Makalah ringkas ini cuba menyelami polemik berkaitan Dr Mahathir
Mohamad sebagai calon perdana menteri dan pengerusi gabungan
pembangkang
ADAM ADLI ABDUL HALIM, aktivis gerakan anak muda yang dikenali ramai
sejak zaman mahasiswa, dipilih untuk mewakili suara generasi baru yang
kritikal dengan agenda reformasi dan perubahan.
Bagaimana Adam dan generasinya melihat faktor Mahathir ini. Apakah
Mahathir diberikan kebebasan untuk bertindak seperti era 22 tahun
menjadi PM dahulu? Apakah politik Malaysia masih terikat dengan politik
personaliti? Ahmad Lutfi Othman melontarkan empat soalan asas kepada
Adam Adli untuk penilaian bersama.
Pandangan Sdr Adam Adli terhadap penerimaan gabungan
pembangkang melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan
Harapan dan menamakan beliau sebagai Perdana Menteri ke-7 jika BN dapat
dikalahkan.
Penerimaan Mahathir sebagai calon PM bukanlah sesuatu yang janggal
untuk difikirkan, memandangkan dalam struktur politik kita selama ini
pun, kita cenderung dengan pemimpin yang paling senior untuk menjadi
nombor wahid, dan juga yang punya pengalaman memimpin.
Misalnya, pembangkang awal dahulu sejak 1998 sedia menerima musuh
utama mereka, Anwar Ibrahim sebagai pemimpin utama pembangkang, dan
calon Perdana Menteri. Kalau difikirkan sedalam-dalamnya – apa beza
Anwar dan Mahathir dari segi asal usul kepimpinan mereka? Anwar itu
bukankah bayang-bayang Mahathir suatu masa dahulu?
Pembangkang menerima Anwar atas banyak faktor – simpati, pekerti,
kualiti kepimpinan dan yang paling penting, keuntungan politik sendiri.
Dan memang benar, sebaik Anwar mengambil alih kepimpinan gabungan
pembangkang, hasilnya cemerlang.
Mahathir mungkin bukan pemimpin yang mudah disenangi berbanding
Anwar, apa lagi beliau ada sejarah memimpin negara yang terlalu panjang –
menjadikan beliau sesuai diangkat sebagai kedua-dua negarawan dan
diktator.
Namun keuntungan politik yang dibawa oleh Mahathir, setanding dengan
apa yang dibawa oleh Anwar dahulu, malah mungkin lebih besar. Tidak
mungkin pembangkang tidak mahu keuntungan sedemikian.
Mahathir mungkin boleh mendekatkan pengundi Melayu luar
bandar kepd PH, tapi kemampuan (dan kejujurannya) untuk membawa
pembaharuan dan perubahan (seperti reformasi institusi) menjadi
pertikaian sesetengah pihak.
Wajar untuk kita persoal dan pertimbang. Ertinya kita ini sihat dan
waras dalam mencatur politik, biarpun dalam keadaan yang sedang agak
mendesak. Selama ini pun kita sentiasa berhati-hati dengan orang yang
tiba-tiba menyertai kita, biarpun orang itu tidak lah dikenali sebagai
orang jahat sebelum ini – apa lagi apabila oang yang selama ini kita
gambar dan bingkaikan sebagai bapak kepada segala kebobrokan dalam
negara.
Cuma dalam politik, tidak pernah ada musuh yang kekal, apa lagi kawan yang kekal.
Dalam soal mendepani kejujuran dan keikhlasan Mahathir apabila
berbicara soal reform – jika tidak mempercayai Mahathir pun, apakah kita
tidak mampu percaya kepada diri kita sendiri? Kita ada banyak tokoh
yang terkenal tegas dan kukuh dengan prinsip menegakkan reformasi
institusi – tidak mungkin hanya kerana wujud Mahathir, agenda ini
terhalang.
Mahathir yang bakal menjadi PM baru ini saya percaya tidak mendapat
cek kosong seperti zaman Barisan Nasional beliau. Saya percaya bahawa
pemimpin kita sendiri yang ada hari ini, yang bakal menjadi sebahagian
kabinet Mahathir akan memberi waktu yang sukar kepada beliau. Dua tahun
memimpin kerajaan Pakatan pasti akan lebih sukar daripada 22 tahun
memimpin kerajaan Barisan.
Rekod gelap hak asasi manusia di zaman Mahathir sering
dijadikan alasan untuk menolak beliau kembali sebagai PM. Tapi ada pihak
mengatakan Mahathir sekarang sudah berbeda.
Mahathir bukanlah orang yang berlainan hari ini. Beliau masih orang
yang sama sejak dahulu, cuma bacaan politik beliau sahaja yang sudah
berkembang sesuai zaman. Beliau faham dengan bahasa dan gerak politik
hari ini, zaman internet, zaman maklumat cepat tersebar.
Apa yang beliau lakukan hari ini bukan bererti beliau sudah berubah menjadi orang lain, tidak.
Saya menilai Mahathir sebagai orang yang memahami bahawa zaman sudah
berubah, perkara tidak lagi semudah zaman dahulu. Konteks masyarakat
pada zaman beliau sudah berbeza dengan hari ini.
Rekod gelap beliau dahulu wujud kerana persekitaran beliau
membenarkan ianya berlaku.
Persekitaran hari ini berbeza sama sekali.
beliau boleh melepaskan diri dahulu bukan hanya kerana jawatan yang
disandang, sebaliknya juga kerana maklumat dan cerita tidak sampai. Hari
ini, apa maklumat yang boleh disorok lagi dari pengetahuan awam?
Jangan kata penjarakan orang, tersasul dalam ucapan pun cepat akan disebar dan dibincangkan, seterusnya dibahan oleh masyarakat.
Ada pihak lain mengatakan, kita tidak seharusnya menyerahkan
bulat-bulat masa depan negara kepada mana-mana individu, termasuk
Mahathir ataupun Anwar. Rakyat mahupun NGO harus berpartipasi secara
proaktif untuk nembina semula negara. Soalnya, bagaimana rakyat harus
atau boleh berperanan seperti itu?
Perbincangan sebegini sudah wujud sekian lama. Saya sendiri datang
dari aliran yang kedua – iaitu aliran yang mahu menghentikan politik
personaliti. Namun saya juga bukan hipokrit.
Saya faham benar bahawa bukan sahaja masyarakat feudal seperti
Malaysia yang masih terus bergantung dengan pesona personaliti –
masyarakat di luar pun sebegitu juga.
Dari zaman berzaman, akhirnya kita akan dengan sendirinya mengangkat
suatu personaliti untuk bukan sahaja disanjung, sebaliknya mewakili
psike kita.
Tidak ada satu pun idelogi politik dalam dunia yang terlepas dari
perkara ini. Hatta golongan kiri yang antara paling terkenal gemar
membincangkan masalah politik personaliti pun terbukti sejak dahulu
sebagai antara kelompok yang paling mengangkat personaliti – dari Marx
kepada Mao, dari Lenin kepada Castro.
Kita tidak dapat lari daripada soal ini. psikologi manusia secara
kolektif akan sentiasa bergantung kepada satu simbol sebagai pelepasan
diri ataupun tempat bergantung.
No comments:
Post a Comment