Sunday, March 23, 2014

Bersihkan imej Ibrahim Libya dan bayar pampasan mangsa Memali

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Berbanding akhbar-akhbar milik Umno dan komponen BN yang lain, The Star yang dikuasai sepenuhnya oleh MCA, tetap dilihat mempunyai keunikan tersendiri.  Sebelum Operasi Lalang, hujung 1987, yang menyaksikan hampir 110 aktivis ditahan ISA tanpa bicara dan penggantungan permit penerbitan beberapa akhbar, termasuk The Star, Watan dan Sin Chew Jit Poh, akhbar ini boleh berbangga dengan kebebasan editorialnya.

Kita masih dapat membaca pandangan kedua, yang tidak digemari elit pemerintah. Malah, tulisan penasihatnya, Tunku Abdul Rahman juga dilihat berani dan berterus terang. Malah,paparan muka depannya, dengan tajuk besar DETAINED, tentang tangkapan awal 27 Oktober 1987, mudah diingati dan dianggap "klasik". 

Sepanjang lebih 25 tahun kemudiannya, meskipun kualiti kandungannya terjejas, terutama apabila membabitkan oposisi, The Star masih memuatkan analisis dan sudut pandangan menarik.

Sekurang-kurangnya masih boleh ditatap berbanding rencana dalam Utusan Malaysia ataupun Berita Harian! Dan saya secara peribadi meminati analisis wartawan kanannya, Joceline Tan, terutama ketika membuat sorotan terhadap situasi parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Nampak adil, tidak bias dan cuba mengangkat isu-isu yang cukup relevan dengan tema utama.

Namun begitu, sikap akhbar ini terhadap Islam cukup menyedihkan. PAS sentiasa digambarkan sebagai parti Islam yang ekstrem dan mengancam kebebasan beragama rakyat bukan Islam.

Kita tidak perlu menunggu lama untuk membaca laporan penuh syak wasangka dan "bermotif jahat" tentang apa-apa perkembangan berkaitan bukan Islam di Kelantan, misalnya mengenai peraturan kecil di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) Kota Bharu.

Ketika PAS dianggap parti kecil dan tercorot dalam Pakatan, serta ditohmah menjadi kuda tunggangan DAP, The Star melihat daripada sudut berbeda. Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang cuba ditonjolkan sebagai bakal Perdana Menteri jika Pakatan menang dalam PRU13. Dalam sudut ini, ia berada dalam posisi bertentangan dengan Utusan Malaysia.

Sokongan perwakilan PAS, dalam muktamar di Kota Bharu pada 2012, kepada Ustaz Hadi sebagai bakal PM dijadikan tajuk muka depan The Star. Tujuannya adalah untuk menakutkan masyarakat bukan Islam, dengan anggapan PAS akan menerajui kerajaan baru dan melakukan pembaharuan yang tidak disenangi non-Muslim.

Sebagai seorang wartawan, saya sedikit sebanyak dapat memahami fungsi dan peranan politikal The Star ini, terutama untuk menjauhkan masyarakat Tionghua daripada PAS. Tidak pelik pun jika ia menjalankan tugas strategik itu, apatah lagi dalam kedudukan MCA kini pada tahap terburuk.

Cuma, saya tetap curiga apabila The Star seringkali tidak dapat "menangkap" sensitivi umat Islam, yang diserlahkan dalam beberapa laporan, misalnya hidangan daging babi semasa Ramadan.

(Dari sudut lain, saya seakan-akan mencemburui kejayaan The Star, terutama untuk kekal sebagai akhbar paling tinggi edarannya dan mungkin prestasi terbaik dalam aspek komersil).

Justeru, apabila akhbar Inggeris terlaris ini menyenaraikan Peristiwa Memali sebagai, antara kes ajaran sesat terbesar, susulan laporan tentang pembunuhan pegawai kanan Jabatan Agama Islam Pahang, yang dipercayai dilakukan kumpulan Tuhan Harun, saya "dapat memahami puncanya".

Selain sikap prasangka The Star, saya lebih suka merujuk dokumen rasmi kerajaan mengenai tragedi berdarah yang mengorbankan Assyahid Ibrahim Libya, anak-anak muridnya dan anggota keselamatan ini.

