Sunday, March 23, 2014

Lesunya Merdeka, integriti polis dan pembunuh upahan

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Tidak ramai yang terkejut -- malah mungkin kebanyakan kita tidak lagi ambil peduli -- tentang suasana sambutan kemerdekaan ke-56, khususnya apabila kempen mengibarkan Jalur Gemilang begitu lesu sekali.
Orang ramai menjalani kehidupan seperti biasa, bagai tidak terusik dengannya,  walaupun Perdana Menteri telah melancarkan kempen tersebut di Sungai Petani, Kedah pada 16 Ogos lalu.  

Seminggu menjelang 31 Ogos, sarjana politik, Dr Mohamad Agus Yusoff melalui akaun Facebook beliau, selepas menggambarkan situasi meriah menyambut merdeka di beberapa negara, berdasarkan pengalamannya sendiri, seperti Indonesia, Singapura, Korea Selatan dan Liechtenstein (semuanya dalam bulan Ogos), telah menyimpulkan realiti di Malaysia: "Saya dapati inilah tahun paling lembab dan lambat kita menguruskan soal mengibarkan bendera kemegahan kita. Saya kesal."

 

Pada 30 Ogos, sehari sebelum tarikh keramat, aktivis sosial Hishamuddin Rais dalam kolumnya di Malaysiakini mengungkapkan dengan lebih "tragis" hal kibaran bendera itu: "Lihat di jalan raya. Buka mata dan pandang. Amati betul-betul. Di jalan raya tidak ada teksi. Tidak ada kereta persendirian. Tidak ada bas. Tidak ada van. Tidak ada bas sekolah. Tidak ada mat rempit. Tak ada kenderaan apa pun yang sedang mengkibarkan Jalur Gemilang.

"Pada tahun ini lori bawa pasir pun tidak mengibarkan bendera. Selalunya lori pasir akan memasang bendera agar dilihat patriotik. Pasang bendera untuk menghindarkan dari ‘kena pau' oleh mata-mata yang sentiasa mencari kesalahan lori pasir."

Walaupun patriotisme dan kecintaan kepada tanahair tidak boleh diukur hanya melalui kibaran bendera, namun hati kecil sebahagian kita tentu diasak persoalan (tapi saya kira lebih ramai lagi yang tidak kisah pun), mengapa keadaan suram ini berlaku?

Apakah majoriti rakyat, khususnya anak muda, sudah tidak menghargai atau jahil untuk menilai nikmat kemerdekaan, ataupun benarkah mereka sudah muak dengan kempen tersirat kerajaan yang mahu mengaitkan perjuangan membebaskan negara daripada penjajah dibolot mutlak oleh Umno?

"Umno adalah anak emas penjajah, yang melakukan perundingan dan bukannya perjuangan kemerdekaan," kata seorang aktivis mahasiswa dalam satu pertemuan di Harakah tidak lama dahulu. "Sejarah pembinaan negara wajar ditulis semula," tambahnya. "Apakah anda setuju," saya mencelah, "bahawa pemimpin Umno cukup licik memperalatkan semangat kebangkitan orang Melayu sehingga mereka dilihat sebagai pemenang?" Pintasnya cepat: "Penjajah memang mahukan Umno dan sekutunya menjadi pewaris."

Saya tidak mahu mengulangi pengkisahan semula perjuangan memerdekakan Tanah Melayu, yang bukan hanya bermula dengan penentangan Malayan Union, malah sejak awal penjajahan lebih 500 tahun lalu, dengan pembabitan kelompok lebih meluas, termasuk para ulamak dan tok-tok guru, berdasarkan konsep dan falsafah kemerdekaan yang lebih kudus. Bagi saya, semua pahlawan bangsa harus diiktirah

Cuma, ada kritikan, dan fenomena ini berlaku pada banyak negara, iaitu pejuang sebenar kemerdekaan dilihat agak naif, senang mempercayai dan mudah dieksploitasi ketika "buah mahu dipetik". (Tiba-tiba saya terkenangkan anugerah Pahlawan Umat yang dikhususkan buat Dr Burhanuddin Al-Helmi pada 2011. Apakah ahli-ahli PAS sendiri menghayati perjuangan luhur tokoh agungnya itu?)

Apa pun, sekurang-kurangnya peringatan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam perutusannya pada 30 Ogos lalu elok untuk direnung: "Merdeka memiliki makna yang lebih dalam berbanding perkataan ‘Kebebasan’. Ia bukan sekadar persoalan dibebaskan dari cengkaman penjajahan atau penindasan asing jika ia kemudian digantikan dengan penindas di tanah air sendiri yang barangkali lebih rakus dan tamak. Merdeka bermaksud bebas dari sebarang bentuk kezaliman dan penindasan dalam apa jua bentuk dan negara dipacu ke arah baru menuju keadilan, kebebasan, demokrasi dan kemuliaan insan."

Dalam perutusan sama sempena kemerdekaan, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menekankan: "Misi yang amat berat masih terpundak di bahu kita. Memerdekakan negara dari penjajah seterusnya memerdekakan jiwa manusia dari penjajahan pemikiran. Marilah kita menyatakan ikrar kesungguhan membebaskan diri dari belenggu penjajahan minda yang masih berlangsung. Perjuangan kita belum tamat. Selagi wujud kuasa yang menafikan Islam sebagai solusi, selagi itulah penindasan tetap akan berlaku."


Saya turut tertarik dengan laporan Bernama; Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Dato' A Thaiveegan berkata, semangat patriotik bukan hanya sekadar mengibar Jalur Gemilang tetapi perlu ditunjukkan dengan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti bertentangan dengan undang-undang. Beliau yakin seseorang insan yang cintakan tanah air, tidak akan terlibat dalam sebarang kegiatan tidak bermoral, malah akan sentiasa berbakti kepada negara.

Thaiveegan berbicara dalam konteks masyarakat India yang dikaitkan dengan kegiatan kongsi gelap, tetapi saya kira aktiviti tidak bermoral juga mempunyai pengertian lebih meluas, termasuk korupsi, salahguna kuasa, pecah amanah dan penipuan (demi mengekalkan kuasa pemerintahan).

Kartunis Zunar, dalam wawancara dengan portal radio internet, Durian FM, mengenai Merdeka dan Patriotisme. merumuskan bahawa "patriotisme paling tinggi adalah menentang pemerintah zalim dan rasuah." Nah, bagus sekali, kan?

Tapi, bagaimana dengan cadangan kerajaan mewujudkan undang-undang mewajibkan setiap premis dan bangunan kerajaan, hatta swasta, mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang sambutan bulan kemerdekaan? Itulah mentaliti penguasa yang hanya tahu memaksa dan menguatkuasakan peraturan, seterusnya menghukum.


II.

Ops Cantas yang dilancarkan PDRM merupakan tindakan proaktif yang wajar dipuji, walaupun bagi sesetengah pihak, ia dianggap agak terlewat. Keselamatan rakyat dan ketenteraman awam tidak boleh dikompromi sehingga seolah-olah keamanan bergantung kepada ehsan penjenayah.

Kawasan kejiranan sudah menjadi tempat larangan, yang harus dikawal 24 jam. Dan saya dimaklumkan, masih ada kawasan penempatan tertentu, termasuk di sekitar ibu kota, yang kelihatan seperti menjadi 'sarang penjenayah' apabila pihak polis sendiri "gerun" untuk memasukinya.

"Kalau ada keperluan, bukan polis yang masuk ke kawasan tersebut disebabkan risiko keselamatan, tetapi wakil penduduknya yang dipanggil keluar untuk berjumpa polis," dakwa sumber. Saya sukar mempercayai situasi seumpama zaman darurat itu masih berlaku, apatah lagi di negeri termaju!

Saya mengharapkan ia suatu imiginasi liar dan bukannya realiti walaupun sumber itu cuba meyakinkan saya bahawa itu memang bukan ilusi.

Pasukan keselamatan kita mesti diperkasa, bukan saja daripada segi pertambahan jumlah anggota (terutama yang terlibat langsung dalam pencegahan jenayah) dan modenisasi keperluan logistiknya, tetapi juga dalam aspek integriti dan kewibawaan.

Laporan Sin Chew Daily 28 Ogos, meskipun dinafikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, cukup merisaukan. Akhbar itu melaporkan Sebilangan ahli politik ternama didakwa menaungi beberapa kongsi gelap dan beberapa orang daripadanya turut menjadi penasihat kumpulan terbabit.

"Siapa kata? Setakat ini saya tidak pernah dengar penglibatan sebarang ahli politik dalam kumpulan kongsi gelap," kata Khalid. Saya tertarik dengan istilah yang digunakannya, "tidak pernah dengar".


Isu integriti pihak polis belum berjaya ditangani dengan baik, sementalahan cadangan IPCMC yang dikemukakan suruhanjaya diraja yang dianggotai, antaranya oleh tiga bekas Ketua Hakim Negara, belum direalisasikan. Orang mudah mempercayai jika ada tuduhan rambang bahawa pasukan polis kita mudah "cair dengan rasuah" walaupun tidak disertakan bukti. Kenapa ya?

Pasukan narkotik pula dilabelkan "mudah dibeli" sehingga penyeludupan dan pengedaran dadah terus menjadi-jadi. Senjata api pula mudah bolos daripada negara jiran. Penjara bukan lagi tempat pemulihan dan bahan-bahan terlarang, seperti dadah, bebas keluar-masuk. Ya, malang sekali jika dakwaan ini benar.

Insiden  Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Dato' Shaharuddin Ibrahim, yang  mati ditembak di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan pada pukul 8.15 pagi, dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, akhir April lalu, menimbulkan tanda tanya tentang keselamatan pegawai awam yang berintegriti.

Penembaknya belum dapat dikenal pasti dan dibimbangi pembunuhan nekad itu ada kaitan dengan sikap Allahyarham yang tegas membanteras jenayah. Lebih digeruni jika satu ketika nanti, wartawan yang membongkar kes jenayah pula menjadi sasaran pembunuh upahan.

Seperti orang lain, saya amat mengharapkan, integriti pasukan polis dapat dipulihkan segera dan usaha ke arah itu harus disokong sepenuhnya, termasuk komitmen menangani percambahan kongsi gelap.
    

No comments: