Sunday, October 23, 2011

Memartabatkan kedudukan pembangkang: Menanti tindakan kerajaan Pakatan

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Saya cenderung untuk melihat sisi positif senario politik negara pasca pilihan raya umum ke-12, yang menyaksikan penamhttp://myharakah.net/images/others/ahmad_lutfi_othman.jpgpilan barisan pembangkang yang lebih bertenaga, sehingga menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen, dan penguasaan Pakatan Rakyat ke atas lima negeri.

Ya, satu titik perubahan sejarah (historical watershed) telah tercipta, lebih dikenali sebagai tsunami politik dan situasi siasah negara kita pasti tidak sama lagi selepas ini.

Kewujudan oposisi yang kuat dan berkesan, dengan jumlah wakil rakyat lebih ramai dan berketrampilan, termasuk di negeri yang dimenangi Pakatan (Umno-BN cuba belajar untuk menjadi pembangkang berkesan), merupakan fenomena menarik dalam sistem demokrasi.

Dalam demokrasi, pembangkang menjadi prasyarat terpenting untuk menghidupkan "sistem terbaik" bikinan manusia ini. Pemerintah bukan sahaja harus menghormati-meraikan suara dan pandangan berbeda, tetapi perlu memartabatkan kedudukan pembangkang.

Bagi pengkaji politik, kematangan perjalanan pilihan raya yang adil dan bebas pada sesebuah negara, antaranya ditunjukkan melalui peralihan kuasa yang stabil di antara parti-parti yang bertanding. Justeru, Malaysia yang masih diterajui BN sejak merdeka, dengan tekanan berterusan ke atas pembangkang, dilihat tidak mengamalkan demokrasi tulen.

Tulisan saya minggu lalu, yang menyimpulkan "rakyat untung bila oposisi kuat", mahu menekankan manfaat besar yang dinikmati sekiranya sistem dua parti dapat dirintis dan disuburkan. Mana-mana parti pemerintah akan sentiasa berasa diperhati dan dihakimi daripada dekat kerana pada bila-bila masa kedudukan mereka boleh diganti. Mereka tidak boleh lagi sewenang-wenangnya memperbodohkan rakyat atau menganggap diri dan kelompok sahaja yang betul dan benar.

Suara rakyat, yang dianggap gema keramat, kini sukar untuk diremehkan, apatah lagi undi yang diperolehi gabungan parti yang menang pun, seperti BN pada Mac 2008, hanya mewakili sekitar 51 peratus. Maknanya kerajaan hanya mewakili sebahagian rakyat. Justeru, sebarang pembentukan polisi awam, dasar-dasar utama atau rancangan penting kerajaan perlu melibatkan pelbagai sektor masyarakat, termasuk mengambil kira kritikan pembangkang.

Kewujudan masyarakat sivil yang ditonjolkan melalui penyertaan aktif badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan golongan pendesak makin merancakkan lagi sistem demokrasi. Tambahan pula ruang awam untuk perdebatan isu-isu berkepentingan ramai diperluaskan dengan kemajuan menakjubkan ICT, yang memunculkan media baru dan kuasa siber. Saluran maklumat tidak lagi boleh dimonopoli.

Suara-suara sumbang seperti pernah dizahirkan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo, misalnya slogan "pembangkang sifar" hanya akan diketawakan generasi muda yang celik politik. Hujah bahawa negara tidak memerlukan pembangkang ataupun tohmahan oposisi hanya merencatkan pembangunan negara -- apatah lagi suara pembangkang yang dikaitkan dengan pelbagai istilah negatif seperti pengkhianat, tidak patriotik, antinasional, malah dituduh subversif -- sudah boleh dibenamkan dalam-dalam.

Hinggakan Dr Mahathir Mohamad sendiri, menjelang kempen PRU12, walaupun atas motif peribadi untuk memalukan Perdana Menteri ketika itu,Abdullah Ahmad Badawi, turut menegaskan bahawa barisan pembangkang perlu diperkasakan. Mahathir berkempen di seluruh negara menyerang Pak Lah; saya turut mengikutinya ke Taman Melewati, Petaling Jaya, Alor Setar dan Kota Bharu. Secara tidak langsung, Mahathir mahu bilangan oposisi lebih ramai dan suara mereka diperkuatkan. Dan pengundi menyambut seruan Mahathir itu dengan positif sekali, terutama masyarakat Tionghua, dalam PRU13.

Secara peribadi, saya tidak begitu bersetuju dengan tanggapan bahawa penyokong kerajaan (termasuk di dalam sidang Dun negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat) juga boleh memainkan peranan berkesan sebagai pembangkang yang konstruktif. Biarlah fungsi "membangkang" itu dipikul dengan penuh tanggungjawab oleh pembangkang. Usah merendahkan tugas mereka yang penting itu.

Prof Dr Aziz Bari pernah menyentuh soal ini: "Sebagai pengikut dan penyokong parti yang memerintah, penyokong kerajaan tidak akan mengemukakan soalan yang memalukan kerajaan. Mereka akan bermati-matian mempertahankan kerajaan hatta sampai ke tahap menegakkan benang basah.

"Dan mereka tertakluk kepada ketua whip; penyokong kerajaan akan bercakap dan mengundi mengikut telunjuk whip mereka. Dari perspektif rakyat, pembangkang adalah lebih baik kerana ia boleh mengkritik dasar-dasar itu habis-habisan dan mungkin boleh menggantikan dasar itu dengan dasar lain jika mereka dapat membentuk kerajaan. Mereka juga menggantikan kerajaan itu dengan cara menumbangkannya melalui undi tidak percaya."

Dari sudut lain, demi meraih populariti dan sokongan, parti pemerintah dan pembangkang akan sentiasa berlumba-lumba menawarkan yang terbaik buat rakyat. Mereka juga sedaya mungkin cuba memperbaiki kelemahan yang didedahkan seteru masing-masing. Tentulah akhirnya yang untung adalah rakyat. Bajet 2012 adalah contoh terbaik apabila BN dilihat mencedok banyak tawaran menarik Pakatan Rakyat, yang kemudiannya menterjemahkan dalam bentuk insentif one-off.

Penduduk di negeri Pakatan juga mendapat keuntungan berganda. Kedua-dua kerajaan, negeri dan pusat, sentiasa mengambil berat kepentingan mereka. Dari sisi lain, badan-badan di bawah persekutuan, misalnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan pihak polis akan lebih proaktif mengesan "salah laku" pemimpin kerajaan negeri Pakatan. Natijahnya, walaupun atas "dendam politik", namun kesannya tetap positif bagi memastikan perasuah tidak terlepas dan kemakmuran negeri dapat dikongsi bersama.


"Jika pemimpin Pakatan Rakyat, atau sebelum ini Barisan Alternatif dan Angkatan Perpaduan Ummah, tidak diserkup SPRM, saya yakin mereka benar-benar bersih. Berbeda dengan pemimpin Umno-BN, walaupun mereka tidak dihadapkan ke mahkamah, ataupun 'dibersihkan' oleh SPRM bagi menangkis tuduhan pembangkang, kemungkinan mereka terlibat dengan amalan korupsi masih tinggi," kata seorang pemerhati politik.

Sesungguhnya kedudukan pembangkang di negara ini harus dipertingkatkan dalam kadar segera. Paling penting mengubah persepsi atau tanggapan kolot mana-mana parti pemerintah bahawa pembangkang hanya menganggu urusan mereka ataupun merasakan oposisi perlu ditekan setiap masa.

Misalnya, kita harus mengkaji elaun dan kemudahan Ketua Pembangkang di Parlimen sekarang, sekurang-kurangnya biarlah setara dengan anggota Kabinet. Elaun ketua pembangkang kita jauh lebih rendah daripada setiausaha parlimen, apatah lagi menteri. Begitu juga di peringkat negeri, berilah kemudahan dan kelengkapan seperti seorang exco.

