Oleh Ahmad Lutfi Othman
Demonstrasi Baling 40 tahun lalu mengingatkan kita kepada ketulenan perjuangan gerakan pelajar dan kepedulian sosial yang tinggi di kalangan masyarakat desa.
Justeru, saya mahu bertanya, apa khabar mahasiswa hari ini? Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 diperketatkan pada 1975 selepas demonstrasi Baling itu, yang juga “membakar” Kuala Lumpur sehingga Masjid Negara yang menjadi “medan tempur” dan autonomi universiti hancur apabila kampus digempur polis, melalui Operasi Mayang, menyebabkan ada aktivis mahasiswa berkelana jauh ke luar negara, misalnya Hishamuddin Rais.
Kini Auku dilonggarkan, terutama berkaitan sikap dan pendirian politik pelajar, namun kongkongan pentadbiran universiti, khususnya Hal Ehwal Pelajar masih kukuh mengikat.
Kedua, bagaimana pula dengan kesedaran berpolitik warga kampung, yang dikira menjadi penyelamat Umno-BN dalam PRU13?
Apakah kemiskinan menyebabkan mereka lebih mudah dicucuk hidung atau tenggelam dalam “mentaliti subsidi” (satu istilah yang sering disalahtafsirkan)?Himpunan bersejarah itu juga mengimbau dedikasi tinggi penggeraknya, yang kini mewarnai persada politik tanah air, khususnya Anwar Ibrahim, selain tokoh pelajar – seperti Kamaruzaman Yaakob dan Halim Arshat – serta kakitangan akademik – misalnya Dr Syed Husin Ali dan Gurdial Singh – yang mungkin sudah kurang dikenali siapa mereka.
Lagi pertanyaan, apa cerita para pensyarah kita, yang kelihatan “senyapsunyi” di menara gading, meskipun tanahair tercinta bergolak dahsyat?
Agak lama saya tidak mendengar perkhabaran mengenai persatuan kakitangan akademik; mungkin masingmasing sibuk dengan penyelidikan dan proses mendidik anak bangsa, atau apa sebenarnya, ya?
Rupanya selepas empat dekad, tidak banyak yang berubah dalam negara kita. Kemiskinan dan kelaparan yang menjadi isu besar pada 1974 masih terus membelenggu dan menggigit.
Sikap tidak peduli elit pemerintah terhadap keperitan hidup golongan bawahan tetap mengakar, malah bersama kroni dan suku-sakat, mereka berlumbalumba memenuhkan tembolok masing-masing, membiarkan majoriti rakyat terus dibelit aneka masalah.
Seperti rumusan bermakna Dr Syed Husin Ali dalam Syarahan Baling, 10 Disember 2012: “Keadilan sosial sekarang berbanding hampir 40 tahun lalu, tidak banyak berubah sebab kerajaan pun tidak berubah.”
Saya yang turut hadir, dalam majlis sempena Hari Hak Asasi Manusia yangh dirakan di seluruh dunia itu, yang diserikan pidato utama oleh Anwar Ibrahim, masih mengingati ungkapan Dr Syed: “Baling menunjukkan perlu persefahaman, kesatuan, penggabungan tenaga dan jalinan erat semua pihak bagi menjayakan gerakan perubahan. Tidak harus dibiarkan segelintir kecil orang, tapi besar kuasanya, melakukan kezaliman.”
Apakah himpunan 5 April, di Padang Awam Kupang, Baling nanti dapat mengembalikan nostalgia 40 tahun lalu?
Atau, ada agenda lebih besar untuk menangani cabaran dan hambatan baru, selepas perubahan yang didambakan rakyat masih belum dinikmati? Ya, saya masih meneliti kunci kata demonstrasi Baling; Mahasiswa, masyarakat kampung terpinggir dan kakitangan akademik.
Bagaimana gabungan tiga elemen penting ini, sekarang? – lutfi_detik@ yahoo.com
http://mindalutfi.blogspot.com/
1 comment:
Post a Comment