Tuesday, February 21, 2012

Almarhum Shafri: Moga pahala berkekalan

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Rasanya tidaklah terlalu lama saya tidak bertemu rakan sekerja, Mohamad Shafri Shamsudin, tetapi pagi itu, Jumaat, 13 Januari lalu, https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgPX5Jq6WE-3E-4tv4E6E7JAAxxwSCl6yGw2w1IJqkRzIrb_uRpPZWBl90RBTzYzZtgL8_KQuU43JLmXsYX7Tz75fhlG09x88qM1-ClmLy1JbU3pzXhPSf5PRvZ8QC326FkBqxJFncE_s4/s1600/Shafri.jpgketika kami mahu menziarahi jenazah petugas Pejabat Agung PAS, Allahyarham Syed Mohamad Syed Hasan, di Taman Melewar, saya perasan kelainan di wajahnya.

Perbedaan batang tubuhnya, seolah-olah kami tidak pernah berjumpa dalam tempoh yang lama. Meskipun saya kerap uzur dan jarang hadir ke pejabat kecuali untuk mesyuarat mingguan jabatan pengarang dan temujanji penting lain, saya kira kalaupun tidak berselisih dengan Shafri, ia hanya sekitar maksimum dalam masa sepuluh hari.

Nampak uzur sangat, cengkung dan pucat, bagai menanggung penyakit kritikal. Berat badannya kelihatan susut. Saya benar-benar terkejut. Tidak pernah pula dimaklumkan bahawa Shafri keuzuran. Tetapi dia masih seperti biasa, tetap ceria dan sering tersenyum.

"Awat ni, Shafri, nampak teruk sangat?" tanya saya, sambil kami bergegas ke kereta bersama pembantu khas ketua pengarang, Khairul Hartimi Mohd Tajudin dan jurufoto Wan Zahari Wan Salleh.

Senyumannya masih tidak lekang -- dan itulah satu keistimewaan Shafri -- tanpa saya sedari dia cuba menutup rahsia. "Takda apalah bang," pintasnya.

"Dah periksa pakar?" saya tetap degil mahu mendapatkan kepastian. Memang selepas menjalani pembedahan pintasan jantung lebih setahun lalu saya mudah tersentuh dengan hal-hal berkaitan kesihatan dan penyakit.

Sebenarnya sensitiviti itu bermula lebih awal ... hampir tujuh tahun lalu, sejurus anak kedua saya, Nurul Shafiqah, 11, meninggal dunia secara mengejut pada pagi 1 Ramadan.

"Ceritalah pada cik Lutfi," Khairul mencelah. "Sakit batu karang, kot," Shafri  menjelaskan, ringkas.

"Saya pernah kena batu karang, 25 tahun lalu, memang sakit, tak tentu rasa, tapi taklah teruk macam ni, sampai berubah muka," kata saya, "jangan lupa, cepat dapatkan rawatan pakar."

"Tak selera makan," jawab Shafri. "Kalaupun tak lalu makan, tapi takkan sampai jadi macam anta ini, nampak uzur dan letih sangat," balas saya.

Dalam perjalanan balik ke pejabat Harakah, di Jalan Pahang, Shafri tidak banyak berbual walaupun saya mengumpannya dengan pelbagai persoalan politik yang agak panas. Selalunya, dia cepat respons dan terbuka memberi pandangan.

Meskipun Shafri lebih lama berkecimpung dalam bidang grafik, dan baru sahaja terjun ke dalam dunia kewartawanan selepas akhbar Siasah tidak lagi diterbitkan di bawah bumbung Harakah, beliau cepat belajar.

Dalam usia 40 tahun, ketika saya cadangkan dia dipindahkan ke Bilik Berita Harakah, mungkin ramai beranggapan ia sudah terlalu lewat untuk menjadi seorang pemberita. Beberapa pimpinan PAS yang mengenalinya agak terkejut apabila dia hadir di sidang-sidang akhbar sebagai wartawan.

"Bukankah dia yang buat lay-out Siasah dulu? Bolehkah jadi wartawan?" tanya seorang pemimpin kanan PAS. Mulanya memang agak "bertarabur", sukar mencari "intro", tetapi dia tidak segan bertanya, prasyarat awal untuk maju dalam penulisan.

Saya mengenalinya ketika sama-sama bertugas di Harakah pada awal 1990-an. Waktu itu dia di bahagian rekabentuk. Lama tidak mendengar khabar beritanya, walaupun sesekali bertembung ketika saya juga berada di luar Harakah, Shafri tetap mesra. Ternyata dia begitu menghormati ketua dan bekas bosnya.

Siasah yang saya pernah terajui menemukan kami kembali. Bila terserempak sewaktu minum di restoran, Shafri bercerita bagai seorang wartawan. Isu-isu sensitif dalam parti kerap disinggungnya secara terbuka. Apa pun saya yakin dia ikhlas, mahu melihat PAS tetap di hati rakyat dan menjadi sekutu penting dalam Pakatan Rakyat.

Sekurang-kurangnya saya pernah bersamanya di dua lokasi luar Kuala Lumpur, semasa pilihan raya kecil di Kerdau, Pahang dan membuat liputan fokus PRU13 Negeri Sembilan di Seremban. Turut sama, Wan Zahari dan wartawan kanan, Wan Nordin Wan Yaakob; mereka bertiga kelihatan akrab dan serasi.

Semasa wartawan Harakah dari seluruh negara berkampung di Sungai Tua, Ulu Yam, Sabtu dan Ahad lalu, sebagai persiapan terakhir menghadapi pilihan raya umum ke-13, saya terasa ketiadaannya.

Wan Zahari semasa sesi dialog, menarik perhatian rakan-rakan tentang keadaan Shafri yang ditempatkan di wad 26, Hospital Kuala Lumpur. Walaupun masih belum dipastikan jenis penyakitnya, ada kemungkinan dia ditimpa masalah berkaitan hati, lebih teruk lagi kanser. Wan Zahari menimbulkan isu kebajikan kakitangan Harakah, terutama berkaitan kemudahan mendapatkan rawatan perubatan terbaik.

Di akhir pertemuan, saya turut memberi reaksi, mengharapkan soal kesihatan diberi pertimbangan utama. Sambil menyedari Harakah cukup banyak memberikan bantuan dan sokongan kepada saya sepanjang menjalani rawatan di hospital awam dan juga swasta, saya amat mengharapkan kemudahan itu dapat dikongsi oleh semua kakitangan yang memerlukan.

Tengahari Isnin, 30 Januari, selepas mendapat rawatan rutin, saya cuba singgah di HKL, untuk menziarahi Shafri. Kawasan letak kereta hospital penuh sesak, tambahan pula tiada bayaran parkir dikenakan. Keuzuran anggota kiri saya tidak memungkinkan untuk menapak jauh.

Saya menelefon Khairul, minta turun ke bawah, membantu mencari parkir. Semasa berjalan ke lift hospital, Nazri Abdullah, Pengarang Berita Harakahdaily memaklumkan keadaan Shafri semakin kritikal. Kanser hati. Sukar sekali untuk dipulihkan. Jelas riak kerisauan di wajahnya.
 
Wad 26, tingkat 5 HKL memang sesak. Kawan-kawan sepejabat mengelilingi Shafri. Saya duduk di sebelahnya. Saya percaya dia menahan keperitan semasa bercerita keadaannya, tetapi masih ceria. Senyuman tetap menguntum. Tidak banyak derma kilat yang dapat kami hulurkan; Shafri keberatan menerima: "Susah-susah aja ...." (Gambar itu disiarkan di halaman F13).

Semasa melintas di depan isterinya, Sharifah Norhayati Syed Omar, saya sekadar mampu memohon diri lebih awal. Pastinya beliau dan keluarga sedang meniti detik-detik paling sukar. Saya terbayang wajah anak-anaknya. Sebak. Terharu.

Pagi Selasa, semasa sarapan, saya menerima SMS daripada wartawan Harakah, Nyza Ayob memaklumkan Safri koma dan nazak. "Masya Allah, cepatnya ...." saya berbisik sendiri. Sekali lagi keuzuran menghalang saya untuk berkejar ke HKL. Rakan-rakan sekerja sudah berkumpul di sana.

Semasa berbual dengan aktivis pelajar, Adam Adli Abd Halim yang berkunjung ke rumah saya, tengahari itu, fikiran saya agak gelisah mengenangkan SMS Nyza. Tidak lama selepas Adam pulang, Nyza menelefon: "Shafri dah tak ada ...." Nada suaranya sarat dengan kepiluan. "Inna lillahi wa ina ilahi rajiun," hanya itu yang mampu saya titipkan.

Sepatutnya tengahari itu, kami menziarahi anak-anak Shafri di Gombak. Isteri saya sudah siap masak nasi beriani ayam kuzi untuk dibawa bersama. Akhirnya, juadah itu saya kirimkan kepada rakan-rakan di Harakah.

Semoga Allah menerima  segala amal soleh dan mengampuni dosa-dosanya. Dan diberikan keteguhan hati buat Sharifah Norhayati dan anak-anaknya.

Teringat saya akan maksud Hadis Nabi s.a.w. yang disampaikan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika retreat Harakah, sebagai azimat dan kata-kata perangsang buat kami. Maksudnya lebih kurang, sesiapa yang menunjuk jalan kepada kebaikan dan kebaikan itu diikuti atau diamalkan oleh orang lain, maka ia mendapat pahala sepertimana orang yang mengamalkannya.

Ustaz Abdul Hadi mengaitkan makna sabda Nabi itu dengan kerjaya seorang wartawan, yang menulis ke arah kebaikan, mencegah kemungkaran, mendorong perubahan. Semoga sahabat kami, Allahyarham Shafri dilimpahi pahala yang berterusan itu ... juga buat kita yang bakal menyusuli. Janji Allah pasti datang.

 

No comments: