Oleh Ahmad Lutfi Othman
Tinggal berbaki dua hari sahaja lagi untuk mengundi. Alhamdulillah,
suasana nampak berjalan seperti biasa. Kempen PRU14 stabil, tiada
insiden besar berlaku.
Himpunan dan rapat umum raksasa Pakatan Harapan nendapat sambutan
luar biasa di mana-mana. Tapak lokasi sesak dan sendat. Siaran langsung
FB mencecah hampir 100,000 penonton.
Sementara itu, masih terbuku kerisauan dan kegelisahan, bahawa
kemenangan yang diimpikan mungkin tertangguh lagi. BN mampu kekalkan
kuasa walaupun ia di pihak minoriti.
Sudahlah persempadanan semula kawasan pilihan raya direka khas untuk
BN menang dari pintu belakang, kelebihan sebagai pemerintah dan faktor
Cash is King akan dimanipulasi secara optimum.
Apa pun, saya masih berharap teman-teman dalam Pas akan mengundi
Pakatan Harapan kali ini. Tentunya setiap ahli parti mahu pihaknya
menang, tetapi dalam kes Pas, malang sekali apabila dijangkakan, yang
mendapat manfaat besar daripada sokongan terhadap lambang bulan adalah
Najib Razak dan BN.
Pas meletakkan calon bukan hanya melebihi separuh bilangan kerusi
Parlimen, tetapi mengatasi dua pertiga. Persiapan dan penampilannya
daripada segi bendera, banner, bunting, poster, diakui lebih menyerlah
berbanding PH, yang menggabungkan empat parti besar.
Meskipun ada pihak mempersoalkan sumber dana kempen Pas – dalam keadaan kewangan parti yang kurang
‘sihat’ sebelum ini, termasuk kesukaran membiayai organ parti – tetapi
selagi belum ada bukti mengesahkan, tidak perlu syak-wasangka itu
diperbesarkan.
Bagi saya, di atas kertas, tiada beda besar antara Pas dan PH dari
segi dasar dan tekad politik. Masing-masing berusaha untuk menubuhkan
kerajaan baru, walaupun Pas masih berteka-teki dengan cuta-citanya untuk
menjadi kingmaker.
Cuma, isunya, keupayaan dan kemampuan untuk tumbangkan UmnoBN. Secara
solo (tidak nampak pula kemantapan gabungan Gagasan Sejahtera itu,
apatah lagi dilihat protes sebuah komponennya, Berjasa), penyertaan Pas
lebih memudahkan regim korup/kleptokrat kekal berkuasa. Pas menolak
kerjasama dengan pasukan yang lebih kuat dan berupaya untuk membentuk
kerajaan serta memulihkan negara.
Niat dan seruan yang baik sahaja tidak memadai. Cita-cita luhur tanpa
strategi dan pendekatan bijaksana mungkin berakhir bagai mimpi di siang
hari.
Kita harus bijak menelah dan membaca yang tersirat. Bukankah,
terkilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya. Ahli siasah, seperti
penyokong Pas, tentu lebih maklum hakikat ini. Ia tidak wajar keliru dan
berpusing-pusing di persimpangan. Jati diri Pas sebagai parti lawan
kepada BN amat diragui.
Sekali mahu jadi penasihat kerajaan, sekali tidak berhasrat
menjatuhkan perdana menteri tapi merubah sistem. Teori politik Pas
kelihatan berbelit-belit. Lawan ketat bukan lagi Umno-BN dan penguasa
korup, tetapi sesama pembangkang, khususnya DAP.
Faktor Pas bertanding hampir 160 kerusi Parlimen dan mencabar Umno
pada setiap kerusi Dun (kecuali beberapa kawasan, termasuk Rantau, yang
dimenangi percuma calon BN), bukanlah hujah terkuat regim Najib tidak
mendapat manfaat daripada langkah Pas itu.
Umno lebih suka Pas bertanding seperti itu. Ia percaya dapat mencuri kemenangan apabila Pas beraksi bersendirian.
Kajian pendapat umum badan bebas juga menunjukkan kehadiran Pas
sebagai ‘blok ketiga’ lebih menguntungkan BN. Tinjauan rambang saya,
terutama ketika menunggu di hospital dan bertemu dengan rakan-rakan
lama, juga mengesahkan hal yang sama.
Masing-masing mengeluh, kita nungkin terlepas peluang terbaik menyingkirkan Umno-BN kerana pendirian politik Pas.
Undi pembangkang akan berpecah sekurang-kurangnya dua, mengakibatkan
BN berpotensi cerah melonjakkan diri sebagai pemenang, walaupun undi
tidak melepasi separuh jumlah keseluruhan.
Situasi di Sabah sebelum ini banyak membuktikan kelebihan BN bila
berdepan ramai calon lawan. Ada calon bebas yang ditaja BN. Di
Semenajung, kes Dun Kota Damansara, pada PRU13 adalah bukti terdekat,
bagaimana BN boleh menang di kubu kuat oposisi.
Pemimpin Pas pula berhujah, sama ada BN mahupun PH, kedua-duanya
tidak mempunyai iltizam politik Islam yang jelas. Justeru, mereka
ditolak. Dalam masa sama, Pas menghantar mesej, ia boleh bersama
mana-mana pihak yang bersetuju dengan syarat Islamnya, jika BN atau PH
gagal membentuk kerajaan.
