Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Saya menyertai Harakah seminggu sebelum edisi sulung lidah rasmi PAS ini diterbitkan, sekitar Mac 1987. Dan tugasan awal yang diamanahkan ialah membuat liputan tentang kegiatan gerakan pelajar dan aktiviti warga kampus
Mungkin Ketua Pengarang, Zin Mahmud merasakan pengalaman saya sebagai aktivis mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (Setiausaha Agung PMUTM), setahun sebelum itu, dapat membantu Harakah mendekati debar-getar menara gading dan segala pergolakan di dalamnya.
Saya diminta mengendalikan satu kolum khas mengenai alam kampus dan saya cukup gembira serta bersyukur dengan kepercayaan itu. Apatah lagi minat dan keghairahan saya dengan percaturan politik kampus tetap menebal.
Ramai kenalan masih memegang teraju utama persatuan mahasiswa dan ia memudahkan lagi saya menghidu pergolakan di institusi pengajian tinggi awam, termasuk polemik menarik kakitangan akademiknya.
Kebetulan Menteri Pendidikan ketika itu, Anwar Ibrahim, dilihat bagai bintang politik yang bergemerlapan. Meskipun Anwar Ketua Pemuda Umno namun beliau rapat dan akarb dengan pemimpin mahasiswa yang rata-ratanya dianggap cenderung kepada pembangkang, khasnya PAS.
Banyak persoalan dibangkitkan dalam pertemuan pelajar dengan Anwar -- selalunya berlangsung agak hangat -- disampaikan kepada saya dan menjadi isu hangat selepas disiarkan Harakah. Kepada wartawan, respons Anwar mudah untuk diangkat sebagai berita sensasi.
Tentulah insiden saya ditangkap ISA selepas dituduh mendalangi demonstrasi pelajar Universiti Malaya pada 1989 sukar untuk dilupakan. Dua lagi pemimpin PMIUM turut dicekup akta rimba itu. Saya ditahan tanpa bicara susulan liputan besar-besaran Harakah ke atas tunjuk perasaan di hadapan Dwan Tunku Canselor itu, membantah konsert Sheila Majid. Semasa soal siasat dalam tahanan, saya dituduh menjadi dalang atau penghasut mahasiswa untuk berdemonstrasi.
Sebenarnya mahasiswa UM bukannya antihiburan tetapi mereka terpanggil untuk menunjukkan protes terhadap amalan "double standard" pentadbiran universiti yang begtu sukar memberi kelulusan kepada permohonan persatuan mahasiswa untuk menjalankan aktiviti yang merangsang daya intelektual tetapi masa sama menggalakkan kegiatan hiburan.
Semasa di kampus pada sesi pengajian 1985/86, saya beberapa kali bertemu (dan 'bertelagah') Anwar, bersama pimpinan pelajar, antaranya Saifuddin Nasution Ismail (Presiden PMUPM; sekarang Setiausaha Agung KeADILan), Zulkifli Yusoff (Presiden PMUM; sekarang Prof di Akademi Pengajian Islam UM) dan Che Johan Che Pa (Timbalan Presien PMUM; dalam PRU13 tidak mengemukakan kertas pencalonan di Parlimen Pasir Mas walaupun dipilih Umno-BN).
Memang gumpalan pengalaman anak muda "yang mencabar dan dicabar" tidak mudah untuk dilupakan. Meskipun kampus dikepung, dikongkong dan dikurung oleh pelbagai peraturan ketat, khususnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (pindaan 1975), namun ia tetap berupaya membentangkan gelanggang cukup bermakna, sekurang-kurangnya untuk bereksperimen menjuarai idealisme.
Justeru, selepas 27 tahun meninggalkannya, ada kalanya saya masih dipeluk nostalgia silam. Namun, lintasan untuk menghidupkan kembali Dunia Kampus ini bukan didorong semata-mata oleh sentimen lama, ataupun sekadar memberi reaksi segera kepada kehangatan menjelang pilihan raya kampus yang dijadualkan tidak lama lagi.
Warga kampus adalah masyarakat intelektual yang sepatutnya dekat dan intim dengan rakyat. Dan Harakah cuba membina jambatan tersebut dengan satu keyakinan -- dan sememangnya terbukti dalam sejarah -- bahawa gerakan pelajar hanya diingati dan diangap mempunyai keistimewaan hanya apabila ia sentiasa prihatin (juga resah), menghayati degup jantung rakyat dan berusaha menawarkan khidmat, berpartisipasi menyelesaikan konflik dan kemelut umat.
----
Catatan ringkas ini adalah mukadimah untuk kolum baru DUNIA KAMPUS, dalam akhbar Harakah terbaru.
No comments:
Post a Comment