Monday, June 30, 2014

'Ya, gaji menteri kita bukan besar sangat, tapi ...'

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Walaupun ada kiraan kasar bahawa kerajaan terpaksa tanggung kos RM10 juta setahun untuk Kabinet selepas anggotanya ditambah kepada 35 orang (timbalan menteri, 27), bagi saya, itu bukanlah isu besar. Ada persoalan lain yang lebih mendesak, yang perlu didebatkan secara rinci, jika kita bicara soal menguruskan dana negara.

Secara relatifnya gaji menteri di Malaysia, termasuk perdana menteri bukanlah besar sangat. Rasanya jika dirujuk rakan-rakan sejawat negara jiran pun -- apatah lagi Singapura yang menawarkan gaji hampir setara dengan kemudahan pihak swasta -- kita tidaklah setinggi mana. Mungkin lebih kecil berbanding menteri besar dan anggota kabinetnya di Selangor, 'kan? Malah, elaun ahli-ahli Parlimen dan Adun jauh daripada mencukupi.

Tetapi, isu yang tidak perlu dipolemikkan lagi adalah saiz Kabinet kita. Ia memang terlalu besar, XXXXL, satu pembaziran paling ketara, tepat seperti perumpamaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, "begitu membusung". Katanya, tidak munasabah jika dibandingkan negara berpenduduk lebih besar tetapi mempunyai 23 menteri, seperti  United Kingdom (63 juta rakyat), Amerika Syarikat (313 juta), dan India (1.1 bilion).

"Orang ramai berharap supaya Perdana Menteri  akan sekurang-kurangnya menggantikan beberapa menteri kabinet Umno untuk mengembalikan portfolio tradisional MCA kepada MCA, bagaimanapun ini tidak berlaku, malah berbanding mengurangkan anggota Kabinet Umno, Najib memilih untuk menambah menjadi 35 orang," ujar Ketua Menteri Pulau itu.

Di Malaysia, jawatan menteri dikejar bukan kerana gaji dan elaun rasmi. Keghairahan memburunya berpunca daripada gamitan pengaruh dan kuasa, yang disusuli peluang meraih pendapatan lumayan. Bukankah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Suffian Hashim pernah membidas Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden AS sendiri mungkin cemburu dengan kuasa tidak terbatas Perdana Menteri Malaysia?

"Sebab itu, berbeda dengan negara-negara tertentu lain, menterinya mudah meletakkan jawatan jika berlaku sebarang krisis atau masalah di bawah potfolio masing-masing," kata seorang pensyarah sains politik ketika kami berbual mengenai integriti anggota Kabinet.

"Puncanya, bukan saja soal integriti, tetapi jawatan Kabinet di negara mereka tidak menawarkan begitu banyak kemudahan seperti di Malaysia. Mungkin gaji tinggi, tetapi kuasa terbatas dan sentiasa dipantau. Sukar untuk manipulasi," tekannya lagi.

Kolumnis Lim Hong Siang,  ketika saya bertanyakan hal gaji Kabinet yang membusung, membalas: "Ada orang kata, gaji menteri-menteri bukan 0.004 peratus daripada bajet negara, tetapi gaji rasmi itu adalah 0.000 peratus daripada pendapatan sebenar mereka."

Dalam pertemuan dengan Dato' Seri Dr Rais Yatim, ketika itu Timbalan Presiden Semangat 46, sekitar tahun 1997, saya sebagai pengarang majalah Tamadun, tertarik dengan ungkapannya: "Satu lorekan mata pena (tandatangan) PM, menteri mahu pun menteri besar, boleh menjadikan seseorang itu sebagai jutawan dalam sekelip mata."

Dan beliau menekankan agar sistem kuasa kita -- yang memberikan banyak kelebihan kepada pihak eksekutif, termasuk untuk campur tangan dalam kehakiman, apatah lagi dalam dunia dagang -- mesti dirombak. Dalam masa sama, institusi penting, yang bertindak sebagai semak dan imbang, misalnya Parlimen dan media, harus diperkukuhkan. Malangnya hingga kini, malah selepas Rais sekali lagi bersara dari menteri, monopoli elit pemerintah itu berterusan.

Kepada pemimpin Umno, apalah ada pada elaun sekitar RM20-30 ribu itu. "Untuk mengikat kesetiaan ahli-ahli Umno dalam sebuah bahagian saja, wang RM30,000 terlalu kecil," dedah seorang calon Naib Ketua Pemuda Bahagian di Kedah yang mahu bertanding jawatan itu, hampir 20 tahun lalu.

"Dengan gaji menteri sekarang, bagaimana mungkin mereka boleh beli kereta mewah anak bernilai jutaan ringgit, miliki rumah puluhan juta, menaja pengikut tegar melancong ke luar negara, membeli sokongan, juga mengugut, dengan politik wang?" tanya seorang rakan, ahli perniagaan yang pernah rapat dengan seorang Exco Kanan (Umno) Kerajaan Negeri.

Dan dia pernah menaja penginapan dan makan-minum hampir RM800,000 untuk para perwakilan semasa pertandingan ketua bahagian Umno. Ya, itu hanya peringkat ketua bahagian, dan kita boleh bayangkan berapa pula yang nilainya untuk membeli undi dalam pemilihan, naib presiden misalnya.

Kuasa menganugerahkan projek-projek besar, khususnya tanpa tender terbuka, atau melalui penyamaran tender terpilih, memastikan hubungan intim antara elit penguasa dengan kalangan korporat terus menyuburkan politik wang, yang menghanguskan kantung negara.

Apabila PM (juga Menteri Kewangan) ataupun TPM. mahukan kroninya -- walaupun dengan kos tidak munasabah dan tiada pengalaman meyakinkan -- mendapat habuan menerusi projek mega, siapa dapat menghalang? Wibawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Jabatan Peguam Negara, PDRM dan juga badan kehakiman, serta tidak terkecuali kebebasan Audit Negara, terus dipersoalkan, walaupun dikatakan sudah melalui proses transformasi.

Semakin ramai menteri dilantik (sebelum PRU13 ada 29, selepasnya 32 dan kini 35), maka tambah banyak lagi hulubalang serta jeneralnya yang "tumpang sekaki". Berduyun-duyun mahu turut mengikuti rombongan "lawatan kerja", terutama untuk makan angin percuma. Dan setiap penglima atau leftenan itu mempunyai anak buah tersendiri, juga perlu "disantuni".

Dari sisi lain, pembesaran -- bukannya rombakan -- Kabinet Najib Razak menunjukkan Presiden Umno itu langsung tidak bersedia untuk melakukan perubahan bagi manfaat rakyat. Beliau lebih memikirkan kepentingan politik dan popularitinya, terutama untuk terus memantapkan sokongan dalam Umno.

Menteri yang buruk prestasinya, dan sering memperbodohkan rakyat, terus dikekalkan. Sebelum PRU13, JPM mempunyai lima menteri (tidak termasuk Najib dan Muhyiddin Yassin), lapan selepas pilihan raya  dan sekarang 10. Apakah bebanan kerja lima menteri awalnya itu terlalu berat hingga erpaksa diagihkan kepada lima yang dilantik kemudiannya? Aduhai.

"Cuba kita bayangkan, andai kata ada parti pembangkang bersedia sertai BN, sudah pasti anggota Kabinet kita senang-senang bertambah jadi 40 orang, 'kan?" usik seorang pembaca Harakah. "Dan potfolio baru itu mudah dicipta, atau lantik saja sebagai Menteri di JPM."

"Walaupun sudah terlalu ramai menteri, Najib masih tidak bersedia lepas Perbendaharaan atau lantik Menteri Kewangan sepenuh masa bagi tangani  cabaran sengit ekonomi sekarang. Dia tak mahu lepaskan post paling berkuasa untuk terus mengawal parti," tambahnya.

Umumnya,  saya kira rakyat dapat menerima wakil parti-parti komponen lain dalam Kabinet, termasuk MCA dan Gerakan. Mungkin ia elok juga jika dilihat daripada sudut keseimbangan kaum dan penyertaan lebih menyeluruh.

Soalnya, Najib patut memilih rombakan -- dan bukannya pembesaran -- Kabinet. Paling kurang tiga menteri Umno wajar digugurkan bagi memberi laluan kepada rakan-rakan MCA dan Gerakan. Dan bukannya susah pun, ramai "tunggul-tunggul mati" dalam Kabinet,'kan?

 

Baca Seterusnya......

Friday, June 27, 2014

Riuh-rendah kisah Firdaus akan segera berakhir ....

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Seorang ibu tua, umur mendekati 70 tahun, kematian suami lebih dua dekad lalu, menghidap pelbagai penyakit kronik, mempunyai tiga anak cacat (OKU), dua daripadanya langsung tidak mampu menguruskan diri

Kedua-duanya terganggu mental, seorang  sejak dilahirkan dan seorang lagi selepas kemalangan jalan raya. Yang seorang ini boleh saja bertindak ganas secara tiba-tiba, termasuk terhadap emaknya sendiri. 

Sepatutnya, ketika dihimpit keuzuran pada usia emas, ibu tua ini yang perlu dirawat dan disantuni, tidak seharusnya lagi menguruskan karenah anak-anak yang begitu memenatkan. Mahu sebentar keluar rumah pun harus pastikan dulu anak-anak cacat ini

Apakan daya, anak-anak yang lain juga dibebani masalah tersendiri. Alhamdulillah, ada juga anak yang sedia duduk sebumbung, menampung rumah sewa dan belanja seharian, ala kadar. Dan ibu tua cukup memahami perasaan si anak budiman ini, yang pastinya tidak mudah menjalani kehidupan seharian dalam situasi itu.

 

Dalam keadaan berjalan pun terketar-ketar, mata kabur teruk akibat pendarahan diabetik, dia harus terus -- dengan sabar, dedikasi dan penuh kasih sayang -- memelihara anak-anak OKU, jantung hatinya. Tidak pernah merungut, apatah lagi mengeluh atau membayangkan keresahannya memikul amanah Ilahi.

"Makcik beruntung sebenarnya, tiga anak makcik itu bakal ahli syurga tanpa hisab, mereka akan menunggu di pintu jannah nanti, insya-Allah, asalkan makcik tetap reda dengan ujian ini," kata-kata jirannya mengubat hati dan melapangkan dada.

Seorang daripada anaknya itu, melewati usia 40-an, sukar melangkah ekoran masalah tulang pinggul selepas jatuh dan hanya terbaring lemah. Penglihatannya juga samar-samar, mesti dituntun dan dipapah. Kadang-kadang kencing berak bersepah. Ya, perlukan pengawasan hampir 24 jam, 7 hari seminggu. Ia mengingatkan saya tentang kegigihan aktivis Ronasina (Mohd Affandi Ramli) dan isterinya, Raja Rohaisham Raja Muhaiddin, yang berkorban segalanya untuk dua anak cerebral palsy.

Apa pun, ibu tua ini tetap mementingkan kebersihan. Tiada kompromi. Yang diutamakan, suci daripada najis. Mudahnya, boleh solat di mana saja dalam rumah sempitnya. Dengan keuzuran yang makin ketara, dia tetap tampak bersahaja melalui hidup seharian, biarpun berdepan penat lelah, sekurang-kurangnya untuk  memastikan kediaman bebas daripada waswas kekotoran.

Namun, sebagai insan biasa, jiwanya sering berperang. Reda dengan ketetapan Tuhan tetapi keyakinannya sesekali turut goncang terutama apabila  keseorangan menanggung keperitan. Anak yang cacat mental tapi masih tegap ke sana-sini, sentiasa menagih wang, terutama untuk bekalan rokok dan minuman di restoran mamak berdekatan.

Pernah mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Zakat. Tetapi, apabila sering berpindah-randah, bertukar alamat, namanya kemudian tercicir daripada senarai. Cuba memohon semula tetapi pelbagai soalan diasak; lebih pedih apabila terpaksa berdepan sindiran pedih.

Bagi ibu tua, kesusahan tidak bermakna mesti dizahirkan dengan keadaan selekeh dan kusut-masai, hanya dengan tujuan untuk menagih simpati. Penampilannya sentiasa kemas, berjubah dan berjilbab labuh. Dia pantang sama sekali  sengaja menghina diri, demi mengharapkan bantuan.

"Makcik ni segak aja, pakaian pun kemas, tak nampak macam orang susah," pernah dia disindir seorang kerani ketika membawa borang bantuan. "Biar permohonan aku tak lulus, untuk merayu-rayu, apatah lagi mengemis, itu bukan tabiat aku," tegasnya.


Sudah jatuh ditimpa tangga. Bertindan-tindih masalah silih berganti. Memang tepat perumpamaan Melayu itu. Bukan saja buat ibu tua ini, tetapi ramai lagi yang dirundung malang. Tiada bahu tempat menyandar ketika susah. Tiada telinga sudi mendengar luahan hati.

Tidak kurang yang mencebik bibir  terutama melihat tingkah-laku anaknya yang kadang-kala nampak tidak sopan dan menjolok mata. Ya... orang yang terencat akal, mana tahu segan dan malu, 'kan? Lebih menyedihkan, tidak kurang yang mendakwa dia ditimpa azab atas kesalahan dan dosanya masa lalu.

Tambah pilu, ada pihak mengambil kesempatan, menjadi mangsa penipuan berulang kali. Secara semulajadi, dalam posisi terdesak itu, mereka mudah meletakkan kepercayaan dan menggantung harapan walaupun menyedari peluang untuk menjadi mangsa muslihat licik begitu tinggu.


Anda tidak perlu menjelajah ke pelosok paling dalam untuk mencari mereka. Mungkin saja jiran,  kenalan atau melalui khabar yang anda perolehi daripada media. Sudahlah fakir, menanggung anak cacat, ketua keluarga pula uzur, berulang-alik ke hospital.

Lebih perit, mereka seperti keseorangan menanggung beban. Ada di antara ibu terbabit ditinggalkan suami dan terpaksa mencari nafkah sendiri. Bukan tiada kemudahan disediakan pihak berkuasa -- meskipun diakui jauh daripada memadai -- tetapi sebahagiannya tiada akses, atau jahil mengenainya. Sukar keluar daripada "lingkaran setan".

Laporan Sinar Harian, 25 Jun lalu, mengingatkan saya dengan nasib ibu tua tadi. Hampir sama keadaan mereka. Ibu tunggal, Mariam Abdul Kadir, 67, cekal menguruskan tiga anak istimewanya (OKU lembam) sejak kematian suami, Kamaruddin Zainal Abidin, pada Mei 2010.

“Anak-anak ini permata hati makcik. Mereka saham akhirat saya ...," kata Mariam. Bagaimanapun cabaran dalamannya juga hebat. Mariam mengakui, jika duduk termenung, terngiang-ngiang bisikan iblis menggodanya supaya bertindak kejam ke atas anak-anaknya itu.

“Bisikan itu seolah-olah mengejek makcik kerana memiliki anak-anak OKU dan ada yang menyuruh makcik beri racun sahaja kepada anak-anak.

“Malah, bisikan itu terus menggoda makcik supaya tidak mengikut nasihat alim ulama atau ustaz-ustaz yang banyak memberikan nasihat kepada makcik untuk lebih sabar menjaga anak-anak OKU ini.

"Setiap kali bisikan itu datang, makcik akan ambil wuduk dan menunaikan solat memohon pertolongan Allah untuk mengurniakan kesihatan buat makcik bagi menguruskan anak-anak," kata Mariam, seperti dilaporkan Sinari Harian.
 

Justeru, apabila Selebriti Wardina Saffiyah Fadlullah Wilmot diberitakan menyelar kerajaan kerana gagal memberi bantuan secukupnya kepada keluarga anak OKU (cerebral palsy), Muhammad Firdaus Dullah, 15 tahun,  yang ditemui kurus-kering dalam bilik terkurung penuh najis di flat Taman Semarak, Nilai, saya kira isu menggemparkan ini harus dilihat dalam perspektif lebih menyeluruh.

Memang mudah menyalahkan ibu Firdaus dan juga ayah tirinya, tetapi kes tersebut wajar membuka mata seluruh anggota masyarakat, terutama elit penguasa.

Wardina membandingkan layanan negara "kafir" terhadap keluarga OKU dengan Malaysia.
Beliau  memberi contoh, Australia, di mana ibu bapa yang mempunyai anak OKU diberikan pelbagai peruntukan seperti elaun bulanan selain dapat menjalani sesi terapi dengan percuma.

Katanya, seperti dilaporkan Malaysian Insider, yang memetik laman Instagramnya,  dengan segala kemudahan yang diberikan Australia kepada golongan demikian membuktikan betapa kerajaan negara itu memahami kesukaran dan kesulitan ibu bapa membesarkan anak OKU.

“Malah kawan saya mempunyai anak OKU, kedua-dua suami dan isteri tidak perlu bekerja kerana disuruh kerajaan untuk fokus menjaga anaknya yang OKU. Anak OKU dihantar  terapi secara percuma. Dihantar ke sekolah OKU berkualiti dengan percuma dan ibu bapa diberi cuti percuma setiap tahun."

Pihak kerajaan tentunya bingkas menafikan teguran Wardina. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Seri Rohani Abdul Karim berkata, kenyataan terbabit tidak berasas sama sekali kerana pihaknya sangat mementingkan kebajikan golongan berkenaan dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan.


"Lihatlah selepas empat hari penemuan remaja itu, dia dibantu dan dibela kerana pihak kami sangat mementingkan kebajikan OKU,” katanya dalam sidang media selepas melawat Firdaus di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, sambil menekan ibu Firdaus juga  tidak pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.


Memang ada bantuan, termasuk kewangan secara bulanan, tetapi ia bukan saja jauh daripada mencukupi, malah agak sukar memperolehinya, sehinggakan menimbulkan persepsi negatif di kalangan masyarakat, dan turut membuatkan ada keluarga terbabit  yang langsung tidak  membawa anak mereka ke JKM.


Walaupun lebih ramai ibu bapa yang tidak mengabaikan tanggungjawab membesarkan anak-anak OKU, seperti ibu tua di atas dan Mariam Abd Kadir, tetapi bebanan mereka harus diringankan, terutama melalui dasar dan polisi kebajikan yang holistik.

Mungkin saja memerlukan menteri khusus -- bukan lagi Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat -- yang memberikan tumpuan kepada OKU. Lagi pun, bukankah Menteri di Jabatan Perdana Menteri begitu ramai sekarang? 

Ya, hari ini kita riuh-rendah berbicara mengenai Firdaus, terutama apabila terbayang rakaman televisyen yang sebenarnya tidak beretika itu,  tapi percayalah, tanpa menunggu lama, isu ini akan segera hilang apabila timbul isu-isu panas yang lain, yang menunggu masa untuk memalingkan perhatian masyarakat.

Maka, tinggallah keluarga terbabit meneruskan kehidupan sendiri .... Orang seperti ibu tua dan Mariam tadi, juga kanak-kanak yang senasib dengan Firdaus tidak lagi dipedulikan.

Baca Seterusnya......

Salut buat pemberani Jamhuri, Fadhil dan Aslam

Oleh Ahmad Lutfi Othman
Khabar menyedihkan. Juga mengejutkan. Dua aktivis mahasiswa Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan UMSKAL) berdepan prosiding tatatertib buat kali kedua pada 27 Jun ini.
Angkara Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), yang terbukti terus menekan dan mengongkong meskipun digembar-gemburkan (termasuk dalam program transformasi politik Najib Razak) peraturan itu telah dipinda bagi memberi kebebasan buat mahasiswa. Karut!
Mereka baru saja dihukum pada 26 Mei lalu -- Muhammad Fadhil Abdul Ghani digantung pengajian dan Jamhuri Mohamed dibuang asrama -- atas tuduhan mengadakan perhimpunan dan perarakan dalam kampus tanpa kebenaran pihak universiti.
Kes terbaru ini, khusus buat Jamhuri, juga berkaitan, dengan isu terdahulu, iaitu bantahan pelajar terhadap premis perniagaan mereka yang dirampas pihak universiti. Saya sendiri tidak pasti mengapa kedai mahasiswa itu, yang dikendalikan oleh sekretariat masjid kampus,  begitu "digeruni".

Punca Pengerusi Pro-Mahasiswa UMSKAL ini diseret sekali lagi adalah ekoran kenyataan medianya yang disiarkan Harakahdaily, yang didakwa telah memudaratkan nama baik Pengarah UMSKAL, Dr Ismail Ali.
Dalam tulisannya, Jamhuri menyifatkan peruntukan Seksyen 16 Auku memberikan kuasa mutlak kepada ketua pengarah bagi sesebuah universiti untuk membuat sebarang keputusan. (Ya, kata kuncinya "kuasa mutlak", mengikut tafsiran sendiri).
"Kuasa mutlak inilah yang sering disalahguna oleh pemimpin universiti seperti Pengarah UMSKAL untuk membuat keputusan kuku besi sekali gus mengetepikan kepentingan mahasiswa sebagai kumpulan akar umbi dalam universiti," kenyataan Jamhuri dipetik.
Lebih menggemparkan, pada Jumaat, 12 tengah malam, disedari bilik penginapan asrama Jamhuri telah dipecah masuk dan bangkai ayam diletak atas katil, serta mesej ugutan, "berambus bodoh", diconteng di dinding. Budaya politik rimba yang menular di luar kampus kini menjalar ke kampus Labuan.
Manakala Fadhil, rakan sekursus dengan Jamhuri, iaitu pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa, dituduh menganjurkan perhimpunan haram, iaitu mengadakan mesyuarat bagi memilih kepemimpinan untuk Pro-Mahasiswa di kawasan terbuka, iaitu kafeteria. (Pilihan raya untuk mengundi pemimpin pelajar dalam kelompok sendiri pun salah).

Bagi memastikan anda lebih jelas dengan tuduhan bebal (sebenarnya karut-marut) itu, saya perturunkan pertuduhan penuh Fadhil yang dikeluarkan Bahagian Perundangan dan Tatatertib, Jabatan Pendaftar UMS:

"Adalah kamu melalui surat bertarikh 24 April 2014 dengan tajuk "Surat Pemakluman Aktiviti Pilihan Raya Kecil Mahasiswa 2014" yang ditujukan kepada Pengarah UMSKAL Datelah dengan apa-apa cara terlibat dalam melakukan apa-apa perbuatan untuk mengadakan atau menganjurkan atau memanggil apa-apa perhimpunan yang lebih daripada lima orang dalam mana-mana bahagian kampus. Perbuatan kamu ini adalah tanpa kebenaran terdahulu Naib Canselor dan ini merupakan satu kesalahan tatatertib di bawah Kaedah 9(1) Kaedah-kaedah UMS (Tatatertib Pelajar-Pelajar 1999) Auku 1971 ...."

Meneliti Auku, Akta 174 (bagi UiTM) dan kaedah-kaedah tatatertib universiti, jelas tergambar begitu terkongkong sekali kehidupan warga kampus, anak-anak muda terpelajar. Seolah-olah segala-galanya dilarang, kecuali mendapat perkenan, restu  dan kebenaran bertulis naib canselor atau yang setaraf dengannya.
Ya, berhimpun lebih daripada lima orang pun satu kesalahan besar di kampus; jangan main-main, jika didapati bersalah boleh dipecat daripada universiti atau digantung pengajian, selain boleh dibuang asrama dan didenda!
Mana relevannya dengan semangat dalam Akta Perhimpunan Aman dan pemansuhan Seksyen 27(5) Akta Polis 1967? Suasana di kampus sekarang seperti situasi cemas semasa darurat, berdepan ancaman pengganas komunis bersenjata.
Kalaupun nampak mereka seolah-olah bebas beraktiviti, itu adalah ehsan naib canselor, dan bukannya hak mahasiswa!
Selain itu, merujuk kes prosiding tatatertib membabitkan lapan aktivis pelajar Universiti Malaya, pada 18 April dan 9 mei lalu, mereka tidak dibenarkan menyertai apa-apa kegiatan di luas kampus "yang mendatangkan kesan buruk kepada universiti atau yang memudaratkan kepentingan universiti".
Mahasiswa juga tidak dibenarkan untuk "membuat, mengibar atau memiliki apa-apa bendera, sepanduk, plakad, poster, lambang atau alat lain yang menimbulkan keadaan tidak berdisiplin, kekacauan, keingkaran ..."
Dan dalam kes aktivis mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Kinabalu, Mohd Fathihie Daimin, kesalahannya adalah membuat kenyataan terbuka di laman sosial Facebook, yang dianggap menggugat kepentingan UiTM.
Larangan lain, mereka tidak dibenarkan memiliki atau menggunakan apa-apa pembesar suara, pelaung suara atau penguat suara. Turut dianggap satu kesalahan adalah menerbitkan, membahagi-bahagikan atau mengedarkan apa-apa dokumen di dalam dan juga di luar kampus.
Itu pun anda belum  mengetahui lagi bagaimana prosiding  dijalankan, sehingga proses memutuskan hukuman dibuat.
Pernah sekumpulan pelajar yang dituduh, hanya diajak "sembang santai" oleh pihak universiti, tanpa mengemukakan fakta kes yang meyakinkan, dan kemudiannya selang beberapa hari, dimaklumkan mereka digantung pengajian kerana mengikuti perhimpunan haram dalam kampus.
Justeru, tidak hairan apabila dimaklumkan nasib menimpa Aslam Abd Jalil, pelajar Malaysia di Universiti Nasional Australia (ANU), pemegang biasiswa kerajaan persekutuan, yang menerima surat tunjuk sebab JPA, pada 18 Jun lalu.
Kesalahannya kerana mengambil bahagian dalam forum isu semasa Malaysia, "Race, Religion, Royalty with YB Tony Pua", yang diadakan di universiti berkenaan, 22 April 2014.
Aslam dikira telah melanggar perjanjian biasiswa, yang melarang mengambil bahagian atau menyertai aktiviti berunsur hasutan atau demonstrasi, yang pada pendapat kerajaan memudaratkan kepentingan Malaysia atau sesuatu institusi pendidikan.
Pelik sekali bagaimana program forum atau perdebatan terbuka seumpama itu boleh dikategorikan sebagai memudaratkan atau mengancam negara, apatah lagi "berunsur hasutan atau demonstasi". Tunjuk perasaan bagaimana pula, dan hasutan macamana tu?
Saya menyokong penuh penekanan Nik Nazmi Nik Ahmad, Timbalan Speaker Dun Selangor yang mula mendedahkan hal ini: "Kerajaan Australia, Australian Capital Territory dan Kedutaan Besar Australia di Malaysia serta pentadbiran ANU, perlu mengambil perhatian bahawa seorang pelajar dari salah satu universiti mereka sedang didakwa di bawah satu pendakwaan yang jelas merupakan pendakwaan politik."
Alahai, malang sekali menjadi mahasiswa Malaysia, sama ada yang menuntut di kampus dalam negara, mahupun jauh di seberang lautan! Anda tidak terlepas daripada kongkongan puak yang bebal dan memandang hina orang lain.

Baca Seterusnya......

"Percikan api di setiap kampus, termasuk kubu Umno"

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Setahun dua ini saya lebih kerap bertemu rakan-rakan pimpinan gerakan pelajar. Ia bukan lagi terhad kepada universiti sekitar Lembah Klang. Kampus-kampus baru yang berselerak di seluruh negara, termasuk di Sabah Sarawak, juga menggamit perhatian.

Perjumpaan juga tidak terbatas untuk membincangkan soal penyertaan dalam pilihan raya kampus setahun sekali, tetapi lebih merata dan menyeluruh. Apatah lagi kumpulan yang memenanginya agak seimbang, di antara Aspirasi dan Pro-Mahasiswa, petanda kecenderungan politik majoriti pelajar semakin terbuka.

"Sebenarnya banyak kampus dikuasai oleh kumpulan  Pro-Mahasiswa atau lebih tepat, yang independen dan tidak dikongkong Umno-BN, tetapi mereka memilih untuk tidak bersuara lantang dan mengidentifikasikan diri dengan mana-mana kumpulan," kata sumber.

 

Walaupun lama ditubuhkan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) nampak agak terpencil di utara, tetapi sesekali turut mewarnai kemeriahan politik kampus. Begitu juga Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang dan Pekan yang merakamkan keberanian aktivis mahasiswanya berdepan "kecurangan" pentadbiran tertingginya  memanipulasikan proses pilihan raya kampus.

"Ada percikan api di sana!" saya menjawab soalan seorang teman apabila mendapat tahu saya turun ke Pahang, Pulau Pinang, Kedah, Johor meninjau gelodak rasa masyarakat terpelajar yang terus dikongkong.

"Potensi anak muda sebagai agen perubahan tidak pernah padam, walaupun kadang-kadang nampak suram, sampai masanya ia menggelegak juga," saya cuba menekankan fungsi gerakan mahasiswa  yang bertenaga untuk mempengaruhi lanskap sosio-politik tanahair, atau secara lebih khusus membela kepentingan rakyat tertindas.

Bayangkan, jumlah pelajar IPTA, IPTS, IPG (Institut Pendidikan Guru), politeknik dan kolej komuniti mencecah 1.3 juta orang. Mereka merupakan kelompok yang paling strategik dan kritikal untuk mana-mana gerakan perubahan. Tanpa mendampingi anak-anak muda ini usaha pembaharuan dan reformasi akan terbantut.


Terbaru, saya lebih tertarik mendengar kampus-kampus Universiti Teknologi Mara yang  juga mula berkocak. Umno sering berbangga dengan UiTM, manakala pergerakan mahasiswanya teruk ditekan. Pengurusan kanannya seolah-olah mahu memastikan setiap siswazah "menurut kata" dan "tidak melawan".

UiTM mempunyai pelajar paling ramai dan kampus cawangannya ada pada setiap negeri, kecuali Wilayah Persekutuan. Saya tidak pasti berapa ramai jumlah keseluruhan mahasiswanya, tetapi merujuk kenyataan Perdana Menteri pada 14 September 2013, pengambilan pelajar UiTM sudah mencapai 180,000, dengan sasaran 250,000 menjelang tahun 2020.

"Sdr jangan abaikan potensi hebat UiTM. Jumlah pelajar dan cawangannya yang merata adalah kekuatan yang kini tersembunyi dan perlu digilap," pesan saya kepada sekumpulan pimpinan mahasiswa yang berkunjung ke pejabat Harakah, 10 Jun lalu, apabila menyedari salah seorang daripadanya daripada UiTM.

Tentunya ramai masih ingat karenah dan kontroversi bekas Naib Canselor UiTM, Dr Ibrahim Abu Shah. Lagaknya umpama Ketua Umno Cawangan atau pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK).

Nada ucapan Ibrahim semasa mengetuai UiTM sarat dengan perkauman. Tidak pelik beliau dilantik Najib Razak sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno, hujung November 2013.

Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, beberapa hari sebelum pilihan raya kecil Teluk Intan yang menyaksikan setiausaha politiknya, lulusan UiTM, Dyana Sofya Mohd Daud bertanding, menyifatkan pelajar UiTM bukan lagi robot.

"Dyana Sofya adalah testimoni kegagalan Ibrahim Abu Shah selama sembilan tahun menjadi Naib Canselor UiTM untuk menjadikan pelajarnya sebagai robot Umno dan membunuh idealisme serta impian anak muda Malaysia," kata Ketua Parlimen DAP itu.

Terkini, kes Mohd Fathihie Daimin dari UiTM Kota Kinabalu, yang dikenakan prosiding tatatertib, hanya disebabkan kenyataannya dalam Facebook, yang dianggap menggugat kepentingan UiTM, dan terlibat dalam perhimpunan tanpa kebenaran, menjolok mata sekali.

"Menarik sekali. Pertama, babitkan pelajar UiTM. Kedua, dari Sabah pula tu," respons segera seorang rakan, juga peminat politik kampus.

Sayang sekali, ketika rakan-rakannya, termasuk tiga pimpinan pelajar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) bertandang ke rumah saya, baru-baru ini, Fathihie terpaksa pulang awal ke KK dan kami tidak sempat berkenalan lebih lanjut.

UMSKAL -- nun jauh di Labuan -- yang begitu jarang diperkatakan, malah mungkin sebahagian mahasiswa sendiri tidak menyedari kewujudannya, sebenarnya menyimpan cerita penuh warna-warni.

Sejumlah 16 aktivis pelajarnya dibicarakan pada 26 Mei lalu, atas tuduhan mengadakan perhimpunan dan perarakan dalam kampus tanpa kebenaran. Tiga digantung pengajian satu semester, lapan diberi amaran dan dibuang dari kolej kediaman, manakala lima lagi masih dalam proses prosiding.

Sering menerima tetamu dari kalangan anak-anak muda yang kental semangat dan padu tekadnya itu  juga, sekurang-kurangnya buat saya, satu rahmat tersembunyi. Ya, ia bagai terapi merawat keuzuran yang bertindan-tindih. Sekurang-kurangnya nyalaan obor jiwa muda dikembalikan walaupun jasad agak longlai!

Sedar tak sedar, saya sering dipanggil "Pak Lutfi" oleh pimpinan mahasiswa yang bertamu -- sambil isteri tidak jemu-jemu menyediakan juadah nasi Arab versi Melayu -- mengingatkan bahawa hampir 30 tahun zaman kampus  telah ditinggalkan. Tempoh yang cukup lama, tetapi masih terasa segar, membekas dan nostalgik.

Sehinggalah apabila sempat berbicara dengan Pengerusi Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku/ Akta 174, Khairol Najib Hashim, di kediaman saya, di Bukit Ampang dan terusnya di pejabat, di Jalan Pahang Barat, saya terasa GMMA/174 tidak boleh dipandang ringan.

Benar, setiap generasi mahasiswa mempunyai gerakan tersendiri untuk membatalkan akta drakonian itu dan sehingga kini mereka belum berjaya. Namun, saya dapat merasai, keazaman lebih 20 aktivis pelajar bersama Khairol Najib, yang bersembang santai di Harakah hampir dua jam petang Selasa itu, cukup  tinggi.

"Anda semua harus buktikan, gerakan mansuh Auku kali ini pasti membekas, dan bukannya hanya mengulangi lagu lama atau sekadar rutin buat setiap generasi kepimpinan mahasiswa," saya seolah-olah mencabar.

Mereka menyedari ia tidak mudah dan sejarah perlu diukir. "Jika ISA boleh dimansuhkan selepas puluhan tahun ditentang, masakan Auku juga tidak boleh dikuburkan?" kata seorang daripadanya.

"Tapi ISA hanya mansuh selepas demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur?" jolok seorang yang hadir.

"Auku juga mungkin begitu ... kita tidak tolak pilihan himpunan raksasa," terdengar respons segera, disambut gelak ketawa, bukan petunjuk meremehkannya, tapi tanda kerelaan untuk turun ke padang.

Usaha membebaskan kongkongan yang berpanjangan sejak 1971, dan diperketatkan pada 1975 itu, memerlukan lonjakan dan momentum baru, sehingga Auku dimansuhkan sepenuhnya.

Bukan lagi dikaburi pindaan kosmetik, misalnya pada 2012 yang membenarkan mahasiswa berpolitik, sedangkan kebebasan berorganisasi dan bersuara dalam konteks lebih luas tetap terpasung kukuh.

Apa pun, jasa dan komitmen luhur bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifuddin Abdullah akan tetap terakam dalam sejarah. Dia memang seorang tokoh pembaharu dalam dunia pendidikan. Sayang, khidmatnya tidak lama.

Situasi sebenar di menara gading masih cukup menyedihkan. Anak-anak muda berpotensi, seperti ungkapan Dr Siddiq Fadil, telah dicederakan atau dicacatkan secara sengaja oleh ibu bapa mereka sendiri. Sadis sekali.

Agenda mansuhkan Auku tidak harus dibebankan hanya kepada mahasiswa ataupun warga kampus yang lain, misalnya tenaga akademik ataupun  para pensyarah. Ia tanggungjawab bersama, melibatkan setiap individu-kumpulan prihatin yang peduli dan resah dengan kebobrokan melampau ini, ya ... termasuk Harakah, 'kan?

 

Baca Seterusnya......

Hubungan rapuh PAS-DAP?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

BANYAK ulasan dan analisis dibuat terhadap keputusan PRK Teluk Intan, termasuk menyifatkannya sebagai loceng peringatan, bukan saja buat DAP, malah untuk rakan pentingnya dalam Pakatan, PAS.

Parti Islam itu sepanjang kempen dilihat bersungguh-sungguh membantu calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, khususnya dalam kawasan Dun Changkat Jong, yang pernah diwakili PAS pada 2008.

Cuma saya menambah, janganlah seseorang yang sedang tidur lena, bingkas bangun bila terdengar “wake up call”, dan dalam keadaan “mamai” terkejut bertindak separa sedar “terjun ikut tingkap” pula!

Apabila ada pemimpin DAP melatah dengan kekalahan tipis Dyana, seterusnya membuat rumusan yang dikira menyinggung sekutu rapatnya, saya tidak terkejut jika ia mengundang reaksi hampir sama di pihak PAS.

 

 

Namun begitu, biarpun agak kerap dikocak dengan pelbagai isu sensitif-kontroversi, kedua-dua parti – yang mempunyai hubungan istimewa bagi menentukan survival Pakatan Rakyat – tetap memilih jalur sederhana, saling memahami dan cuba merongkai masalah yang timbul dalam adab kekeluargaan.

DAP dan PAS, parti yang sering dilihat sebagai berbeda kutub, kini sepatutnya melalui fasa kerjasama yang lebih mengakar dan matang, terutama membabitkan barisan kepemimpinan akar umbi dan pertengahan, selain mengekalkan hubungan baik di peringkat tertinggi.

Tidak bertembung semasa perundingan kerusi dalam pilihan raya – mungkin DAP dan KeADILan ataupun PAS dan KeADILan lebih terdedah kepada ‘perebutan kawasan’ – kerana tumpuan konstituensi berbeda bukan bermakna selamat daripada pergeseran tajam dan konflik.

“Bukan saja persefahaman PAS dan DAP nampak rapuh dan mudah diganggu dengan isu-isu yang seolah-olah telah disapu di bawah karpet, malah kerjasama PAS dan KeADILan juga saya kira tidak seutuh mana. Masing-masing dengan agenda tersendiri,” seorang yang memperkenalkan diri sebagai bekas pimpinan KeADILan di Terengganu, menghantar SMS kepada saya.

“Kita bergerak dalam sistem demokrasi, menyertai pilihan raya, tentunya dengan menyedari kemajmukan rakyat Malaysia, termasuk kepelbagaian Sabah dan Sabah,” kata teman saya, pensyarah kanan sains politik di Kuala Lumpur.

“Bukan sampai menggadai prin sip, tapi gelanggang ini ada sensitiviti dan pantang-larang yang unik,” tambah beliau. “Jangan biarkan Umno-BN yang korup itu terus bernafas hanya disebabkan kelemahan kita menari atas pentas yang kita pilih sendiri,” ujarnya.

Kedua-dua parti, PAS dan DAP. diikat dengan ideologi perjuangan tersendiri. Jika mahu dilihat dari segi perbedaan, memang mudah sekali untuk mencari “medan berlaga”, tetapi kalau disorot secara lebih cermat, potensi untuk menggembleng kekuatan bersama cukup menyerlah.

Umno-BN selama ini mempunyai formula cukup mudah untuk terus bertakhta dalam tempoh yang cukup panjang (sehingga mencatat rekod dunia), antaranya, dengan bijaksana membakar sentimen perkauman dan keagamaan sempit.

Ternyata, PAS dan DAP mengambil masa begitu lama bagi mencari keserasian; bibit mulanya pada 1990, diperkukuhkan pada 1999 tapi retak pada 2001, sebelum dipertautkan kembali “secara tidak sengaja” selepas tsunami 2008.

Ya, parti-parti dalam Pakatan Rakyat sebenarnya mempunyai ruang dan kesempatan terbaik untuk membuktikan bahawa per sefahaman mereka jauh lebih tulus-erat berbanding komponen dalam BN walaupun dalam tempoh singkat.

Lebih penting lagi, kerjasama sesama Pakatan akan mendatangkan manfaat besar buat rakyat.

Bagaimanapun, ia tergantung kepada kemampuan untuk membentuk kerajaan baru terlebih dahulu, didahului keyakinan pengundi, bagi menggantikan pemerintahan yang penuh rasuah, kronisme, kapitalisme suku-sakat, kezaliman dan penindasan.

Dalam pada itu, cabaran baru timbul selepas PAS dan DAP berupaya “diserasikan”. Ketika PAS mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu pada 1999, DAP berada pada tahap yang agak lemah, ditandai dengan kemerosotan jumlah kerusi Parlimen, termasuk kekalahan pemimpin utamanya, Karpal Singh dan Lim Kit Siang.

Sewaktu DAP berada di kemuncaknya pada PRU13, PAS pula bukan saja tidak dapat menganjak posisinya ke tangga lebih atas, malah kehilangan Kedah dan beberapa kerusi Parlimen di kawasan Melayu di negeri tersebut.

Kawasan luar bandar masih boleh dianggap sebagai kubu Umno.

Sokongan hampir tidak berbelah bahagi masyarakat bukan Melayu, khususnya Cina, banyak menyumbang kelebihan kepada PAS. Soalnya, apakah Teluk Intan membawa mesej bahawa masyarakat Tionghua tidak boleh lagi dianggap sebagai “deposit tetap” buat Pakatan?

“Mungkinkah untuk masa depan, sekiranya pengundi Melayu menyokong PAS, khususnya di luar bandar, dalam masa sama masyarakat Cina akan kembali mengundi BN pula?” ujar seorang pembaca Harakah dari Pulau Pinang.

“Saya cuba nak sampaikan kepada sdr, teori pendulum tidak pernah berakhir dan ia memberi keuntungan kepada BN,” tambahnya. “Harus dicari jalan keluar nya.”

Baca Seterusnya......

Harap bertenang dengar loceng amaran, usah terjun tingkap!

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Debaran jantung saya ketika menunggu pengumuman keputusan PRK Teluk Intan, malam Isnin, 31 Mei lalu, tidaklah sekencang semasa menonton siaran langsung pertandingan akhir Piala Thomas di antara Malaysia dan Jepun, seminggu sebelumnya.
Saya terpaksa menenangkan diri, dengan berbar...ing di atas katil, di bilik bersebelahan ruang tengah, sambil mengurut dada, secara psikologi untuk meredakan ketegangan. Walaupun isteri menasihatkan agar terus tidur sahaja -- tambahan pula agak letih sebaik pulang dari meninjau kawasan pilihan raya pada Sabtu dan Ahad -- saya tetap gagahi juga.

Dan terbukti, ada nikmatnya melalui situasi cemas "turun-naik menang-kalah" menyaksikan pemain negara bersilih ganti mengutip mata dengan bakat baru Jepun!


Pastinya Dyana memasuki gelanggang jauh lebih yakin dan bergaya daripada pasukan Malaysia melangkah ke New Delhi. Sandaran bekalan majoriti DAP sebanyak 7,313 pada PRU13 agak melegakan.

Sebelum buat pertama kali melihat Menara Condong Intan pada 24 Mei, saya tidak pernah membayangkan jumlah kerusi Parlimen DAP akan merosot. Poster dan banner Dyana, dengan paparan jauh lebih menarik berbanding calon BN, menyuntik lebih keyakinan.

Bagaimanapun, apabila berbicara langsung dengan beberapa penduduk tempatan, semuanya penyokong Pakatan, khususnya di markas induk jentera kempen PAS, saya agak terkedu.

Rupanya kerjasama erat dan kesungguhan yang ditunjukkan aktivis PAS -- sehingga tergambar olah-olah Parti Islam itu sendiri yang bertanding, sekurang-kurangnya di kawasan Dun Changkat Jong -- bukan bermakna laluan Dyana menjadi lebih mudah.

Awalnya timbul rungutan tentang kontroversi hudud ekoran soalan perangkap wartawan terhadap Dyana, juga melarat pemakaian tudung.

"Sdr jangan remehkan sesuatu yang nampak kecil dan terpencil, tetapi dalam konteks Teluk Intan, sebenarnya boleh menjadi persoalan besar atau dapat dibesar-besarkan, di sini masih dianggap kampung," bisik seorang pesara semasa meraikan saya.

"Dyana seorang Muslim, berbeda dengan majoriti pemimpin DAP yang lain, dan kena ingat ini pilihan raya kecil, isu pakai tudung dan T-shirt pendek pun boleh timbulkan keraguan. Saya tak pasti, apakah ada calon Umno dari kalangan wanita, yang tidak bertudung?" tambahnya lancar selepas melihat saya terdiam.

Saya cuba mendefinisikan penyertaan Dyana, wanita muda Melayu berpendidikan tinggi, sebagai calon DAP, terutama untuk menyuburkan budaya politik baru, sekali gus memecahkan tembok perkauman, di samping menyisihkan kempen kebencian.

Ia diharap turut memberi impak besar dan merintis dimensi baru terhadap lanskap siasah negara yang masih sendat dengan bagasi sejarah yang terus memetakkan rakyat pelbagai bangsa dan agama.

Saya tidak pasti apakah rakan baru itu dapat menangkap maksud dan penekanan saya. Bagaimanapun rasa cemas apabila diberitahu "ada protes dalaman terhadap Dyana" reda apabila seorang pimpinan PAS meyakinkan saya bahawa ia akan reda selepas Presiden Tuan Guru Abdul Hadi Awang turun membuat penjelasan keesokannya.

Ketika meninggalkan Teluk Intan, walaupun keyakinan terjejas, namun saya masih percaya Dyana akan menyalakan obor baru yang cukup bercahaya dan sukar dipadam, sebagai persiapan berdepan PRU14.

Justeru, mengakhiri kolum Catatan Hujung, yang ditulis pendek pada 27 Mei, ketika kesan diabetik pada mata agak teruk, saya merakamkan: "Harapnya, penglihatan saya dapat pulih sepenuhnya untuk menyaksikan cahaya itu."

Namun begitu, menjelang hari pengundian, sahabat yang berkampung di Teluk Intan memaklumkan: "Dulu kita bimbang dengan pengundi Melayu, yang masih ragu-ragu untuk mengundi DAP, tapi sekarang lebih bermasalah lagi ... pengundi Cina luar kawasan, yang hampir semuanya penyokong Pakatan mungkin tidak balik. Orang berusia di sini khabarnya lebih tertarik dengan calon BN, anak tempatan, dijamin Najib Razak akan jadi menteri bila menang."

Difahamkan kemenangan besar pada PRU13 disumbangkan oleh peratusan mengundi yang tinggi iaitu 80.6%, berbanding hanya 70% lima tahun sebelum itu, dengan catatan majoriti kemenangan DAP waktu itu, 1,470 undi.

Malah ada yang berani mengunjurkan: "Orang Cina melebihi usia 50 tahun, dan jumlahnya ramai di sini, lebih selesa dengan Mah Siew Keong, juga ada faktor perkauman, lagipun dia dan keluarganya dekat dengan masyarakat setempat. Kalau Melayu tidak beralih banyak, apatah lagi sokongan India merosot, juga tidak puas hati sebab DAP tak letak calon India, kacau!"

"Pengundi Cina lebih pragmatis dan mudah berubah berdasarkan keadaan dan manfaat yang dihitung. Kesetiaan kepada parti tidak sepertimana orang Melayu, mereka bukan deposit tetap untuk sesiapa," demikian ingatan guru politik saya, lama dahulu, sebelum PRU12 lagi.

Disebabkan pertarungan sengit antara Dyana-Mah, selain warna-warni gemerlapan kempen, dan kesungguhan untuk menarik seramai mungkin pengundi Melayu, kami di Harakah memberikan liputan agak istimewa, seolah-olah calon PAS yang bertanding.

Sekitar Maghrib, 31 Mei, SMS wartawan Harakah Perak, Faeez Azahar, sekadar mengesahkan kerisauan saya: "Kalah, 238 undi." Sudah pasti, seperti penyokong Pakatan yang lain, saya turut kecewa.

"Pengundi Cina begitu ghairah untuk ubah kerajaan dalam PRU13. Dari jauh, serata pelosok dunia, mereka terbang balik mengundi, sebab yakin Putrajaya dapat ditawan. Saya tak dapat bayangkan bagaimana kita mahu kembalikan momentum itu, apatah lagi selepas kalah Teluk Intan," seorang pembaca Harakah meluahkan dalam emel, pagi esoknya, Ahad.

"Tan Sri Khalid Ibrahim bukan saja kalah dalam PRK Ijok, malah dimalukan apabila ucapannya yang tersasul sokong BN disiarkan berulang kali di TV, tapi tak lama kemudian, selepas PRU13 dia diangkat MB Selangor," saya memberi respons, mengulangi hujah untuk "menyedapkan hati".

Dyana masih muda; peluangnya terbuka luas. Eksperimen DAP mencalonkan tokoh muda Melayu di kawasan bukan majoriti Melayu perlu dihargai. Dan saya yakin, Dyana bukan setakat tidak mudah mengalah, malah mendapat ilmu dan pengalaman politik melimpah-ruah sepanjang kempen.

Ya, kepada Dyana dan DAP, ada kejutan tidak terduga, termasuk "pantang-larang" dan sensitiviti yang perlu diimbangi. Buat pemain aktif, DAP dan PAS khususnya, usah sembrono mencari daleh. Perlawanan ini tidak terhenti dengan kalah atau menang.

Apa pun, saya lebih suka melihatnya sebagai loceng amaran, buat mengejutkan yang leka-alpa, terutama yang masih beranggapan Pakatan dalam mood berbulan madu lagi, terutama dengan pengundi bukan Melayu.

Tapi, janganlah mereka yang bingkas bangun mendengar deringan yang membingitkan itu terus bertindak melulu sehingga mungkin terjun melalui tingkap tanpa sedar!

Sesama Pakatan pula. uruskanlah perbedaan dengan bijaksana. Pengundi sentiasa menilai ...

Seperti juga menonton final Piala Thomas di antara Malaysia dan Jepun, saya tetap "enjoy" dengan ulasan-ulasan yang dibuat terhadap kekalahan Dyana, meskipun semacam ada tafsiran berbeda pemimpin Pakatan.

sememangnya persefahaman dan keserasian pemimpin Pakatan akan terus diuji.

BERSAMBUNG

-------------
ARTIKEL LUTFI 27 MEI

Obor yang sukar dipadamkan lagi
Oleh Ahmad Lutfi Othman
Saya masih dalam 'pantang' ketika berkunjung ke Teluk Intan, Sabtu lalu. Masalah penglihatan sejak 50 hari lalu menghalang saya menulis dan membaca (serta merenung) dengan baik.

Memang menyeksakan (dan menginsafkan) apabila terpaksa berehat daripada mengisi kolum Catatan Hujung dalam tempoh yang begitu lama. Ya, pernahkah anda terfikir, bagaimana sekiranya secara tiba-tiba, mata gagal melihat?

Gamitan Teluk Intan yang menyegarkan tubuh yang uzur ini tentulah bukan disebabkan keunikan menara condong, mahupun keenakan mee udangnya, tetapi saya tidak boleh menafikan faktor tarikan calon DAP, Dyana Sofia Mohd Daud. Ia menjadikan Teluk Intan lebih meriah-ceria berbanding Kajang dan Bukit Gelugur.

Lebih daripada itu, saya mahu meninjau sendiri proses pembentukan babak baru politik Malaysia, di tengah-tengah gejolak sentimen perkauman yang cuba dibakar semahunya. Sejak tsunami PRU 2008, saya sentiasa yakin, tiba masanya nanti, budaya politik baru, jika dipupuk dan disuburkan, mampu menenggelamkan bahtera BN yang sudahpun hampir karam itu.

Sewaktu anak-anak muda Umno -- tidak terkecuali pemimpin kanannya, seperti Zahid Hamidi -- hilang kewarasan dan menyerlahkan sikap prejudis yang tinggi, pemimpin dan aktivis PAS memilih jalur sederhana yang menyejukkan.

Bagaimanapun, sejarah membuktikan, pendirian politik parti Islam itu tidak mudah dirumuskan. Dalam usaha membentuk persefahaman bersama Tengku Razaleigh Hamzah pada akhir 1980-an, protes dalaman juga tinggi, Dan jangan anggap kerjasama dengan Anwar Ibrahim berjalan begitu mudah, termasuk sehingga kini. Laluannya tetap berliku.

Apatah lagi bersahabat dengan DAP. Barisan Alternatif pernah runtuh beberapa tahun selepas kemenangan bergaya PAS pada 1999 ekoran polemik Negara Islam. Kontroversi Hudud berulang dan kenyataan Dyana turut mengundang rasa tidak selesa penyokong PAS.

Malah, semasa singgah di markas induk jentera kempen PAS di Padang Tembak, Teluk Intan, ada petugas memberitahu saya, seruan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu agar berkerja bagaikan PAS yang bertanding, juga menerima bantahan.

"PAS tak rugi apa-apa jika terus giat berkempen, sebaliknya secara tidak langsung dapat mempamerkan sosoknya umpama saudara tua yang ikhlas dan boleh dipercayai dalam Pakatan Rakyat," ujar saya memujuk.

Namun begitu, saya melihat rata-rata aktivis PAS dari seluruh negara yang berkampung di situ, tetap istiqamah dan bertugas penuh dedikasi. Mereka kelihatan "enjoy" sekali, apatah lagi markas PAS sentiasa dilimpahi makanan, tanda semangat gotong royong tetap berakar.

Satu kelebihan, ahli PAS biarpun mungkin ada yang protes di peringkat awal, tetapi selepas diberi penjelasan, segera bertaut untuk bekerja tanpa was-was lagi.

Sebenarnya makin banyak pilihan raya kecil diadakan, tambah intim persefahaman dalam Pakatan. Kerjasama bukan lagi di peringkat atasan -- kadangkala didorong motif politik tertentu -- tetapi melebar kukuh di kalangan penyokong dan ahli. Lebih indah, persahabatan ini mula dirintis Perak pada tahun 2008. (Ingat kerajaan negeri pimpinan Nizar Jamaluddin).

Apa pun keputusannya pada malam 31 Mei nanti, Dyana -- dengan kecekalan dan keberanianya -- telah berjaya membawa obor yang sukar dipadamkan lagi. Harapnya, penglihatan saya dapat pulih sepenuhnya untuk menyaksikan cahaya itu.
Baca Seterusnya......

Apa tarikan istimewa Pemilu Indonesia?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Hasrat saya untuk meninjau proses pilihan raya Indonesia baru-baru ini terpaksa ditangguhkan. Insya-Allah, menjelang pemilihan Presiden, dijangka Julai nanti, saya berharap dapat meneliti sendiri suasana kempen yang cukup demokratik itu.Selepas reformasi 1998, yang menyaksikan Suharto ditumbangkan dengan kuasa rakyat, republik itu melalui fasa-fasa perubahan - khususnya berkait kebebasan bersuara - yang mengkagumkan.
Sebagai wartawan, tentu sekali minat saya lebih tertumpu kepada faktor akses media buat calon-calon dan parti yang bertanding. Ketika tuntutan Bersih di Malaysia langsung tidak dipedulikan, pengundi Indonesia sudah lebih 15 tahun menikmati "kebebasan akhbar yang lumayan".

Di bawah Orde Baru, akhbar di sana ditindas, wartawan-penulis yang berani diburu, majalah independen digantung, malah penguasa Indonesia yang sukar menerima pandangan berbeda,  melalui pegawai kedutaannya di Kuala Lumpur pernah menegur liputan Harakah yang tidak disenangi mereka!

Tentulah kemunculan media bebas dan adil itu tidak datang dengan sendiri. Ia diperjuangkan sejak lama - juga memakan korban - dan bukannya ehsan pemerintah yang melonggarkan kawalan. Semasa Jakarta merayakan kemenangan reformasi pada 1998, Kuala Lumpur bermuram durja apabila regim Dr Mahathir Mohamad terus kekal berkuasa pada 1999.

Berdepan beberapa kali pilihan raya selepas Suharto ditumbangkan, media Indonesia menyajikan liputan yang relatif berimbang dan adil. Menurut pemerhati politik, "dibandingkan dengan Amerika pun, media massa di negara kita mampu menjaga jarak dengan para calon Pemilu," merujuk integriti media yang bukan saja tidak memihak tetapi "sukar dibeli".

Dan saya turut tertarik dengan ungkapan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, Mac 2014: "Jika anda suatu saat menjadi presiden yang sedang memerintah dan kemudian ikut pilpres lagi, maka jangan kecil hati dan jangan marah jika dunia pers tidak berpihak kepada anda."

Dalam pertemuan dengan wartawan di Surabaya, 5 April, Susilo memberi jaminan: "Media juga sudah tentu akan mengawal perjalanan Pemilu agar bebas."

Tidak perlu  dinukilkan semula situasi yang cukup kontradik di negara kita. Hampas! Tuntutan parti pembangkang untuk mendekati media, bagai anjing menyalak bukit. Bukan hanya berita "dipadamkan" tetapi lebih jelik apabila kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat kerap diputarbelit.

Najib Razak bukan hanya disorot paling eksklusif atas kapasiti Perdana Menteri, malah aktiviti dan ucapannya sebagai Presiden Umno pun disiarkan secara langsung oleh TV kerajaan dan swasta. Benar kata seorang bekas Ketua Hakim Negara, kedudukan istimewa PM Malaysia turut dicemburui Presiden Amerika Syarikat!

Media Malaysia dikawal melalui undang-undang yang menekan, misalnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, serta dasar pemilikan yang ketat. Selain organ parti yang terbatas pengedarannya - Harakah, Suara Keadilan dan Roket - kelulusan permohonan permit akhbar hampir mustahil diberikan kepada pengusaha yang bebas daripada pengaruh elit penguasa.

Selepas dua minggu meneliti Pemilu Indonesia, Dr Agus Yusof, pada 10 April lalu merumuskan beberapa penambahbaikan proses pilihan raya di negara kita berdasarkan pengalaman Indonesia:

1.Media kita perlu lebih terbuka supaya tidak lagi menyajikan pandangan sebelah pihak.

2.Media kita tidaklah perlu terlalu mempropagandakan sesuatu isu sehingga menceroboh intelek rakyat.

3.Media kita hendaklah mengajak pemimpin utama berbahas di TV supaya rakyat berpeluang menilai keupayaan dan kewibawaan mereka.

4.Ketua parti yang bertanding hendaklah dimunculkan di TV untuk menyampaikan visi dan misi perjuangan serta mempertahankannya  dengan mengambil soalan daripada moderator atau penonton.

Sehari sebelum itu, juga dalam akaun Facebook, Dr Agus  mencatatkan: "Ulasan dan analisis panelis Pemilu 2014 di pelbagai saluran TV di Indonesia seimbang sekali. Tidak ada bodek-membodek, caci maki dan keji mengeji.

"Analisis mereka tertumpu kepada pembentukan dasar kerajaan yang menjadi harapan rakyat selepas daripada pemilihan ini. Perbahasan adalah tentang idea bernegara. Rakyat diberikan ruang untuk berfikir. Hebatnya tanggungjawab media di sini. Terujanya."

Dalam pada itu, tulisan Affendy Hasni, Presiden Persatuan Mahasiswa Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, yang turut berpengalaman menyaksikan kempen Pemilu 2014, elok diteliti:

"Saya begitu terkejut dengan menonton iklan kempen oleh setiap parti yang bertanding di kaca TV tanpa henti. Tidak kisahlah parti pemerintah ataupun parti pembangkang, semuanya diberikan peluang untuk menyampaikan manifesto masing-masing.

"Setiap parti politik yang berkempen di TV menggunakan pelbagai idea yang kreatif dalam memikat pengundi. Ini adalah keadaan yang saya tidak lihat dalam pilihan raya lepas di Malaysia.

"Saya adalah pengundi pertama kali dalam PRU13. Rata-rata pengundi muda seperti saya terpaksa beralih ke medium selain TV arus perdana bagi mendapatkan maklumat mengenai parti-parti lain yang bertanding. Kami terpaksa ke beralih ke Facebook, Twitter ataupun laman web rasmi pembangkang."

Jika tahun lalu, sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2013, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang saya terajui telah menganjurkan Konvensyen Akses Media dalam PRU13, kali ini ada cadangan sekitar tarikh 3 Mei, pengalaman media Indonesia dalam Pemilu 2014 boleh dikongsi lebih ramai audien.

"Usaha menuntut kebebasan media, sekurang-kurangnya hak untuk terbit akhbar, juga sampai memiliki stesen TV... jangan patah di tengah jalan. Lawan sampai berhasil. Jadikan Indonesia sebagai rujukan," seorang rakan lama, editor kanan berpengalaman lebih 30 tahun, sentiasa berpesan.

Apa pun, menjelang pilihan raya presiden Indonesia, saya bertekad mengikutinya dari dekat. Bukan tarikan Jokowi atau siapa jua tokoh yang bakal bertanding, tetapi  liputan media negara jiran itu - bebas dan seimbang - sebenarnya yang menggamit.

Baca Seterusnya......

Menanti perarakan petani 1 Mei

Oleh Ahmad Lutfi Othman

MULANYA saya terlepas rombongan untuk ke Baling, . Memang mudah untuk membatalkan sahaja hasrat itu tetapi ada faktor tarikan yang lebih kuat. Lebih kurang sebulan lalu, saya sempat bersua muka dan men dengar keluhan hampir 50 penoreh getah di Kuala Ketil, di temani Adunnya yang cukup prihatin, Cikgu Md Zuki Yusuf.

Saya masih terkenang luah an hati seorang ibu tunggal; anak nya, pelajar sekolah menengah terpaksa ponteng sekolah kerana tidak mampu membayar tambah bas. Pendapatan bulanan, tidak me lepasi RM150, de ngan harga ge tah pada tahap terendah.Ramai lagi yang berbicara sejujurnya hari itu. Rumusannya, ke peritan di peringkat akar umbi sudah tidak dipedulikan elit penguasa.

 

 

Mereka memang terabai.

Justeru, tekad saya ... mesti berada di tengah-tengah khalayak puluhan ribu yang bakal meme riahkan Himpunan Derita Rakyat di Baling, 5 April.

Mungkin tiada formula penyelesaian dapat dicapai, tetapi tiada kompromi untuk absen dalam acara yang diharap mampu meng ukir sejarah. Ya, wartawan perlu merasai sendiri denyut nadi dan degup jantung masyarakat ter aniaya.

Justeru, pilihan yang ada ha nya melalui pesawat pada pagi Sabtu dan turun di Bayan Lepas, Pulau Pinang, seterusnya berkejar ke Padang Keda, Kupang, dan harus sampai sebelum jam 3 petang.

Kampung asal saya di Tunjang, Jitra sebenarnya lebih dekat de ngan lapangan terbang Kepala Batas, Kedah tetapi saya perlu mengelak daripada meredah perjalanan lebih panjang untuk sampai ke Baling.

Saya lebih suka membayangkan ada perarakan raksasa ke pekan Baling, sekurang-kurangnya seper timana himpunan Bersih mengelilingi Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Demonstrasi yang statik tentulah membosankan.

Apa pun, tentulah sukar untuk mengulangi nostalgia tunjuk perasaan Baling, Disember 1974. Ketika itu, tiada rancangan tersusun daripada penganjur untuk menghimpunkan begitu ramai petani yang dihimpit kemiskinan dan diasak kelaparan, kalaupun belum sampai ke tahap kebuluran.

Detik itu, parti-parti pembangkang yang menang besar pada pilihan raya 1969 – PAS, Gerakan dan PPP – berada dalam gabung an BN. Suara warga desa yang ter pinggir berpadu dengan keprihatinan mahasiswa dan keresahan tenaga akademik.

Lebih penting, rakyat yang dilupakan itu benar-benar kecewa dan muak dengan pemerintah. Nu rani mereka memberontak. Tan pa perlu dihasut, orang kampung terdorong untuk berarak menuntut hak.

Namun, saya tetap mengimpikan, selepas 40 tahun, golongan rakyat tertindas, bukan sekadar penoreh, tetapi juga pesawah atau nelayan misalnya, dapat mempamerkan kesatuan, biarpun kini dipayungi parti-parti politik, seperti PAS dan Pakatan Rakyat.

Agak gelisah juga apabila ra kan yang menemani dari Pulau Pinang perlu membereskan urus an terlebih dahulu, menyebabkan kami agak lewat bertolak.

Saya bimbang terperangkap dalam kesesakan lalulintas ataupun terpaksa berdepan sekatan polis, yang bakal menghalang kami tiba awal bagi merakamkan situasi.

Saya masih ingat, semasa berkunjung ke Memali buat kali pertama pada 1985, sejurus tragedi berdarah yang mengurniakan syahid kepada Ustaz Ibrahim Libya dan anakanak muridnya, saya harus melalui, tidak kurang lima sekatan polis. Itupun atas alasan untuk menziarahi saudara terdekat di sana.

Memali bagai dilanggar garuda. Sunyi sepi, hampir tiada peng huni lelaki. Semuanya ditahan bo rong ISA. Berdepan kediaman Assyahid, tangan saya menggeletar, jantung berdegup kencang; jiwa muda 22 tahun tercabar!

Tetapi petang Sabtu lalu, laluan lancar. Saya pula yang risau dan rimas. Bimbang himpunan tidak mendapat sambutan. Apatah lagi sepanjang jalan dari Seberang Jaya, tiada poster atau banner besar yang memaklumkan himpun an.

Hanya apabila sampai ke simpang untuk masuk Kupang, jam 3 petang, baru kelihatan bendera PAS berkibar menyambut tetamu.

Bagaimanapun, Padang Keda yang berdepan Pejabat PAS Kawa san Baling masih kosong.

“Kurang sangat orang ni ...,” bisik saya kepada wartawan Harakah Pulau Pinang, Sabri Said, sambil menunjukkan jam sudah melewati jam 3.15 petang.

“Awal lagi, biasalah, kejap lagi ramailah,” balas Ali Bukhari Amir, yang menemani saya dari Kuala Lumpur.

Antara khabar awal yang mendukacitakan, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim tidak dapat hadir. “Himpunan hari ini lebih bergantung kepada kekuatan PAS,” dakwa rakan yang menyampaikan berita itu.

Anwar adalah tokoh yang se ring dikaitkan, bukan hanya de ngan demonstrasi Baling 1974 te tapi juga tunjuk perasaan pelajar di Kuala Lumpur, sehingga Masjid Negara yang menjadi “pusat perlindungan” dirempuh polis.

Saya memilih untuk mencari tempat rehat melepaskan lenguh kaki dan dahaga di gerai minuman berdekatan. Cukup ramai sekali penjaja berniaga. Sukar mencari kerusi kosong.

Sambil bersembang santai dengan rakan sekampung, Husin Jusoh, pidato daripada pentas utama lantang kedengaran. Ada juga seakan-akan menjerit, mungkin turut bersemangat melihat ke hadiran yang berpusu-pusu.

Selain pimpinan PAS setempat dan wakil-wakil NGO yang me wakili pesawah, peneroka, maha siswa dan masyarakat sivil lainnya, pimpinan KeADILan, termasuk Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, dan DAP juga turut berceramah.

Senada. Mengkritik keras kerajaan BN dan Najib Razak. Saya lebih tertarik dengan persoalan yang dibangkitkan seorang rakan yang baru saya kenali hari itu: “Penoreh getah antara golongan yang paling tertekan sekarang, tapi mengapa majoriti mereka masih kuat menyokong BN, berbanding orang bendang. Malah kalau sesama peneroka pun, yang mengusahakan getah lebih pekat darah Umnonya daripada kelapa sawit.”

Menghampiri jam 6 petang, padang hampir penuh tetapi langit tambah gelap. Tanpa menunggu lama, hujan mencurah. Cukup le bat sekali. Khemah pun tidak berupaya melindungi.

Saya yang masih bertongkat berjalan perlahan-lahan mencari teduh di sebuah gerai mihun sup.

“Patut majlis besar macam ini, kena sediakan tandas bergerak,” tegur seorang rakan lama, dari Shah Alam.

“Tapi, lupakan dulu ... aku nak tanya pandangan hang tentang hudud. Tiba-tiba saja Umno beria-ia sokong. Hang tak rasa ini perangkap nak pecahkan Pakat an? Bagi aku, Umno ini, kalau dia suruh yang baik pun, tak boleh ikut, mesti ada helah sebaliknya,” hujahnya lancar.

Saya sekadar tersenyum. Sahabat saya ini nampak begitu bimbang persefahaman dalam Pakat an terburai ekoran isu hudud. “Dulu Barisan Alternatif pecah ber punca isu Negara Islam,” dia mengingatkan.

“Buat masa ini,” celah saya sambil ketawa kecil, “aku lebih bimbangkan himpunan malam ini, kalau hujan lagi, takut Umno gelakkan kita aja. Derita peneroka mesti diperjuangkan terus. Kalau perlu ajak mereka berarak 1 Mei depan di Kuala Lumpur. Ya, aku lebih suka kita semua berarak bukan hanya dengar pidato macam petang ini.”

Baca Seterusnya......