Oleh Ahmad Lutfi Othman
Dua kolumnis Harakah, Subky Abdul Latif dan Zulkifli Yahya memberi teguran terbuka kepada perjalanan Muktamar PAS Ke-59, dua minggu lalu, melalui lidah rasmi ini.
Pak Subky memberikan tumpuan terhadap majlis perasmian, yang wajar diringkaskan memandangkan aturcara padat menjelang solat Jumaat, menyebabkan terkejar-kejar mencari masjid terdekat. Beliau juga tidak selesa dengan gurauan dan jenaka Pengerusi Tetap.
Hadirin tidak dapat bersapa mesra dan bertanya khabar, sedangkan acara penting itu wajar memberi ruang agak kondusif untuk saling merapatkan ukhuwwah, terutama bagi tetamu jemputan tentunya tidak akan mengikuti sidang perbahasan seterusnya.
Penulis Nota Utara pula memperincikan kesilapan proses pemilihan, antaranya, berkaitan nama-nama atas kertas undi dan slip mengundi yang dilekatkan dengan stapler, khususnya 62 keping untuk pertandingan AJK PAS Pusat (yang disifatkan kertas undi terpelik di dunia).
"PAS banyak mengkritik SPR. Sepatutnya SPR diajar cara menguruskan pemilihan dengan adil dan terus serta dilihat adil dan telus. Tercedera pula nampaknya kali ini," rumus Zulkifli.
Kritikan Zul agak keras -- mungkin Pak Subky lebih berhemah tetapi masih menyengat dan berbisa -- tapi saya tidak bercadang untuk mengeditnya. Motif dan hasrat tulus mereka biar jelas difahami.
Saya percaya pimpinan PAS memandang serius komentar kedua-dua penulis itu, bagi memastikan bukan saja kesilapan sama tidak berulang, malah berusaha melakukan penambahbaikan bagi memajukan lagi parti.
(Harakah juga tidak sunyi daripada kesilapan! Tajuk berita Adun Sungai Limau mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat, dalam Harakah 2-5 Disember, "Ustaz Abd Samat angkah sumpah Adun" memang tidak sepatutnya berlaku. Sepatutnya "Ustaz Mohd Azam", bukan bapanya; tetapi itulah yang terjadi, tidak boleh diperbetulkan lagi, sekadar memohon maaf dan ralat).
Bukan bertujuan "rumah siap pahat berbunyi", tetapi saya kira beberapa pandangan berbeda ada manfaatnya jika diteliti.
Seorang pembaca, yang memperkenalkan diri sebagai Azlan, mempersoalkan, mengapa proses pengundian tidak boleh dijalankan serentak, dengan penjadualan yang lebih kemas dan sistematik, bersama dengan sesi perbahasan ucapan dasar Presiden PAS pada sebelah petang Jumaat.
"Masa terlalu suntuk, sedangkan tempoh lebih lama perlu diberikan kepada wakil negeri atau dewan-dewan untuk berucap. Seeloknya seorang 30 minit. Muktamar adalah peluang terbuka untuk suara akar umbi didengar," tegasnya dalam emel yang agak panjang.
Azlan kecewa apabila tiada tetamu kehormat gerakan Islam antarabangsa, "sedangkan," katanya, "PAS mempunyai hubungan erat dengan pelbagai pertubuhan di seluruh dunia, khususnya Ikhwanul Muslimin dan jamaah Islam di Turki."
"Saya cadang perbahasan ucapan dasar bermula petang Jumaat sampai senja Sabtu," kata seorang rakan dari Jitra yang turut ke Stadium Malawati. "Dan perbahasan usul bermula pagi Ahad hingga tengaharinya. Ucapan penggulungan biarlah bermula petang Ahad, dan tak perlu semua pimpinan nak berucap. Ramai sangat pimpinan mahu beri respons."
"Eloknya macam jadual aturcara Perhimpunan Agung Umno aja," usik saya. "Yang baik, dari mana pun, apa salahnya, 'kan? Kunci kata di sini, bagi ruang lebih panjang untuk perwakilan, bukannya pimpinan," cepat dia memintas.
