Monday, September 17, 2012

Bantulah Nasima dan 6 adiknya ziarah ayah di penjara Manila!

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Ayah Nasima memang telah dibebaskan. Namun keperitan hidup Nasima, adiik-adik dan ibunya belum berakhi. walaupun Abdul Jamal Azahari tidak lagi menghuni Kem Tahanan Kamunting, lama sebelum Akta Keselamatan Dalam Negeri dimansuhkan.

Sempena perlantikan Najib Razak sebagai Perdana Menteri, Jamal dilepaskan pada 3 April 2009. Beliau ditahan tanpa bicara pada 2006 atas dakwaan menganggotai Darul Islam, yang dikatakan juga ada kaitan dengan perjuangan umat Islam Selatan Filipina.

Puaka akta drakonian, ISA, sepatutnya tidak lagi menghantui keluarga Nasima Jamal, 20 dan enam adik-adiknya yang lain, di samping ibu tersayang, Norhata Isnani. Bagaimanapun Jamal tidak dapat kembali ke pangkuan keluarga,  di Batu 18, Sandakan. Mereka terus dipisahkan apabila Jamal, warga Filipina, dipindahkan ke penjara di Manila.

Saya sempat berkunjung ke kediaman mereka -- sebanyak dua kali -- yang begitu daif dan uzur. Terus terang, saya kecut perut ketika cuba memanjat tangga rumah sewa itu, untuk meninjau lebih dekat. Bukan bimbang tergelincir tapi risau kayu buruk itu patah.

 

KETERANGAN GAMBAR: Ahmad Lutfi Othman (kanan) menyantuni anak-anak jamal Azahari semasa berkunjung ke kediaman mereka, di Sandakan, Sabah pada bulan Ramadan, lima tahun lalu. 

Papan lantai rumah  berlubang-lubang, sebahagiannya kelihatan reput. Tiada perhiasan. Kelengkapan rumah sekadar perlu. Di ruang depan, pada ziarah pertama kami, saya lihat ia lebih merupakan petak kedai runcit yang lusuh. Saya tidak pasti apa yang dapat dijual melainkan beberapa tin sardin, gula, tepung, ubat minyak dan satu dua barangan lain.

Tengahari Ramadan yang terik itu sememangnya cukup mengharukan. Saya saling berpandangan dengan rakan-rakan yang turut sama, Norlaila Othman, isteri tahanan Mat Sah Satray, wartawan Harakah, Aniz Nazri dan jurugambar Wan Zahari Wan Salleh; berkongsi kesedihan menatap ketabahan lapan beranak meneruskan kehidupan yang agak terasing daripada masyarakat sekitar.


Dari jauh kami datang bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan pembaca Harakah, bagi membantu persiapan mereka dan lima enam keluarga tahanan ISA menyambut hari lebaran.  Itu cerita lima tahun lalu. 

Setahun selepas Jamal dibebaskan, bagi melepaskan kerinduan yang menyeksa Nasima dan adik-adiknya, Harakah turut mengusahakan mereka menemui ayah tercinta. Agak banyak peruntukan terpaksa dikeluarkan, untuk membawa mereka ke Manila,  apatah lagi dalam keadaan kekurangan dokumen diri ada pihak yang mengambil kesempatan.

Saya sendiri pernah dihubungi Jamal yang mengadu keuzuran semasa dikurung di penjara. Getar suaranya membayangkan penderitaan, selain terselit rasa bimbangan terhadap nasib anak-anak dan isteri serta  -- lebih-lebih lagi -- kerinduannya  yang makin memuncak.

Selepas talian telefon terputus, saya berazam bagi memastikan keluarga teraniaya itu dapat dibela, sekurang-kurangnya untuk mempertemukan mereka.

Sabtu lalu, Nasima mewakili ibu dan adik-adiknya sekali lagi membawa harapan sama; agar dapat dibantu menemui Jamal yang masih terpasong di Manila.

"Walaupun kami baru saja mendapat bantuan dari pakcik Lutfi semasa Ramadan dan Aidilfitri lalu, saya terpaksa mohon sumbangan lagi untuk kami berjumpa ayah," kata Nasima, terputus-putus, yang kini menjadi pembantu kantin sekolah, dua jam perjalanan dari rumahnya.

Beliau  umpama ketua keluarga, sandaran adik-adik dan ibunya meneruskan kehidupan. Namun berapa banyaklah yang dapat diraih anak gadis ini melalui pekerjaannya yang bersilih ganti itu.

Beliau tidak perlu meluahkan rasa hati yang terpendam. Sesiapa pun dapat memahami gejolak rasa mereka yang secara kejam terus terpisah dengan orang tersayang, apatah lagi ketua keluarga.

Segera saya terbayang raut wajah suram adik-adiknya yang pernah kami santuni, dua perempuan dan tiga lelaki: Nazeba (17 tahun), Nadeer (15), Wasim (13), Wajir (13), Nadzla (10) dan Nasim (9).

Sesiapa yang berhasrat untuk turut sama membantu Norhata dan anak-anaknya ke Manila, juga menampung kos sara hidup selama mereka di sana (mungkin selama dua bulan), bolehlah terus menyumbang ke dalam akaun HARAKAHDAILY DOT COM, Maybank 564070000336.

Maaf jika saya separuh mendesak,dan kehilangan kata-kata untuk membuat rayuan ini, namun saya yakin dengan sikap murah hati dan dermawan pembaca Harakah.

Kerinduan si ayah yang keuzuran dan terpenjara jauh dari anak dan isteri sewajarnya dirawati segera. Dan kita boleh meringankan bebanan mereka. Terima kasih bagi yang sudi membantu. Terima kasih.

Baca Seterusnya......

Sang pemberani yang mahu menyanggah Mahathir

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Rakyat Malaysia tidak mudah lagi digertak atau ditakut-takutkan, walaupun oleh pemerintah. Malah, usaha meremehkan atau memperbodohkan pemikiran mereka sehingga rasional diketepikan bakal berdepan reaksi yang mungkin tidak terduga oleh sang penguasa.

Pendek kata, sesiapa sahaja yang masih bebal menggunakan strategi lapuk dan usang bagi mempermainkan emosi dan sentimen rakyat, akan menempah nasib malang. Pendekatan lama yang berhasil "menjinakkan" golongan massa tidak lagi berkesan, apatah lagi yang mempermain-mainkan  logika.

Mereka juga jauh lebih bijaksana, berpandangan jauh dan -- yang lebih penting -- berani atau bersedia melakukan perubahan. Proses pendemokrasian, peningkatan kualiti pendidikan dan juga urbanisasi mematangkan lagi rakyat berdepan pelbagai "silat mata" elit penguasa. Sukar untuk ditipu hanya dengan gula-gula politik murahan.

Masyarakat terbanyak juga kian berani untuk mempersoalkan sesuatu yang cuba disogok secara paksa, meskipun ia datang daripada pihak berkuasa. Jawatan tinggi dalam kerajaan tidak bermakna segala arahan daripadanya akan dipatuhi, malah semakin disyakki.

Kedudukan dan posisi tidak lagi melambangkan kebenaran. Cakap-cakap atau hujah pemimpin tidak mudah ditelan bulat-bulat. Ada keupayaan yang tinggi dari kalangan rakyat untuk menyaring, mencerakin dan menimbang secara rasional. Yang salah dan palsu akan disanggah secara terang-terangan.

Era reformasi 1998 merupakan detik peralihan yang jelas, apabila dalih Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bagi memecat timbalannya, Anwar Ibrahim, ditolak secara terbuka. Cakap pemimpin atasan tidak semestinya benar.

Mahathir sendiri dibaling botol plastik oleh ahli-ahli Umno sendiri selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi yang memecat Anwar. ISA digunakan untuk menutup mulut pengkritik, namun ia hanya menggemakan lagi riuh-rendah penentangan dan memarakkan api kemarahan.

Sebahagiannya bingkas bangun menunjukkan aksi protes di jalan-jalan raya, dan bersedia menerima risiko ditangkap, dibalun belantan, ditembak gas pemedih mata, dihumban ke lokap, seterusnya ada yang dibuang kerja dan menerima keperitan dalam hidup.

"Hantu-hantu" yang diperalatkan untuk menyemai rasa takut, bimbang dan curiga rakyat, seperti ISA dan akta-akta drakonian lain perlahan-lahan hilang bisanya. Ungkapan "polis" yang dahulunya sering digunakan ibu bapa untuk menakutkan anak-anak kecil sudah tidak lagi relevan. (Kasihan nasib polis apabila tuan-tuan besarnya sedia diperbudakkan taukeh-taukeh politik).

Lagak anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi menyuraikan perhimpunan aman bagai tidak dipedulikan. Kanister gas pemedih mata yang ditembak ke atas penunjuk perasaan disepak atau dibalingkan semula. Keputusan mahkamah yang ditampal di merata pokok untuk memaklumkan larangan menyertai demonstrasi pun dipandang sepi.

Rakyat semakin arif hak mereka sebagai warga merdeka dalam sebuah negara demokrasi. Dapat dihafal apa yang perlu dilakukan jika mereka ditahan; bukan sekadar membawa sapu tangan, air mineral dan sedikit garam!

Mungkin masih ada sebahagian rakyat yang terkurung dan terkepung mindanya. Usia 55 tahun kemerdekaan negara tidak berjaya memecahkan kepompong yang sengaja dibina pemerintah itu. Mentaliti untuk pasrah dan mengaminkan apa saja titah penguasa tetap menebal. Namun, saya yakin, bilangannya semakin mengecil dan kumpulan yang sedikit ini tidak membeku statik. Mereka juga sedang melalui proses perubahan yang dinamik.

Sedikit demi sedikit jumlah sang pemberani bertambah ramai dan menjadi dominan. Jiwa hamba mereka mulai luluh berderai. Ikatan dan belenggu rasa takut, gementar, mudah merasa bersalah serta -- dan paling penting -- curiga dan bimbang untuk melakukan perubahan dapat dipecahkan.

Masa yang sama, "fahaman songsang-tahyul" yang ditanam selama ini dalam pemikiran orang Melayu bahawa hanya Umno mampu dan pandai memerintah dikuburkan apabila satu demi satu kerajaan negeri Umno-BN tumbang. Sebaliknya skandal dan penyelewengan pemimpin BN yang didedahkan, dengan rantaian panjang senarai penyalahgunaan kuasa membaham wang rakyat.

Rakyat Kelantan, lebih 20 tahun lalu, misalnya menjadi saksi mata pertukaran kepemimpinan teraju kerajaan negeri langsung tidak mengheret kepada situasi huru-hara, apatah lagi diserkup krisis ekonomi sehingga mencetuskan kebuluran seperti ditohmah juak-juak Umno.

Pilihan Raya Umum 1999 memang tidak mengubah status-quo kecuali di Terengganu, namun minda politik Melayu menghadapi anjakan perubahan yang luar biasa. Mereka sudah berani mencabar dan berkata "tidak" kepada Umno. Ya, politik Melayu -- walaupun turut dikejutkan dengan kemenangan terbesar BN pada 2004 -- "kini sudah cukup berbeda".

Senario politik negara tidak lagi akan surut ke belakang selepas keputusan PRU12, Mac 2008, yang  mengejutkan itu. Ratib Umno bahawa "oposisi hanya pandai membangkang dan mengkritik" menjadi bahan ketawa. Lima negeri yang dikuasai "pembangkang" mempamerkan perubahan yang menyenangkan.

Rakyat Malaysia tidak menoleh ke belakang lagi; mereka semakin serius untuk melakukan perubahan. Malah Umno pula dibayangkan akan menjadi pembangkang yang bakal meracau.

Saya menekankan hal ini bagi memberi reaksi kepada aksi gelabah Dr Mahathir dan Najib Razak yang semakin kerap meremehkan keazaman tinggi pengundi untuk membuat perubahan dalam PRU13 -- menukar kerajaan persekutuan. Rakyat sedar perubahan di peringkat kerajaan negeri banyak limitasinya. Putrajaya memerlukan teraju baru untuk menyempurnakan perubahan.

Pelbagai andaian buruk dilemparkan kepada Pakatan Rakyat jika diizinkan menguasai Putrajaya. Amaran Mahathir dan anak didiknya, Najib: "Jangan sama sekali terpengaruh dengan janji Pakatan untuk membawa perubahan. Lima tahun yang diberikan, walaupun sebagai percubaan, hanya mengundang padah dan bahaya kepada negara. Banyak perkara akan musnah dalam tempoh itu."

Mahathir memang "sudah terlepas keretapi" dan amat bimbang berlaku perubahan di Putrajaya, apatah lagi kalau Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Dan di zamannya, rakyat sering digertak dan diperbodohkan. Rakan-rakannya dalam kabinet juga terpaksa mengikut segala rentak dan kemahuannya. Hobinya boleh sahaja menjadi projek negara. Zaman berubah pantas tetapi Mahathir tetap dengan perangainya -- bebal untuk turut sama berubah.

Najib berada di era berbeda, dan benarlah kata-kata pengakuannya sendiri, zaman kerajaan tahu segalanya sudah berakhir.

Penipuan, skandal, salahguna kuasa, korupsi dan pembolotan kekayaan negara hanya mudah dilakukan oleh regim yang lama memerintah, apatah lagi secara tidak demokratik dan mengetepikan peranan "semak dan imbang" institusi strategik seperti media, Parlimen, SPRM dan seumpamanya.

Selama 55 tahun di bawah regim BN, segala kebobrokan itu hampir "sempurna" dan "sukar dikesan".  Pemimpinnya yang mempunyai banyak pengalaman itu  ada "kemahiran" tersendiri untuk menyembunyikan seribu satu kejahatan, malah menampilkan imej "penyelamat" yang mengelirukan.

Apa pun, dalam PRU13 ini, majoriti rakyat hampir sepakat bertekad untuk melakukan perubahan menyeluruh -- dan boleh saja sifatkan  ia  satu percubaan  paling berani -- untuk mencari kelainan yang benar-benar berbeda, dengan memberikan amanah mentadbir kepada regu dan pasukan yang baru.

Cukuplah dengan "syaitan" yang begitu lama dikenali, yang ternyata hanya membawa petaka dan padah. Ya, bukankah itu perangai dan sifat semulajadi "syaitan"?

Saya yakin, sekumpulan sang pemberani ini, yang jumlahnya semakin ramai dan menjadi golongan majoriti, tidak akan mundur ke belakang lagi. Sekurang-kurangnya mereka mahu mencuba, 'kan? Pedulikan amaran Mahathir dan Najib itu. Biarkan kedua-duanya terus meracau ...

Baca Seterusnya......

Berperang dengan angka

Oleh Ahmad Lutfi Othman

SELALUNYA RTM sahaja yang berminat (tentunya diarahkan) untuk menyiarkan secara langsung ucapan Perdana Menteri, tetapi pada malam Sabtu lalu, TV3 turut sama mempromosi pidato politik Najib Razak yang tidak menjadi itu.

Melalui paparan intisari rancangan TV dalam akhbar tempatan, saya perhatikan tiada jadual himpunan Janji Ditepati dari Stadium Bukit Jalil itu akan mendapat lintas langsung TV3.

 

Sepatutnya Naziha, slot drama bersiri Zehra mengambil tempat jam 9 malam.

Saya turut menyedari sorotan kamera TV3 yang merakam wajah penasihat media Najib, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima, Ahmad Farid Ridzuan, bersama VVIP lainnya semasa Najib berucap. Farid dikatakan perancang utama program Jelajah Janji Ditepati dan mengeksploitasi sepenuhnya kekuatan siaran TV Media Prima untuk kempen propaganda BN menjelang PRU13.

