Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
APABILA mingguan berita berbahasa Inggeris, The Heat, mula dipasarkan hampir empat bulan lalu, saya terlepas daripada mengikuti keluaran sulungnya. Sebaik mendapatkan edisi kedua di sebuah pasaraya besar di Ampang -- rupanya tidak banyak gerai akhbar menjualnya -- The Heat berjaya mencuri perhatian dan minat saya.
Ada usaha berani untuk melaporkan isu-isu kritikal dan mendesak dalam masyarakat, secara seimbang, adil dan menarik.Sejak itu, saya melanggan akhbar berharga RM3.60, yang antara lain mempunyai penampilan grafik memikat, dengan sorotan analisis menyeluruh dan agak luar biasa apabila semua bahannya daripada kumpulan wartawan sendiri. Maknanya, tiada laporan yang dipetik atau dilangan daripada agensi berita.
"Tidak mudah menyediakan analisis isu-isu besar saban minggu, dan saya bimbang The Heat hilang stamina untuk mempertahankan kualitinya," ujar seorang rakan, editor kanan di sebuah stesen penyiaran.
Kami berkongsi cerita tentang kesukaran mencari wartawan atau penulis yang baik, khususnya untuk menyediakan ulasan yang matang dan kredibel. "Ya, kita amat ketandusan wartawan yang brilliant, khususnya dalam bahasa Melayu, bagi memimpin idea dan pemikiran, juga mengetengah, menyelongkar dan membongkar isu-isu yang berkecamuk dalam negara," tambah saya.
Rakan saya itu menghadiahkan buku yang cukup banyak membantu, "Sembilan Elemen Jurnalisme: Apa yang Seharusnya Diketahui Wartawan dan Diharapkan Publik", terjemahan Indonesia karya Bill Kovach dan Tom Rosenstiel.
Antara elemen penting yang ditekankan dalam buku itu ialah kewajiban pertama jurnalisme pada kebenaran; loyaltis pertama kepada masyarakat; jurnalisme harus menjadi pemantau kekuasaan; harus berupaya keras untuk membuat hal yang penting menarik dan relevan; harus menyiarkan berita komprehensif dan proporsional.
Apa pun, malang sekali, edisi kontroversi The Heat, bilangan ke-12, isu 23-29 November, dengan paparan muka depan "All eyes on big spending Najib", tidak sempat saya tetap, disebabkan keuzuran berulang alik ke hospital.
Dan naskhah yang sedia ditempah itu entah hilang ke mana .... Pastinya ramai meminati tajuk muka depannya, berkaitan perbelanjaan besar Perdana Menteri dan karenah isterinya, susulan perdebatan hangat di Parlimen, perbahasan dalam Perhimpunan Agung Umno dan komentar A Kadir Jasin.
Singgungan Kadir terhadap puja-puji terbuka Najib Razak kepada Rosmah Mansor, yang begitu berjasa besar kepada negara(!), sekali gus membawa mesej tersirat kegagalan beberapa menteri kanan, termasuk Muhyiddin Yassin, mengejutkan Pejabat Perdana Menteri.
"Saya dah berbuih mulut macam lembu kena penyakit kuku dan mulut mencadangkan agar Rosmah masuk politik, dilantik jadi menteri. Malah menjadi Perdana Menteri jika mendapat kepercayaan rakyat jelata," cadang Kadir. Isu Rosmah menggunakan jet eksekutif kerajaan turut dibidasnya.
Berita dalam laman web Astro Awani yang bersumberkan tulisan Kadir itu telah diarah ditarik balik. Khabarnya titah itu dari Pejabat Perdana Menteri. Satu bentuk penindasan dan pencabulan melampau ke atas kebebasan akhbar. Ya, bagai lawak jenaka di zaman transformasi politik yang heboh dicanangkan Najib.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Zahid Hamidi, bertindak pantas mengeluarkan surat tunjuk dan Ketua Pengarang The Heat, David Lee Boon Siew dipanggil ke Putrajaya.
Berdasarkan pengalaman beberapa kali diundang ke KDN, seawal 1997 ketika mengendalikan majalah Tamadun, dan yang terakhir, ekoran promosi Harakah terhadap Himpunan Kebangkitan Rakyat 2012, saya dapat menjangkakan bagaimana pertemuan itu berlangsung.
Sememangnya KDN tidak akan memberikan alasan spesifik yang boleh menimbulkan polemik berpanjangan, apatah lagi untuk mengaitkannya dengan laporan yang boleh "menikamnya" balik. KDN hanya akan menyenaraikan kesalahan teknikal...
Itulah juga yang saya alami apabila KDN mengharamkan penerbitan majalah Detik dan Wasilah pada tahun 2000, selain memberi amaran keras kepada akhbar mingguan Cabaran. Alasannya, kami tidak mengikut mock-up penerbitan semasa mengemukakan permohonan permit dahulu.
Walhal, yang "digeruni" ialah paparan wajah jelik dan hodoh elit penguasa Umno-BN, yang tamak kuasa, takbur, membazir, korup, merompak khazanah negara, menghanguskan wang pembayar cukai.
Inilah bahananya apabila Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984) masih belum dimansuhkan sepenuhnya walaupun pada tahun lalu ada beberapa perubahan dibuat, termasuk menyentuh kuasa mutlak menteri dan semakin kehakiman.
Dalam kes The Heat, sekiranya ia dibawa ke mahkamah sekalipun, tentulah memakan masa yang panjang. Ini memberi impak besar terutama dalam aspek perniagaan.
Lebih penting, pemerintah telah menunjukkan siapa sebenarnya yang paling berkuasa dan risiko buruk jika cuba bertindak bebas, apatah lagi berhasrat untuk "mengusik" takhta pemerintah. Dan akta tersebut dilaksanakan secara terpilih.
Perlu diingat, penerbitan yang pernah digantung, misalnya akhbar The Star dan Watan pada 1987, selepas dipulihkan seakan-akan hilang jati diri dan bagai beroperasi dalam gelap.
Tepat sekali rumusan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim bahawa penggantungan The Heat menunjukkan tahap tidak bertolak ansur terhadap perbezaan dan kritikan. "Ia bertentangan sama sekali dengan janji Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri untuk membenarkan ruang demokratik lebih besar," katanya.
Bertentangan sama sekali dengan langkah dan semangat transformasi politik Najib ketika dengan bangganya mengumumkan pemansuhan ISA dan pindaan AMCP.
Sementara itu, Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) mengutuk keputusan KDN. Presidennya, Chin Sung Chew berkata hal itu tidak sepatutnya berlaku kepada media yang hanya menjalankan tugas kepada negara.
"Media itu sendiri hanya memainkan peranan dalam memantau segala salah laku kerajaan yang memerintah. Kita mesti memberi orang ramai akses kepada informasi sebegitu kerana mereka berhak, dan ia berkaitan kepentingan awam," tegas beliau.
Secara peribadi, saya lebih teruja untuk melihat reaksi rakan-rakan media, terutama yang bertugas dengan "media arus perdana" (termasuk dalam kumpulan The Heat) yang selama ini memandang sepi isu kebebasan akhbar. Begitu juga dengan respons masyarakat terhadap pencabulan keterlaluan yang menyempitkan lagi ruang awam kebebasan bersuara.
No comments:
Post a Comment