Sahabat saya itu turut bertanya, mengapa tahun ini terasa macam tidak berseri program ceramah perdana besar-besaran. "Selalunya, semasa muktamar sebelum ini, pidato umum menjadi tarikan utama, termasuk apabila ada tetamu luar negara yang turut berceramah," tambahnya. "Mungkin orang PAS dah tak teruja lagi dengan ceramah, kot?" usiknya.
Apa pun, sekalung tahniah dan penghargaan buat semua petugas muktamar.
II.
Majoriti rakyat yang sedia mengikat perut ekoran kenaikan kos barangan keperluan dan perkhidmatan terpaksa menanggung beban berterusan.
Sejurus pemansuhan subsidi gula sebanyak 34 sen dan peningkatan harga petrol, yang menyebabkan kesan berganda-berrantai, kini taraf elektrik pula melonjak sehingga 17 peratus.
Ya, satu lonjakan dua digit, yang terlalu besar dan memeranjatkan.
Ketika orang ramai masih risau dan bimbang dengan cadangan perlaksanaan GST (cukai barangan dan perkhidmatan), yang akan melebarluaskan lagi kelompok pembayar cukai, beban baru pula sedia menunggu pada awal tahun baru, 2014.
Saya juga terganggu dengan ucapan Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming: "Saya telah buat suatu kajian untuk membandingkan barang-barang yang dikecualikan daripada cukai jualan dan GST. Senarai penuh barang yang dikecualikan daripada cukai jualan boleh didapati dalam Jadual 1 “Perintah Cukai Jualan (Kadar Cukai No.2) 2012” ataupun Sales Tax (Rates of Tax No.2) (2012) dalam Warta Kerajaan Persekutuan ataupun Federal Government Gazette.
"Saya bukan pakar cukai tetapi mengikut Jadual 1, antara contoh barangan yang dikecualikan daripada Sales Tax adalah susu berkrim, teh, kopi, jem, buah-buahan di dalam tin, air mineral, teh dan kopi, barangan dapur, beg sekolah, majalah, surat khabar, telefon bimbit, dan lain-lain.
"Kebanyakan barangan ini bukan barangan luxury. Tetapi barangan tersebut yang sebelum ini tidak dikenakan Sales Tax akan dikenakan GST 6% sekiranya tidak dikecualikan daripada GST. Ada juga barangan yang dikenakan cukai jualan sebanyak 5% seperti simen dan buah-buahan dan kadar cukai ini akan dinaikkan kepada 6% selepas GST."
Seperti juga gula dan petrol, kenaikan tarif elektrik akan menyebabkan kadar inflasi meningkat kerana ia mempunyai kesan berantai yang hebat apabila pengeluar dan peniaga memindahkan beban yang ditanggung kepada pengguna.
Menurut angka rasmi, kadar inflasi di Malaysia sekitar 2 hingga 3 peratus, tetapi bagi
Ong Kian Ming, bagi kawasan bandar ia mungkin pada paras 10 peratus. Mengulas kesan semakan tarif elektrik itu, Gabenor Bank Negara, Akhtar Aziz berkata, penilaian awal menjangkakan ia mungkin menyebabkan inflasi mencecah 3.0%, daripada kadar semasa 2.8%.
Impak kesan domino ini akhirnya adalah kepada pengguna, terutama rakyat yang berpendapatan rendah. Dianggarkan lebih 55 peratus penduduk negara ini mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM4,000 yang dijangka tidak dapat menyerap kenaikan tersebut.
Begitu juga dengan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS), mereka tiada perlindungan daripada kesan kenaikan tarif ini.
"Tenaga elektrik merupakan komponen penting kepada kos struktur operasi kami, iaitu sekitar 6 hingga 16 peratus daripada keseluruhan kos pembuatan," kata Presiden Kebangsaan Persatuan IKS Malaysia, Teh Kee Sin.
"Purata kenaikan 16.85% bagi pengguna komersial akan mengurangkan pendapatan perniagaan sebanyak 2% hingga 4% menjadikan kami untung hanya 1%," kata Teh sambil memaklumkan margin keuntungan mereka sebelum ini di antara 3 hingga 8 peratus.
"Sekiranya kami tidak memindahkan kos kenaikan ini kepada pelanggan, ia berkemungkinan akan gulung tikar," ujarnya.
Presiden Persatuan Rangkaian Peruncit Malaysia, Nelson Kwok berkata: "Kenaikan sekitar 5% mungkin masih boleh ditangani, tetapi kenaikan 16% ini terlalu tinggi dan saya tidak tahu bagaimana cara untuk menyerapnya, kemungkinan besar harga runcit akan dinaikkan."
Selalunya, tanpa amaran awal daripada industri pun harga barangan dan perkhidmatan boleh melonjak secara tiba-tiba, apatah lagi apabila mereka sendiri sudah membuat unjuran yang membimbangkan itu.
Pensyarah sains politik, Dr Mohamad Agus Yusof menekankan, kesan kenaikan tarif elektrik dan harga barang tidak kepada golongan bawahan sahaja, tetapi juga kepada kelas menengah yang gajinya antara RM5-10 ribu sebulan. "Bayangkan kos kehidupan dengan ansuran rumah, minyak kereta, ansuran kereta, duit persekolahan anak, bayaran pembantu rumah dan bil yang meningkat, golongan kelas pertengahan juga tidak mampu menanggung beban kenaikan harga barang," luahnya dalam FB.
Dalam "kekalutan" ini, saya kira polemik peningkatan gaji dan elaun Menteri Besar, Exco, Speaker, Timbalan Speaker dan Adun Selangor boleh mengundang rasa tidak senang rakyat. Kenaikan gaji yang dilaporkan (dan diperbesarkan) sehingga 373% itu memang ada justifikasinya tetapi dengan peningkatan mendadak dan dibuat ketika ini, ia memberi mesej yang salah.
Pada hemat saya, ramai dapat bersetuju agar gaji dan elaun itu dinaikkan, bagi memberi kemudahan untuk menyumbang khidmat terbaik kepada rakyat, tetapi kadarnya dilihat tinggi, sepertimana kenaikan tarif elektrik juga.
"Elaun wakil rakyat kita adalah antara yang terendah di rantau ini, tapi semua tahu, pimpinan BN selama ini mempunyai saluran lain yang jauh lebih lumayan. Gaji mereka cuma lekat di celah gigi saja," hujah seorang penganalisis politik.
"Masa yang sama, saya perhatikan ada wakil rakyat Pakatan terpaksa mengikat perut, malah menjual aset demi berkhidmat, sekali gus menggajikan pembantu mereka. Maaf kalau saya sebut seorang daripadanya adalah Allahyarham Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali, sehingga akhir hayatnya, di atas katil hospital masih memikirkan dana untuk membantu masyarakat Titiwangsa. Lebih buruk, di Wilayah, tiada kerusi Dun," tambahnya.
"Benar, soalnya apakah gaji menteri yang tinggi, misalnya seperti di Singapura, boleh memastikan kadar rasuah rendah seperti berlaku di republik itu?" soal saya. "Apakah integriti mempunyai kaitan langsung dengan kadar elaun wakil rakyat atau menteri dan mereka tidak terlibat lagi dengan proksi perniagaan."
"Yalah, bagaimana mereka dapat bekerja dengan cemerlang jika keperluan hidup tak dapat dipenuhi, apatah lagi harapan masyarakat terhadap wakil rakyat tidak ubah seperti pegawai jabatan kebajikan. Anak sakit, nak buat kenduri, masuk sekolah, hatta bayar bil elektrik pun dicarinya wakil rakyat," jawabnya.
Sementara itu, ingatan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, lima tahun lalu, masih relevan untuk renungan bersama, bukannya merujuk isu kenaikan gaji ahli politik tetapi kemewahan dan gaya hidup membazir pembesar negara:
"Kita sepatutnya meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat di istana-istana raja dan sultan, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri? Apakah wajar keraian untuk orang-orang besar begitu mewah? Makanan yang dihidangkan, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan ratusan rakyat bawahan. Kapet yang dipijak harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’.
"Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini.
"Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat."
Korupsi, salahguna kuasa, dan pembaziran melampau dana awam ini mesti dihentikan. Sesunguhnya rakyat mempunyai kuasa dan pengaruh luar biasa untuk memastikan Malaysia diurustadbir secara lebih baik, cekap, telus dan beramanah.
No comments:
Post a Comment