Sunday, May 12, 2013

PRU13: Mari kita bantah dan muhasabah

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Jumaat, 10 Mei, saya cuti sakit. Khabar awal wartawan Harakah, Azamin Amin, yang memaklumkan bekas Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abd Razak terpaksa dipotong kedua-dua kakinya di bawah paras lutut menyebabkan saya agak "terkedu" di malam Jumaat itu. Hiba dan sebak. Tambah pilu mengenangkan Kedah jatuh hanya selepas sepenggal diterajui PAS-Pakatan.

Mulanya kolum ini tidak dapat diisi walapun saya sudah berjanji untuk menganalisis keputusan PRU13. Terpaksa ditangguhkan. Apa pun, hasrat saya untuk berehat lebih panjang terpancung apabila Dr Dzulkefly Ahmad menelefon. Mendengar suara lemah saya, AJK PAS Pusat itu cepat memintas, dengan nada ceria: "Kita yang kalah pun masih cergas."

Saya menyambutnya dengan ketawa kecil, sekali gus menyedari setiap kita mempunyai masa yang terbatas, dengan beban kerja menimbun. Dr Dzul yang kalah tipis di Kuala Selangor, dengan perbedaan 460 undi, sempat menjelaskan hasratnya untuk kembali aktif dalam Pusat Penyelidikan PAS (PPP) dan bersama rakan-rakan yang lain mengukuhkan parti.

Segera saya terkenang pemimpin PAS yang tidak menang dalam PRU13, antaranya, Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Husam Musa, Tuan Ibrahim Tuan Man, Mazlan Aliman dan lain-lain lagi.

 

Pastinya Parti Islam, yang mempunyai bilangan ahli Parlimen (21) paling kecil berbanding KeADILan (30), apatah lagi DAP (38), memerlukan gabungan tenaga kepemimpinan lebih cergas, tangkas dan berwibawa untuk mendepani cabaran lebih sukar dan kompleks. (PAS mempunyai 85 Adun, KeADILan 49 dan DAP 95)

Seorang pembaca menjolok idea melalui SMS: "Mereka yang tewas ini tentu mempunyai lebih banyak masa bagi mencetuskan proses 'peremajaan parti',  terutama untuk mendekatkan imiginasi orang muda dengan PAS."

Tentu sekali, dalam konteks dalaman, ramai mula membicarakan soal post-mortem secara tidak rasmi. Meskipun bedah-siasat keputusan PRU13 mungkin tidak begitu relevan dengan situasi sekitar PRU14 nanti, namun proses muhasabah dan koreksi diri, amat penting dan mendesak untuk kelangsungan mana-mana organisasi.

Ya, amat sedikit, malah boleh dikatakan hampir tiada pihak yang berani meramalkan berlaku kejutan di Terengganu sehinggalah selepas nama-nama calon diisytiharkan. Hinggakan ramai juga aktivis PAS di sana yang tersentuh apabila sering disebut, walaupun dalam nada berseloroh: "Kalaupun Pakatan dapat kuasai Putrajaya, negeri Terengganu kekal di tangan pembangkang, kali ini BN."

Di Kedah, seperti saya cuba lakarkan menerusi pemerhatian di hari terakhir sebelum mengundi, petugas PAS langsung tidak terhidu mereka boleh dikalahkan, walaupun pada pengamatan saya, "kita tuai apa yang telah kita tanam," selain proses pilihan raya penuh ketempangan dan penipuan. Sebagai penyandang, prestasi Kerajaan Pakatan Kedah juga wajar dinilai secara jujur dan kemungkinan ia menjadi penyebab utama kekalahan tidak diduga itu.

Tanpa merujuk analisis mendalam, saya kira keseluruhan keputusan PRU13 boleh dianggap satu peningkatan membanggakan buat Pakatan. Bukan mudah berdepan kempen yang cukup tidak seimbang, khususnya mainan media, terutama TV dan akhbar harian.

Tonton saja Buletin Utama TV3; iklan-lagu politik bersilih ganti, dengan laporan berat sebelah yang menjolok mata. Awani yang kelihatan mahu bebas juga terperangkap, apatah lagi RTM dan stesen TV Media Prima yang lain, serta tidak terkecuali TV Al-Hijrah.

Sebagai pengamal media, saya sebenarnya lebih cenderung untuk melihat akses media yang seimbang untuk semua parti dan calon yang bertanding, berbanding keputusan PRU13. Tuntutan Bersih awalnya seperti mahu diberi respons munasabah oleh Dr Rais Yatim, menteri berkaitan, tetapi akhirnya tawaran slot 10 minit menjadi jenaka dan hilang terus bila beliau tidak terpilih sebagai calon BN di Jelebu.

Dalam forum sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2013, anjuran Aidcom, Unisel dan akhbar Sinar Harian, pada 3 Mei (dua hari sebelum mengundi) di Shah Alam, saya menekankan impian agar institusi "semak dan imbang", yang berperanan sebagai "anjing penjaga" seperti media bebas dapat diperkukuhkan.

"Siapa pun yang menang Isnin 5 Mei nanti, kita mahu suara, rintihan dan keluhan rakyat didengar. Dan penguasa hanya dapat mendengarnya melalui kewujudan media independen, yang tidak diganggu dengan pelbagai peraturan karut-marut seperti sekarang," tegas saya dalam forum yang disertai A Kadir Jasin, Fathi Aris Omar dan moderator Abdullah Ahmad.

Malangnya, sepanjang kempen, saya perhatikan media di Malaysia -- yang dikawal melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, serta ditambah proses hak milik yang primitif -- bertindak tidak lebih daripada perkakas bagi BN. Tiada lagi kewarasan dan kebijaksanaan.