Menurut Dr Aziz, pembangkang di negara maju diberi peranan rasmi. Di United Kingdom, jika kerajaan disebut Her Majesty's Government, pihak pembangkanmg dipanggil Her Majesty's Opposition. Di sana ketua pembangkang turut diundang di dalam upacara-upacara negara.

"Di Australia, salinan laporan mengenai perisikan keselamatan negara disalinkan kepada ketua pembangkang; ia tidak dianggap paria seperti di Malaysia. Para pemimpin seperti Lord Owen dan Lord Ashdown dilantik sebagai wakil Britain di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Malah secara tradisi di negara-negara maju, termasuk India, jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) juga diisi ahli Parlimen pembangkang, bagi mewujudkan suasana "semak dan imbang". Selangor merintis jalan dengan mencadangkan jawatan itu di peringkat negeri disandang Adun BN Sungai Burong, Mohd Shamsudin Lias. Malangnya beliau menolak atas alasan pelantikan itu bermotif politik.

Saya tidak pasti adakah cadangan sama pernah dikemukakan dalam sidang Dun Kelantan, Perak, Kedah dan Kelantan. Alangkah baiknya jika kerajaan negeri Pakatan menunjukkan teladan unggul dengan memartabatkan kedudukan pembangkang, termasuk dalam segi kemudahan, elaun, penghormatan, tempoh sidang Dun dan lain-lain lagi. Kerajaan Pakatan harus terlebih dahulu menghormati pembangkang (BN) di negeri masing-masing dengan meraikan mereka dengan cara yang lebih baik.

Saya teringat keluhan seorang wakil rakyat PAS di Selangor sekitar tahun 2000, reaksi kepada tindakan PBT yang tidak menyediakan ruang parkir khas untuknya di kawasan bangunan majlis perbandaran berkenaan. Saya harapkan insiden seumpama itu tidak berlaku di era Pakatan memerintah, malah menyerlahkan lagi sikap terbuka meraikan kepelbagaian.

II.

Banyak pihak bimbang majlis Himpunan Sejuta Umat, 22 Oktober ini, yang bertujuan meningkatkan kewaspadaan tentang wujudnya serangan terhadap aqidah umat Islam, termasuk kristianisasi, akan diperalatkan untuk kepentingan politik kelompok tertentu.

PAS yang selama 60 tahun usianya istiqamah mempertahankan aqidah ummat daripada pelbagai gugatan dan serangan -- sehingga ditohmah mencetuskan situasi "kafir-mengkafir" -- tiba-tiba dilihat berada di kandang tertuduh. Seolah-olah jika ia tidak menyertai himpunan itu maka akan dituduh melepaskan prinsip perjuangan atau tunduk kepada parti sekutu dalam Pakatan.

Tidaklah sukar untuk ditelah motif politik individu seperti Zulkifli Nordin, Ibrahim Ali dan Ezam Mohd Noor, serta usaha terancang untuk melaga-lagakan PAS dengan rakan-rakannya yang menerajui kerajaan negeri Selangor.

Menyedari Azmi Abd Hamid, merupakan pengerusi bersama himpunan tersebut, ramai teman-teman bimbang -- tokoh yang berjuang tanpa mengira penat-lelah dan sakit-payah seperti Cikgu Mi akan diperalatkan.

Namun, selepas membaca emelnya, petang Selasa lalu, saya berasa lega, sekali gus mengkagumi bicaranya, yang turut merangkumkan pemikiran sekularisme dan perkauman assobiyyah sebagai gugatan terhadap aqidah, selain gerakan evangelis Kristian.

Tegasnya, himpunan itu "tidak akan dibenarkan dihijack oleh golongan yang berkepentingan politik dan beragenda melaga-laga antara kaum dan penganut agama mahupun antara parti politik." Dan bagi saya, kenyataan Cikgu Mi itu memudahkan PAS untuk membuat pendirian rasmi pada malam 18 Okt lalu.

No comments: