Friday, June 27, 2014

"Percikan api di setiap kampus, termasuk kubu Umno"

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Setahun dua ini saya lebih kerap bertemu rakan-rakan pimpinan gerakan pelajar. Ia bukan lagi terhad kepada universiti sekitar Lembah Klang. Kampus-kampus baru yang berselerak di seluruh negara, termasuk di Sabah Sarawak, juga menggamit perhatian.

Perjumpaan juga tidak terbatas untuk membincangkan soal penyertaan dalam pilihan raya kampus setahun sekali, tetapi lebih merata dan menyeluruh. Apatah lagi kumpulan yang memenanginya agak seimbang, di antara Aspirasi dan Pro-Mahasiswa, petanda kecenderungan politik majoriti pelajar semakin terbuka.

"Sebenarnya banyak kampus dikuasai oleh kumpulan  Pro-Mahasiswa atau lebih tepat, yang independen dan tidak dikongkong Umno-BN, tetapi mereka memilih untuk tidak bersuara lantang dan mengidentifikasikan diri dengan mana-mana kumpulan," kata sumber.

 

Walaupun lama ditubuhkan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) nampak agak terpencil di utara, tetapi sesekali turut mewarnai kemeriahan politik kampus. Begitu juga Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang dan Pekan yang merakamkan keberanian aktivis mahasiswanya berdepan "kecurangan" pentadbiran tertingginya  memanipulasikan proses pilihan raya kampus.

"Ada percikan api di sana!" saya menjawab soalan seorang teman apabila mendapat tahu saya turun ke Pahang, Pulau Pinang, Kedah, Johor meninjau gelodak rasa masyarakat terpelajar yang terus dikongkong.

"Potensi anak muda sebagai agen perubahan tidak pernah padam, walaupun kadang-kadang nampak suram, sampai masanya ia menggelegak juga," saya cuba menekankan fungsi gerakan mahasiswa  yang bertenaga untuk mempengaruhi lanskap sosio-politik tanahair, atau secara lebih khusus membela kepentingan rakyat tertindas.

Bayangkan, jumlah pelajar IPTA, IPTS, IPG (Institut Pendidikan Guru), politeknik dan kolej komuniti mencecah 1.3 juta orang. Mereka merupakan kelompok yang paling strategik dan kritikal untuk mana-mana gerakan perubahan. Tanpa mendampingi anak-anak muda ini usaha pembaharuan dan reformasi akan terbantut.


Terbaru, saya lebih tertarik mendengar kampus-kampus Universiti Teknologi Mara yang  juga mula berkocak. Umno sering berbangga dengan UiTM, manakala pergerakan mahasiswanya teruk ditekan. Pengurusan kanannya seolah-olah mahu memastikan setiap siswazah "menurut kata" dan "tidak melawan".

UiTM mempunyai pelajar paling ramai dan kampus cawangannya ada pada setiap negeri, kecuali Wilayah Persekutuan. Saya tidak pasti berapa ramai jumlah keseluruhan mahasiswanya, tetapi merujuk kenyataan Perdana Menteri pada 14 September 2013, pengambilan pelajar UiTM sudah mencapai 180,000, dengan sasaran 250,000 menjelang tahun 2020.

"Sdr jangan abaikan potensi hebat UiTM. Jumlah pelajar dan cawangannya yang merata adalah kekuatan yang kini tersembunyi dan perlu digilap," pesan saya kepada sekumpulan pimpinan mahasiswa yang berkunjung ke pejabat Harakah, 10 Jun lalu, apabila menyedari salah seorang daripadanya daripada UiTM.

Tentunya ramai masih ingat karenah dan kontroversi bekas Naib Canselor UiTM, Dr Ibrahim Abu Shah. Lagaknya umpama Ketua Umno Cawangan atau pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK).

Nada ucapan Ibrahim semasa mengetuai UiTM sarat dengan perkauman. Tidak pelik beliau dilantik Najib Razak sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno, hujung November 2013.

Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, beberapa hari sebelum pilihan raya kecil Teluk Intan yang menyaksikan setiausaha politiknya, lulusan UiTM, Dyana Sofya Mohd Daud bertanding, menyifatkan pelajar UiTM bukan lagi robot.

"Dyana Sofya adalah testimoni kegagalan Ibrahim Abu Shah selama sembilan tahun menjadi Naib Canselor UiTM untuk menjadikan pelajarnya sebagai robot Umno dan membunuh idealisme serta impian anak muda Malaysia," kata Ketua Parlimen DAP itu.

Terkini, kes Mohd Fathihie Daimin dari UiTM Kota Kinabalu, yang dikenakan prosiding tatatertib, hanya disebabkan kenyataannya dalam Facebook, yang dianggap menggugat kepentingan UiTM, dan terlibat dalam perhimpunan tanpa kebenaran, menjolok mata sekali.

"Menarik sekali. Pertama, babitkan pelajar UiTM. Kedua, dari Sabah pula tu," respons segera seorang rakan, juga peminat politik kampus.

Sayang sekali, ketika rakan-rakannya, termasuk tiga pimpinan pelajar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) bertandang ke rumah saya, baru-baru ini, Fathihie terpaksa pulang awal ke KK dan kami tidak sempat berkenalan lebih lanjut.

UMSKAL -- nun jauh di Labuan -- yang begitu jarang diperkatakan, malah mungkin sebahagian mahasiswa sendiri tidak menyedari kewujudannya, sebenarnya menyimpan cerita penuh warna-warni.

Sejumlah 16 aktivis pelajarnya dibicarakan pada 26 Mei lalu, atas tuduhan mengadakan perhimpunan dan perarakan dalam kampus tanpa kebenaran. Tiga digantung pengajian satu semester, lapan diberi amaran dan dibuang dari kolej kediaman, manakala lima lagi masih dalam proses prosiding.

Sering menerima tetamu dari kalangan anak-anak muda yang kental semangat dan padu tekadnya itu  juga, sekurang-kurangnya buat saya, satu rahmat tersembunyi. Ya, ia bagai terapi merawat keuzuran yang bertindan-tindih. Sekurang-kurangnya nyalaan obor jiwa muda dikembalikan walaupun jasad agak longlai!

Sedar tak sedar, saya sering dipanggil "Pak Lutfi" oleh pimpinan mahasiswa yang bertamu -- sambil isteri tidak jemu-jemu menyediakan juadah nasi Arab versi Melayu -- mengingatkan bahawa hampir 30 tahun zaman kampus  telah ditinggalkan. Tempoh yang cukup lama, tetapi masih terasa segar, membekas dan nostalgik.

Sehinggalah apabila sempat berbicara dengan Pengerusi Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku/ Akta 174, Khairol Najib Hashim, di kediaman saya, di Bukit Ampang dan terusnya di pejabat, di Jalan Pahang Barat, saya terasa GMMA/174 tidak boleh dipandang ringan.

Benar, setiap generasi mahasiswa mempunyai gerakan tersendiri untuk membatalkan akta drakonian itu dan sehingga kini mereka belum berjaya. Namun, saya dapat merasai, keazaman lebih 20 aktivis pelajar bersama Khairol Najib, yang bersembang santai di Harakah hampir dua jam petang Selasa itu, cukup  tinggi.

"Anda semua harus buktikan, gerakan mansuh Auku kali ini pasti membekas, dan bukannya hanya mengulangi lagu lama atau sekadar rutin buat setiap generasi kepimpinan mahasiswa," saya seolah-olah mencabar.

Mereka menyedari ia tidak mudah dan sejarah perlu diukir. "Jika ISA boleh dimansuhkan selepas puluhan tahun ditentang, masakan Auku juga tidak boleh dikuburkan?" kata seorang daripadanya.

"Tapi ISA hanya mansuh selepas demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur?" jolok seorang yang hadir.

"Auku juga mungkin begitu ... kita tidak tolak pilihan himpunan raksasa," terdengar respons segera, disambut gelak ketawa, bukan petunjuk meremehkannya, tapi tanda kerelaan untuk turun ke padang.

Usaha membebaskan kongkongan yang berpanjangan sejak 1971, dan diperketatkan pada 1975 itu, memerlukan lonjakan dan momentum baru, sehingga Auku dimansuhkan sepenuhnya.

Bukan lagi dikaburi pindaan kosmetik, misalnya pada 2012 yang membenarkan mahasiswa berpolitik, sedangkan kebebasan berorganisasi dan bersuara dalam konteks lebih luas tetap terpasung kukuh.

Apa pun, jasa dan komitmen luhur bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifuddin Abdullah akan tetap terakam dalam sejarah. Dia memang seorang tokoh pembaharu dalam dunia pendidikan. Sayang, khidmatnya tidak lama.

Situasi sebenar di menara gading masih cukup menyedihkan. Anak-anak muda berpotensi, seperti ungkapan Dr Siddiq Fadil, telah dicederakan atau dicacatkan secara sengaja oleh ibu bapa mereka sendiri. Sadis sekali.

Agenda mansuhkan Auku tidak harus dibebankan hanya kepada mahasiswa ataupun warga kampus yang lain, misalnya tenaga akademik ataupun  para pensyarah. Ia tanggungjawab bersama, melibatkan setiap individu-kumpulan prihatin yang peduli dan resah dengan kebobrokan melampau ini, ya ... termasuk Harakah, 'kan?

 

2 comments:

IBU RISKA said...
This comment has been removed by a blog administrator.
JUNAIDI said...
This comment has been removed by a blog administrator.