Sunday, March 23, 2014

15 tahun Reformasi, menteri cap ayam dan RON95

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Saya mulanya mahu mengimbau kembali nostalgia 15 tahun lalu: Refomasi. Tragedi pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan semua jawatan dalam kerajaan pada 2 September 1998, yang disusuli penyingkirannya daripada keahlian Umno, telah mengubah lanskap politik tanahair.

Majoriti rakyat, khususnya orang Melayu, yang sebelum itu nampak mudah "dijinakkan" dan kelihatan tidak sukar dilentur pendirian politik, tiba-tiba dengan berani bangun menyatakan sikap walaupun diketahui berbeda dengan elit penguasa. Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kawasan sekitarnya, yang panas dengan tembakan gas pemedih mata dan belantan FRU, menjadi gelanggang bermulanya babak politik baru.

Waktu itu, awalnya, saya sendiri agak kebingungan untuk mentafsirkan, apatah lagi mendefinisikan fenomena yang berlaku. Anwar yang menjadi sasaran kritikan dan belasahan dalam siri tulisan saya semasa menjawat Timbalan Perdana Menteri, diangkat sebagai ikon istimewa; bukan sekadar simbol penentangan terhadap kediktatoran, kezaliman, korupsi dan penyalahgunaan kuasa. 

Dalam masa singkat, hanya dalam tempoh kira-kira 18 hari, yakni sebelum ditangkap pada malam 20 September, Anwar berjaya menyampaikan "pendidikan politik" dengan cukup berkesan kepada audien yang membanjiri kediamannya di Jalan Setiamurni, Bukit Damansara dan yang memeriahkan siri jelajahnya di seluruh negara.

Muncul ramai aktor baru politik, yang selama ini bagai tidak peduli dengan perkembangan siasah, dan mungkin membencinya. Anak-anak muda, lelaki dan wanita, termasuk golongan berpendidikan tinggi dan kelas menengah, bersuara lantang di jalan-jalan raya. Gema "reformasi" seakan berjaya menggoncang Seri Perdana serta membingitkan telinga Dr Mahathir Mohamad.


Zaman rakyat akur apa saja titah pemerintah sudah berlalu. Daleh Dr Mahathir berkaitan kejijikan akhlak untuk memecat Anwar ditolak mentah-mentah. Umum dapat memahami bahawa punca kepada segala konflik dan pertembungan ketika itu adalah KUASA. Kuasa mewajarkan fitnah, penipuan, pembohongan, penindasan dan pengkhianatan. Seorang rakan karib boleh bertukar seteru ketat hanya kerana mempertahankan takhta.

Isu-isu yang sebelumnya dianggap abstrak dan sukar difahami (juga pernah mengecewakan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1995), seperti hak asasi manusia, kewibawaan badan kehakiman, manipulasi jentera kerajaan, kebebasan akhbar, rasuah, keadilan, kronisme, transparensi pengurusan dana awam dan integriti institusi awam, misalnya PDRM dan SPRM (waktu itu BPR), menjadi basahan bibir.

Namun begitu, berbanding dengan rakan sejawatnya, Sukarno di Indonesia, Dr Mahathir tetap dapat bertahan, malah penguasaan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dalam PRU10 pada November 1999 tidak terjejas.

Peningkatan sokongan kepada Barisan Alternatif (menggabungkan PAS, Keadilan, DAP dan PRM) di bandar-bandar besar -- yang selama ini sukar mendapat tempat -- terutama sekitar Lembah Klang memang ketara sekali, tetapi ia belum cukup untuk memenangkan kerusi Parlimen yang ditandingi.

Di kala pengundi Melayu sederap bangun memprotes, sehingga Terengganu tumbang (BN hanya tinggal 4 kerusi berbanding jumlah 32 Dun, manakala sifar di peringkat Parlimen), masyarakat Tionghua dan India menjadi penyelamat kepada BN. Sentimen perkauman dieksploitasi dan menjadi benteng kebal buat Umno-BN (bukan saja 15 tahun lalu, malah masih berbisa sehingga kini, seperti ditunjukkan dalam PRU13, walaupun dalam bentuk berbeda).

Apakah Reformasi yang dicetuskan pada hujung 1998 itu boleh disifatkan belum matang dan telah kecundang di tengah jalan? Seorang rakan berpendapat, Indonesia sememangnya berbeda dengan kemajmukan politik Malaysia untuk diimport 'kejayaan' reformasi mereka. Benarkah kerana Dr Mahathir gagal dijatuhkan, sama ada melalui tekanan demonstrasi ataupun pilihan raya 1999, maka bermakna Reformasi kini hanya terselit dalam lipatan sejarah?

Tiga bulan sebelum Anwar dipecat dan kemudiannya melancarkan Deklarasi Permatang Pauh pada 12 September 1998, saya menulis dan menerbitkan buku berjudul Layakkah Anwar Ketua Reformasi?: Mencari pemimpin berjiwa rakyat, perangi korupsi, hindari nepotisme, telus dan luhur akhlaknya.

Saya memang dilihat mencurigai keupayaan Anwar untuk menggerakkan perubahan seutuhnya memandangkan prestasi beliau dalam Umno, dan saya dikritik hebat penyokongnya.  Saya dikatakan lebih menanggapi Anwar sebagai mangsa kezaliman yang teraniaya daripada sosok seorang wira atau pejuang keadilan.

Apa pun, dalam diam, saya tetap akur dan memandang tinggi faktor Anwar, yang mampu menggembleng setiap potensi kekuatan (walaupun selama ini "berbeda kutub") untuk bersama-sama merintis perubahan. Dan buku-buku saya, susulan pemecatan Anwar cukup laris di pasaran, sehingga jumlah cetak-rompak lebih tinggi berbanding naskhah tulen!

Ya, riuh-rendah bantahan kepada Umno-BN dan regim Dr Mahathir di lapangan tidak semestinya diterjemahkan dalam bentuk undi semasa pilihan raya. Ruang memperbaiki diri dimanfaatkan (sekurang-kurangnya untuk mengubah persepsi) dalam tempoh hampir lima tahun, termasuk pengunduran Dr Mahathir menjelang PRU2004. Dan rakyat lebih tersilau dengan paparan imej penggantinya, Mr Clean, Abdullah Ahmad Badawi

"Politik Malaysia selepas 2 September 1998 tidak akan sama lagi dengan sebelumnya." Saya masih ingat kata-kata penyanyi Ito, walaupun dilafazkan sejurus kekalahan besar Barisan Alternatif pada pilihan raya Mac 2004 yang menyaksikan BN di bawah  Abdullah menang lebih 90 peratus jumlah kerusi Parlimen.

Saya tertarik dengan ungkapan Ito itu. Kemenangan luarbiasa Abdullah hanya sementara. Rakyat bersedia untuk memberi peluang kepada pimpinan baru, tetapi penghakiman mereka tetap kritis dan teropong penilaian semakin tajam. Proses pembodohan umat yang direncanakan para strategis Umno-BN tetap berjalan namun minda orang ramai kian terbuka.

Cuma, ada rakan-rakan penyokong Pakatan Rakyat agak keliru dengan situasi selepas PRU13. "Pencapaian kita jauh lebih baik berbanding PRU12 walaupun kalah di Kedah. Pakatan menang hampir semua ibu-ibu negeri. Najib Razak sendiri mengakui BN perlu bertindak proaktif dan melakukan penyesuaian sebelum disokong semula pengundi bandar. Soalnya, mengapa saya lihat ramai pemimpin dan aktivis Pakatan seperti patah semangat, hilang motivasi dan lebih bertembung sesama sendiri," kata seorang daripadanya.


"Kebimbangan saya bukan rakyat jemu dengan Pakatan tapi saya risau dengan komitmen pemimpin Pakatan untuk terus mendekati rakyat. Meningkatkan kesedaran politik orang Melayu, memahami sensitiviti dan minda terkurung mereka, terutama mengenai isu-isu kemelayuan dan keagamaan," tambahnya, separuh curiga.

"Masa depan Pakatan cerah," pintas seorang lagi rakan, "cuma takut kita terlalu mengambil mudah sehingga tidak berusaha melakukan penambahbaikan. Atau terlalu pesimis sehingga hilang semangat untuk bersaing dengan Umno-BN. Pakatan perlu tonjolkan lebih ramai pemimpin muda berketrampilan. Sampai masanya fikirkan generasi selepas Tok Guru Nik Aziz, Anwar Ibrahim, Ustaz Hadi Awang dan Lim Kit Siang."

Opps ... sebenarnya saya mahu menyinggung isu kenaikan harga petrol RON95 dan diesel (di kala rakyat menggelupur diasak kenaikan kos sara hidup), serta peningkatan hutang rasmi kerajaan daripada RM502 bilion kepada RM650 bilion. Padah buruk perbelanjaan boros kerajaan, termasuk yang bocor melalui amalan korupsi tidak terkawal, mahu dipindahkan menjadi bebanan rakyat.

Jaminan penjimatan subsidi untuk kesenangan majoriti rakyat, selain janji-janji kosong mahu meningkatkan efisiensi sistem pengangkutan awam, tidak dapat ditelan lagi. Ikrar untuk menambah bayaran saguhati BR1M dalam Bajet 2014 juga tidak dapat mengurangkan beban rakyat, selain menambahburuk lagi ekonomi negara. Apatah lagi sektor masyarakat yang tidak layak mendapat subsidi BR1M (berpendapatan lebih RM3,000 sebulan) juga terperangkap dalam lingkaran ganas kemiskinan bandar.

Mengenangkan pemilik kenderaan sanggup bergegas beratur panjang untuk mengisi tangki minyak pada malam Selasa lalu, beberapa ketika sebelum harga dinaikkan, saya tertanya-tanya apakah yang tersirat di sebalik "kesungguhan" itu ... 

Lebih pelik apabila sang menteri pengguna, Hasan Malek, terus ghairah memperbodohkan rakyat apabila buat lawak-bodoh bahawa kenaikan harga minyak hanya menyebabkan peningkatan harga barangan hanya  sebanyak 0.1 peratus!

Semasa Ramadan lalu, ketika harga ayam naik, menteri sama mencadangkan agar pengguna menukar selera kepada menu selain ayam!  

No comments: