Wednesday, March 27, 2013

Iktibar Lahad Datu: Apa jadi kalau negara diserang kuasa luar?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Saya kerap diperingatkan agar lebih cermat dan berhati-hati apabila mengulas isu Lahad Datu. Beberapa artikel yang disumbangkan oleh rakan-rakan, menyentuh tragedi berdarah di Sabah itu, terpaksa ditolak.

 Saya sendiri mengedit berkali-kali catatan di kolum ini sehingga banyak perenggan dipotong dan mungkin kehilangan makna asal.

"Elakkan bahan-bahan sensitif dan boleh mengundang salah tanggapan. Ia membawa natijah buruk kepada parti, jika Harakah dilihat merendah-rendahkan pasukan keselamatan," begitulah salah satu peringatan yang saya terima.

Saya cuba mematuhi nasihat itu, selain memegang amanat Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, agar "berpantang" di waktu kritikal menjelang PRU13, iaitu jangan mendedahkan diri dan parti dengan kesilapan -- walaupun kecil --  yang boleh membawa padah.

Semasa kita berusaha mengelak daripada terjerumus dalam polemik yang berisiko ini, pihak Umno-BN semakin ghairah mempolitikkannya. Tiba-tiba saja isu ini menjadi senjata utama untuk menggagalkan usaha Pakatan Rakyat ke Putrajaya. Sudahlah cadangan mengadakan sidang khas Parlimen membincangkan kes Lahad Datu ini ditolak, tiada usaha mengumpulkan setiap potensi kekuatan yang ada, bagi menanganinya dengan tuntas.

Justeru, tidak pelik jika bidasan Dr Abd Aziz Bari, bekas profesor undang-undang UIAM,  terhadap pengendalian kes di Lahad Datu, dalam Harakah keluaran Jumaat lalu, ditanggapi sebagai usaha memperlekeh pihak tentera dan polis.

Sedangkan pakar perlembagaan itu mempunyai hujah kuat: "Prestasi angkatan tentera dan pasukan polis boleh dinilai dan kalau tidak memuaskan boleh dikritik. Kalau badan kehakiman sendiri pun boleh dikritik, apa alasan yang menjadikan kedua-dua organisasi yang merupakan sebahagian daripada perkhidmatan awam Persekutuan itu kebal daripada kritikan?"

Saya perhatikan kebanyakan teguran itu, seperti banyak diluahkan dalam media sosial, adalah berdasarkan kepentingan awam dan semangat cintakan tanahair, serta lebih ditujukan kepada "keputusan politik".

Mereka tidak mahu lebih ramai perajurit terkorban hanya disebabkan kesilapan atau kealpaan pihak atasan. Lebih penting, maruah dan kedaulatan negara tidak boleh dipertaruhkan dengan pelbagai strategi dan langkah taktikal yang "nampak mengelirukan". Malang sekali, luahan tidak puas hati itu mudah dilabelkan sebagai "pengkhianat negara".

Kritikan sebenarnya lebih ditujukan kepada kelemahan agensi perisikan negara dan bagaimana kes pencerobohan itu ditangani "secara salah" bermula sejak hari pertama lagi. Rakyat menuntut tahap profesionalisme yang tinggi tanpa campur tangan politik.


Bekas Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Dato' Ghafir Abdul Hamid menyifatkan faktor risikan tentera yang lemah dan diguna untuk matlamat politik menyebabkan musuh menceroboh perairan dan membolos masuk.

Beliau mendakwa, mulai tahun 2000, aset dan keupayaan Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Angkatan Tentera Malaysia cenderung digunakan untuk operasi politik. "Selama 13 tahun mereka hilang kepakaran dan aset untuk melaksanakan tugas utama untuk merisik," tambahnya.

BSSP dilihat sibuk memantau aktiviti Pakatan Rakyat dan mengekori pemimpinnya, malah perisikan tentera dikatakan mempunyai kemahiran (dan ketepatan) jauh lebih tinggi daripada Polis Cawangan Khas dalam "kajian politik" mereka.

Ia bukan saja diperalat untuk berdepan oposisi dalam pilihan raya umum tetapi juga dipergunakan pemimpin Umno untuk bersaing sesama sendiri, terutama menjelang perhimpunan agung parti itu. Dato' Seri Najib Razak yang pernah menjadi Menteri Pertahanan dalam tempoh yang lama amat arif hakikat ini.


Sebelum itu, Brigadier Jeneral (B) Dato' Abdul Hadi Abdul Khatab turut mengkritik kelewatan membuat keputusan, termasuk menyerahkan operasi awal kepada pihak polis. Keputusan menentukan menyerang musuh juga mengambil masa lama. Lebih buruk, perisikan juga  gagal mengenal pasti identiti dan keupayaan persenjataan musuh.

Berbicara soal integriti pasukan keselamatan kita, ia turut mengingatkan  tentang pendedahan rasuah dan gosip meluas membabitkan kelengkapan persenjataan -- lubuk korupsi melibatkan dana awam yang cukup besar. Rujukan klasiknya sudah pasti kes pembunuhan kejam warga Mongolia, Altantuya Shaariibu, yang dikaitkan dengan Najib dan isterinya.

Ramai pembaca menggesa agar Harakah membongkar korupsi berkaitan perbelanjaan Kementerian Pertahanan. Atas nama keselamatan negara, dana awam banyak dihanguskan melalui transaksi yang tidak telus, tanpa tender terbuka.

"Saya bukan mahu menyalahkan pegawai-pegawai atasan tentera kita, namun ada segelintir daripadanya, saya lihat hanya ghairah melihat peluang bisnes atas angin selepas pencen," kata salah seorang pembaca tersebut.

Ghafir juga berkata  tentera Malaysia berpotensi untuk menjadi pasukan keselamatan terbaik di di Asia Tenggara jika setiap peruntukan digunakan dengan telus. "Saya dah cakap berulang kali mengenai peruntukan yang banyak hilang di tengah jalan," katanya.


Semua maklum, isu melibatkan soal keselamatan dan kedaulatan negara, apatah lagi dikaitkan dengan pencerobohan luar, sering dimanipulasi demi kepentingan politik pemerintah, menggunakan  sentimen patriotisme atau demam nasionalisme.

Ketua Pengarang Malaysiakini, Fathi Aris Omar mengulas dengan baik  hal ini: "Semangat patriotisme dalam krisis sebegini (Lahad Datu) sering akan menguntungkan parti kerajaan. Patriotisme ini dipacu oleh rasa ingin bersatu bersama pasukan keselamatan dalam memenangi krisis ini, sekali gus bersama kuasa politik yang menggerakkan jentera pasukan itu.

"Pasukan keselamatan dan kuasa politik (baca: pemerintah) dianggap setaraf dengan "negara" dan "tanah air" yang wajar dicurahkan sepenuh kesetiaan (tanpa kritik) dan pengorbanan (tanpa batas)."


Sudah pasti insiden yang mengorbankan sepuluh anggota keselamatan itu tidak dapat dipisahkan daripada iklim politik yang menggelegak sekarang. Ia bukan sesuatu yang sukar difahami memandangkan Parlimen sepatutnya sudahpun dibubarkan. Cuma, yang merisaukan, soal keselamatan negara diperjudikan demi kepentingan politik sempit Umno-BN.

Lihat saja bagaimana Naib Presiden KeADILan, Tian Chua digambarkan seolah-olah musuh utama negara, melebihi penceroboh Sulu sendiri. Penjelasan beliau langsung tidak dipedulikan. Begitu juga dengan serangan melulu terhadap Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim hanya disebabkan ada hubungan dengan pemimpin MNLF, Nur Misuari, sehingga timbul ura-ura beliau mungkin ditangkap.

Jumaat lalu, beberapa NGO mesra-Umno, seperti Jati, JMM dan Perkasa, memulakan siri Jelajah "Anwar Dalang Lahad Datu", berdepan Masjid Negara. Peliknya, tiada pula reaksi segera pihak polis, walaupun secara jelas, melalui banner di atas pentas lori (mungkin mahu meniru treler atau bas Pakatan) dan ceramah berapi-rapi Dr Hasan Ali misalnya, Anwar bukan saja menjadi mangsa fitnah, tetapi isu keselamatan telah dipersendakan secara terbuka.


Apa pun, secara peribadi, saya agak resah dengan kritikan terbuka terhadap prestasi dan keupayaan pasukan keselamatan kita.

Meneliti perkembangan dari hari ke hari, serta mengikuti sidang akhbar Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera, timbul pertanyaan: Apakah kita terlalu daif atau pihak musuh (penceroboh Sulu) begitu hebat, sehingga sukar sekali kumpulan kecil itu ditumpaskan? Mungkinkah kes ini bakal berpanjangan menjadi "perang saudara", didorong dendam kesumat tidak berkesudahan?

Mengapa jumlah kematian yang diuar-uarkan jauh lebih besar daripada penemuan mayat musuh? Di peringkat awal, saya menggambarkan, daripada corak serangan ofensif dan agresif, termasuk pengeboman dari udara, dan  membabitkan 7 batalion tentera -- selepas lapan polis terbunuh, kebanyakannya dalam keadaan ngeri -- kemungkinan tiada seorang pun penceroboh terselamat.

Realitinya, berdasarkan lagak Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri, dalam sidang akhbar kemudiannya, mereka seperti masih tercari-cari tentera musuh yang mati. Orang ramai keliru dengan kesan serangan balas pasukan keselamatan kita.

Lebih mengejutkan, dan saya menerima puluhan SMS yang mempersoalkan kawalan perairan kita, apabila dilaporkan tentera laut Filipina berjaya menahan 35 warganya berhampiran Pulau Tawi-Tawi. Ketua Pemerintah Tentera di Mindanao Barat, Lt Jen Rey Ardo dipetik sebagai berkata mereka yang ditangkap itu dipercayai saki-baki penceroboh Sulu yang memasuki Lahad Datu.

Malam Sabtu lalu, seorang rakan, meminta pandangan saya terhadap laporan berita yang memetik kenyatan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Jeneral Zulkifeli Mohd Zin bahawa ketua penceroboh, Azzimudie Kiram dipercayai telah meloloskan diri daripada Malaysia dan kembali ke tempat asalnya di selatan Filipina.

Sekali lagi dipersoalkan kemampuan kita mengawal sempadan negara walaupun ketika segala kekuatan dikerahkan ke sana. Tertanya-tanya juga bagaimana seorang yang digambarkan sudah uzur, berusia 72 tahun, boleh melepasi tiga lapisan kawalan sempadan perairan kita?

"Aku tak dapat bayangkan, misalnya jika serangan  datang dari negara luar, dan tidak tertumpu hanya kepada satu lokasi, apatah lagi berpengkalan di seberang Tambak Johor ...." Begitulah sedutan emel yang saya terima. Kandungan penuhnya sensitif untuk disiarkan, selain bersifat provokatif.  

 

Kolumnis Tan Sri Abdullah Ahmad turut menimbulkan persoalan menarik: "Sedih dan memalukan kerajaan terpaksa tergesa-gesa menghantar segera 5 batalion tentera dan PDRM tambahan dari Kelantan – Pengkalan Chepa/Kok Lanas – selain bantuan tambahan anggota pasukan keselamatan dari Sarawak dan tempat lain.

"Ini baru satu pencerobohan oleh "Rag Army" atau "Dad’s Army" di satu lokasi sahaja! Adakah kita mempunyai kemampuan andainya pencerobohan berlaku serentak di beberapa lokasi di seluruh negara?"

Meskipun berdepan perang psikologi media yang dikawal ketat penguasa, saya masih menaruh keyakinan majoriti rakyat tidak mudah diperbodohkan, termasuk oleh "semangat patriotisme".


Namun begitu,  saya tetap risau dengan rumusan rakan saya, Fathi Aris Omar: "Jika angin patriotisme ini bertiup kencang ke seluruh negara tanpa dapat dihadang-hadang lagi, pembangkang akan tersudut dalam fantasi Putrajayanya sendiri.

"Apatah lagi patriotisme Lahad Datu ini disusuli pula dengan kempen anti-Anwar yang digambarkan sebagai dalang pencerobohan atau anti-Tian Chua  sebagai simbol penghinaan pasukan keselamatan."

Ya, pertarungan merebut hati dan minda pengundi semakin rancak ....

 

II.

Bagi pihak Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan setingginya kepada pembaca Harakah yang menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Maybank, KAMI MEDIA  5140 7560 6399 bagi membiayai proses penerbitan bahan bercetak untuk kegunaan kempen PRU13.

Insya-Allah, dana tersebut akan dimanfaatkan sebaiknya, terutama untuk membekalkan maklumat mencukupi kepada pengundi agar dapat membuat pilihan rasional dan bijaksana. Saya merayu agar bantuan tersebut dapat disalurkan terus.

Sementara itu, khusus buat mereka yang berminat untuk mencetak sisipan Bangkit secara berasingan, tempahan boleh dibuat terus kepada pihak pencetak, dengan harga berpatutan. Maklumat lanjut sila hubungi Angkatan Edaran (03-55237985, 55196373),  Husin (013-3400229) atau Maria (012-3747794).

No comments: