Wednesday, March 27, 2013

Manifesto Rakyat, kesukaran PAS dan polemik Haron Din

Oleh Ahmad Lutfi Othman

MANIFESTO Pakatan Rakyat bakal dibentangkan Isnin depan, sekali gus memulakan kempen rasmi berdepan PRU13 yang paling sengit dan mendebarkan itu. Berbeda dengan siri pilihan raya sebelumnya, yang menyaksikan tawaran oposisi jarang diberi perhatian istimewa, kali ini ia benar-benar dinanti dan akan dihalusi.

 Sebelum ini, Buku Jingga, yang dilancarkan lebih dua tahun lalu, mendapat reaksi yang luar biasa hebatnya. Tawaran yang dikemukakan begitu memikat imiginasi masyarakat umum, terutama melalui perincian 100 hari pertama pemerintahan Pakatan selepas memperolehi mandat rakyat.

Tentu sekali pemimpin BN dan media talibarutnya secara intensif melemparkan kecaman dan serangan berterusan bagi memburukkan dokumen tersebut, namun ia menyumbang promosi lebih menyeluruh terhadap tawaran Pakatan.

 

Kesan positifnya, Buku Jingga menjadi sebutan dan perbincangan di mana-mana. Pihak kerajaan, termasuk Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, mengambil jalan mudah -- tanpa sanggahan berfakta -- mendakwa negara akan bankrap jika janji-janji Pakatan dilaksanakan.

Di kala Pakatan mengemukakan hujah dan rasional, memberi fokus kepada isu-isu rakyat dan polisi penting, BN masih bermain sentimen dan emosi.


Saya percaya tumpuan umum pelbagai lapisan masyarakat akan terpusat kepada pelancaran Manifesto Rakyat, 25 Februari, di Pusat Konvensyen Shah Alam itu. Seluruh negara bukan saja mahu mendengar pakej tawaran baru tetapi juga perincian dan justifikasi bagaimana ia boleh dilaksanakan dengan berkesan, termasuk fasa-fasa masa yang diperlukan.

Mengetahui orang seperti Rafizi Ramli dan teman-teman baiknya dalam Pakatan, termasuk Dr Dzulkefly Ahmad, yang bertanggungjawab merumuskankan draf akhir manifesto, saya jangkakan strategis kempen BN  pasti tidak senang duduk!

Berdasarkan kajian terbaru  Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UMCEDEL, tawaran-tawaran yang lebih spesifik, seperti janji menurunkan harga minyak, janji pemansuhan PTPTN dan menyediakan pendidikan secara percuma, dan janji penurunan harga kereta, dilihat boleh meningkatkan  sokongan kepada Pakatan.

Secara timbal baliknya, isu-isu berkaitan integriti dan penyalahgunaan kuasa pemimpin BN atau secara khusus membabitkan kes-kes NFC, kegagalan mengawal kenaikan harga barang. serta kelemahan dalam menguruskan ekonomi sehingga berlaku peningkatan hutang negara, telah menarik perhatian responden sebagai isu-isu yang boleh menjejaskan sokongan kepada BN.

Ini bermakna, pengundi akan menilai dengan cermat dan teliti, sejauh mana BN dan Pakatan, berusaha menangani isu-isu yang menyentuh langsung kehidupan seharian rakyat. Dan antara kayu ukur awal ialah manifesto yang bakal dikemukakan kedua-dua gabungan parti itu.


Kesan tawaran Pakatan, misalnya berkaitan penurunan harga kereta, membuatkan ramai menangguhkan hasrat mereka untuk membeli kenderaan baru. Apa pun, rakyat lebih mengharapkan satu pelan menyeluruh ditampilkan, berkaitan pelbagai segmen khusus, seperti rawatan kesihatan, agenda wanita, peningkatan pendapatan isi rumah dan lain-lain.


Diharapkan perdebatan tentang isu-isu yang real ini, daripada pembentangan manifesto masing-masing nanti, dapat menenggelamkan (kalaupun tidak menamatkan) polemik berterusan yang ditimbulkan Umno-BN, yang berlegar sekitar sentimen perkauman, politik jahat, permainan emosi dan seumpamanya.

Sebagai pengamal media yang sering membangkitkan isu kebebasan, saya tertarik dengan jaminan Pakatan untuk "menghapuskan semua undang-undang, yang menyekat kebebasan media dan mewujudkan suasana media yang berat sebelah, termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta prosedur perlesenan media."

Sebagai rakyat prihatin yang sentiasa mempersoalkan undang-undang rimba, seperti ISA, saya teruja dengan janji-janji Pakatan untuk memansuhkan semua undang-undang anti-rakyat, dengan langkah-langkah berikut:

"Semakan menyeluruh ke atas semua undang-undang yang bertentangan dengan prinsip keadilan dan kebebasan rakyat atau bersifat anti-rakyat. Memansuhkan semua undang-undang dan peraturan ini dalam tempoh tahun pertama pentadbiran Pakatan. Menguatkuasakan Akta Pemulihan Demokrasi untuk mengukuhkan lagi hak rakyat. Kerajaan Persekutuan membebaskan dan memohon maaf kepada semua tahanan ISa dari dulu hingga sekarang."

Semasa Rafizi mengisi slot khas dalam retreat Jabatan Pengarang Harakah bulan lalu, Pengarah Strategi KeADILan itu menimbulkan satu persoalan menarik, iaitu bagaimana Pakatan menangani masalah rasuah dan korupsi yang berleluasa sekarang, melalui satu pelan menyeluruh dan holistik.

Saya, seperti majoriti rakyat lainnya, yang sudah muak dan jelak dengan amalan salahguna kuasa, menarik nafas lega dengan cadangan Pakatan memperkenalkan Dasar Banteras Rasuah Negara (DEBARAN), yang dijangka, antara lain, merombak amalan dan proses SPRM agar tumpuan diberikan sepenuhnya kepada siasatan dan pendakwaan terhadap kes-kes rasuah besar, melibatkan kepentingan awam sekali gus membuang persepsi bahawa SPRM hanya menumpukan kes kecil sedangkan rasuah pembesar negara dipadamkan.

II.

Secara jujur, saya melihat kegusaran mengenai kecenderungan pengundi Melayu masih belum berjaya diatasi sepenuhnya. Ada pihak mendakwa, sepanjang lima tahun terakhir ini, sokongan mereka kepada Pakatan, khususnya PAS, tidak mencatatkan banyak peningkatan.

Saya tidak pasti apakah ada sandaran kukuh terhadap kerisauan itu ketika semakin ramai tokoh-tokoh masyarakat menyertai PAS dan banyak kawasan yang sebelum ini dikenali sebagai kubu  Umno telah ditembusi. Sekurang-kurangnya mesej PAS dapat disampaikan kepada khalayak yang lebih meluas.

Memang sikap over confident bahawa Pakatan mampu menerajui  Putrajaya dalam PRU13 mempunyai keburukan tertentu, sehingga membuatkan  aktivisnya memandang mudah dan alpa, tetapi kebimbangan dan ketakutan tanpa asas kemungkinan orang Melayu tidak bersedia berubah, juga perlu dielakkan.

"Dalam sejarah lebih 60 tahun penubuhannya, PAS kini berada pada tahap paling kukuh," kata seorang penganalisis politik. "Walaupun kerusi Parlimen yang dimenanginya kurang sedikit daripada 1999, tetapi sokongannya tambah merata termasuk di Johor. Malah ramai personaliti terkemuka lebih berminat mendekati PAS, terpulang kebijaksanaan pemimpin utama untuk mengolahnya, " tambahnya.

Cuma, PAS kini terpaksa bertembung langsung dengan Umno, parti utama dalam BN, yang menguasai seribu satu sumber kekuatan. Namun begitu, Umno juga dalam proses pereputan, natijah pelbagai jenayah besar sejak merdeka.

Proses urbanisasi, fenomena langit terbuka, peningkatan tahap pendidikan dan pembesaran kelas menengah dikatakan faktor memperkukuhkan pengaruh Pakatan, termasuk PAS. Semakin rakyat bermaklumat dan berilmu, mereka kian menjarakkan diri dengan Umno-BN.

Saya akui kerap mengingatkan penggerak Pakatan, khususnya PAS, agar usah meremehkan pengaruh propaganda bagi mengekalkan kuasa BN yang disebarkan melalui media tradisi seperti Utusan Malaysia dan TV3.


Ia bertujuan untuk mencabar dan menyemarakkan lagi usaha penerangan dan penjelasan ke seluruh pelosok, seperti kampung tradisi dan penempatan Felda. Minda Melayu yang terjajah dan terkepung itu harus dibebaskan.

Sebenarnya dakyah Utusan dan TV3 tidaklah terlalu sukar untuk dipatahkan. Edaran akhbar itu pula semakin merosot dengan ketara, manakala siaran Buletin Utama TV3 sering dipersendakan, seperti kes "Himpunan Shamsidar", apatah kredibiliti sumber beritanya cukup rendah.

Oleh itu, bukan hanya media baru perlu ditingkatkan wilayah pengaruhnya ke segenap ceruk rantau, malah akhbar alternatif, seperti Harakah dan Suara Keadilan, perlu sampai ke setiap rumah pengundi Melayu. Biar mereka dapat membuat penilaian dan penghakiman sebaiknya. Malang sekali, sehingga kini, jaringan pengedaran itu tetap terbatas.

Tidak dinafikan PAS berdepan tugas paling sukar dan kritikal berbanding DAP dan KeADILan, namun "semakin pekat malam, maka semakin dekatlah fajar menyinsing". Begitu perit tribulasi dan berat kepedihan yang menimpa pemimpin dan ahli-ahli parti selama lebih 60 tahun; PAS bukan saja bertahan tetapi berkembang pesat.

Prinsip perjuangannya disanjung, akhlak dan komitmen penggerak PAS dihormati kawan dan lawan. Justeru, benteng pengundi Melayu-Islam yang dikatakan menjadi penyelamat Umno-BN pada 2008 tidak semestinya kekal kebal. Ia hampir roboh dan musnah.

Jadi mengapa perlu gerun dengan  parti bobrok yang bakal ditelan sejarah itu?  "Janganlah tindakan kita yang keliru, walaupun tanpa sedar, boleh menyebabkan Umno dapat mengembalikan kekuatannya untuk terus mempertahankan kuasa," ingatan seorang profesor sastera kepada saya. "Harapan kami hanya kepada Pakatan, jangan sesiakan," tambahnya.

III.

Isnin lalu, saya sempat berkunjung ke rumah Dr Haron Din, di Bandar Baru Bangi. Saya tidaklah berhasrat menimbulkan khabar angin yang tersebar luas dalam internet mendakwa beliau keluar PAS, banyak lagi perkara lain yang lebih urgent.

"Kalau Ustaz Haron Din betul keluar PAS, pasti Utusan dan TV3 terlebih dulu menghebohkannya," saya membalas SMS seorang rakan yang bertanyakan berita palsu itu. Rupanya ramai lagi yang tertanya-tanya isu yang sama.

Kenalan rapat dari Alor Setar, sebaik mengetahui saya di rumah Timbalan Mursyidul Am PAS itu, minta bertanyakan kerana "aku nak dengar sendiri penjelasannya".

Sambil minum petang dan menikmati karipap panas, Dr  Haron menegaskan: "Saya pertegaskan sekali lagi, bahawa saya dalam menghadapi isu kalimah Allah atau isu yang berhubung dengan apa sahaja pendirian PAS dengan DAP, saya tidak pernah terfikir untuk meninggalkan perjuangan bersama PAS.

"Tidak terlintas dalam benak saya, bahawa saya akan keluar PAS dalam menghadapi isu  ini. Melawak tidak pernah, bercakap pun tidak pernah. Selepas bersama dalam perjuangan, tidak terfikir  hendak keluar PAS.


"Malah Perhubungan PAS Perlis telah menawarkan saya bertanding dua kerusi, Dun dan Parlimen dalam PRU13 walaupun saya daripada awal minta tidak disenaraikan kerana tidak cukup sihat fizikal."

Dr Haron berkata, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jassin sendiri menawarkan kerusi yang disandangnya. Begitu juga dengan seorang lagi Adun PAS (Simpang Empar), Rus'sele Eizan.

"Saya juga ditawarkan Parlimen Arau. Pada 2008 saya kalah 300 undi sahaja.  Saya tolak tawaran itu. Mesyuarat tidak terima pandangan saya, mereka kata akan bantu dan tampung kelemahan saya. Akhirnya saya terima satu sahaja, iaitu Parlimen Arau," ujarnya.

 

 

No comments: