Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Selepas Parlimen dibubarkan, saya kira dua faktor terpenting yang begitu diperhatikan pengundi ialah pembentangan manifesto parti-parti bertanding dan penampilan calon-calon berkaliber.
Pakatan Rakyat mengemukakan Manifesto Rakyat enam minggu sebelum BN berbuat demikian, yang disiarkan secara langsung oleh hampir semua saluran TV di negara ini, ketika publik belum redakan membincangkan "tawaran lawak" slot 10 minit di RTM.
Tempoh 10 minit itu, kata menteri berkaitan, Dr Rais Yatim, adalah untuk sekali siaran saja dan bukan siri berterusan seperti pandangan Pengerusi SPR, Abdul Aziz Mohd Yusof. "Diberi sekali sahaja bukan tiap-tiap hari berkempen," kata Rais.
Rakan saya, seorang wartawan penyiaran, menasihatkan agar Harakah lebih menumpukan perbahasan mengenai manifesto, terutama penjelasan Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli, dan usah membazir masa kepada salahguna kuasa BN menggunakan dana dan kemudahan awam untuk berkempen PRU13.Sukar memenuhi permintaannya apatah lagi melihat Najib Razak semakin ligat memperalat jentera kerajaan mempertahankan Putrajaya. Isnin lalu, melalui Buletin Utama TV3, saya melihat pesara kerajaan mempamerkan slogan "I Love BN", dalam program bersama Perdana Menteri. Pastinya bahan kempen itu disediakan Jabatan Perdana Menteri.
Itu hanya sekelumit bukti daripada rangkaian besar penyalahgunaan kuasa oleh BN.
Baru dua hari manifesto BN dilancarkan, di waktu "media talibarut" memberikan liputan luar biasa, reaksi rakyat tentunya mendukacitakan Najib. Ia menjadi bahan persendaan, terutama dalam internet, malah media antarabangsa, seperti Bloomberg turut mengesahkan manifesto itu hasil ciplakan Manifesto Rakyat.
"Kenapa dalam masa lebih 50 tahun, baru nak turun harga kereta? Dah 50 tahun lebih memerintah baru nak turun harga kereta. Bila kita buat, dia pun buat," kata Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Menurut Rafizi, hanya 14 peratus atau 22 janji BN itu (daripada 157 janji) adalah idea baru yang belum diumumkan atau dilaksanakan. "Tindakan menciplak ini terutama berhubung perkara besar seperti menurunkan harga kereta, menghapuskan tol, memberi permit teksi individu, peranan kerajaan membina rumah rakyat supaya tidak ditinggalkan kepada swasta, membina rumah untuk pekerja estet dan bantuan yang adil kepada sekolah menggambarkan BN akhirnya menerima hakikat Manifesto Rakyat adalah baik, mampu dilaksanakan dan menepati harapan rakyat," katanya.
Sebelum ini, pemimpin BN termasuk di peringkat tertinggi menyifatkan kebanyakan tawaran dalam Manifesto Rakyat bakal membankrapkan negara. Sebaik BN mengemukakan tawaran hampir serupa, sudah tentulah pemimpin sama bijak "bersilat lidah", malah ramai yang bergelar penganalisis politik, termasuk bertaraf profesor yang dahulunya turut "membelasah" Pakatan, kini menyokong 100 peratus janji-janji BN itu.
Saya tidak risau polemik berkaitan manifesto tiruan ini, cuma penjelasan harus disebar-luaskan ke segenap pelosok tanahair dalam bentuk perbandingan mudah, termasuk pemahaman tentang falsafah atau idea-idea besar yang membedakan tawaran BN dengan Pakatan, selain strategi jelas menurunkan kos hidup dan usaha mengeluarkan Malaysia daripada perangkap pendapatan sederhana.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menekankan: Pada tahun 1966, KDNK Malaysia perkapita adalah USD350, mendahului Korea Selatan sebanyak USD130. Hampir 50 tahun kemudian, KDNK Malaysia meningkat sehingga USD9,977 manakala Korea Selatan pula melonjak jauh mendahului Malaysia kepada USD22,424. Sehingga 31 Dis 2012, hutang Kerajaan Pusat sebanyak RM502 bilion, peningkatan 89% berbanding akhir 2007, RM266 bilion.
Selain manifesto, senarai calon-calon yang diumumkan turut menjadi tumpuan dan perhatian masyarakat. Saya tertarik dengan pengumuman Presiden PAS yang menamakan dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Husam Musa, untuk bertanding kerusi Parlimen Pulai dan Putrajaya.
Kedua-dua tokoh ini dikira berpindah daripada kerusi selamat di Kelantan ke kawsan berisiko tinggi, terutama sekali Husam. Putrajaya, berdasarkan undi yang diperolehi calon KeADILan dan PAS, masing-masing pada tahun 2004 dan 2008, merupakan kerusi selesa buat BN. Pada PRU2004, saingan BN hilang wang pertaruhan dan lima tahun lalu hanya meraih sekitar 25 peratus sokongan.
Mengenali Husam, tindakan "berani mati" itu membawa mesej dan isyarat jelas tentang kesungguhan PAS bersama-sama Pakatan Rakyat untuk menerajui Kerajaan Persekutuan. Selama ini, secara diam-diam, beliau memang disanjung oleh kakitangan awam, hatta dihormati pemimpin kanan kerajaan, termasuk bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Jika Salahuddin dan Lim Kit Siang mahu memastikan tsunami politik kali ini bersifat menyeluruh dan bermula dari selatan, kehadiran Husam di pusat pentadbiran kerajaan bakal menyempurnakan misi perubahan.
Sekadar membayangkan galasan amanah berat itu saja sudah cukup sukar dan membebankan, namun personaliti sehebat Husam menjadikan Putrajaya antara "kerusi panas" yang bukan hanya tumpuan media, tetapi digeruni penyandangnya.
-----
Artikel ini ditulis pada 9 April 2013
No comments:
Post a Comment