Oleh Ahmad Lutfi Othman
Sejak tarikh keramat PRU14, 9 Mei 2018, saya seperti kehilangan
kata-kata. Bukan disebabkan begitu teruja atau terkejut dengan keputusan
rakyat yang menghukum regim 61 tahun Umno, tetapi keuzuran berpanjangan
menghalang saya untuk turut memberi respons terhadap peristiwa penuh
bersejarah itu.
Selain kualiti penglihatan yang merosot teruk, rutin tiga kali
seminggu dialisis juga cukup melesukan. Hampir tiga tahun saya tidak
lagi membaca akhbar edisi cetak. Dalam tempoh hampir sama juga saya
meninggalkan kelaziman menonton berita TV jam 8 malam. Saya membeli buku
terakhir lebih dua tahun lalu, dan balutan plastiknya masih belum
dibuka hingga kini. Dalam tempoh itu saya berjaya menyiapkan dua buku
politik, tentang Parti Amanah Negara dan faktor Dr Mahathir Mohamad
menjelang PRU14. Pastinya ramai sukar percaya bahawz buku-buku terbitan
Februari 2018 dan April tahun sama itu, belum lagi mampu saya baca
naskhahnya kecuali dalam bentuk PDF.
Dua minggu lepas, ketika menemani isteri di sebuah pasaraya, dekat
Kampung Pandan — sebenarnya saya cuba menguatkan otot-otot kaki dengan
latihan berjalan ekoran terlalu lama di pembaringan — saya terdorong
untuk membeli akhbar mingguan The Edge. Membaca tajuknya, saya kira ada
laporan menarik tentang cerita kemerdekaan di bawah Malaysia Baharu.
Liputan sosio-politik akhbar perniagaan ini memang sentiasa menggamit
perhatian saya, terutama sudut pandang para kolumnisnya yang memikat.
Malangnya, saiz teks artikel terlalu kecil untuk masalah pendarahan
di mata saya yang berlanjutan sekian lama. Sekadar membaca tajuk dan
mencuba memaksa penglihatan yang kabur; akhirnya menyerah kalah
disebabkan penat dan pedih. Saya bimbang naskhah akhbar itu sudah
digunakan oleh isteri untuk tujuan lain, mungkin membantu proses
pembikinan menyiapkan tempahan kueh-mueh yang diterimanya!
Dikepung kemampuan yang terbatas ini, saya cuba juga menyusun buku
tentang PRU14 dan sedikit singgungan mengenai langkah pembaharuan
kerajaan, menghimpunkan rakaman pengalaman teman-teman penulis, namun ia
kerap tertangguh, juga berpunca daripada keuzuran dan kelesuan. Proses
penyuntingan gagal dibereskan walaupun ramai teman sudah mengirimkan
sumbangan idea. Fikiran selalu buntu dan tambah sakit apabila cuba
digagahi juga. Seringkali kemalasan turut menghimpit, apatah lagi
stamina saya untuk menekuni detik-detik perubahan yang pantas mudah pula
pudar.
Memang agak terkilan apabila hasrat terpendam sekian lama, untuk
melihat kerajaan bertukar tidak dapat diraikan, sekurang-kurangnya
dengan mencatat dan menganalisis. Saya mengikuti pilihan raya dari dekat
sejak 1978 dan menempuh beberapa kali proses pemilihan yang kritikal,
seperti PRU1990, diikuti 1999, 2008 dan 2013. Pada setiap pilihan raya
itu, harapan dan impian untuk menukar kerajaan dan merombak sistem kuasa
sentiasa berkobar-kobar. Walaupun Umno-BN kekal berkuku, tetapi
sokongan buat pembangkang makin meningkat.
Tentunya 2018 mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri. Ibarat
acara larian berganti-ganti, ia adalah pecutan ke garis penamat. Dan Dr
Mahathir terpilih sebagai pelari terakhir yang membantu kumpulannya
mengungguli kemenangan penuh bergaya. Team ini, bagi saya, sudah bermula
sejak 1990 lagi, dengan pelari-pelarinya, antara lain, Tengku Razaleigh
Hamzah, Ustaz Fadzil Mohd Noor, Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Ismail,
Lim Kit Siang, dan disudahi Mahathir.
Buku yang saya ingin hasilkan itu sudah ada judulnya, Revolusi Tanpa
Darah. Sejak berdekad lamanya — terutama selepas kemenangan Revolusi
Iran 1979 yang menyaksikan kebangkitan rakyat dengan tangan kosong
menghalau sang raja zalim yang berpaut dengan imperialis kuasa besar —
saya cukup tertarik dengan ungkapan revolusi. Namun selalunya proses
revolusi, atau pertukaran regim melibatkan perubahan mendasar sistem dan
struktur ini memakan korban besar, termasuk nyawa orang tidak berdosa.
Berbeda dengan revolusi 9 Mei, tiada darah yang ditumpahkan. Memang
cucuran air mata menyambutnya tetapi ia petanda kesyukuran tidak
terhingga. Justeru, kemenangan rakyat ini harus dirakam dan sudah tentu
dirayakan, tanda kegembiraan, kepuasan dan kesyukuran yang begitu
melegakan.
Ada rakan-rakan penulis yang menegur, selepas lebih 120 hari, kita
patut memberi fokus kepada usaha dan langkah mengisi kemenangan, bukan
lagi masih ghairah dan terpukau dengan nostalgia meruntuhkan regim lama.
Rakyat kini mendambakan perubahan bagi menambahbaik kehidupan mereka
dan menunaikan janji manifesto. Pakatan Harapan perlu dipantau dan
ditegur kerana mengengkari komitmen mereka sendiri demi membentuk
Malaysia yang lebih adil, telus, demokratik, berkebajikan,
akauntabiliti, antirasuah, menjunjung kepentingan rakyat, menghormati
pemisahan kuasa.
Saya menjawab, sekurang-kurangnya untuk saya seorang, saya belum
terasa puas untuk menghirup udara lebih segar dan mencicip kemanisan
pasca 9 Mei. Impian 40 tahun yang tiba-tiba menjelma di awal pagi 10
Mei, cukup menyenangkan dan terasa lega selega-leganya. Umpama ayam yang
dibuka ikatan kedua-dua kakinya. Andai saya seorang pembikin filem,
akan saya rakamkan debaran revolusi 9 Mei itu ke layar perak. Jika saya
pelukis berbakat, akan saya lakarkan keindahan pagi 10 Mei itu ke
kanvas. Kalau saya penulis novel, warna-warni sepanjang perpecahan
dalaman Umno, pengkhianatan Najjb Razak, pembentukan pakatan pembangkang
baru, pelangi kempen PRU14, dan 1001 ragam serta adegan yang
lucu-mengejutkan, akan saya susun segalanya dalam sebuah hikayat perakam
sejarah.
Kicauan burung Subuh Khamis, 10 Mei yang diisytihar cuti bersambung
Jumaat itu, dari atas pokok yang tinggi dan rendang di simpang tiga
depan rumah, masih harmonis di ingatan saya. Seolah-olah saya baru
pertama kali mendengar irama indah unggas itu sedangkan setiap pagi ia
memeriahkan sinaran awal matahari yang berbalam.
Pagi 10 Mei itu — walaupun upacara angkat sumpah perdana menteri baru
belum dapat dilaksanakan — terasa amat indah pancaran mentarinya,
hembusan angin mendamaikan, dan dada yang berkecamuk sebelumnya menjadi
lapang. Menatap dakwat kekal yang semakin menghitam di hujung kuku juga
menimbulkan seribu kepuasan. Seharian itu asyik tersenyum simpul
meskipun di kala keseorangan. Ya Allah, syukur setingginya atas
nikmat-Mu tidak terhingga ini. Bebas, lapang, lega.
Ia tambah indah menawan apabila kemenangan itu datang tanpa diduga,
termasuk oleh bekas perdana menteri, Najib Razak. Justeru, memungkinkan
proses peralihan kuasa secara aman, licin dan terhindar daripada elemen
sabotaj. Kebimbangan meletusnya huru-hara, demonstrasi kacau-bilau,
pentadbiran negara tergugat, tidak berlaku. Ada menyifatkannya sebagai
revolusi elektrol, gempa bumi politik, dan tsunami rakyat. Maknanya,
sesuatu yang luar biasa dan di luar jangka berjalan secara baik.
Kesimpulannya, saya bertekad menyudahi juga proses tertangguh merakam
kemanisan pengalaman bersejarah itu, melalui buku Revolusi Tanpa Darah,
insya-Allah. Kolum Catatan Hujung ini juga akan dihidupkan semula. Tapi
saya masih terasa untuk terus menghayati episod indah kemenangan 9 Mei,
walaupun mungkin lebih ramai yang mahu fokus kepada agenda mengisi
kemenangan. Biar saya digelar ketinggalan keretapi atau leka dengan
kenangan semalam!
Ya, saya yakin, ia tidak akan usang dan lapuk walaupun selepas 150
hari berlalu. Memang cabaran baru pastinya lebih getir dan perit, dengan
tanggungjawab memenuhi mandat besat rakyat, tetapi maafkan saya jika
masih terpegun dengan kisah semalam penuh kemilau warna-warni itu.
No comments:
Post a Comment