Saya tidak bertujuan untuk meremehkan kekuatan Pas, yang bertanding
bersendirian. Saya juga tidak turut sama meramalkan Pas boleh tewas
teruk, mengulangi rekod 1986. Namun, pengamatan dari jauh dan serba
terbatas ini, seolah-olah merumuskan pengaruh Pas hanya terbatas kepada
ahli dan penyokong tegarnya sahaja. Tiada sebarang petanda menunjukkan
khalayak yang mendukungnya bertambah ramai.
Masa sama, kita tidak sukar meneka syarat-syarat yang bakal
dikemukakan Pas. Islam yang bagaimana dihasratkan Pas juga boleh
dibayangkan. Kita juga agak mudah menjangkakan pihak mana yang lebih
senang untuk diterima Pas sebagai rakan kongsinya nanti.i
Pimpinan Pas dan juga Umno sendiri, termasuk pengikut tegar
masing-masing sudah membayangkan halatuju selepas PU14. Malah orang awam
pun dapat merasai jalinan persefahaman tidak formal itu.
Sepertimana Pas mudah terperangkap dengat jerat RUU355, umpan hampir
sama boleh ditawarkan Umno, untuk membentuk kerajaan jika BN atau PH
gagal meraih majoriti.
Bukankah di musim kempen ini, pelbagai kecaman keras dilemparkan
pimpinan Pas kepada PH, terutama olrh presidennya? Mahathir sentiasa
dilihat sosok bermasalah dan meragukan, sementara personaliti Najib
jarang disentuh. DAP sebagai sasaran belasahan tidak perlu dihurai lagi.
Dan dalam masa sama, cukup menonton berita TV3, untuk mengenal pasti
parti mana menjadi seteru ketat BN dan sekutu tidak rasminya!
Sesungguhnya, kekuatan dan kemampuan untuk membentuk kerajaan baru
juga harus diukur. Tanpa penggemblengan di bawah gabungan parti-parti
yang mantap, idealisme hanya sekadar impian indah.
Saya percaya, kandungan manifesto Pas juga baik dan mementingkan
kebajikan rakyat, mahu membaiki sistem yang rosak dan mereformasi
institusi strategik.
Tapi mengundi Pas hanya menjadikan peluang menukar kerajaan bertambah tipis. Undi itu terbazir.
Bukan hanya saya yang kerap nengulangi hal ini. Badan kajian bebas,
seperti Merdeka Centre, Institut Darul Ehsan, Ilham Centre, juga ramai
penganalisis politik, membuat unjuran sama, yakni penyertaan Pas dalam
PRU14 dalam bentuk yang ada hanya menguntungkan Najib-Umno.
Dalam satu laporan terbaru, peluang PH menguasai negeri Perak juga
dikatakan mungkin terlepas, antara lain disebabkan faktor undi Pas.
Tidak dinafikan Pas nampak masih kuat di Kelantan dan Terengganu.
Saya tidak terkejut jika Pas boleh tawan balik Terengganu tapi rebah di
Kelantan, walaupun ada pengkaji meramalkan, Pas juga boleh kecundang
teruk di Terengganu disebabkan undi pembangkang berpecah.
BN menunggu lama untuk kembali bertakhta di Kelantan. Veteran politik
Umno juga masih berpengaruh di sana. PH memang ada Husam Musa, tokoh
yang mampu menggerakkan ekonomi negeri dan terkini bintang menyinar,
Ustaz Nik Omar Nik Aziz muncul secara tiba-tiba. Legasi Tik Guru Nik
Aziz membawa harapan baru buat Kelantan. Warganya juga celik politik dan
mampu membuat keputusan tepat.
Namun ada pemerhati bimbang, jika tiada kejutan besat, termasuk dari
pengundi di perantauan atau faktor Nik Omar gagal dimanfaatkan dengan
berkesan, laluan BN Kelantan nampak seolah-olah sukar disekat.
Soalnya, kita mahu menggantikan kerajaan persekutuan, dan merehatkan
Umno-BN. Bukan mendirikan hanya satu dua kerajaan negeri yang baru.
Rakyat dambakan perubahan total, yang mampu merawat pelbagai penyakit
kronik negara. Mereka mahu keluar daripada keperitan dan tekanan hidup
yang kian membengkak.
Pas mungkin sudah selesa dan berpuas hati jika dapat pertahan
Kelantan dan merampas Terengganu, walaupun kerajaan pusat kekal
mencengkam Putrajaya.
Justeru, tanpa jemu, saya merayu rakan-rakan dalam Pas untuk
mempertimbangkan sokongan mereka pada 9 Mei ini. Fikir sejenak, kita
sudah melalui perjalanan sejauh ini, demi membebaskan rakyat dari regim
penindas.
Kita telah menyaksikan lima kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat
pada 2008, dan penafian majoriti dua pertiga BN di Parlimen. Ternyata,
tidak cukup sekadar itu, Putrajaya mesti diambil alih sepenuhnya, untuk
membawa perubahan dan pembaharuan.
Justeru, undi anda tidak wajar dibazirkan, malah diperalatkan, untuk
menjadi talian hayat Umno-BN. Fikirkan yang terbaik, insya Allah, anda
sudah memulakan langkah yang betul untuk proses memulihkan tanah air
tercinta ini.
No comments:
Post a Comment