Dalam Kertas Putih yang dikeluarkan pada 25 Februari 1986, kira-kira tiga bulan selepas Peristiwa Memali,  diakui bahawa operasi polis pada 19 November 1985 itu adalah untuk menangkap Ustaz Ibrahim dan dua orang lain, yang dikatakan terlibat dalam kegiatan jenayah, di bawah ISA.

Menteri Dalam Negeri, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam menyifatkan Ustaz Ibrahim sebagai pelampau agama. Dalam Kertas Putih itu disertakan juga dua gambar, kononnya menunjukkan "tangkal azimat yang digunakan oleh pengikut Ibrahim Mahmood" dan "kolah yang mengandungi air berjampi". Soal tangkal, jampi dan azimat juga disebut secara khusus.

Dalam memoir Doktor Umum (terbitan MPH< 2012), Dr Mahathir Mohamad, pada halaman 7 dan 8, telah menyenaraikan  beberapa insiden "pelampau Melayu Islam". Tiga insiden dipilih Dr Mahathir  sebagai contoh.

Pertama, pada 26 Mei 1979, kes pencerobohan kuil Hindu, yang mengakibatkan empat terbunuh. Kedua, pada 16 Oktober 1980, di Batu Pahat, Johor, penganut ajaran sesat menyerang sebuah balai polis dan lapan mati. Ketiga, "satu lagi peristiwa yang seakan-akan sama, tetapi lebih serius berlaku pada lewat 1985 apabila seorang lelaki bergelar Ibrahim Libya dan pengikut fahaman sesatnya memberontak di Kampung Memali, Baling, Kedah."


Difahamkan, Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada skrin di bilik pamerannya, masih menggunakan istilah "ketua penjenayah", merujuk kepada Ustaz Ibrahim.
 
Pada hemat saya, selain menuntut sensitiviti The Star, segala dokumen rasmi pemerintah terhadap Peristiwa Memali, termasuk catatan personal tokoh berpengaruh -- seperti dalam memoir bekas Perdana Menteri itu -- hendaklah diperbetulkan. Semua tohmahan yang sarat dengan motif jahat mesti dibersihkan.

Kerajaan perlu memohon maaf dan membayar pampasan setimpal kepada mangsa dan keluarga. Jika bekas Ketua Hakim Negara dan lima Hakim Mahkamah Agung yang dipecat dan digantung dalam "krisis kebebasan badan kehakiman" era Dr Mahathir pada 1988 boleh diberikan "pampasan" oleh pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi pada April 2008,  mengapa pejuang rakyat yang dizalimi tidak berhak, sekurang-kurangnya  untuk dipulihkan nama baik mereka?

Bukan hanya ISA -- yang ditentang habis-habisan dan dipertaruhkan dengan nyawa Ustaz Ibrahim -- dimansuhkan, malah lebih penting, nama baik semua tahanan akta rimba itu mesti dipulihkan, termasuk sejak zaman Ahmad Boestamam dan Dr Burhanuddin Al-Helmi. (Ramai tidak menyedari, berbeda dengan tahanan-tahanan tanpa bicara yang lain, Ustaz Ibrahim tidak bersedia untuk dikurung begitu sahaja; beliau menentang ISA sehingga nyawanya melayang).


Sedih sekali, penghormatan Sultan Kedah, yang pernah menziarahi pusara Assyahid Ibrahim Libya, di Pasir Panjang, dan menyiram air mawar, seperti tidak dipedulikan. Maka satu tindakan lebih menyeluruh harus dibuat untuk menghentikan tohmahan tidak berasas ini.

Semasa meneliti buku Memali Kenangan Seorang Polis (terbitan Marshall Cavendish, 2012), karya Tunku Muszaffar Shah Tunku Ibrahim, Ketua Polis Daerah Baling ketika tragedi berdarah itu berlaku, saya tertarik dengan rumusan penulis pada halaman 99:

"Ibrahim Mahmood bukanlah seorang penjenayah dan dia juga bukan seorang pengganas komunis yang sangat dikehendaki 'Hidup atau Mati'. Dia cuma seorang ahli politik (yang agak militan, mungkion). Di kalangan masyarakat setempatnya dia seorang Tok Guru yang sangat dihormati."
   

No comments: