Ahmad Lutfi Othman
Bumi Mesir terus menggelegak. Darah syuhada di bumi para anbiya itu mengalir deras. Pesta pembunuhan seolah-olah baru bermula. Rakyat dengan tangan kosong ditembak di kepala, bertujuan untuk membunuh.Ikhwanul Muslimin kembali meniti liku-liku sukar sepertimana 60 tahun dulu. Tuduhan palsu berulang untuk mensabitkan pemimpinnya, termasuk Morsi, dengan jenayah berat, yang mungkin membawa hukuman mati.
Kudeta tentera yang menguburkan suara rakyat mendedahkan bukan saja hipokrasi Barat yang selama ini kononnya mempamerkan imej wira demokrasi tetapi menyerlahkan sikap lapuk kerajaan Malaysia sendiri, yang "tidak mahu campur tangan". Dua ahli Parlimen DAP, V Sivakumar dan Liew Chin Tong membidas: "Jika Malaysia tidak bersuara untuk kebenaran, keamanan, hak asasi manusia dan demokrasi di dunia Muslim, negara mana lagi yang akan bersuara?"
(Sikap negara Islam khususnya di Timur Tengah lebih aneh lagi. Seperti kata Prof Dr Redzuan Othman, ketika saya menemubualnya, pertengahan Julai lalu: "Anehnya, rampasan kuasa di Mesir bukannya dikutuk, tetapi sebaliknya dijanjikan dengan bantuan kewangan. Arab Saudi dan beberapa negara Teluk yang merupakan sekutu kuat AS dan amat khuatir dengan perluasan pengaruh Ikhwanul Muslimin menjanjikan bantuan sebanyak USD 12 billion kepada Mesir sebaik-baik sahaja Morsi dilucutkan jawatan oleh tentera.")
Najib Razak seperti menunggu restu Amerika Syarikat dan kuasa Eropah sebelum memberi respons lebih tegas. Tiga isu besar didiamkan: Kerajaan yang dipilih secara demokratik digulingkan; presiden terus ditahan secara misteri; dan penyokongnya yang memprotes dibunuh.
Gerakan Islam dan masyarakat sivil, termasuk di Malaysia perlu lebih proaktif. Justeru, saya menyokong sepenuhnya gesaan Cikgu Azmi Abd Hamid dan gabungan NGO Muslim agar digerakkan satu demonstrasi besar-besaran di hadapan Kedutaan AS di Kuala Lumpur, setidak-tidaknya menyamai himpunan raksasa Bersih.
Ya, salurkan juga bantuan kewangan, sekurang-kurangnya untuk membiayai juadah iftar dan sahur demonstran di Dataran Rabaah Adawiyah, Kaherah, sambil merebut kelebihan 10 hari terakhir Ramadan, selain pahala berlipat ganda memberi makan orang berbuka puasa. Ada rakan-rakan di sana yang boleh menyampaikan terus kepada aktivis yang istiqamah berkhemah menuntut keadilan, insya-Allah.
Dalam negara pula, maruah dan integriti pihak polis -- juga keupayaan kerajaan persekutuan untuk menjaga keselamatan -- terjejas dengan cukup teruk-dahsyat apabila siri tragedi pembunuhan dan tembakan di siang hari menggunakan senjata api, tanpa motif rompakan atau samun, semakin berleluasa.
Lebih buruk jika ada anggapan bahawa keselamatan kini seolah-olah terletak di atas ehsan penjenayah! Pelik bunyinya tetapi kita bimbang jika benar negara hanya selamat kerana penjenayah tidak mahu membuat onar, tetapi sekiranya mereka mengamuk, ketenteraman akan punah.
Malah, kes tembakan "whistleblower" Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan di satu persimpangan jalan di Bahau, 27 Julai lalu, juga dikaitkan hubungan polis dengan kongsi gelap dan pembunuh upahan. Beberapa jam sebelum ditembak, Sanjeevan menulis di Twitter, seorang anggota polis mengancam memberi senjata kepada anggota sebuah sindiket untuk menembak rumahnya.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, yang juga Penaung MyWatch tidak menolak kemungkinan percubaan membunuh Sanjeevan itu ada kaitan dengan pendedahannya mengenai komplot polis-penjenayah. Khususnya berkaitan sindiket pengedaran dadah, sudah menjadi rahsia umum mengapa jenayah tersebut sukar dibendung, dan antara puncanya ialah "pakatan sulit" yang terus terjalin ...
Secara peribadi, saya pernah mendengar perbualan sesama pegawai polis, "daripada sibuk dengan tugas mengawasi pergerakan dan aktiviti pemimpin politik pembangkang, lebih baik aku dipindahkan ke bahagian narkotik, senang buat duit..." Alamak, terkejut beruk saya dengan bicara itu, sekitar 24 tahun lalu, dan saya tidak menganggapnya satu jenaka.
Ia turut mengingatkan kita kepada insiden Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Dato' Shaharuddin Ibrahim, 58, yang maut ditembak tiga das di leher dan kepala, akhir April lalu, dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, jam 8.15 pagi, di persimpangan lampu isyarat.
Shaharuddin dikatakan seorang pegawai awam yang berintegriti tinggi dan tidak bersedia berkompromi dengan jenayah berkaitan kastam. Allahyarham akhirnya membayar harga mahal dengan prinsip yang digigitnya itu.
Soalnya, apa mesej atau isyarat jelas daripada kes tembakan dan pembunuhan secara terbuka, di siang hari, menggunakan senjata api ini? Bagaimana senjata berbahaya tersebut dapat beredar dengan mudah dalam negara yang mengenakan penalti cukup berat, iaitu mati mandatori?
Dalam masa sama, bandar-bandar di Malaysia, khususnya Kuala Lumpur mungkin akan tersenarai di antara kota paling tidak selamat di dunia, dan tanggapan itu tidak lagi satu persepsi, malah terkandung dalam tinjauan internet. Pasukan polis kita akan dicurigai; tentunya ia memburukkan lagi situasi, termasuk pada kacamata pelabur dan pelancong asing. Manakala krisis keyakinan ke atas kecekapan, independen dan profesionalisme polis amat sukar disekat lagi.
Kenyataan Lim Guan Eng mengenai jawapan Menteri Dalam Negeri bahawa hanya 9% angota polis terlibat langsung dalam membanteras jenayah juga mengejutkan. Katanya, bilangan itu patut dinaikkan ke tahap 50%. (Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching, Menteri Dalam Negeri berkata, "sejumlah 112,583 anggota polis berpakaian seragam, 10,150 (9%) berada dalam Jabatan Siasatan Jenayah, 4224 (3.8%) dalam Siasatan Jenayah Narkotik dan 1,663 (1.4%) di Jabatan Siasatan Komersial.")
"Penekanan utama Kerajaan Persekutuan menumpukan semula pasukan polis dalam membanteras jenayah dan bukannya berurusan dengan musuh politik BN," kata Setiausaha Agung DAP itu. Dan jawapannya masih tersangkut di atas penangguhan IPCMC, seperti dicadangkan Suruhanjaya Diraja, 2006, yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dzaidin Ab dullah. (Antara ahli-ahli lain suruhanjaya tersebut ialah dua lagi bekas ketua hakim, Tun Salleh Abas dan Tun Zaki Azmi, serta bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar).
Sejak merdeka, Perikatan dan kemudiannya BN sentiasa memanipulasi isu keselamatan bagi menjamin survival kuasa mereka, seolah-olah parti oposisi lain langsung tidak berperanan untuk menstabilkan tanahair. Apakah dengan peningkatan kadar jenayah berat, yang kini menimbulkan suasana cemas rakyat -- apatah lagi polis dikatakan berkomplot dengan penjenayah -- bagai aksi filem Tamil-Hindi, maka ia turut memberi kesan kepada lanskap politik negara, meskipun PRU13 baru saja berlalu?
Bagi saya, faktor keselamatan dan ketenteraman awam bukan suatu permainan atau bahan dagangan politik. Kerajaan Persekutuan yang dipertanggungjawabkan gagal menunaikan amanah maha penting ini. Apakah kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat perlu mengambil inisiatif tersendiri bagi mengatasi krisis serius ini, selain membekal dan memasang lebih banyak CCTV di lokasi strategik dan kritikal?
Soalnya, bolehkah kerajaan negeri, menggunakan sumber kewangan sendiri untuk membentuk pasukan beruniform bagi memastikan keselamatan orang awam daripada jenayah? (Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan agar Unit Agama PDRM dapat ditransformasikan kepada Kor Agama).
Di Mesir, tentera yang diharap mempertahankan kedaulatan rakyat -- dan dipercayai pemerintah, khususnya Morsi yang cukup bersangka baik -- akhirnya telah mengkhianati dan menikam balik. Sementara polis Malaysia dibimbangi terjebak dalam perangkap "harapkan pagar, pagar makan padi". Ya, sungguh menakutkan jika itu benar-benar berlaku!
Secara peribadi, saya amat mengharapkan Najib, dalam sidang Parlimen September akan datang, dapat mengemukakan rang undang-undang bagi memastikan IPCMC benar-benar dapat direalisasikan. Titik!
No comments:
Post a Comment