengan  baik. Tempoh berkempen nanti adalah period paling penting, begitu juga dengan strategi dan pendekatan terbaik mendekati pengundi," kata Kintan.

Sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur, saya singgah di Masjid Tanah, satu-satunya kerusi Parlimen di Melaka yang bakal ditandingi PAS.

Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Mohd Nasaie Ismail, lulusan pengajian media Universiti Malaya, yang agak kerap bertukar-tukar pandangan dengan saya mengenai Harakah, memaklumkan melalui SMS beberapa hari sebelum itu bahawa tanpa diduga, dia terpilih sebagai calon. 

Kebetulan ada program di markas besar PAS Kawasan. Ketika saya sampai, majlis hampir berakhir. Nasaie nampaknya masih "terkejut" dengan keputusan parti, tapi dengan kerendahan diri bersedia memikul amanah.

Masjid Tanah terkenal dengan pantai yang panjang dan cantik dari Kuala Linggi, Kuala Sg Baru, Pengkalan Balak dan Tanjung Bidara. Namun berbanding dengan Port Dickson dan pantai sekitar Bandar Melaka yang terletak bersebelahan, ia jauh ketinggalan.

Walaupun Masjid Tanah tidak tersenarai dalam kerusi Parlimen yang disasarkan PAS, Nasaie yang aktif dalam beberapa NGO berkaitan Felda dan Felcra itu tetap melihat keistimewaan profil pengundi di situ.


Misalnya, Masjid Tanah dipenuhi hampir 10 institusi pendidikan tinggi dan separa tinggiseperti UiTM, KUIM, Kolej Komuniti, IKBN, Kolej Matrikulasi, UNIKL, Kolej Risda, Institut Laut Malaysia (ALAM) dan lain-lain.

"Ia seumpama Bandar Baru Bangi di Selangor, menunjukkan masyarakatnya terbuka kepada maklumat dan bersedia berubah. Malah, ramai juga penduduk di sini bekerja di Lembah Klang," katanya.

Keazaman dan tekad anak muda ini cukup menyenangkan saya. Difahamkan PAS bakal menurunkan lebih ramai calon muda yang berketrampilan. Nasaie seperti juga Kintan, seakan-akan mahu membuktikan, walaupun kelihatan sukar dan tidak ramai menaruh harapan tinggi buat mereka, namun jangan pandang kecil potensi dan peluang di mana saja PAS bertanding.

Rakyat Malaysia bukan saja sudah sedia berubah, mereka sebenarnya tidak sabar-sabar lagi mahu mencipta sejarah. Dan tiada lagi "simpanan tetap" buat Umno-BN. Padang permainan semakin sama rata, terpulang kepada para pemainnya beraksi, walaupun pengadil masih belum bertukar.

 

Baca Seterusnya......

Jentera kerajaan, termasuk SB, melilau masuk kampung kempen BN

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Penampilan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir tetap tidak berubah, sama seperti gayanya semasa  menteri kabinet dahulu; kemas dan rapi, masih dengan bow tie, ramah dan ceria.

Ketika berkunjung ke Jabatan Pengarang Harakah, petang 21 Januari lalu, tujuan asalnya hanya untuk "melawat rakan-rakan wartawan", selain bertemu Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS selepas itu.


"Boleh saya melawat pejabat Harakah, nak tengok kawan-kawan di sana bekerja?" suaranya jelas di hujung talian semasa saya makan tengahari Khamis 17 Januari. Tentunya hajat beliau amat saya alu-alukan.

Kadir ternyata cukup mesra, mudah diajak berbicara dan menunjukkan minat yang tinggi terhadap media, khususnya akhbar alternatif seperti Harakah. Tidak lama berada di dalam bilik saya, dia mahu melihat lebih dekat karyawan Harakah bertugas.

Agak segan saya menunjukkan bilik operasi kami yang tidak tersusun, apatah lagi ramai bercuti dan bertugas di luar pejabat, tetapi Kadir tetap bersemangat, dan saya kira ia mampu untuk memberi galakan dan dorongan kepada teman-teman yang lain. Baginya, Harakah mempunyai peranan dan tanggungjawab besar-kritikal berdepan PRU13.

 

"Sepanjang menjelajah seluruh negara dan turut berceramah di atas pentas PAS, saya terharu melihat komitmen tinggi penyokong dan aktivis akar umbinya. Dah lama mereka terseksa. Saya bertemu dengan ramai pemimpin PAS yang berbakat besar, berketrampilan dan berkebolehan," katanya sambil menjamah "jemput-jemput" yang disifatkannya paling enak pernah ditemuinya.


Sejak pertemuan pertama dengannya di Mines Waterfront Business Park, Seri Kembangan, saya dapat mengesan Kadir bukan sahaja begitu prihatin dengan proses pilihan raya negara kita yang tempang dan pincang, malah beliau melihat kaitan rapat dengan gejala kongkongan terhadap media, terutama yang dibiayai dana awam.

Beliau pernah mencadangkan himpunan sejuta rakyat, dengan fokus utama kepada tuntutan  akses media kepada semua parti-parti yang bertanding dalam PRU13. "Boleh namakan ia Bersih 4.0 atau apa saja, yang penting kita dapat kumpulkan seramai mungkin, di stadium misalnya, tanpa sebarang gangguan dan saya sedia menawar khidmat untuk menjayakannya," kata Kadir kepada saya, Ogos 2012.

Saya kira, idea asal Himpunan Kebangkitan Rakyat 12 Januari lalu sedikit sebanyak disumbangkan Kadir.

Dalam pertemuan Isnin lalu, minatnya masih sama. Dia juga bimbang rakyat masih terhalang daripada mengikuti maklumat dan perkembangan sebenar mengenai Pakatan. "Kita perlu lipatgandakan usaha mendekati setiap pengundi, di setiap pelosok. Jangan lupa, di zaman internet ini, masih ramai yang mudah dipengaruhi  propaganda media tidak bertanggungjawab," katanya.


"Media bebas bukan bermakna waktu dua tiga minggu kita ada pilihan raya atau kempen pilihan raya yang tak sampai dua minggu itu. Jika hanya waktu itu baru diberi peluang terhad agar  pembangkang menceritakan sedikit sebanyak  manifesto, itu bukan bermakna media yang bebas," tegas Kadir.

"Kita nak bebas sekurang-kurangnya dari sekarang. 'Countdown period' ini. Sepatutnya sepanjang masa. Tapi tak mengapalah kalau media nampak bebas mulai dari sekarang. Bermakna berilah masa kepada semua parti politik memberi hujah menerusi televisyen, radio dan juga akhbar arus perdana.

"Atau diadakan sesi perbincangan seperti sewaktu saya jadi Menteri Penerangan dulu. Adakan debat perdana, kumpulkan wakil parti-parti kerajaan dan pembangkang, berbahas mengenai isu-isu tertentu," tambahnya penuh yakin.


Semasa sesi wawancara yang pada mulanya dijadualkan ringkas dan santai, Kadir menarik perhatian kami dengan isu penyalahgunaan jentera dan kemudahan kerajaan, yang berkempen untuk Umno-BN. Rupanya interviu itu berakhir menjelang solat Maghrib, memakan masa hampir satu setengah jam.

Sekali lalu, isu manipulasi jentera kerajaan itu  seperti persoalan lapuk dan "basi" yang berulang kali disebut ketika menjelang pilihan raya, namun bagi Kadir, kelaziman menjolok mata itu perlu dihentikan.

"Menggunakan duit rakyat, agensi kerajaan seperti Kemas, Jasa, Felda, Risda, termasuk pasukan keselamatan dan polis Cawangan Khas, yang dikerah masuk kampung, tinggal bersama mereka, semata-mata berkempen untuk memenangkan BN," jelasnya lagi.

"Dan hal ini sudah lama berjalan. Berselindung di sebalik program kerajaan, mereka bebas mempengaruhi penyokong pembangkang," tambah Kadir. "Salahguna seperti ini tidak berlaku lagi di negara-negara yang maju dari segi amalan demokrasinya, termasuk di Indonesia."

"Penyokong Pakatan di seluruh negara harus membuat laporan polis jika ada bukti-bukti salahguna jentera kerajaan ini," katanya. Saya bersetuju. Tekanan mesti dipertingkatkan, terutamanya dengan bukti-bukti nyata yang sukar ditolak.

Kadir juga mengkritik keras sikap Suruhanjaya Pilihan Raya, yang dilihatnya, tidak serius dan sering berdolak-dalik daripada melaksanakan tugas asasinya iaitu menjalankan pilihan raya secara adil, bebas dan bersih.

Beliau mahu SPR proaktif menegur, berunding dan menasihati kerajaan agar manipulasi jentera dan kemudahan awam dihentikan, bukan hanya sewaktu kempen, tetapi juga dalam tempoh "countdown" seperti sekarang.

"Saya nampak SPR ini keliru sikit dengan tanggungjawab mereka. Tanggungjawab SPR adalah memastikan pilihan raya diadakan dengan cara adil, telus dan sempurna. Sekarang SPR kata, itu kerja kerajaan, bukan kerja kami," kata Kadir.

"Misalnya bila kita tuntut media bebas waktu pilihan raya, jawapan dia, itu bukan tanggungjawab SPR, itu soal kerajaan. RTM, kerajaan punya; Astro orang lain punya; TV3 syarikat lain pula. Jadi dia tidak bertanggungjawab.

"Tapi SPR lupa, itu tanggungjawab dia, untuk berunding dengan kerajaan. Semuanya prasyarat penting wujudkan pilihan raya  bebas. SPR kena bertanggungjawab berunding dengan kerajaan, memujuk kerajaan supaya buka sikit kebebasan media waktu pilihan raya. SPR tak boleh kata, ini soal kerajaan, bukan di bawah bidang kuasa kami," jelasnya panjang lebar.


Ya, memang menjolok mata sekali daleh SPR -- terutama kenyataan Timbalan Pengerusinya, Wan Ahmad Wan Omar -- seolah-olah mereka begitu daif, lemah dan tiada kuasa sehingga membiarkan saja (sebenarnya turut mendorong dan memudahkan) Umno melakukan "korupsi terbesar" untuk menang PRU13. 

Wan Ahmad yang disyaki terbabit langsung menjayakan banyak konspirasi dan komplot bersama Umno itu, tidak harus "dilepaskan" begitu sahaja. Tidak mustahil banyak perencanaan liciknya yang masih belum dapat kita hidu, dan hanya dapat dijejaki selepas keputusan pilihan raya diumumkan nanti. Waktu itu sudah terlambat.

Ada benarnya juga, terkadang kita menganggap remeh dan "lali" untuk berterusan mendesak SPR dan kerajaan, apatah lagi ketika semua sibuk dengan persiapan terakhir pilihan raya. Mungkin kita merasakan lebih baik tenaga dan sumber yang ada dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendekati pengundi.

Bagi saya, tekanan tidak wajar dikendurkan, malah perlu dipertingkat. Semasa pimpinan Pakatan memasuki fasa kempen menyerlahkan imej dan penampilan sebagai "kerajaan menanti", Najib Razak perlu diasak.

Siapa tahu, atas semangat "transformasi politiknya", Najib bersedia melakukan beberapa pembaharuan di saat akhir, termasuk membersihkan proses pilihan raya berkaitan media dan jentera kerajaan ini.

Rumusan Kadir mengenai tuntutan akses media bebas dan penyalahgunaan segala sumber kerajaan cukup menarik perhatian saya -- sekali gus membimbangkan -- dan seharusnya juga kepada aktivis yang menuntut pilihan raya bersih dan adil:

"Selain media bebas,  bagi saya, inilah 'point' yang cukup-cukup penting, iaitu menamatkan penyalahgunaan kemudahan kerajaan. Pegawai-pegawai kerajaan apabila  turun ke kampung, mereka boleh masuk rumah orang PAS, rumah orang KeADILan. Ya, semua rumah dia boleh masuk. Sebab dia kata dia pegawai kerajaan, dia bukan orang politik.

"Tetapi apabila dia masuk berkampung, maka mulalah secara perlahan-lahan ... berkempen bagi satu pihak (Umno-BN). Dalam waktu itu, mereka ada pula peruntukan yang pelbagai dan mewah. Peruntukan itu wang rakyat, tetapi digunakan untuk kempen, juga buat kenduri dan sebagainya.

"Mereka mungkin dapat masuk rumah sehingga ratusan ribu pengundi, dan mungkin jutaan, di seluruh Malaysia. Jabatan kerajaan (termasuk SB dan anggota tentera) sekarang 'dok melilau' hingga ke Sabah dan Sarawak. Seluruh kampung mereka dah ada. Tiap-tiap hari berkempen, sejak berbulan dah. Ini  bermakna jutaan undi dapat dipesongkan ke arah lain."

 

----------

 

Buku DETIK UTOPIA karangan Ahmad Lutfi Othman boleh dipesan melalui pos kepada Penerbitan Pemuda, DL32,  Jalan Mutiara,  Taman Bukit Ampang, 68000 Ampang, Selangor. Bayaran atas nama Ahmad Luqman Hakim b Ahmad Lutfi, atau bank-in akaun Maybank 162179670906 (emel lutfi_detik@yahoo.com ) Harga termasuk bayaran pos RM28.00
Baca Seterusnya......

PRU13: Pakatan bernasib malang di Kedah?

oleh Ahmad Lutfi Othman

Semasa banyak pihak bercakap tentang kemungkinan besar Pakatan Rakyat dapat menguasai Putrajaya dalam PRU13, seorang veteran politik yang berpengalaman luas sejak 50 tahun lalu mengingatkan saya agar tidak terlalu "overconfident".

 "Tak takut ke Lutfi?" tanyanya. "Takut apa pula?" balas saya, memang tidak dapat memahami maksud sebenar pertanyaannya.

Sebelum itu kami bersembang panjang tentang peluang, potensi dan cabaran Pakatan, khususnya PAS, berdepan dengan bermacam-macam taktik jahat Umno-BN. Jelas dia risau dengan persiapan pembangkang; baginya, masih longgar.

Kebetulan, jalur pemikirannya agak selari dengan tema yang selalu saya bangkitkan dalam tulisan, agar aktivis Pakatan lebih berhati-hati dan tidak "syok sendiri. AJK PAS Pusat, Khalid Samad semasa wacana buku "Detik Utopia" juga menyebut kekhuatiran saya terhadap kesepaduan dan kemantapan Pakatan, terutama di peringkat atas.

"Saya risau bila melihat ada rakan-rakan kita yang nampaknya bersikap terlalu yakin menang," jawab veteran politik itu. "Bagi saya, lebih elok kita menjangkakan situasi terburuk, worst scenario, dan dari situ kita merancang strategi bagi mengatasinya," tambahnya. Saya perhati ada kerutan di dahinya, petanda beliau serius dengan pandangannya.

"Benar, saya bersetuju," pintas saya. Bukankah selama ini banyak catatan saya menekankan agar pemimpin Pakatan dan aktivis oposisi tidak memandang rendah keupayaan pemimpin Umno untuk meraih kembali sokongan, khususnya melalui manipulasi 3M (media, wang dan jentera kerajaan)?

Memang banyak kaji selidik dan tinjauan di lapangan turut mengesahkan bahawa populariti BN dan Perdana Menteri Najib Razak sendiri semakin merosot, namun langkah berhati-hati dan berwaspada, serta mengurangkan seminimum mungkin kesilapan dan kesalahan -- walaupun kecil -- tidak boleh dipandang ringan.

Ini termasuk persepsi masyarakat terhadap persefahaman di antara parti-parti dalam Pakatan. Keyakinan dan kepercayaan rakyat pelbagai kaum terhadap barisan pemimpin peneraju perubahan tidak boleh disangsikan dengan beberapa "pertikaian" berterusan yang mereka saksikan melalui media.

"Malah ramai di antara kita turut meremehkan kekuatan pengaruh Utusan Malaysia dan TV3," saya cuba memancing pandangannya memandangkan beliau pernah menerajui media di bawah kawalan Umno.

"Ya, saya suka dengan istilah 'meremehkan' itu. Bahaya memandang rendah keupayaan lawan. Walaupun minda masyarakat sudah berubah, lebih progresif, serta makin ramai kelas menengah dan mudah akses dengan maklumat, tetapi masih terdapat mereka yang senang dipengaruhi, termasuk dengan hujah-hujah rasis yang  tak masuk akal," tambahnya.

"Ada rakan saya, mempunyai kelulusustaz azizanan tinggi, profesional yang berjaya, tapi mengakui kepada saya baru-baru ini, dia akan menyokong BN dalam PRU13.

"Sdr tahu apa puncanya? Dia marah kerana kerajaan Pakatan di Pulai Pinang menindas orang Melayu. Jelas, dia termakan dengan dakyah Utusan dan TV3. Dia tidak pernah pun turun melihat sendiri keadaan di sana, dan saya rasa mungkin ramai lagi bertanggapan sepertinya." katanya sambil menjelaskan pertarungan merebut undi Melayu begitu kritikal sekali.

Dapat dikesan dengan jelas daripada intonasi suaranya bahawa veteran politik ini benar-benar mahu mengingatkan seluruh pendokong Pakatan agar segera "perketatkan apa yang longgar" dan "perkemaskan apa yang berserabut" serta tidak membiarkan salah faham masyarakat menganggu keputusan mereka semasa hari mengundi nanti.

"Bayangkan, ketika kita nampak overconfident menang Putrajaya dan menguasai banyak negeri-negeri lain, termasuk Johor dan Negeri Sembilan, tiba-tiba kita boleh kalah di Kedah," tegasnya dengan wajah serius.

Beliau menyebut Kedah kerana mengetahui saya berasal dari negeri Jelapang Padi itu. Malah veteran politik ini sendiri pernah aktif lama dalam politik di Kedah.  Saya agak terkejut bagaimana dia boleh membuat kesimpulan atau jangkaan seperti itu.

(Apa pun, menurut seorang teman, bekas pemimpin belia,  yang mempunyai hubungan rapat dengan Umno Kedah, isu-isu yang ditimbulkan untuk menjejaskan imej kerajaan negeri pimpinan  Ustaz Azizan Abd Razak,  sengaja diperbesarkan dan mudah disanggah. "Semua isu itu dapat dijawab dengan baik, cuma saya kurang jelas dengan sikap politik masyarakat Cina, adakah mereka terpengaruh dengan beberapa kontroversi, saya dengar mereka kurang puas hati," katanya).

"Ingat, kita pernah menang hanya sepenggal di Terengganu. Saya malu jika rekod itu diulangi di Kedah, ramai kenalan lama saya dari 'sebelah sana'  tunggu untuk bersorak saja," katanya sambil ketawa. Meskipun gelaknya besar dan kedengaran menyenangkan sekali, tetapi saya kira beliau hanya mahu menutup rasa bimbangnya.


"Saya mahu melihat PAS menjadi parti teras dalam Pakatan dan menang besar dalam PRU13," sambungnya. "Tapi janganlah terlalu ghairah mengejar undi Melayu hinggakan sokongan sedia ada daripada bukan Melayu terlepas pula. Asas sokongan tradisi PAS mesti diperteguh, tetapi penyokong baru jangan dibiar kecewa."

"Masalahnya," kata saya, "PAS sekarang berdepan Umno selaku  parti tunjang dalam BN, yang menguasai segala sumber kekuatan. Tidak mudah tugas ini. Berbeda dengan DAP yang menghadapi komponen BN paling lemah."

"Sebab itu," pintasnya cepat, "persiapan PAS mesti juga luar biasa, termasuk mengemukakan calon-calon hebat dan berwibawa, bukan sahaja "winnable candidite" tapi selepas memang nanti mampu memberikan servis terbaik dan berketrampilan semasa berbahas dan berdebat dalam sidang Dun atau Parlimen."


Segera saya teringat cadangan seorang pembentang dalam program permukiman (retreat) Jabatan Pengarang Harakah Ahad lalu: "Selalunya kita buat post-mortem selepas pilihan raya, dengan mencari punca-punca kekalahan, tapi kaedah ini tidak banyak manfaatnya sebab selepas empat atau lima tahun, situasi sudah banyak berubah.

"Lebih praktikal jika letakkan posisi kita sekarang sebagai pihak yang bakal kalah dengan mengandaikan punca kekalahan dan berusaha mengelaknya atau mencari formula penyelesaian lain."

Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli, yang turut diundang, turut mengingatkan: "Nampak daripada mood dan sambutan rakyat, kita seperti boleh menang tetapi saya bimbang jika kita boleh kalah disebabkan faktor-faktor teknikal. Oleh itu, saya cukup tertarik dengan inisiatif Bersih untuk merekrut puluhan ribu pemantau PRU13. Dalam waktu singkat, berupayakah kita menyediakan pemantau terlatih itu, dalam jumlah yang cukup besar?"

 

----

Untuk memesan buku Ahmad Lutfi, Detik Utopia, sila layari:

http://www.tranungkite.net/v12/iklan/detik_utopia.html

Baca Seterusnya......