Sebenarnya tiada isu besar dengan siaran langsung itu, apatah lagi ketika semua maklum bahawa perayaan sambutan kemerdekaan – sejak awal lagi – telah “diperdagang” sepenuhnya demi kepentingan politik Najib dan BN. Siapa peduli lagi, hatta apabila TV memberikan liputan istimewa kepada perhimpunan agung Umno itu sendiri?

Saya lebih tertarik apabila berulang kali pengacara TV3 menyebut kehadiran melebihi 180,000 orang, sedangkan penonton di rumah dapat mengesan banyak ruang kosong, khususnya di kawasan tengah stadium, berdepan pentas Najib berucap.

Jumlah kehadiran dalam majlis politik (termasuk rumah terbuka Aidilfitri) sentiasa dijadikan ukuran populariti seseorang tokoh atau sesebuah parti. Maka berebut- rebutlah angka itu terpaksa dinaikkan dan dalam masa sama program yang dianjurkan seteru politiknya sengaja direndah-rendahkan sambutannya.

Contohnya, semasa Buletin Utama TV3 mengheboh-hebohkan jumlah pengunjung himpunan di Stadium Bukit Jalil malam 31 Ogos itu hampir mencecah 200,000 orang, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein, memperlekehkan sambutan Janji Demokrasi di Dataran Merdeka, pada malam sebelumnya. Najib turut menyifatkan Janji Demokrasi bukanlah himpunan majoriti rakyat.

Kebanyakan media alternatif menjangkakan kehadiran sekitar 20,000, yang berjaya “menguningkan” kemeriahan sambutan ambang merdeka di ibu kota walaupun pihak Datuk Bandar Kuala Lumpur telah menghalang hadirin memasuki kawasan Dataran Merdeka.

Tanpa sebarang kempen meluas dan publisiti sistematik, namun penyokong baju kuning tetap terdorong untuk menunjukkan semangat kecintaan dan patriotisme yang tinggi kepada negara. Himpunan Merdeka di Shah Alam, anjuran kerajaan Selangor, yang turut dihadiri Anwar Ibrahim, juga mendapat sambutan menggalakkan.

Dalam pada itu, biarpun tidak ramai lagi yang ghairah meramalkan tarikh pembubaran Parlimen, namun iklim politik tanahair selepas Aidilfitri tentunya bertambah panas. Persiapan akan dimantapkan, di samping pendekatan baru untuk terus langsung bersemuka dengan rakyat pasti diteroka.

Saya tidak begitu risau dengan isu-isu yang sengaja ditimbulkan bagi mengelirukan masyarakat, termasuk persoalan hudud. Sudah cukup banyak pendedahan terhadap kegagalan pemimpin BN menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan rakyat.

Segala dokumen dan fakta telah dihidangkan dengan baik sekali.

Namun begitu, pemimpin Pakatan Rakyat tidak boleh mengambil mudah di atas sebarang isu yang ditonjolkan strategis BN itu. (Dan jangan terlalu selesa dengan sokongan pengundi Cina sehingga mungkin tanpa sedar meremehkannya).

Kefahaman dan kesedaran masyarakat mempunyai pelbagai tingkat dan tahap.

Selain itu, menghidangkan fakta sahaja tidak memadai jika persepsi belum dapat diubah. Saya perhatikan, Najib sendiri tidak berupaya menangkis serangan yang disasarkan kepadanya.

Beliau sekadar mahu mengekalkan persepsi lapuk, khususnya masyarakat Melayu, kepada situasi politik semasa.

Beberapa kali Najib mengulangi penegasan mentornya, Dr Mahathir Mohamad, terutama untuk menghalang hasrat dan keazaman tinggi majoriti rakyat bagi membuat perubahan dengan menukar kerajaan persekutuan nanti.

Walaupun beliau belum tergamak melafazkan kalimah seperti diucapkan Mahathir (“lebih baik syaitan yang anda kenal daripada malaikat yang anda tidak kenal”), namun hakikatnya, seperti ditegaskan Najib di Pekan, 26 Ogos lalu, semangat untuk berubah tidak semestinya membawa kebaikan.

Mood untuk berubah ini – yang mahu dilemahkan perancang kempen BN – bukan sahaja perlu dikekal, malah dipertingkatkan.

Argumen dan rasional untuk menolak daleh Mahathir dan Najib itu wajar dikemukakan dengan bijaksana. Saya tertarik dengan pelancaran bas Jelajah Merdeka Rakyat, yang akan bergerak ke seluruh pelosok negara, terutama di kawasan pedalaman dan kubu kuat Umno, termasuk ke pasar malam, kawasan perumahan dan tempat orang awam berkumpul.

Ya, rakyat terbanyak harus didekati dengan cara yang mudah dan cepat, bagi menjelaskan isu semasa.

Walaupun digerakkan oleh KeADILan, kemudahan itu wajar dikongsi oleh rakan-rakan yang lain dalam Pakatan, khususnya PAS, yang konstituensinya lebih terarah di kampung- kampung.

Kata kuncinya: Dalam waktu kritikal ini, dekati seramai mungkin audien, rasai denyut nadi mereka, buang segala kekusutan dan kekeliruan, tingkatkan gerakerja penerangan dan jaringan perhubungan.

Baca Seterusnya......

Apa dosanya kibar Sang Saka Malaya?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Sambutan kemerdekaan negara kita memang tidak sunyi daripada polemik. Sumbangan para pejuang yang berhempas-pulas menghalau penjajah dengan darah dan air mata turut menjadi pertikaian. Umno mahu membolot legasi perjuangan mulia itu; seolah-olah ia sahaja berperanan membebaskan watan tercinta.

Tahun lalu heboh kontroversi Mat Indera dan peristiwa Bukit Kepong. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, dilanyak Utusan Malaysia berminggu-minggu tanpa diberi peluang membela diri. Di peringkat awal, PAS nampak tersudut ke penjuru kelam, kononnya  tidak langsung menghargai pengorbanan pasukan keselamatan, sekali gus mengagungkan "wira komunis".

Bagaimanapun, tanpa dirancang, minat masyarakat untuk menelusuri jejak perjuangan membebaskan tanahair daripada cengkaman penjajahan British meningkat dengan drastik sekali. Naluri ingin tahu fakta sebenar membuak. (Secara peribadi, saya yakin, apa jua kontroversi, jika disorot melalui tradisi keilmuan yang segar dan mantap, pastinya mendatangkan manfaat buat semua).

Satu Wacana Merdeka, yang dianjurkan Jabatan Sejarah Universiti Malaya, pada 23 September 2011, di Dewan Uliah A, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM, mendapat sambutan memberangsangkan. Saya yang masih bertongkat, terpaksa hadir awal dan mendaftar sebelum jam 8 pagi, bimbang tidak mendapat tempat.

Sejarah, yang sering dianggap pengulangan cerita lama yang membosankan, tiba-tiba menggamit minat luar biasa masyarakat awam. Dari sisi lain, sekurang-kurangnya pusara anggota polis yang terbunuh di Bukit Kepong itu, tidak lagi terbiar. Ramai cuba mempamerkan simpati. Dan lebih penting, sehubungan itu, nasib pesara pasukan keselamatan, menjadi perhatian istimewa pemerintah, dengan menawarkan beberapa insentif menarik.


Ya, segalanya dimulakan oleh ceramah Mat Sabu di Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011. Rahmat terselindung -- ramai juga  (khususnya bekas polis dan tentera) mendapat manfaat atau "durian runtuh" ekoran kalimat yang dilihat kontroversi itu!

Seterusnya, soal yang berlegar sekitar pentafsiran sejarah itu, bukan sahaja disinggung tokoh akademik dan Majlis Profesor Negara, malah turut diheret ke mahkamah. Hakim diminta memutuskan isu berkaitan perdebatan proses kemerdekaan Tanah Melayu -- suatu dimensi yang sepatutnya terbuka untuk perkongsian lebih ramai khalayak.

Sememangnya proses pendakwaan kes jenayah di negara kita (bukan hanya Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA, yang digunakan sebagai senjata politik) sering menjadi alat atau perkakas siasah pemerintah apabila berdepan saingannya. (Saya terkenangkan Lim Guan Eng disumbat ke penjara selama hampir dua tahun melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dalam kes membabitkan bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Tamby Chik, sedangkan ia lebih kepada pertarungan politik).

Terbaru, aksi beberapa anak muda yang mengibarkan bendera "Sang Saka Malaya" di Dataran Merdeka, menjelang detik 12 tengah malam 31 Ogos lalu,  secepat kilat dimanipulasi untuk mempamerkan "wajah hodoh" Pakatan Rakyat dan pemimpin Bersih. Rupanya kempen politik BN dalam sambutan 55 Tahun Merdeka Janji Ditepati belum berakhir dengan himpunan besar-besaran di Stadium Bukit Jalil ....

Meneliti laporan media  (yang sentiasa menunggu bagai singa lapar untuk menghitam-legamkan wajah pembangkang, berdepan PRU13), dua insiden berbeda pada malam himpunan Janji Demokrasi itu cuba dihubungjalinkan dan dikaitkan dengan  Pakatan Rakyat.

Selain itu, penonjolan "Sang Saka Malaya" mahu disamakan dengan peristiwa memijak (dan tunjuk punggung) ke atas gambar Perdana Menteri, Najib Razak,  dan isterinya, Rosmah Mansor, serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Aziz Yusof. Pihak polis berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta Hasutan (yang mahu dimansuhkan itu), Akta Perhimpunan Aman dan Kanun Keseksaan.

Pastinya setiap kita tidak dapat menerima aksi melampau, mencabuli akhlak dan tidak bertamadun memijak gambar Najib itu. Walaupun ramai berkongsi tekad dan keazaman yang tinggi untuk menjatuhkan kerajaan BN pimpinan Najib dalam PRU13, namun segalanya perlu dibuat melalui amalan demokrasi. Justeru, yang dituntut adalah sistem pilihan raya yang bebas, adil dan bersih.

Sejak merdeka, pembangkang, khususnya PAS sebagai oposisi tertua, sentiasa dizalimi, dianiaya dan dinafikan hak sebagai parti berdaftar untuk bertanding di "atas padang yang sama rata".

Pemimpin dan aktivisnya bukan saja ditahan (sebahagiannya tanpa bicara), dibuang daerah, didiskriminasi serta melalui siri tribulasi dan mehnah  yang panjang, malah ada yang dibunuh, namun sistem pilihan raya yang serba tempang-kotor itu tetap dihormati. Mereka tidak pernah absen daripada menyertainya setiap kali diadakan.

Selama lebih lima dekad lalu, kesabaran dan toleransi  tinggi petugas PAS -- biarpun ditindas dan ditekan -- telah berjaya mewujudkan suasana aman-stabil yang berterusan. Ramai sarjana sejarah, termasuk di peringkat antarabangsa, menyanjung tinggi sikap berlapang dada pemimpin Parti Islam itu, sekali gus menolak pendekatan militan.

Saya sukar memahami motif Buletin Utama TV3, yang begitu kerap mengulangi rakaman aksi gambar Najib dipijak, seperti disaksikan 4 September lalu. Memanglah tujuannya untuk menanamkan rasa jelik kepada pelaku, yang mahu dikaitkan dengan penyokong Pakatan Rakyat, tetapi dengan ulangsiar berlebihan, ia boleh mengundang persoalan, mengapa marah sangat mereka terhadap Perdana Menteri? Rakyat kini bijak membaca dan menyelongkar apa yang tersirat, berbanding paparan tersurat.

Realitinya, tindakan pijak potret pemimpin bukan isu baru. Sepatutnya pihak polis bukan hanya bertindak segera dan pantas terhadap aksi pada sambutan ambang kemerdekaan itu, tetapi juga kepada deretan insiden yang jauh lebih tragis dan tersusun, termasuk mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap pemimpin dan penyokong Pakatan.

Dalam kenyataannya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta polis mengambil tindakan serupa terhadap pelaku yang memijak posternya, Mei lalu, yang turut melakukan upacara simboik pengkebumian di hadapan rumahnya. Begitu juga dengan "tarian punggung" di luar rumah Pengerusi Bersama Bersih, Ambiga Sreenevasan. (Lim juga dihina dengan penyerahan "kek tahi").

Ramai ingin tahu nasib laporan polis yang dibuat pemimpin Pakatan, yang diserang dan diganasi oleh samseng Umno dan Perkasa, ketika berceramah di seluruh negara, misalnya membabitkan Anwar Ibrahim, Mat Sabu dan Nurul Izzah.

Usah kukuhkan lagi imej buruk polis sebagai sebahagian perkakasan politik Umno yang amat memalukan itu. Seperti kata AJK PAS Pusat Pusat, Ustaz Idris Ahmad: "Semua rakyat memerhati dan berfikir, adakah pemimpin Umno yang bebal itu akan terus kebal?"

Meneliti kenyataan dua individu yang mengakui bertanggungjawab membuat dan mengibarkan bendera "Sang Saka Malaya" dalam blog Singa Selatan, yang mendakwa tidak mewakili mana-mana parti politik, saya kira insiden itu -- seperti juga ceramah Mat Sabu mengenai Mat Indera -- yang kelihatan agak mengejutkan dan mempunyai elemen radikalisme, akan menimbulkan polemik berpanjangan dan tidak mustahil di hujungnya nanti merupakan "satu pencerahan yang produktif" tentang asal-usul perjuangan memerdekakan tanahair.

"Kami mewakili golongan anak muda yang ingin menonjolkan kebenaran dan sejarah yang cuba ditenggelamkan oleh pihak yang bertanggungjawab, jauh sekali bermotif untuk menukar Jalur Gemilang kepada Sang Saka Malaya," tulisan itu dipetik.

Setelah menjelaskan inti perjuangan golongan kiri yang terawal memperjuangkan kemerdekaan seperti, KMM, PKMM, API, termasuk juga gerakan Islam Hizbul Muslimin, dirumuskan Sang Saka Malaya adalah panji perjuangan mereka dalam menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu. Beliau mengakui tujuannya mengibarkan bendera itu untuk memperingatkan orang ramai terhadap tokoh-tokoh pejuang seperti Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Hj Muhammad dan Ustaz Abu Bakar Baqir.

Tiada mana-mana parti politik dalam Pakatan menyokong usaha mereka. Namun media Umno, seperti lazimnya, tanpa merujuk sumber sahih, cuba  mendakwa Pakatan akan menukar bendera. Anwar menekankan, "tiada niat untuk kita menukar bendera Malaysia." Ustaz Idris menjelaskan, "pemimpin Pakatan Rakyat menegaskan tidak pernah ada perbincangan langsung untuk menukar bendera, cuma yang ada hanya untuk menukar kerajaan."


Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali mahu siasatan segera dibuat: "Perbuatan ini sangat tidak wajar dan satu pengkhianatan kepada kesepakatan yang diterima pakai rakyat Malaysia."  

Polemik Sang Saka Malaya ini mengingatkan saya tentang buku Memoir Ahmad Boestamam, Merdeka dengan Darah dalam Api, terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (2004), yang menggabungkan tiga karya asal, Lambaian Dari Puncak, Merintis Jalan ke Puncak dan Tujuh Tahun Malam Memanjang.

Dalam bab "PKMM Menarik Diri dari Umno", Boestamam, dengan gaya ceritanya yang menarik, mengisahkan perjalanan sidang pertama Umno pada 1946, apabila wakil badan-badan gabungan diminta mengusul bendera atau lambang parti itu.

PKMM diwakili Ishak Hj Muhammad dan Boestamam sendiri. Ishak sebagai jurucakap membawa Sang Saka Merah-Putih, lambang PKMM sendiri, dan mengibarkannya dalam sidang itu, setelah mengemukakannya sebagai bendera Umno.

Keputusan pengundian menyaksikan usul PKMM itu dikalahkan hanya dengan satu usul yang mahukan lambang Umno seperti sekarang (masih Sang Saka Merah-Putih dengan tambahan lambang keris). Terdapat kira-kira 50 badan  dalam sidang itu dan setiap pertubuhan diberikan dua undi, manakala PKMM sahajalah "badan kiri".

Boestamam kemudiannya mengusulkan supaya PKMM, berdasarkan penolakan syornya tentang bendera itu, menarik diri keluar dari Umno. "Perbezaan pandangan politik antara Umno dengan PKMM," kata Boestamam, "sudah jelas jauh bertentangan. Sementara kita mahu kemerdekaan seratus peratus bagi Malaya, Umno hanya mahu kembali kepada status quo sahaja. Kerana perbezaan pandangan politik ini lambat launnya kita pasti akan berpisah juga dengannya ...."


Tanpa didorong keperluan untuk menukar bendera, saya masih tertarik dengan ulasan Hishamuddin Rais dalam Malaysian Insider: "Merah putih adalah motif Nusantara. Motif Melayu Raya, kerana itu bendera Umno, PAS, Singapura dan Indonesia semuanya menggunakan Sang Saka ... Tahun 2006, bendera Umno di nobat sebagai Sang Saka Bangsa, sila tanya pemuda Umno kerana mereka yang mencadangkan nama ini. Tanya Khairy Jamaluddin, dia senyap kerana dia tahu sejarah Sang Saka."

Bagi saya, usah melatah isu Sang Saka ini, apatah lagi mengenangkan masih banyak isu-isu kritikal yang perlu ditangani segera, misalnya kerakusan kroni Najib untuk memenuhkan tembolok dengan projek ratusan bilion, sebelum Putrajaya "dibebaskan" Pakatan dalam PRU13.

Beberapa insiden spontan, yang nampak menggemparkan (disensasikan media Umno) seperti mempamerkan Sang Saka Malaya oleh dua tiga anak muda itu tidaklah perlu dikutuk secara berlebihan. Ada baiknya juga jika kita memperuntukkan sedikit masa untuk menyelami jiwa mereka yang bergejolak itu, 'kan?
Baca Seterusnya......

Lajim, Bumburing hanya memulakan langkah awal ...

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Ribut politik Sabah yang menyaksikan BN secara tiba-tiba kehilangan dua ahli Parlimennya telah menyuntik keyakinan bahawa impian dan tekad majoriti rakyat untuk melihat kerajaan persekutuan bertukar tangan semakin menghampiri kenyataan, insya-Allah.

Tsunami politik yang melanda Semenanjung dan tertampan di Negeri Sembilan empat tahun lalu dilihat bakal menyeberangi Laut China Selatan. Pakatan Rakyat yang memerlukan tambahan lebih kurang 30 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, untuk memudahkan laluan ke Putrajaya, dijangka dapat meruntuhkan tembok psikologi "simpanan tetap" BN di Sabah dan Sarawak.

 

Dalam PRU12, BN menang 24 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah dan 30 daripada  31 di Sarawak (tidak termasuk satu lagi di Sibu melalui pilihan raya kecil).

Sebuah lagi negeri "simpanan tetap" BN ialah Johor, apabila ia meraih 25 daripada 26 kerusi Parlimennya. Justeru, untuk tiga negeri "kubu tradisi" ini, BN sudah boleh menarik nafas lega. Sejumlah 80 kerusi Parlimen "dalam tangan", iaitu hampir menyamai jumlah kerusi Pakatan Rakyat pada 2008.

Itu statistik lama. Dalam politik, jangka masa empat tahun bukan sahaja terlalu lama dan "ketinggalan zaman", malah dalam hanya tempoh seminggu, pelbagai kejutan boleh berlaku, 'kan? Sesuatu yang dilihat mustahil  boleh berlaku tanpa diduga dalam tempoh tersebut, apatah lagi jika ia memang sudah boleh diunjur atau sekurang-kurangnya diramal.

Sebenarnya, sebelum Lajim Ukin, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pemimpin berpengaruh atau  Janang Gayuh kaum Bisaya mengisytihar keluar BN, bersama Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred  Bumburing, yang juga Timbalan Presiden Upko, terlebih dahulu "simpanan tetap" BN di Johor  kelihatan  sudah goyah.

Sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen di selatan Semenanjung itu dijangka bertukar tangan kepada Pakatan Rakyat, khususnya di kawasan-kawasan bandar, begitu juga yang bermajoriti pengundi Cina serta kerusi campuran. Malah, bagi saya, usah remehkan keupayaan pengundi Melayu di kampung tradisi dan juga penempatan Felda;  tidak mustahil mereka boleh juga boleh menerajui perubahan, bagi meleburkan "kubu Umno' di Johor.

Pada masa sama, beberapa kerusi lain yang belum dimenangi Pakatan, misalnya di Kedah, Perak, Selangor, Melaka dan Pahang (negeri Perdana Menteri) sendiri, adalah berpeluang cerah untuk menang. Antara yang disebut-sebut, sekadar contoh, seperti Pandan dan Sabak Bernam (Selangor), Alor Setar (Kedah), Kampar, Padang Rengas dan Kuala Kangsar (Perak), juga Raub, Jerantut dan Temerloh (Pahang).

Negeri Sembilan dan Terengganu juga bakal menyumbang tambahan kerusi buat Pakatan. Perkembangan politik di kedua-dua negeri ini cukup memberangsangkan. Saya kira mungkin tiga kerusi lagi di Terengganu boleh dimenangi jika momentum sedia ada dipertingkatkan. BN Negeri Sembilan sudah lama lama berada diambang kejatuhan.

Ya, sekali lagi fokus ditumpukan kepada kecenderungan pengundi Melayu dan oleh itu bebanan ini digalas oleh PAS disebabkan kebanyakan kerusi-kerusi berkenaan ditandingi parti Islam.


Di Sabah, selain Kota Kinabalu, satu-satunya kerusi  yang dimenangi pembangkang, melalui DAP (dalam pertandingan empat penjuru itu, jumlah undi calon KeADILan -- yang kalah -- pun lebih tinggi berbanding calon BN) dan tiada masalah untuk mempertahankannya dalam PRU13, maka dua kerusi lagi, yang mempunyai peratusan pengundi Cina yang signifikan, iaitu Sandakan (jumlah undi calon DAP dan Bebas sebenarnya jauh mengatasi calon BN yang menang dengan majoriti 176 undi sahaja) dan Tawau (juga menyaksikan pertembungan sesama sendiri antara DAP dan KeADILan) merupakan kerusi gelap buat BN.

Sekali gus situasi itu membayangkan Sabah masih terjebak dalam dilema berpanjangan, pertarungan sesama sendiri di antara pembangkang. Jelas, majoriti pengundi di kawasan berkenaan sudah menolak BN, namun ia diselamatkan apabila undi untuk Pakatan Rakyat terbahagi. 

Di atas kertas, dicampur kerusi yang disandang Lajim Ukin (Beufort) dan Wilfred Bumburing (Tuaran), Pakatan dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk menguasai minimum lima kerusi itu.

Bagaimanapun ramai rakan-rakan dan pemerhati politik di Sabah mempunyai senarai kerusi berpotensi yang lebih panjang buat Pakatan. Di antara yang disebut-sebut ialah Kota Marudu, Kota Belud, Penampang, Pensiangan, Sepanggar, Keningau dan Putatan.

"Saya tidak mahu hanya meramal berdasarkan sentimen. Ia berdasarkan fakta dan data yang ada," kata Rahimin Mustafa, Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Sabah, ketika berkunjung  ke rumah saya, 3 Ogos lalu. Dia seperti menyimpan pandangannya sendiri, sebaliknya lebih suka menunjukkan analisis.

Ternyata Rahimin gemar dengan angka dan kajian. Mudah saja beliau mengutip tinjauan pendapat dan sokongan dari buku-buku akademik.   Sempat juga beliau berkuliah tentang latar belakang politik Sabah kepada saya; "syarahan" kali kedua selepas saya bertemunya di Kota Kinabalu, empat bulan lalu.

Rahimin membentangkan  statistik penduduk dan pengundi Sabah. Rupanya di sana perhatian bukan sahaja tertumpu kepada tiga kelompok terbesar, iaitu Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Cina tetapi juga kepada kepelbagaian etnik, yang turut mempengaruhi pola pengundian.


Justeru, kedudukan Lajim sebagai Janang Gayuh etnik Bisaya dilihat mampu mempengaruhi pengundi di luar Beaufort juga.  Dari segi lain, tuntutan perubahan bukan setakat menjadi agenda utama masyarakat Tionghua, malah didamba oleh masyarakat Islam dan juga Bumiputera Bukan Islam.

Kekuatan Pakatan Rakyat (KeADILan, PAS dan DAP) yang sedia bertapak kukuh di Sabah, kini disokong kuat oleh PPS (Pakatan Perubahan Sabah), diterajui Lajim dan APS (Angkatan Perubahan Sabah), diketuai Wilfred.

"Dengan wujudnya kumpulan APS, ia akan melakar satu gerakan meroboh kerajaan negeri di Sabah. Dari dua hala, orang Islam dan bukan Islam. Harus diingat, sejak 1967, apabila Kadazan-Dusun-Murut menukar haluan politik, perubahan kerajaan pasti berlaku. Kali ini, ia disertai gerakan kebangkitan Melayu-Islam melalui PPS; itu melengkapkan perubahan," kata Wilfred kepada Suara Keadilan.

"Tidak syak lagi, rakyat Sabah, seperti juga Semenanjung, mahukan perubahan, tapi ramai mempersoalkan, apakah pembangkang daripada pelbagai parti itu dapat bersatu dan bermuafakat, sekurang-kurangnya memastikan pertandingan satu lawan satu," kata Rahimin.

Segera saya teringat seorang lagi tokoh kontroversi, Dr Jeffrey Kitingan, yang telahpun melancarkan parti Star negeri Sabah dan membentuk Pakatan Borneo Bersatu bersama Usno Baru (masih di peringkat penajaan). Memang beliau nampak seperti sukar berkompromi namun dalam keadaan sekarang, semua pihak harus berlapang dada membina kekuatan untuk menumbangkan BN di Sabah.

Seorang lagi tokoh yang diperhatikan ialah Yong Teck Lee, Presiden SAPP. Difahamkan, seperti Jeffrey, tuntutan kerusi bagi pihak partinya juga terlalu tinggi. Mungkin mereka merasakan Sabah perlu diberi lebih peluang kepada "parti-parti Sabah" sendiri?

Sesungguhnya mood rakyat Sabah, seperti ditunjukkan oleh kajian terkini Merdeka Center di kawasan Parlimen Kota Kinabalu dan Penampang pada Mac lalu, cukup "menjanjikan". Potensi untuk membentuk tsunami perubahan begitu menyerlah.

Seramai 59 peratus responden mahu kerajaan ditukar. Selain itu,  44% sahaja berpuas hati dengan prestasi kerajaan BN. Kajian turut mendedahkan hanya 43% berpuas hati dengan prestasi Ketua Menteri, Musa Aman.

"Anwar Ibrahim nampaknya memberi tumpuan istimewa kepada Sabah, paling kurang sebulan sekali beliau ke sini, begitu juga dengan Lim Kit Siang. Komitmen mereka begitu tinggi, sekali gus menunjukkan keyakinan bahawa laluan ke Putrajaya hanya berjaya jika berlaku perubahan di Sabah.

"Kami harapkan pimpinan utama PAS juga dapat berbuat demikian bagi membantu rakan-rakan di Sabah melonjakkan imej parti di sini. Lebih baik lagi jika Lajnah Politik sendiri dapat turun," kata seorang aktivis muda PAS kepada saya melalui emel.

Rahimin pula meninggalkan banyak dokumen yang perlu saya halusi sebelum lebih terperinci mengulas politik Sabah.

Rakan saya, Mohd Sayuti Omar, yang mengikuti lawatan kerja Anwar ke Sarawak dan Sabah baru-baru ini memberi input menarik: "Saya tidak mahu membongkar berbagai kepelikan dan keanihan yang berlaku di Sabah yang mengarah kepada perubahan besar politik di negeri bawah bayu ini.

"Cukup kalau saya menyebut pertemuan Anwar dengan para pemimpin politik Sabah tengah hari tadi (11 Ogos)  mengesahkan kata-kata bahawa Sabah di ambang kehancur buat UBN. Para arkitek politik Sabah sedang merangka bagaimana proses penumbangan itu dan memikirkan pula bagaimana untuk membangun bentuk politik baru yang lebih diterima serta meyakinkan."

Menurut Sayuti, sambutan yang diterima Anwar di Sabah begitu memberangsangkan. Anwar sendiri mengakui, semasa beliau berada dalam kabinet dulu tidak pernah beliau mendapat sambutan hangat sebegitu rupa.

Cuma Sayuti terlepas pandang apabila merasakan tiada wakil PAS yang hadir dalam mesyuarat bersama Anwar di Kota Kinabalu itu. Sebenarnya ada tiga wakil  PAS Sabah dalam pertemuan Pakatan Rakyat Sabah bersama kumpulan Lajim dan Wilfred itu, yang diketuai Ustaz Awang Laiman Ikin, Setiausaha Perhubungan Negeri. 

Baca Seterusnya......

Ego (atau bodohnya) umat Muhammad tolak tawaran terbaik

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Ramadan melewati hari-hari terakhirnya. Ya, begitu cepat dan pantas sekali. Tahun ini dijangka bulan penuh keberkatan berakhir pada hari ke-29, kurang sehari daripada biasa.Sesungguhnya setiap saat (bukan lagi dalam ukuran hari) yang berlalu cukup berharga; tidak ternilai dengan ukuran dunia. Sekali terlepas, ia tidak datang lagi.

Siapa pun tidak berupaya memastikan dia bakal mengimarahkan lagi Ramadan pada tahun depan. Lihat di sekeliling, ramai saudara-mara dan kenalan yang kita temui dan dakap erat semasa Aidilfitri lalu kini tiada lagi bersama. 

Ada pula yang dahulunya sihat bugar kini terlantar sakit, tidak mampu berpuasa. Semasa menjalani ujian fisioterapi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, merawati serangan strok kedua yang saya alami awal Julai lalu, saya dapati ramai pesakit yang tiba-tiba hilang upaya dan kudrat, hatta untuk menggerakkan jari dan menelan makanan.

Pagi Khamis lalu, saya menziarahi rakan lama, Yusuf Abdul Jalil, bekas Pengarang Harakah, yang turut diserang angin ahmar lima tahun lalu. Tidak banyak peningkatan sejak kali terakhir saya mengunjunginya, Ramadan 2010. Anggota tubuh sebelah kirinya masih tidak bermaya.

Kemudian saya ke Kepong, mengiringi rakan, Mokhtar Jan. Sahabat lamanyanya, yang ditimpa nasib sama empat tahun lalu, terlantar koma. Segalanya harus dibantu. Ingatan beliau hilang. Alhamdulillah, anak isteri begitu memahami dan reda setulusnya.

Renunglah dalam-dalam pengajaran buat diri yang kerdil ini.

Fasa terakhir Ramadan hanya tinggal seminggu. Sewajarnya kita sudah mempunyai rancangan terperinci mengisi detik-detik penuh kemuliaan ini sejak awal, sebelum Ramadan menjelma lagi. Sebaiknya pelan itu ditulis rapi, dengan jadual ketat yang menagih disiplin melaksanakannya.

Begitu juga dengan azam dan tekad yang jelas dan terarah. Misalnya, berapa kali khatam al-Quran sepanjang Ramadan. Seorang rakan, sebelum menginjak hari ke-20, sudah tiga kali khatam di samping menekuni kitab-kitab tafsir. Niatnya, mahu menghabiskan bacaan al-Quran sepanjang 10 hari terakhir sebanyak tiga kali lagi, iaitu tiga hari sekali. Saya yakin beliau mampu melakukannya, dengan mudah.

Seorang rakan lain, begitu ringan tangan, bermurah hati. Beliau begitu terpesona dengan kelebihan memberi makan orang berbuka puasa.

Dua hadis Nabi s.a.w. sering diperingatkannya kepada saya. Pertama, "sebarkanlah ucapan salam (kepada yang kita kenal atau tidak kenal), dan berikanlah makan dan solat di waktu malam ketika manusia sedang tidur, maka kamu akan masuk syurga ..."; dan kedua, "sesiapa yang memberi makan untuk orang yang berbuka puasa, maka baginya pahala orang yang berpuasa."

Pesan Rasulullah s.a.w. itu digigitnya sungguh-sungguh. Beliau akan memberi salam kepada siapa sahaja yang ditemuinya. Ramai juga -- yang tidak mengenalinya -- kelihatan agak kaget, walaupun kemudiannya menjawab perlahan.

Dia kerap bercerita kepada saya, mungkin sebagai dorongan, bahawa ada orang alim yang sengaja ke tempat ramai, semata-mata untuk menyebarkan salam.

Begitu juga dengan kelaziman memberi makan; dia memang merancang -- bayangkan, sejak berakhirnya puasa tahun lalu -- berapa ramai yang mahu "dijamunya" sepanjang Ramadan.


Dengan kemudahan beberapa badan amal yang menyalurkan sumbangan berbuka kepada minoriti Muslim di luar negara, terutama yang tertindas seperti di Myanmar, Selatan Filipina dan juga Palestin, rakan saya itu menyusun jadual.

Dalam tempoh setahun lalu, dia sudah merancang mencari "wang lebih" untuk menaja majlis berbuka puasa dan juga amalan menyembelih korban semasa Aidiladha nanti. "Kita bukannya berduit sangat, yang penting berjimat dan jangan berbelanja di luar keperluan, dengan tekad yang serius untuk memburu pahala di waktu Ramadan seperti ini," tuturnya penuh hikmah.

Sikap dermawan yang terpuji itu harus dilatih. Tentulah ia tidak mudah, apatah lagi di zaman kos sara hidup mencanak naik. Kita kerap mencari alasan dan daleh bahawa keperluan sendiri pun tidak pernah cukup. Sedangkan tuntutan menaja berbuka puasa tidak semestinya memerlukan belanja yang besar, mungkin memadai dengan air dan buah tamar.

"Rasulullah adalah manusia yang paling dermawan dan sikap pemurahnya semakin bertambah pada bulan Ramadan ... melebihi angin yang berhembus." (maksud hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Amalan yang rasanya belum membudaya dalam masyarakat Islam di Malaysia, walaupun nampaknya sudah mulai meresap, iaitu iktikaf mengisi sepuluh Ramadan terakhir. Ia sunnah Nabi s.a.w. dan pada tahun kewafatannya baginda sempat beriktikaf selama 20 hari.

"Iktikaf disyariatkan dengan tujuan agar beriktikaf dan bersimpuh di hadapan Allah SWT, berkhalwat dengan-Nya, sementara memutuskan hubungan sementara dengan semua makhluk dan berkonsentrasi kepada Allah SWT," kata Imam Ibnu Qayyim.

Saya pernah mengingatkan saranan, jika mampu dan keadaan mengizinkan, agar kita mengambil cuti sepanjang 10 akhir Ramadan, iaitu menggantikannya daripada amalan berlibur semasa minggu pertama Aidilfitri.

Perlu ada kesungguhan dan rancangan sistematik, terutama di kalangan badan-badan Islam dan aktivis dakwah, termasuk negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, untuk "memeriahkan" sambutan akhir Ramadan, berbanding sambutan melampau Aidilfitri.

Di negara ini, semangat hari raya mulai membahang ketika melewati pertengahan Ramadan, sedangkan ketika itulah sepatutnya umat Islam memasuki "gear lima" untuk beribadah sekudusnya.

Bukalah stesen radio, lagu-lagu raya akan berkumandang setiap lima minit. Hebatnya pencipta lagu di negara kita, irama dan liriknya begitu mendayu-dayu dan mengusik emosi serta mengimbau kenangan lampau. Walhal, jarang kita terdengar lagu-lagu mengenai Ramadan yang berkualiti tinggi; sebahagian daripadanya pun dihasilkan oleh komposer berbakat dari negara jiran, Indonesia!

Pastinya Lailatulqadar menjadi buruan kita semua. Namun, melihat realiti praktisnya, saya tidak percaya malam seribu kurnia, yang melebihi 1000 bulan, atau 83 tahun 4 bulan itu sememangnya dicari-cari kebanyakan kita.

Nikmat Allah kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. yang pendek usia ini, seperti tidak dihiraukan. Tawaran malam kemuliaan yang turunnya begitu banyak malaikat, termasuk Jibril, dengan keberkatan merata, semacam dipandang ringan. Anda dapat melihat dan merasainya sendiri, 'kan?

Perbanyakanlah zikir, istighfar dan doa mohon keampunan. "Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, yuang menyukai maaf, kerananya berikanlah maaf kepada kami."

Ayuh, kita belum terlewat lagi untuk memburu, menghayati, menghidupkan dan menikmati minggu terakhir Ramadan ini.

Baca Seterusnya......

Rais, Abby, Zunar dan Majlis Profesor

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Saya cuba bercuti daripada menulis dan memberi tumpuan kepada rawatan bagi memulihkan serangan strok awal Julai lalu. Ramai teman turut menasihatkan agar dimanfaatkan kesempatan itu untuk mengimarahkan sepenuhnya Ramadan, yang menghampiri 10 malam terakhir -- tempoh paling berharga, yang menjanjikan seribu satu anugerah langsung dari Ilahi.

Berdepan situasi politik tanahair yang tidak pernah reda, termasuk semasa berpuasa (seorang rakan mengingatkan, Rasulullah berdepan perang besar juga di bulan Ramadan), sukar sekali "beruzlah" daripada kebingitan sekeliling yang menggemakan tuntutan melakukan perubahan. Terasa resah dan semacam perasaan bersalah menyelubungi diri. Partisipasi politik, biarkan sekadar melafazkan satu slogan atau mengungkapkan satu kalimah perlu diteruskan.

Ya, biarlah jasad dilihat lemah tidak bermaya, namun pemikiran harus terus menerawang atau sekurang-kurangnya impian dan angan-angan tidak mati terpenjara. Lama dahulu, kira-kira 20 tahun lepas, saya pernah mencadangkan agar cuti panjang hari raya ditukar kepada cuti akhir Ramadan. Walaupun tidak ramai menyahutnya, tetapi saya kira tidak sedikit yang mula memilih untuk melapangkan masa, termasuk dengan beriktikaf di masjid pada 10 Ramadan terakhir.

Seperti saya tekankan minggu lalu, peluang menonton program televisyen semasa bercuti sakit ini juga menyerlahkan propaganda berterusan Umno-BN, yang dipakejkan secara tergesa-gesa dan "kasar sekali". Menunggu siaran Buletin Utama TV3, kita dipaksa menatap "iklan tidak berbayar", yang terus memomokkan Bersih 3.0 sedangkan himpunan itu telah berlangsung lebih 100 hari lalu, tanpa sebarang implikasi negatif buat rakyat.

Semasa strategis media dan perancang kempen Perdana Menteri Najib Razak bertungkus-lumus memerah otak berusaha menarik keyakinan rakyat kepada BN, bagi memastikan bos mereka tidak mengesahkan kebenaran teori RAHMAN, melalui pelbagai taktik dengan menggunakan pelbagai kemudahan dan dana awam, satu demi satu umpan BN itu "kantoi".

Bermula dengan tema Hari Kebangsaan yang kontang nilai patriotisme -- "55 Tahun Janji Ditepati" -- disusuli dengan lagu dan lirik tema hari merdeka yang "sarat dengan propaganda murahan BN". Lebih memalukan liriknya dicipta Menteri Kebudayaan, Kesenian, Penerangan dan Komunikasi, Dr Rais Yatim, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kemerdekaan.

Setakat petang Selasa lalu, berdasarkan laman YouTube yang memuat naik lagu tema tersebut, yang meraih lebih 170,000 kunjungan, seramai 20,546 penonton klik "tidak suka" manakala hanya 297 klik "suka". Media baru, terutama laman-laman sosial menyaksikan lagu itu diperlekeh serta dijadikan bahan jenaka, khususnya oleh anak-anak muda.

Penulis lirik yang memenangi Anugerah Juara Lagu, Buddhi Hekayat menyifatkan lagu itu sebagai satu "propaganda yang kasar". Katanya, lirik "Janji sudah ditepati, kini masa balas budi" adalah seperti "meletak pisau ke leher rakyat".

Bob Lokman, yang menulis lirik lagu Isabella, dan kini kerap muncul di pentas PAS, berkata lagu tema itu "murah dari segi tulisan, tiada nilai puitis, kata-kata yang digunakan sangat murah, tiada nilai patriotik."

"Lagu patriotik perlu sesuatu yang menimbulkan semangat rakyat, bukan mengajar mereka membodek. Lagu ini membodek dan memberitahu orang yang mereka tiada pilihan. Ia kempen politik dan bukannya lagu Hari Kebangsaan," tambahnya.

Sementara Najwan Halimi, Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KeADILan mengungkapkan dengan baik sekali: "Pendengar yang bijak pasti dapat memahami bahawa lirik lagu itu secara tersirat bertujuan memerangkap minda khalayak seolah-olah Umno-BN berjaya menepati janji dan kini telah sampai masanya rakyat mengundi Umno-BN dalam PRU13 sebagai membalas budi atas janji-janji tersebut."

Beliau turut menyinggung: "Alangkah jeleknya bila mana lirik rap pada rangkap terakhir lagu itu diselit dengan istilah (Bantuan Rakyat 1Malaysia) BR1M, klinik dan kedai yang berorientasikan retorik 1Malaysia. Apa kaitan BR1M, klinik dan kedai dalam proses penyampaian mesej kemerdekaan dan semangat patriotisme kepada rakyat?"

Usaha Umno menafikan peranan pejuang kemerdekaan, terutama daripada golongan kiri dan kalangan ulamak sudah diketahui umum. Begitu juga dengan sambutan perayaan Hari Kebangsaan, terutama semasa ulangtahun ke-50, yang mendedahkan sikap rakus Umno untuk mempolitikkannya secara keterlaluan.

Rupanya ia semakin menjolok mata ketika elit parti itu rasa tambah terancam; sepertimana orang kelemasan, apa saja mahu digapai untuk menyelamatkan diri. Soalnya, belum cukupkah dengan segala insentif dan pemberian one-off, bagi membeli sokongan rakyat?

Saya pernah mengingatkan tentang "strategi makan tuan" oleh elit pemerintah di saat-saat akhir kejatuhan regim. Mereka tidak dapat membaca petanda jelas rasa kebencian massa sehingga melakukan tindakan atau pendekatan yang sebenarnya menaikkan lagi amarah orang ramai. Lihatlah apa yang dilakukan, misalnya oleh Suharto dan Hosni Mubarak, sebelum rakyat bangkit menyeret kedua-duanya turun. Segala yang dibuat serba tidak menjadi.

Penganalisis politik terkemuka, Dr Mohammad Agus Yusoff, dilihat seperti mengulas isu ini dalam akaun facebook: "Tema Merdeka tahun ini pun sama (tidak menarik). Tak ada jiwa (soul) dan kosong mesejnya. Tidak ada semangat patriotik, tidak meniupkan rasa tanggungjawab warga pada negara, dan mempunyai agenda tersembunyi yang tidak jelas. Dekat pilihan raya, sepatutnya semua kerja mesti bermula dengan langkah pertama yang betul."

Ya, Umno nampaknya banyak melakukan kesilapan, tetapi bagaimana dengan strategi Pakatan Rakyat pula?

II.

Perkembangan golongan artis mahupun personaliti dunia seni yang semakin ramai menyokong Pakatan, khususnya PAS -- malah turut sama memeriahkan pentas ceramahnya -- menarik perhatian ramai.

Saya sudah dua kali mengulas fenomena ini. Dalam beberapa hal, komen kartunis Zunar seakan-akan tidak jauh berbeda. Beliau mahu artis berkenaan bukan hanya berceramah tetapi harus terus berkarya sebagai seniman dan budayawan.

Zunar, dan sebelum itu, beberapa penggiat seni yang "condong kepada oposisi" juga menekankan agar kerajaan negeri Pakatan Rakyat dapat memberi sokongan dana dan ruang untuk berkarya. Saya kira, mereka belum berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan kerajaan Pakatan terhadap usaha memartabatkan seni budaya.

Apa pun, reaksi Abby Abadi wajar diteliti. Katanya, dunia seni yang Islamik hanya akan wujud selepas PAS mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

“Dalam situasi artis yang berhijrah (menyertai PAS) seperti saya, Zunar kena faham keadaan artis-artis yang menyertai PAS khususnya wanita. Jadi bila berhijrah ruang untuk berkarya agak terbatas, yang berlakon dan menyanyi, memerlukan filem, drama dan rancangan yang bercorak Islamik. Artis-artis seperti kami hanya akan berkarya semula dalam bidang seni apabila sudah disediakan 'padang' yang bersesuaian dengan Syariah Islam," kata Abby.

Nah, harapan cukup tinggi disandarkan oleh artis-artis yang "berhijrah" itu kepada PAS. Pastinya PAS sudah bersedia untuk menyediakan 'padang' itu, dan bagi sesetengah pihak, ia tidak semestinya perlu menunggu sehingga kerajaan persekutuan yang baru dibentuk. Justeru, pemimpin dan aktivis Parti Islam itu harus melihat dunia hiburan dan seni budaya dalam dimensi lebih menyeluruh dan tidak dikongkong oleh "perspektif lama yang kontroversi".

"Kita mesti galakkan mereka dalam dunia seni budaya, mungkin pengalaman di Iran boleh dirujuk. Walaupun dipandu dengan adab-adab Islami, seperti menutup aurat dan tidak menyentuh pasangan yang bukan muhrim, filem-filem Iran misalnya mendapat pengiktirafan dunia, termasuk daripada Barat," pandangan seorang pemimpin kanan PAS.

"Saya bimbang mereka tidak dapat bertahan di pentas ceramah, khususnya selepas PRU13 nanti," kata seorang pensyarah sains politik. "Sekarang, dengan mood politik yang ada, memang ramai audien. Benar, Pakatan mesti fikirkan ruang, sokongan dan dana untuk mengembangkan kreativiti mereka," tambahnya.

Dalam pada itu, penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 31 Julai lalu, berkaitan rampasan buku Zunar dan tangkapan yang dibuat terhadap kartunis genius itu, bagi saya, satu kemenangan moral buat karyawan di negara ini. Kerajaan diminta memulangkan balik buku-buku kartun Zunar, Cartoon-O-Phobia, yang dirampas dan membayar ganti rugi kepadanya.

Semasa menziarahi saya di Wad HUKM baru-baru ini, Zunar memaklumkan beliau tidak menuntut jumlah ganti rugi dan menyerahkannya kepada budi bicara mahkamah. Ternyata segala cabaran yang menimpanya selama ini langsung tidak membekas terhadap kreativitinya, malah makin merangsang beliau.

Buku-buku politik saya, termasuk akhbar tidak berkala yang tiada (sebenarnya, tidak perlu) permit, juga pernah dirampas, dengan jumlah naskhah yang begitu banyak, membabitkan kerugian ratusan tibu ringgit. Kesalahannya cukup kecil, sekadar tidak meletakkan alamat pencetak dalam penerbitan berkenaan.

Karya Zunar juga begitu. Buku-bukunya dirampas tanpa alasan kukuh, dia sendiri ditahan dan pengilang serta pengedarnya diugut. Isu kebebasan berkarya di Malaysia masih belum berakhir.

III.

Tentunya tidak ramai yang mengambil berat soal perbincangan Meja Bulat "PRU13: Malaysia Pilih Siapa?" anjuran Kluster Politik, Keselamatan dan Hak Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, baru-baru ini.

MPN, jika dilihat sosok tertentu yang selalu mengeluarkan kenyataan akhbar, dilihat tidak lebih daripada "pembodek" Umno-BN dan ini tentunya perkembangan yang menyedihkan dunia intelektual kita. Malah, dalam suasana amat mencabar buat pemerintah, apa saja akan dimanipulasi oleh Umno, 'kan?

Namun begitu, saya cuba melihat sedikit sisi positif yang boleh dimanfaatkan, terutama oleh aktivis Pakatan, khususnya PAS yang banyak disentuh dalam kajian itu. Saya tidak berminat dengan hasil tinjauan berkaitan sokongan meningkat kepada Najib atau keupayaan BN merampas Kedah ataupun Selangor.

Saya sekadar mengingatkan tentang kemungkinan kemerosotan sokongan pengundi Melayu terhadap PAS, di kala DAP dilihat berjaya meningkatkan sokongan Melayu terhadapnya. Sedangkan jika sokongan itu bertahan seperti 2008 pun, PAS masih sukar membantu Pakatan menguasai Putrajaya.

Undi Melayu sememangnya cukup kritikal dalam PRU13, baik kepada PAS mahupun Umno. Kerajaan seperti telah berputus asa atau patah hati untuk meraih kembali sokongan masyarakat Tionghua tetapi tidak putus-putus berusaha mendekati kelompok pengundi Melayu, dengan pelbagai tawaran dan "durian runtuh".

Masa masih ada, semboyan belum dibunyikan, tarikh PRU13 tetap jadi teka-taki, dan ramai pemerhati merasakan ruang dan peluang tetap terserlah buat PAS menjinakkan hati dan jiwa orang Melayu terhadapnya ...
Baca Seterusnya......

Rohingya, ISA dan keterbukaan Mat Sabu

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Ramadan melewati fasa 10 hari pertama. Begitu pantas masa berlalu. Bagaimana azam untuk menyempurnakan amalan-amalan wajib, juga melipatgandakan tuntutan sunat, selain bertadarus, tarawikh, sedekah, menaja berbuka puasa, berbuat baik dengan ibu bapa, famili dan umat seluruhnya?

Semoga dapat dimanfaatkan sepenuhnya tempoh keemasan penuh keberkatan. Ya, mungkin ini Ramadan terakhir kita ... Bayangkan, rakan-rakan atau saudara-mara yang bersama kita pada Ramadan tahun lalu, kini sudah pergi buat selamanya.

 

Sekembalinya saya menjalani latihan fisio dan terapi, selepas hampir seminggu di wad HUKM, mengingatkan betapa tinggi nilai kesihatan dan masa lapang. Ramai pesakit kronik, termasuk strok, merupakan orang muda. Saya perhatikan mereka begitu gigih dan tekun menjalani rawatan pemulihan, meskipun perlu memakan masa lama. Pergantungan kepada Allah begitu tinggi dalam saat-saat sukar seperti itu.

Melalui Harakah, untuk Ramadan berbaki ini, di samping lebih berdisiplin mengikuti pelan rawatan pemulihan yang ditekankan Prof Dr Zamrin Dimon, saya bertekad untuk mempromosi kerja-kerja kebajikan, khususnya membantu keluarga tahanan ISA, fakir miskin, ibu tunggal, dan mereka yang terlantar tidak berupaya.

Alhamdulillah, respons pembaca Harakah, seperti lazimnya, cukup menggalakkan. Ada rakan lama tiba-tiba menghubungi saya, selepas terusik dengan rayuan dana ISA itu, sekali gus menderma. Rupanya ramai yang tidak menyedari masih ada insan dizalimi dan dikurung tanpa bicara di Kem Tahanan Kamunting, Taiping selepas ISA diisytihar mansuh.

Meneliti penyata akuan Maybank, saya dapati begitu ramai menyumbang, daripada sekecil RM5 sehingga ribuan ringgit. Dalam hati terdetik, kita perlukan gerakan kebajikan yang lebih tersusun, sistematik dan efisyen, serta dapat dipercayai. (Sumbangan kepada keluarga mangsa yang teraniaya dan bekas tahanan ISA itu boleh disalurkan terus kepada akaun Maybank 564070000336 atas nama HARAKAHDAILY DOT COM).

Tidak dilupakan kisah tragis saudara seaqidah yang paling teruk dizalimi, iaitu minoriti Muslim Rohingya di Myanmar. Ramai di antaranya menjadi pelarian sejak sekian lama, dan sebahagiannya berada di sekeliling kita, di Malaysia tercinta ini.

Tidur saya agak terganggu mengenangkan nasib mereka. Saya kira ramai lagi resah mendengar dan menatap berita sedih itu. Rasanya, tidak banyak yang telah kita lakukan untuk membantu mereka, dan ini amat menyedihkan.

Kita seperti begitu tidak berupaya, cukup daif dan sekadar menunggu takdir, apatah lagi dengan sekatan tertentu daripada regim junta Burma, yang memisahkan minoriti Muslim itu daripada masyarakat antarabangsa. Sekurang-kurangnya untuk masa terdekat, sokongan dana kewangan dan bekalan makanan amat diperlukan; dan kita tentu saja boleh meringankan bebanan mereka.

Petang Jumaat lalu, selepas mendapat rawatan alternatif daripada Ustaz Kamal Ashaari, yang juga berpengalaman diserang strok, saya tiba-tiba menyedari, Harakah juga tidak mengambil sikap proaktif dalam menyalurkan bantuan kepada Rohingya.

Dan ini tentu sahaja memalukan diri saya sendiri, yang sekian lama cuba berusaha membantu golongan teraniaya di negara ini, yang nasib mereka lebih beruntung daripada Muslim Rohingya.

Agak gelisah saya mencari idea, terutama dalam keadaan tubuh yang mudah penat. Segera saya teringat sosok personaliti NGO yang tidak pernah kenal lelah, Cikgu Mohd Azmi Abdul Hamid. Difahamkan Presiden Teras itu pun "bukannya sihat sangat", tetapi ia langsung tidak membataskan aktiviti kemasyarakatannya.

Saya mengirim SMS memaklumkan hasrat Harakah untuk lebih berperanan dalam isu Rohingya ini, terutama dari segi menyalurkan bantuan kewangan. Cikgu Azmi mencadangkan tabung khas dibentuk Harakah, tetapi bagi saya, kami sudah banyak menubuhkan dana khas seumpama itu. Lebih baik yang sedia ada di bawah kawalan beliau sendiri.

Cikgu Azmi bersetuju dan minta diiklankan Tabung Mustadhafin Rohingya, atas nama akaun Sekretariat Himpuna Ulama Rantau Asia (SHURA), BIMB 12047010037282. Ia anjuran Majlis Perundingan Prtubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan SHURA. Dia memberi nama-nama untuk dihubungi, Ahmad Tarmizi 0175606131, Salman Siddiqy 0134013342

Insya-Allah, tabung itu akan Harakah uar-uarkan secara lebih meluas bagi menggembleng sokongan berterusan umat Islam Malaysia. Saya menyeru pembaca agar dapat menyumbang, terutama semasa bulan Ramadan ini. Moga-moga ia dapat meringankan sedikit keperitan yang ditanggung generasi demi generasi itu.

Desakan, tekanan dan lobi juga perlu diteruskan, termasuk terhadap kerajaan negara ini, dalam usaha mencari penyelesaian yang tuntas ke atas krisis kemanusiaan yang semakin parah itu. Dunia yang nampak bisu itu mesti digerakkan. Info perlu disalurkan, kempen kesedaran wajar dimulakan secara lebih terancang dan menyeluruh. II.

Dalam perkembangan lain, saya tertarik dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam forum "ISA: Penyeksaan yang sempurna", anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), minggu lalu.

Bukan soal pengalaman penalis, termasuk Mat Sabu dan Hishamuddin Rais, mengenai penyeksaan semasa dikurung tanpa bicara. Kisah dan cerita sedih seumpama itu bukan rahsia lagi.

Saya lebih teruja dengan pendirian Mat Sabu mengenai peranan penting badan bukan kerajaan (NGO), termasuk sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam PRU13 nanti. Satu pandangan terbuka yang meraikan penyertaan politik lebih menyeluruh daripada masyarakat sivil.

Beliau mahu NGO, seperti GMI, terus bersikap kritikal terhadap pemerintah dan bekerja kuat untuk membangkitkan kesedaran rakyat terhadap hak mereka. Mereka harus terus menjadi kumpulan pendesak untuk mengkritik dasar kerajaan, termasuk Pakatan Rakyat, jika ia meneruskan dasar yang zalim dan penyelewengan seperti kerajaan BN.

Tambah Mat Sabu, jika keberanian itu tidak ditonjolkan, beliau bimbang, kerajaan yang mengambil alih, iaitu Pakatan, "akan mencari jalan memperkenalkan undang-undang malah kadang kala lebih teruk daripada kerajaan yang diambil alih" demi mempertahankan kuasa mereka.

"Bila orang dapat kuasa, amat susah kuasa itu digugat. Sebab itu kumpulan memperjuang hak asasi perlu terus hidup dan kuat, walaupun sesiapa sahaja memerintah. Sebab, senang kita cakap apabila dapat kuasa. Bila dapat kuasa, sudah mula kita ugut orang. Aku bongkar ini, aku dakwa (kau) bawah OSA (Akta Rahsia Rasmi), sedangkan kita nak hapuskan OSA itu.

"Penyakit orang berkuasa, dia (buat apa sahaja) nak kekalkan kuasa... Dalam sejarah pemerintah nak serah kuasa memang susah nak berlaku," katanya, seperti dilaporkan Malaysiakini.

Sememangnya kuasa perlu dibataskan dan dihadkan. Seseorang individu atau mana-mana kumpulan yang berkuasa mutlak, walaupun awalnya nampak baik dan menguasai kerajaan melalui sokongan orang ramai (demokrasi) dengan menjatuhkan sang diktatotor, ia boleh bertindak zalim dan lupa diri jika kuasanya tidak dihadkan atau diimbangi.

Ungkapan popular yang selalu kita dengar ialah kenyataan Lord Acton, pakar perundangan England, iaitu "power tendes to corrupts and absolute power corrupts absolutly", atau "kuasa itu cenderung disalahgunakan, dan kuasa yang mutlak itu lebih dahsyat penyalahgunaannya."

Justeru, peranan NGO atau kumpulan pendesak atau dalam pengertian lebih menyeluruh, masyarakat sivil, amat perlu disuburkan. Setiap pemerintah tidak perlu gundah-gulana dengan penyertaan politik proaktif oleh kumpulan-kumpulan berkepentingan itu.

Mereka harus didampingi dan bukannya dimusuhi, meskipun suara kumpulan berkenaan begitu lantang, vokal dan mungkin mendedahkan kelemahan dan membongkar kesilapan pemerintah. Pastinya NGO yang bebas daripada kawalan pemerintah ini harus dibiar bertindak sebagai watchdog terhadap dasar-dasar dan program kerajaan.

NGO seumpama itu sebenarnya berperanan untuk menyuburkan demokrasi dan mampu menjaga kepentingan rakyat terbanyak, yang mengatasi atau melangkaui kepentingan politik yang sempit. Untuk mengharapkan fungsi "semak dan imbang" dalam parti pemerintah sendiri, tentulah cukup sukar. Cabaran daripada parti lawan pula sering ditafsirkan sebagai "bermotif politik"dfan mahu merebut kuasa.

Saya kira tafsiran yang diberikan terhadap masyarakat sivil ini agak menarik untuk diteliti: "Masyarakat sivil adalah satu set institusi bukan kerajaan yang punya kekuatan untuk mengimbangi kuasa kerajan, menghalang pemerintah daripada bertindak bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan. Masyarakat sivil juga bertindak sebagai pengawal keamanan dan penjaga kepentingan umum. Masyarakat sivil juga merupakan sebuah institusi yang mampu menghalang pemerintah daripada mendominasi dan memanipulasi masyarakat terbanyak."

Keterbukaan Mat Sabu itu menandakan satu bentuk politik baru yang cuba diperkenalkan Pakatan Rakyat, yang wajar dialu-alukan. Ramai yang menantikan bagaimana konsep itu dapat dilaksanakan nanti jika rakyat benar-benar mahukan satu kerajaan baru terbentuk selepas PRU13 nanti.

Baca Seterusnya......

Filem P Ramlee, iklan Lisa Surihani dan konsesi Syabas

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Saya masih bercuti sakit. Di samping berazam untuk mengimarah Ramadan penuh keberkatan setulusnya, masa terluang cuba dimanfaatkan dengan menelaah buku dan kitab yang jarang dapat "dikunyah" semasa terikat dengan tugasan pejabat.

Meskipun sebahagian karya-karya besar itu sering diulang, apatah lagi tafsir al-Quran, kenikmatannya makin berganda. Alhamdulillah, dari jauh, ada juga rakan yang bukan hanya turut mengingatkan agar tadarus al-Quran jangan ditinggalkan, malah seperti mahu "berlumba" berapa kali dapat khatam sepanjang bulan puasa ini. 

Lama berada di rumah juga memungkinkan saya untuk menonton dan meneliti pelbagai siaran serta program televisyen. Saya terkesan dengan begitu banyak iklan mengenai propaganda BN, termasuk berkaitan "Bersih yang kotor", yang diulangsiar di waktu puncak, tidak terkecuali dalam siaran berita jam lapan malam. (Tidak pasti sama dakyah itu akan dihentikan selepas mahkamah mengisytihar Bersih sebuah pertubuhan yang sah).

Iklan kempen Janji Ditepati BN, dengan pelbagai "pengisian menarik", merangkumi kemajmukan sasaran pengundi termasuk di Sabah dan Sarawak, mendapat tempat pada slot utama. Bekas Ketua Pegawai Eksekutif TV3, yang mahir dalam "penjenamaan", dipinjamkan ke Pejabat Perdana Menteri, khususnya untuk melancarkan propaganda tersebut, bukan sahaja melalui TV tetapi juga jelajah ke seluruh negara. Ya, dari segi propaganda murahan, TV3 sama saja dengan RTM!

Di bawah pentadbiran Najib Razak, begitu ramai penasihat media yang dikumpul (dan cukup banyak dana awam yang dihanguskan) untuk membantu Umno-BN melancarkan kempen awal dan perang saraf menghadapi "ibu segala pilihan raya" ini. Saya pasti tenaga pakar dari luar negara turut diupah bagi menjalankan misi yang sama. Wang tidak pernah menjadi masalah untuk dibazirkan elit penguasa asalkan matlamat tercapai.

Sudah pasti airtime yang mempromosi "kempen pilihan raya", yang dipakej secara profesional itu, tidak dibayar pun oleh BN. Malah elit Umno akan menafikan sekeras-kerasnya tanggapan bahawa slot TV dieksploitasi dengan licik untuk kepentingan politik mereka. (Selama ini, setiap kali menjelang pilihan raya, BN membolot segenap ruang untuk mempromosi dirinya dan mengecam pihak lawan. Iklan berbayar oposisi juga tidak akan dilayan).

Pemimpin Umno akan mempertahankan kempen itu adalah untuk mempromosi dasar dan program kerajaan membantu rakyat jelata. Walhal, lama sebelum Parlimen dibubarkan, Umno secara terangan menggunakan wang pembayar cukai untuk berkempen secara halus, selain menutup ruang dan peluang untuk saingannya, Pakatan Rakyat bersemuka secara mudah dan cepat dengan pengundi.

Selain kempen "Janji Ditepati", mutakhir ini, saya perhatikan satu lagi iklan BN "yang tersembunyi tetapi jelas dan sarat motif politiknya", yang menampilkan agak ramai personaliti popular, antaranya seperti penyanyi Siti Nurhaliza, pelakon Lisa Surihani, pengulas sukan Hasbullah Awang, Angkasawan Negara Dr Faiz Khaleed, peserta MasterChef Selibriti Malaysia Soo Winci, penyanyi Aizat dan Reshmonu (dan yang paling ditonjolkan ialah Dr Mahathir Mohamad, muncul di awal dan penutup iklan) dengan tagline "saya pilih perpaduan, saya pilih keamanan, saya pilih kestabilan, ... saya pilih mengundi, saya pilih Malaysia".

Frasa "perpaduan, kestabilan" dan seumpamanya sering tidak dapat dipisahkan daripada slogan lapuk BN bagi mempengaruhi pengundi agar terus menyokong gabungan parti itu. Walaupun masih belum jelas motif iklan itu, namun saya percaya akhirnya ia akan menjurus kepada kepentingan sempit BN. Belanjanya juga tentulah besar. Selain disiarkan TV pada waktu puncak, ia turut muncul dalam semua akhbar harian. Warna temanya adalah biru dan putih. Ya, sudah tentu itulah juga paparan lambang BN.

Sewaktu kerajaan cuba mempamerkan imej lebih terbuka, dengan cadangan untuk membenarkan setiap parti mengemukakan manifesto melalui televisyen ketika kempen PRU13 nanti, wajah hodoh BN tidak dapat diselindung. Mereka mahu membolot segalanya demi survival kuasa.

(Petang Jumaat lalu, bekas Menteri Penerangan, Abd Kadir Sheikh Fadzir menelefon saya, berkaitan kenyataannya yang membidas tema perayaan hari merdeka, 55 Tahun Janji Ditepati, yang disifatkannya sebagai kempen pilihan raya BN: "Ia begitu terang dan terbuka tanpa sorok-sorok.

Ia tidak peduli sama sekali dengan perasaan pihak rakyat keseluruhannya. Ia seakan-akan perayaan kemerdekaan juga telah menjadi hak BN." Sempat beliau mengusik saya: "Elok waktu rehat selepas kena strok ini, jangan tengok RTM1 atau TV3, lagi stress, lebih baik tengok filem komedi P Ramlee, seperti koleksi Labu Labi atau Bujang Lapok!")

Dalam Buletin TV3 malam 24 Julai, begitu ketara sekali Koordinator BN Selangor, yang juga Setiausaha Perhubungan Umno Negeri, Mohd Zin Mohamed, dnegan baju biru berlambangkan BN, mengagihkan kotak berisi kurma kepada penumpang di stesen komuter Shah Alam. Zin merupakan Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), yang menimbulkan kontroversi apabila stesen dan gerabak sistem keretapi komuter di Lembah Klang memasang iklan "Sayangi Selangor".

Laporan Malaysiakini sebelum ini menyebut, kempen "Sayangi Selangor" itu antara lainnya melibatkan iklan yang mempromosikan Perdana Menteri Najib Razak dengan slogan "Kami mendengar masalah anda tentang kos sara hidup." Iklan berkenaan mula dikesan pada bulan ini selepas kempen memasang bendera BN di stesen komuter mencetuskan kontroversi pada April lalu.

Segera saya teringat, laporan berita TV yang saya tonton tidak lama dahulu, yang memaparkan Zin, juga dengan simbol-simbol BN, dalam satu majlis di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, menyerahkan pendahuluan bayaran PTPTN kepada mahasiswa anak Selangor. Ya, segalanya diperalatkan untuk berkempen merebut kembali Selangor daripada Pakatan!

Nampak sangat Umno cukup terdesak untuk merampas negeri termaju ini. Parti itu rela terlepas beberapa negeri lain, asalkan dapat menawan semula Selangor. Di bawah teraju Najib sendiri, rancangan rapi diatur, termasuk memperalatkan sepenuhnya isu air, melalui syarikat yang dikuasai kroninya, Syabas.

Manipulasi senarai daftar pemilih "yang cukup meragukan" di Selangor rupanya tidak memadai. Persepsi rakyat mahu dikelirukan, bagi menggambarkan segalanya kelam-kabut dan tidak terurus di Selangor.

Secara peribadi, sepuluh tahun dahulu, saya pernah membangkitkan dan melaporkan isu salahguna kuasa dan korupsi berkaitan projek membekal dan memasang paip air di Selangor kepada Badan Pencegah Rasuah (sekarang SPRM).

Projek sejauh 37km, dari Empangan Semenyih ke Banting itu bernilai hampir RM83 juta. Melalui seorang kontraktor berpengalaman, yang mendedahkan hal berkenaan kepada saya, kos tersebut cukup tinggi, dan dakwanya, ia meningkat dua kali ganda daripada harga sepatutnya. Masakan ia berlaku begitu sahaja tanpa elemen rasuah yang cukup popular dengan imej Menteri Besar Selangor ketika itu.

Saya tidak begitu mengikuti perjalanan "krisis air" yang sengaja dicipta Syabas dan didalangi Umno mutakhir ini, namun ia sudah cukup untuk mengambarkan bagaimana suku-sakat Umno akan menggunakan peluang atas nama projek kemudahan rakyat bagi memperkayakan diri dan kerabat.

Kekayaan Selangor adalah lubuk mewah buat elit parti itu mengagih-agihkan khazanah negeri sesama sendiri. Saya yakin, riuh-rendah isu Loji Langat 2 juga tidak terlepas daripada pertimbangan sama, antaranya sebagai saluran dana politik BN. Rakyat juga akan dibebankan dengan kenaikan tarif air nanti.

Sebenarnya penswastaan industri air Selangor bermula dengan langkah yang salah. Tony Pua pernah menulis, pada tahun 1980-an, Jabatan Bekalan Air Selangor (JBAS) merupakan entiti kerajaan yang menjana keuntungan antara RM50 juta dan RM80 juta. Pada 1997, keputusan dibuat untuk menswastakannya dengan tujuan "meningkatkan kecekapan"; tetapi hanya segmen yang untung dalam kegiatan industri air, iaitu khidmat rawatan air, yang diswastakan.

Begitulah selalunya, sektor yang untung diswastakan dan membiarkan kerugian ditanggung kerajaan. Di Selangor, konsesi diberikan kepada syarikat swasta yang mempunyai kaitan politik yang baik meskipun tanpa kemahiran dan pengalaman dalam industri air, juga tidak memiliki dana ekuiti untuk menjalankan perniagaan. Hasilnya penduduk Lembah Klang terpaksa membayar harga tinggi untuk khidmat berkualiti rendah.

Di samping itu, kos pengurusan tertingginya juga begitu lumayan, terutama elaun Pengerusi Eksekutifnya, Rozali Ismail, sebanyak RM5.7 juta setahun, menurut laporan tahunan syarikat itu empat tahun lalu. (Mungkin elaun itu semakin meningkat dari tahun ke tahun?)

Bayangkan Rozali senang-lenang menikmati gaya hidup supermewah sedangkan Syabas gagal melaksanakan tugasnya, seperti terserlah apabila Selangor mempunyai kadar air tak berhasil (NRW) paling tinggi di Malaysia.

Menurut Tony Pua, Rozali adalah antara 10 pengarah yang mendapat bayaran tertinggi di Malaysia. Ini berlaku kerana operasi beliau dalam persekitaran yang ditetapkan dengan risiko minimum serta pasaran yang berdepan persaingan minimum. Merujuk Malaysia Business, Rozali merupakan orang ke-33 terkaya di Malaysia, selepas berjaya mendapatkan penswastaan air di Selangor.

Tidak cukup dengan itu, Syabas telah melanggar banyak kontrak dalam perjanjian konsesinya, tanpa dikenakan hukuman. Ini termasuk lebih daripada 72 peratus kontrak bernilai RM600 juta diberikan kepada syarikat yang dipilih secara runding terus, yang jelas melanggar konsensi. Mungkin aduan SPRM yang pernah saya buat dulu boleh dikategorikan dalam skop ini.

Syabas juga melanggar konsesi dengan mengimport paip dari Indonesia bernilai RM375 juta dan tidak menggunakan pembekal tempatan; begitu juga belanja RM51.2 juta ubah-suai pejabat Syabas berbanding kelulusan RM23.2 juta pada 2005.

Sepatutnya perjanjian konsesi itu boleh dibatalkan, berdasarkan perlanggaran ketara yang ditemukan oleh Jabatan Audit Negara sejak November 2008 lagi. Soalnya mengapa hanya pemegang konsesi yang diutamakan sedangkan rakyat terus menanggung kerugian?

Segalanya atas motif keuntungan yang mahu dikaut melalui korni dan kepentingan-dendam politik untuk menawan Selangor! Saya amat bersetuju dengan rumusan Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli bahawa Syabas berusaha untuk mencipta satu krisis air dalam tindakan terdesak untuk membantu Umno merampas semula Selangor dalam PRU13.

Kenyataan Menteri Besar, Abd Khalid Ibrahim tentunya lebih meyakinkan: "Kerajaan Selangor konsisten dengan pendirian bahawa isu air ini boleh diselesaikan secara holistik sekiranya kerajaan negeri mengambilalih industri air daripada syarikat-syarikat konsesi yang akan menawarkan pembekalan air yang lebih cekap pada harga munasabah."

Saya kira, akhirnya, seperti juga banyak isu-isu yang sengaja dicipta tukang strategis Umno lainnya, "krisis air" ini akan menikam balik BN dan menyebabkan Najib berputih mata lagi ...

Baca Seterusnya......

Pengalaman strok kedua dan PRU13

oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Catatan pendek ini mulanya saya usahakan ketika dalam Wad 5J, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), pada petang 15 Julai, dengan tulisan tangan, disebabkan jari-jari kiri saya masih tidak dapat mengetuk papan kekunci komputer. Meskipun cetusan idea terus terpancar, namun kelemahan fizikal, terutama di bahagian kiri badan, tetap menganggu kelancaran menulis.

Serangan kedua strok, Ahad 8 Julai, yang disedari ketika saya dan Wartawan Kanan Harakah, Wan Nordin Wan Yaacob, singgah di kawasan R&R, Pagoh, dalam perjalanan balik dari Pasir Gudang ke Kuala Lumpur, menyebabkan kolum ini tidak dapat diisi selama tiga keluaran -- sesuatu yang cukup mendukacitakan saya. Justeru, saya berazam, walaupun masih bercuti panjang, tulisan ini harus disiapkan juga.

Situasi akar umbi


Hasrat saya untuk turun meninjau sendiri situasi terkini politik dan mood akar umbi menjelang PRU13, terhenti di Johor. (Niat melengkapkan pusingan pertama menjelajah seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak sebelum Ramadan, hampir tercapai, kecuali Kelantan dan Perlis).

Johor yang dahulunya dikenali kubu kuat Umno, malah dianggap "simpanan tetap BN", kini menjadi tumpuan dan perhatian penganalisis politik. Ramai menjangkakan kejutan bakal berlaku di selatan tanahair itu. Jika pada 2004, PAS mendapat kerusi Dun secara percuma di Senggarang, tetapi dalam PRU12, ia menang di Sungai Abong dan Maharani; ketiga-tiga Adun itu (Dr Mohd Ramli Kari, Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh dan Dr Mohammad Taslim) merupakan doktor perubatan.   

Secara peribadi, saya melihat keunikan politik Johor (dan di sinilah terselit harapan besar)  juga terletak kepada komposisi pengundi dalam 56 kerusi Dunnya. Daripada statistik 2008, ia mempunyai kawasan pengundi campuran yang tinggi, dengan 46 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan adalah kawasana yang tidak mepunyai majoriti sesuatu kaum ataupun sesuatu kaum hanya mendominasi antara 50-60 peratus jumlah pengundi. Sila rujuk buku Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-12: Isu dan Pola Pengundian, di bawah bab "PRU12 di Johor: Perubahan atau Protes", hasil kajian sekumpulan ahli akademik Jabatan Sejarah Universiti Malaya.

Persamaan Selangor dan Johor


Seorang rakan memberitahu, Johor mempunyai banyak persamaan dengan Selangor, terutama dari segi komposisi kemajmukan penduduk, kemajuan negeri dan juga termasuk keistimewaan pengundi Melayu yang terdiri daripada suku kaum Jawa dan sebagainya. "Kalau Selangor mencipta kejutan pada 2008, tidak mustahil boleh Johor mengulanginya dalam PRU13," katanya penuh harapan.

Saya sukar menelan bulat-bulat andaian Pakatan Rakyat mampu memberi kejutan sebelum cuba merasai sendiri debaran di medan, walaupun laporan mengenai aktiviti dan program  politik di sana begitu menggalakkan. Masakan Umno rela berputih mata di "tempat tumpah darahnya" sendiri?

Lagipun kekalahan BN di Johor memberi impak cukup besar, khususnya daripada segi psikologi aktivis Umno di seluruh negara. Runtuh Umno di Johor, maka berakhirlah hikayat panjang parti yang dilihat telah mengkhianati amanah kepemimpinan dan kepercayaan orang Melayu sejak merdeka itu.

Agak menarik apabila dua himpunan Hijau PAS di Johor, walaupun diadakan selang seminggu, masih mendapat sambutan menggalakkan. Lebih membanggakan, menurut pemerhati, majoriti hadirinnya adalah masyarakat setempat, bukannya penyokong tegar PAS dari jauh. "Saya melihat mudah aja, jika ramai yang datang dengan motor, berbanding kereta, maka kita boleh kitakan, yang hadir itu kebanyakannya orang tempatan," kata seorang aktivis parti di Kulai.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, jika dilihat kekerapannya turun Johor, seperti sedang memberikan perhatian istimewa selepas kongres tahunan KeADILan 2012 diadakan di negeri itu. Sejumlah 26 kerusi Parlimen yang ditawarkan Johor begitu penting dalam menjayakan misi penguasaan Putrajaya. Buat masa ini BN membolot 25 kerusi; hanya kerusi Parlimen Bakri dimenangi calon DAP, Er Teck Hwa, dengan majoriti 722 undi.

Kepulangan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ke negeri kelahirannya, selepas dua penggal menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan, bagi membantu Pesuruhjaya Negeri, Dr Mahfodz Mohamed, menyuntik semangat luar biasa penggerak parti, khususnya di peringkat bawahan.

Harapan dan impian

Sekurang-kurangnya mereka merasakan harapan dan impian  boleh digapai jika kombinasi prasyarat kemenangan dapat  dipenuhi. Sesungguhnya keyakinan amat penting buat aktivis pilihan raya berdepan situasi sukar, tetapi penuh harapan itu.

Dan sememangnya Johor selama ini popular dengan "kolam pemimpin muda" berkebolehan, yang cukup berdedikasi, energetik, berfikiran terbuka, dan lebih penting lagi bersedia dengan idea-idea baru yang praktikal, bagi memecahkan tembok penghadang di antara PAS dengan golongan massa. Sesungguhnya tidak mudah untuk PAS mula bertapak kukuh di negeri ini dan sudah tentu cabarannya selepas ini berdepan liku-liku sukar.

Malam Ahad itu, saya dan Wan Nordin singgah dan bermalam di Kulai, ditemani wartawan Harakah Johor, Salman Hussin. Kami sempat mengikuti Bicara Selebriti membabitkan beberapa personaliti terkenal anak seni, seperti Aishah, Bob Lokman dan Mel bekas vokalis Wings, selain pejuang peneroka dan generasi kedua Felda, Mazlan Aliman, di Felda Taib Andak.

Sengaja saya memilih lokasi agak belakang, sedikit tersorok, sambil menyandar pada sebuah kereta di tepi jalan (sebenarnya saya berdiri hampir dua jam, dengan bertongkat, tempoh paling lama sejak diserang strok kali pertama pada pertengahan tahun 2010!), cuba untuk mendengar reaksi langsung anak-anak muda terhadap program tersebut. Sebahagiannya melihat dan memandang telinga dari jauh,  di atas motosikal masing-masing.

Saya perhatikan ramai di antaranya, termasuk remaja perempuan, yang teruja dengan bentuk persembahan Bicara Selebriti, yang dianggap satu kelainan. Bob Lokman memang bijak berperanan sebagai moderator, sambil menyelitkan nasihat agama, disulami humor bermakna dan  menjentik kesedaran politik audien melalui persoalan kepada Mazlan, di sekitar isu semasa Felda, terutama berkaitan penyenaraian FGVH, dengan pendekatan mudah dan menyenangkan.

Kisah "penghijrahan" Aishah mungkin sudah ratusan kali diulangnya namun ia tetap menarik dan mengusik emosi, apatah lagi untuk warga Felda Taib Andak yang baru pertama kali menariknya. Namun, nyanyian Mel lebih memukau walaupun dengan sokongan "PA system" bertaraf  amatur.

Aishah tak boleh nyanyi?

"Aishah tak boleh menyanyi ke? Lagu nasyid pun jadilah, takkan tak boleh kot?" Saya terdengar bisik seorang pendengar wanita, agaknya dalam usia 20-an kepada teman sebayanya. Beberapa minit kemudian, seorang kawannya, lelaki, datang menyapa.

Beliau menyebut nama Mazlan yang sedang berucap ketika itu sambil memperkenalkan later belakang Presiden Anak kepada dua wanita berkenaan. Sepintas lalu, lelaki itu menyebut jasa-jasa Mazlan kepada peneroka Felda. Dalam hati saya terdetik, "hebat sekali, penjelasan spontan di tepi jalan dalam majlis santai ini, cukup mengesankan, terutama untuk khalayak yang baru."

Maaf, saya terpaksa menangguhkan dahulu catatan ini atas keuzuran. Saya tidak mahu subjek yang begitu besar dan penting, tentang politik sebuah negeri yang begitu menarik, akan menjadi hambar apabila idea lebih pantas mencurah daripada tulisan tangan yang semakin tidak bermaya ini.

Meneliti pola pengundian pada 2008, saya kira tsunami politik belum membadai bumi Johor, bukan sahaja dari kalangan pengundi Melayu, malah orang Cina sendiri. Masyarakat Tionghua yang kelihatan teragak-agak pada PRU12, kali ini dijangka memberi undi sepenuhnya kepada Pakatan Rakyat.

Malah, jika sebahagian pengundi Melayu, khususnya generasi muda termasuk di Felda, golongan terpelajar, kelas menengah, dan tidak terkecuali kelompok di kampung-kampung tradisi, beralih menyokong Pakatan, atau menunjukkan protes terbuka kepada Umno, maka sejarah baru politik Malaysia benar-benar akan terukir nanti.

Saya ingin menutupnya dengan memetik rumusan analisis buku Pilihan Raya Umum Ke-12: Isu dan Pola Pengundian, iaitu, "Peningkatan kawasan campuran akan menjadikan pola, bahasa, reka bentuk semulajadi politik di Malaysia terutamanya di Johor akan berubah ..."

Saya cuba memberikan analisis lanjut seterusnya nanti, insya-Allah. Selamat berpuasa dan mengimarahkan Ramadan. (Jutaan terima kasih dan penghargaan kepada warga kerja Wad 5J, HUKM, terutama Prof Dr Zamrin Dimon).

Baca Seterusnya......

Bahaya Jika Tak Tukar Kerajaan Pusat Dalam PRU 13

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Apabila kekuatan kerajaan dan pembangkang nampak seimbang, misalnya dengan penguasaan bilangan kerusi Parlimen yang hampir sama, juga penguasaan undi popular yang tidak jauh berbeda, saya kira ia merupakan perkembangan yang positif dalam sistem demokrasi.

Suara lantang oposisi, biarpun dilihat hanya bermotif untuk mencari kesalahan dan menonjolkan kelemahan seteru politiknya, juga bagi merebut tampuk kekuasaan, namun daripada perspektif holistik, ia tetap menyumbang kebaikan buat rakyat seluruhnya. 

Justeru, bagi saya, tidak perlulah kita mempersoalkan apakah sesuatu kritikan atau teguran terhadap pemerintah itu ikhlas atau tidak? Pedulikan sama ada ia sarat dengan motif politik atau "ada udang di sebalik politik".

Yang penting, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat -- hasil persaingan sengit antara kerajaan dan pembangkang -- dapat ditingkatkan mutu dan kualitinya. Dengan itu, kepentingan rakyat akan lebih terjaga dan terbela. Golongan terpinggir, seperti ibu tunggal, pesakit kronik, keluarga miskin dan anak yatim merasa disantuni dan dimartabatkan.

Masing-masing pihak, yang ghairah mencari sokongan dan meraih undi tentu akan berusaha berlipat kali ganda, untuk mempamerkan imej lebih positif, prorakyat dan berketrampilan, terutama dari segi keprihatinan dan kepedulian yang tinggi kepada setiap masalah rakyat.


Mereka bukan hanya berlumba-lumba untuk ringan tulang, turun padang menjenguk setiap penjuru kampung dan lokasi terpencil, malah di peringkat tertinggi, akan berusaha menawarkan pilihan lebih baik, dalam bentuk falsafah, dasar, polisi, pendekatan dan rancangan baru serta pelaksanaan dan sistem penyampaian yang cekap, efisyen dan sifar rasuah.

Agak kerap saya menekankan bahawa rakyat Malaysia yang menetap di wilayah yang mempunyai "dua kerajaan", yang mana parti memerintah di peringkat kerajaan pusat berbeda dengan kerajaan negeri, seperti Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang (Perak, Terengganu dan Sabah juga pernah mengalaminya), sebenarnya lebih beruntung.

Justeru, idea "pembangkang sifar", seperti pernah diuar-uarkan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, sebenarnya bertujuan membunuh semangat demokrasi. Malahan, menang tanpa majoriti dua pertiga, seperti dialami BN di Parlimen sekarang, tidak perlu dikhuatiri pun. Ya, persetankan keselesaan elit penguasa; selama ini pun majoriti besar di Dewan Rakyat dan Dun hanya dieksploitasi untuk menindas rakyat, membolot khazanah kekayaan negara dan merompak wang pembayar cukai. Perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara turut menjadi lebih menarik dan mendebarkan.

Lihat saja situasi politik pasca PRU13. Demi rakyat, pelbagai pembaharuan, khususnya dalam bentuk skim kebajikan, terpaksa dilancarkan. Masing-masing mempunyai inovasi yang tinggi, walaupun sebahagiannya meniru atau mengadaptasi apa yang telah dilakukan oleh pihak lawan. Biarkanlah.

Misalnya, perubahan yang bermula di Kelantan, seperti lima hari bekerja, penambahan cuti bersalin, akhirnya dituruti kerajaan pusat. Begitu juga dengan pembaharuan terkini di negeri-negeri Pakatan Rakyat, contohnya pakej bantuan kepada ibu tunggal, golongan pelajar, keluarga daif, khairat kematian dan lain-lain lagi.

Apakah kita mengira pelbagai insentif one-off yang diusahakan Perdana Menteri Najib Razak akan muncul sendiri, sekiranya BN masih dalam zon selesa? Jangan harap akan muncul sederetan bantuan atas nama 1Malaysia. Persaingan juga memaksa wakil-wakil rakyat menyinsing lengan, mendekati pengundi, memeriahkan pejabat pusat khidmat dan menghulur sumbangan tanpa diminta.

Belum terlalu jauh untuk kita mengingati karenah Adun atau Ahli Parlimen BN yang menang mudah dalam setiap kali pilihan raya sebelum, dan memilih untuk memenuhkan tembolok sendiri, memperkaya diri dan kroni terlebih. Rakyat hanya dicari lima tahun sekali. Partisipasi atau penyertaan politik massa terlalu minimum. Semoga situasi jelik itu akan berkubur selamanya.

Apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, PDRM atau Jabatan Peguam Negara masih kuat dicengkam kepentingan pemerintah, dan sering bertindak mengikut paluan gendang Umno-BN, maka penduduk negeri Pakatan boleh berpuas hati jika tiada pemimpin mereka yang didakwa. Mereka sememangnya mempunyai pemimpin yang bersih jika tiada yang diheret ke muka pengadilan. BN yang menguasai agensi strategik kerajaan itu pasti tidak menunggu masa yang lama untuk mendera seteru politiknya jika ada kesempatan atau peluang.

Bukankah kita dapat saksikan, jika laporan polis dibuat terhadap tokoh yang tidak disenangi elit pemerintah, maka secepat kilat kertas siasatan dibuka dan seterusnya tanpa menunggu masa lama, dihadapkan ke mahkamah, walaupun dalam kes "pentafsiran sejarah" seperti dialami Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu?

Akhbar-akhbar harian pula akan memanipulasi sepenuhnya ruang bagi menyerang parti atau sosok oposisi walaupun berpunca dari sumber yang langsung tidak boleh dipercaya, seperti blog pencacai BN asalkan menguntungkan taukeh politik mereka.

Apakah anda jangkakan pihak berkuasa berdiam diri jika ada bukti pemimpin Pakatan, terutama yang menguasai kerajaan negeri, telah melanggar undang-undang, seperti salah guna kuasa, rasuah, pecah amanah dan pelbagai kesalahan lain?

Namun begitu, dalam suasana "semak dan imbang" nampak terlaksana, dengan kekuatan pembangkang dan kerajaan yang hampir seimbang, amalan korupsi masih belum berjaya dibanteras sepenuhnya. Lebih menyedihkan, gejala buruk itu -- yang menghakis hak rakyat untuk menikmati khazanah kekayaan negara secara lebih merata -- seperti kian berleluasa, mungkin dalam bentuk yang lebih sofistikated.

Kos sara hidup terus meningkat sedangkan pendapatan di takuk lama. Sesekali menemani isteri ke pasar, saya terkejut melihat harga keperluan dapur mencanak naik. Pernah kami meninjau Kedai Ikan IMalaysia di Setiawangsa, ikan kecil yang sudah pecah perut, dijual hampir RM15 sekilo! Terkini, pengiraan bil elektrik pun menjadi isu ...

Dari segi skandal kewangan, sebut saja kes-kes seperti lembu NFC, penganugerahan tender kepada kerabat menteri, sehinggalah yang terbaru, kerja pembinaan tambahan LRT Ampang dan juga isu kenaikan saman trafik kepada RM300 hingga RM2,000, melalui Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).


Cukup memalukan apabila rakyat yang sudah sengsara dan sebahagiannya tidak dapat membawa pulang baki gaji bulanan secukupnya selepas ditolak hutang, makin diperah keringatnya. Hinggakan kesalahan jalan raya dijadikan pancing untuk terus "merompak" wang rakyat.

(Rakan saya memaklumkan ramai anggota tentera pangkat rendah, yang sering berkunjung ke pejabat koperasi, berdekatan Harakah, tidak mempunyai baki gaji bulanan seadanya untuk dibawa pulang ke rumah).


Program transformasi Najib hanya helah politik dan satu lagi talian hayat untuk terus merompak hasil mahsul negara. Sesungguhnya Umno tidak pernah berubah. Kedudukan yang genting selepas PRU13 tidak menginsafkannya, malah menjadikan lebih tamak atau sekurang-kurangnya sebagai peluang terakhir menimbun kekayaan.


Rasuah sudah menjadi darah daging dan denyut nadi Umno-BN. Jika amalan jijik berkenaan dapat dicerai-tanggal daripada parti yang memerintah sejak 55 tahun itu, saya yakin Umno akan berkubur.

Kesimpulan saya memang nampak klise. Tetapi begitulah ... kita berupaya mencorakkan kehidupan lebih baik hanya dengan menukar kerajaan persekutuan, sesuatu yang belum pernah "dicuba" selama ini.

Selepas menyaksikan pelbagai perubahan kosmetik yang diusahakan BN, potensi PRU13 adalah yang terbaik untuk kita memliki transformasi sepenuhnya. Seperti kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Dr Haron Din, keputusan pilihan raya bukan tanda berakhir segalanya.

Jika rakyat tidak berpuas hati dengan prestasi pemerintah yang baru dipilih nanti -- Pakatan -- mereka berpeluang mengubahnya dalam pilihan raya berikutnya. Silakan jika Pakatan juga menyeleweng dan mengkhianati amanah dan aspirasi massa.

Renungkanlah ... kita sudah mencuba, pertama, regim BN yang selesa mentadbir (sehingga mereka menodai segalanya) sejak begitu lama; begitu juga, kedua, merasai persaingan sengit BN-Pakatan pasca PRU12; dan kini, kita sedang melalui babak ketiga, ya, apa salahnya memberi peluang kepada kerajaan baru membuktikan tekad mereka.

Biarlah selepas itu, rakyat dapat membuat penilaian seadilnya, dengan melalui sendiri pengalaman sebenar, tanpa mudah dipengaruhi apa jua propaganda murahan, 'kan?
Baca Seterusnya......

Iktibar PAS dari kemenangan Morsi, Ikhwan

oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Dalam bukunya, Islam dan Masyarakat Melayu: Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, yang asalnya merupakan hasil kajian PhD, Prof Dato' Dr Mohammad Redzuan Othman menekankan dua negara yang mempunyai pengaruh besar ke atas umat Islam di Malaysia, iaitu Mesir dan Turki.

Penyebaran pengaruh Mesir dalam masyarakat Melayu pada tahun 1920-an dan 1930-an dikaitkan dengan peranan yang dimainkan Universiti al-Azhar dan kota Kaherah yang menjadi destinasi belia Melayu menuntut ilmu. 

 
Begitu juga dengan gerakan Islah, yang menyeru umat Islam kembali kepada ajaran Islam sebenar, yang dipelopori Jamaluddin al-Afghani, yang kemudiannya mempengaruhi dua tokoh pembahaharu Mesir, iaitu Muhammad Abduh dan Rashid Rida.

Lulusan Azhari jauh atasi  

Pelajar Melayu di Mesir menyaksikan rakyat negara itu berjuang menuntut kemerdekaan daripada penjajah Inggeris dan memberi pendedahan kepada mereka memainkan peranan menyemai kesedaran kepada anak bangsa. Peranan lulusan Azhar ini jauh mengatasi pengaruh mereka yang berpendidikan Inggeris atau Melayu.

Meskipun Daulah Uthmaniyah yang berpusat di Turki mengalami kemerosotan di awal abad ke-20 sehingga Sultan Abdul Hamid II digulingkan, namun perkembangan di sana begitu menarik minat umat Melayu di tanahair. Tindak-tanduk pembaratan dan pensekularan Mustafa Kamal Ataturk misalnya, telah menimbulkan reaksi segera dan polemik di antara golongan Kaum Tua dan Kaum Muda, yang dizahirkan melalui beberapa akhbar dan majalah Melayu, seperti Seruan Azhar dan Pengasoh.


Selepas 100 tahun, pengaruh Mesir dan Turki terhadap umat Islam negara ini rupanya tidak pernah padam. Sudah tentu Ikhwan Muslimin yang diasaskan Hassan al-Banna di Mesir  dan organisasi dakwah, seperti Jamaah an-Nur yang dipimpin Badiuzzaman Said Nursi di Turki, sering dirujuk pengalaman berharga mereka oleh aktivis Islam tanahair. Buku-buku karangan pimpinan Ikhwan menjadi bacaan wajib, yang dihadam dalam usrah dan pertemuan tetap.

Malah mutakhir ini, situasi dan eksperimen politik di kedua-dua negara tersebut, semakin diperkatakan, dan dilihat mampu mempengaruhi landskap siasah Malaysia, dengan nama-nama tokoh barunya, yang dipilih rakyat sebagai ketua kerajaan; Recep Tayyip Erdogan di Turki, melalui Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) dan Dr Mohamed Morsi,  yang menang sebagai Presiden Mesir pertama daripada kalangan orang awam, melalui Parti Pembebasan dan Keadilan (FJP).

 

Sejak tercetusnya Arab Spring awal tahun lalu, yang menumbangkan Hosni Mubarak, diktator Mesir selama 30 tahun, Perdana Menteri, Najib Razak dan mentornya, Dr Mahathir Mohamad, tidak dapat menyembunyikan kebimbangan fenomena yang melanda Timur Tengah berulang di Malaysia.

Dr Mahathir berkata Arab Spring mendedahkan pemerintah negara yang tidak demoratik, memerintah secara autokratik hingga menyebabkan rakyat menjatuhkan kerajaan. "Kita di sini ingin Arab Spring tapi soalnya adakah kerajaan terlalu zalim? Adakah kerajaan tidak beri perhatian kepada nasib rakyat, tidak membangunkan dan memajukan negara?" katanya di hadapan lebih 700 mahasiswa UKM.

Semasa berucap di Gua Musang, Najib mengaitkan peserta perhimpunan Bersih 3.0 dengan situasi di Kaherah: "Mereka (demonstran) ada niat untuk tawan Dataran Merdeka, bukan berhimpun untuk dua tiga jam tetapi dua tiga hari atau lebih daripada itu, nak gambarkan kerajaan tidak boleh mengawal keadaan. Mereka nak jadikan Dataran Merdeka sebagaimana Dataran Tahrir di Mesir."

Najib turut mendakwa Bersih 3.0 merupakan usaha untuk menumbangkan kerajaan seperti Arab Spring. 

Hosni, Suharto dan ledakan reformasi  

Saya tidak berhasrat untuk menyinggung kekhuatiran pemimpin tertinggi Umno itu. Semasa ledakan reformasi di Jakarta pada 1998, Dr Mahathir tidak senang duduk apabila rakannya, Suharto terpaksa berundur. Hubungan beliau dengan timbalannya, Anwar Ibrahim, menjadi bertambah buruk dan parah ketika itu. Apatah lagi apabila Hosni juga dijatuhkan melalui revolusi rakyat, yang sedia berdada dengan muncung meriah kereta kebal dan tembakanm peluruh hidup yang membunuh.

Menyedari Dr Redzuan, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya mempunyai pengalaman dan hubungan dengan pemimpin Ikhwan Mesir, juga merupakan tenaga pengajar dan profesor pelawat di Universiti di Kaherah sejak 2003, saya lebih berminat untuk mendengar ulasannya mengenai realiti di sana.

Pelbagai persoalan muncul, misalnya, mengapa Morsi hanya mendapat kira-kira 51 peratus undi, sedangkan lawannya, Ahmad Syafiq, bekas Perdana Menteri era Hosni, yang tentunya mempunyai reputasi buruk dan akan ditolak dengan mudah oleh rakyat Mesir yang bencikan diktator tua itu?

Dalam benak saya, sepatutnya bila berdepan dengan pewaris Hosni, maka Morsi akan menang mudah, dengan majoriti besar. Dengan perbedaan undi yang kecil itu, apakah menunjukkan imej Islam Ikhwan pada sosok Morsi masih digeruni rakyat? Ataupun, majoriti pengundi bimbang terhadap kuasa dan pengaruh besar Ikhwan dalam kerajaan, yang sebelumnya menang besar dalam  pilihan raya parlimen, dan dengan itu mereka mahu ada "semak dan imbang" melalui bakal presiden dari kelompok sekular?

Namun, isu lebih mendesak ialah keupayaan Morsi untuk berdepan dengan pihak tentera, yang berkuku sejak sekian lama, selain hubungannya dengan golongan sekular yang turut menyumbang saham besar dalam revolusi tahun lalu.

Ikhwan dikhianati 

Segera saya teringat pengalaman pedih dan perit generasi awal Ikhwan ketika bersama elit tentera menumbangkan regim Raja Farouk. Mohamad Naguib dan Gamal Nasser bertindak mengkhianati sokongan Ikhwan, sehingga ramai pemimpin dan aktivisnya dipenjara, diseksa dan dibunuh.

Dr Redzuan sendiri membuat kajian khusus mengenai kegagalan Ikhwan dalam Revolusi Julai 1952 itu, dengan tumpuan terhadap konflik politik di Mesir, antara tahun 1948-1954. Nasser merencanakan drama pembunuhan ke atas dirinya semasa berucap di Iskandariah, pada 26 Oktober 1954. Penembaknya dikatakan anggota pertubuhan bersenjata Ikhwan. Peristiwa itu digunakan regim tentera untuk menghapuskan gerakan Islam itu. Sebelum subuh 27 Oktober 1954, lebih 7,000 penyokong dan pemimpin Ikhwan ditangkap. Tujuh pemimpinnya dihukum gantung dan tujuh lagi dipenjarakan seumur hidup.

Selain itu, bukankah Ikhwan yang "agak lambat" terbabit dengan kebangkitan rakyat, turut didakwa telah "hijack" revolusi 2011? Saya juga tertanya-tanya dengan sikap rakan-rakan dalam Ikhwan sendiri, terutama apabila membayangkan pendekatan Morsi yang lebih moderat dan sederhana, bagi menyantuni semua kelompok rakyat, termasuk dasar luar berkaitan Palestin, Israel dan Amerika Syarikat. Tidak dilupakan hubungan Morsi dengan kumpulan Islam yang dilihat ekstrem seperti Salafi.
 
Alhamdulillah, Dr Redzuan berkelapangan pada pagi Ahad lalu, sekembalinya dari Tokyo. Secara santai, di rumahnya, di Sg Ramal Dalam, Kajang, beliau menceritakan, ada perbedaan jelas senario yang dirasainya semasa berkunjung ke Tehran, selepas revolusi tahun 1979 dengan situasi di Kaherah, sejurus Hosni digulingkan.


Rakyat Iran, di seluruh pelosok negara, ghairah bercakap tentang revolusi. Rakyatnya begitu teruja. Di Mesir, tambah beliau, ketika  ke sana selepas tiga bulan Hosni jatuh, orang ramai tidak lagi bercakap tentang revolusi.  

"Seolah-olah macam Hosni sudah jatuh, dan selesai macam itu. Macam biasa saja, tidak nampak apa berlaku. Berbeza di Iran ke mana kita pergi nampak slogan dan rakyat bercakap tentang revolusi. Maknanya revolusi Mesir tidak menyeluruh," ujarnya.

"Pada tanggapan saya kebangkitan yang berlaku di Mesir ini tidak bersifat menyeluruh. Perkembangan yang membawa kepada pengunduran Hosni Mubarak adalah jauh daripada revolusi yang membawa perubahan drastik. Lantaran itu, proses politik yang berlaku di Mesir ini lebih cenderung dikategorikan sebagai satu kebangkitan rakyat, bukan satu revolusi yang merubah rejim lama kepada pembentukan pemerintahan baru," tegas Dr Redzuan.

Penggerak revolusi dilupakan? 

Saya cuba mencungkil, siapa sebenarnya penggerak revolusi atau kebangkitan di Dataran Tahrir? Apakah ia didorong oleh masyarakat bawahan -- yang tertekan kehidupan ekonominya, yang lebih memikirkan apa untuk dimakan hari esok -- atau kelas menengah yang lebih terpelajar?

Saya kira Morsi dan strategisnya pasti memahami realiti sokongan yang diperolehinya agar beliau dapat mengatur prioriti dalam proses pembaharuan, yang begitu didamba keseluruhan rakyat. Sesungguhnya tempoh 100 hari selepas dilantik presiden begitu kritikal dan menentukan perjalanan panjang, sekurang-kurangnya empat tahun yang bakal ditempuhinya.

Difahamkan Morsi mempunyai penasihat dari Turki dan Tunisia, dua negara yang mendapat perhatian kelompok Islam dan mempunyai pendekatan tersendiri dalam membangunkan negara, seperti dihajati rakyat.
 

Bercakap soal peratus keluar mengundi hanya sekitar 50 peratus, satu angka yang saya anggap kecil, Dr Redzuan,  "ini cukup baik bagi sebuah negara yang selalunya  hanya mencatatkan 10 peratus, dan untuk tempoh yang lama, rakyat Mesir langsung tidak menghiraukan pilihan raya. Di negeri maju seperti UK dan AS juga kadar keluar mengundi sekitar 50 peratus."   
 
Mengenai cabaran tentera, Dr Redzuan nampak tidak begitu bimbang. Baginya, tentera hanya kuat dengan senjata. Para jeneralnya hidup dengan nostalgia lama. Mereka tidak tahu mentadbir dan menyusun strategi: "Tak cerdik."

"Dilihat kenyataan pemimpinnya, tentera masih rasa mereka berkuasa. Kalau 50 tahun dulu bolehlah buat begitu, tapi rakyat melihat yang berkuasa adalah pemimpin yang dipilih rakyat. Tentera masih berfikir seperti 20 hingga 30 tahun lalu," tambahnya.

Mungkin pengalaman Turki, yang juga pengaruh tenteranya begitu kuat mencengkam, tetapi beransur-ansur dapat dikurangkan, melalui kaedah politik yang bijaksana, dapat diteladani oleh Mesir.

Tentera hilang taring 

"Pengalaman di Turki sepatut menjadi pengajaran kepada tentera di Mesir. Di Turki selama lebih 70 tahun tentera seolah-olah tidak boleh disentuh, tetapi kini tentera sudah hilang taring. Siapa yang boleh menjangka bekas Ketua Turus Angkatan Tentera Turki, Jeneral Ilker Basburg yang ketika berkuasa lantang mencabar kerajaan yang dipilih secara demokrasi, tetapi kini merengkok dalam penjara atas tuduhan mengkhianati negara apabila dituduh berkomplot cuba menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat," jelas Dr Redzuan.


Saya meminta Dr Redzuan membuat analisis ringkas tentang sokongan kepada Ikhwan dan Morsi. Apakah pengaruh Ikhwan lebih berakar di kawasan kampung, dan bagaimana pula dengan sikap golongan pertengahan?

"Golongan kelas menengah dan sekular nampaknya lebih cenderung menyokong Shafik. Di Kaherah sendiri, kawasan yang didiami oleh kelas menengah dan kaya seperti di Muhandisin dan Zamalek sokongan popular adalah kepada Shafik, sedangkan di Giza yang didiami oleh kelas bawahan, Morsi berjaya mendapat sokongan yang lebih besar," jawab Dr Redzuan.

Mungkinkah kelompok yang turut (malah merintis kebangkitan) mendokong revolusi, dan berkorban jiwa raga demi menjatuhkan regim zalim Hosni, juga khuatir dengan pendekatan Islamik Morsi?


"Mereka tidak mahu Mesir menjadi sebuah negara Islam. Mereka mahu negara sekular. Mungkin mereka sendiri salah faham dengan Ikhwan. Morsi sedar hal ini. Oleh itu beliau tidak melupakan keluarga mereka terkorban, misalnya, keluarga yang hendak berjumpanya tidak boleh dihalang. Seramai 12,000 tahanan akan diusahakan untuk dibebaskan," kata Dr Redzuan.
 

"Saya mendengar ucapan sulung Morsi, bagi saya, dia berjaya meyakinkan semua kelompok. Gambarnya tidak boleh digantung. Jadi orang nampak bezanya dengan regim terdahulu. Dia akan berkhidmat untuk rakyat.

"Ucapannya cukup meyakinkan. Bagi seorang negarawan kali pertama bagi saya luar biasa. Dia boleh memastikan semua kelompok diberi perhatian. Ini satu permulaan yang baik walaupun saya tidak nafikan tentera mungkin akan cuba mengambil alih," tambahnya.


"Saya yakin dengan pengalaman panjang yang dilalui Ikhwan  menyebabkan Morsi akan lebih berhati-hati serta menyedari kekuatan dan kelemahan yang dimiliki. Ucapan yang disampaikan oleh Morsi sempena perlantikan sebagai presiden memperlihatkan kematangan. Morsi juga nampaknya mendapat nasihat dari AK Partisi Turki dan Hizb al-Nahdah Tunisia yang sudah melalui pelbagai pengalaman berharga. Dalam perhimpunan yang diadakan di Medan Tahrir, Rachid Ghanousi pemimpin de facto Hizb al-Nahdah kelihatan berada bersama-sama di atas pentas," kata bekas Naib Presiden ABIM itu.

Sebagai salah seorang daripada ribuan yang pernah "berkenalan" dengan Ikhwan -- walaupun dari jauh, melalui buku-buku terjemahan Al-Banna, Syed Qutb, Abd Qadir Audah, Mustafa Masyur, Fathi Yakan, dengan pendedahan ustaz-ustaz lulusan Al-Azhar semasa di kampus dulu -- saya bukan saja mengharapkan era baru gerakan Islam membawa sinar kepada Mesir dan negara-negara Arab, tetapi mampu melonjakkan momentumnya ke rantau Melayu ini, khususnya Malaysia.

Kemampuan aktivis gerakan Islam untuk bermuamalah dengan situasi dan lingkungan, seterusnya membawa pembaharuan, selaras dengan aspirasi rakyat, seperti dirintis Morsi dan rakan-rakan Ikhwan begitu mencabar.

Tangani masalah rakyat dan susun prioriti 

Biarpun menang dengan majoriti kecil, namun ia sudah cukup untuk memulakan perubahan, sambil berusaha keras mendekati masalah rakyat, menyelami denyut jantung mereka, dan bersama-sama menawarkan penyelesaian ke atas problem yang menghimpit kehidupan seharian mereka.

Morsi misalnya memandang serius isu kemiskinan, pengangguran dan keselamatan. Dalam tempoh 100 hari pemerintahannya Morsi akan cuba menunjukkan bahawa beliau adalah presiden yang berjiwa rakyat. Bagi menyelesaikan masalah harian yang menghantui penduduk Kaherah, iaitu kesesakan jalan raya Morsi telah memanggil pakar-pakar yang mampu mengemukakan penyelesaian kepada masalah ini.

"Selain itu, jelas Dr Redzuan, "Morsi juga menetapkan bahawa kereta yang membawa presiden tidak akan menyekat lalu lintas, sebagaimana yang diamalkan oleh Mubarak ketika menjadi presiden. Ini bagi mengelakkan kesesakan yang semakin buruk apabila rombongan presiden menggunakan jalan raya."

Dari segi penyertaan dalam proses pilihan raya dan pengalaman memerintah (walaupun di peringkat negeri), PAS tentu agak jauh ke hadapan berbanding Ikhwan, namun ada aspek-aspek tertentu yang boleh diambil iktibar daripada kejayaan awal ini, 'kan?

 

Baca Seterusnya......