Pengecualian hanya kepada Sinar Harian. The Star kembali menjadi lidah rasmi MCA, dengan siaran iklan politik yang menyerang bertubi-tubi PAS dan DAP. Usaha DAP untuk membeli iklan menjawab tohmahan itu ditolak mentah-mentah. Akhbar-akhbar parti seperti Harakah, Suara Keadilan dan Roket berada dalam liga tersendiri dan tidak adil untuk dinilai "kebebasannya".

SPR langsung tidak berperanan untuk membentangkan "padang permainan sama rata" dalam PRU13. Penggunaan jentera dan kemudahan kerajaan secara berleluasa terang-terangan dibiarkan begitu saja. Ia tidak bertindak sebagai pemudahcara untuk mendapatkan akses media.

Malah, peratus keluar mengundi yang luar biasa itu, menyamai fenomena Terengganu 2004, ditambah pembuktian dakwat kekal yang tidak kekal, selain proses undi awal yang mencurigakan, menjadikan SPR kuda tunggangan atau satu lagi parti komponen BN!

Ramai pembaca dan kenalan, sejauh Miri dan Parlimen Sibuti di Sarawak serta Tanjong Karang dan Kuala Selangor,  menghubungi saya memaklumkan salahlaku jentera BN, khususnya menerusi politik wang.

"Di sini, sehari sebelum mengundi, Sabtu, petugas kempen PAS dari kampung dan rumah panjang beritahu saya, BN tabur duit, RM1,000 satu keluarga kepada pengundi yang nampak kuat sokong Pakatan dan RM500 satu famili kepada yang kurang kuat Pakatan," petikan SMS aktivis PAS Miri menceritakan situasi kempen di Sibuti. 


Walaupun tidak berkesempatan turun ke akar umbi selepas Parlimen dibubarkan -- kecuali di satu dua lokasi sahaja -- untuk menghayati harapan tinggi pengundi, yang berkobar-kobar beriltizam membuat perubahan menyeluruh, namun saya tetap dapat merasai tsunami politik yang jauh lebih besar berbanding 2008.

Di samping persiapan Pakatan yang ternyata lebih rapi dan sistematik, dengan penampilan calon berkualiti,  ramai yang saya temui berkata merekw tertarik dengan kandungan manifesto Pakatan yang cukup memikat, bukan hanya buat generasi muda tetapi rakyat umumnya.

Justeru, saya dapat memahami perasaan penyokong Pakatan selepas keputusan PRU13 diumumkan, sehingga menarik lebih 120,000 hadir ke Stadium Kelana Jaya, 8 Mei, walaupun dengan notis cukup singkat, untuk menzahirkan bantahan dan protes terhadap perjalanan  pilihan raya.

"Memang aku dan keluarga tak dapat masuk, sesak sungguh jalan malam itu,  tersekat di mana-mana, tapi kami berpesta bagai adik berani. Bohong kalau orang kata lebih 80 peratus yang hadir Cina," kata seorang teman dari Gombak.

"Rakan-rakan sepejabat saya, yang baru kali pertama mengundi, Melayu, Cina dan India, turun awal ke Kelana Jaya, bersama-sama membantah. Mereka masih terkejut besar mengapa Pakatan tidak dapat membentuk kerajaan," kata seorang anak muda, kakitangan bank, dekat Kg Pandan, yang secara kebetulan berjumpa saya, ketika makan malam di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Benar, kemenangan majoriti besar Selangor cukup menyenangkan, begitu juga penguasaan bergaya di Kelantan dan Pulau Pinang, tetapi kekalahan di negeri-negeri lain cukup memeranjatkan. Riak dan gelombang semasa kempen bagai tidak diterjemahkan sepenuhnya paa hari pengundian, ataupun ia disanggah komplot penipuan terancang?

Meneliti undi popular yang diperolehi BN di peringkat persekutuan, hanya sekitar 47 peratus, iaitu kemerosotan  4 peratus berbanding 2008, tapi mendapat 60 peratus kerusi daripada 222 kerusi Parlimen, ia sudah cukup kuat untuk mendesak satu perubahan ke atas sistem First Past-The-Post yang diamalkan selama ini.

Bagi strategis pilihan raya DAP, Ong Kian  Ming, keputusan PRU13 menunjukkan sebanyak 46 kerusi Parlimen BN dimenangi dengan undi di bawah 55 peratus, manakala kerusi Pakatan yang terbabit berjumlah 30. Kerusi-kerusi marginal ini akan menjadi medan pertarungan sengit dalam PRU14 nanti.

Menurut Dr Khairuddin Malik, Setiausaha Pakatan Rakyat Perak, jumlah undi yang diperolehi BN negeri itu di peringkat Dun ialah 506,947 (44.4%), berbanding undi untuk calon Pakatan, 590,344 (51.7%). Ini bermakna undi lebihan Pakatan sebanyak 43,893 atau 3.84% daripada jumlah keseluruhan undi.

SPR akan mengadakan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya pada tahun ini. Dalam keadaan BN tidak mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen, proses untuk menambah bilangan kerusi Parlimen, hanya dapat dijalankan dengan kerjasama Pakatan.

Saya tidak pasti apakah proses melukis sempadan kawasan pilihan raya tanpa penambahan kerusi Parlimen boleh dijalankan tanpa majoriti dua pertiga BN? Sebagai parti pemerintah yang hampir tewas, sudah pasti proses persempadanan semula ini menjadi senjata utama untuk BN mempertahankan kuasanya. 

Secara peribadi, saya menyokong penuh usaha tangkas Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Pakatan seluruhnya, untuk membangkitkan kesedaran awam menuntut proses pilihan raya bersih, telus dan bebas, tanpa menunggu masa lebih lama.

"Kita bukan persoalkan keputusan kalah atau menang tetapi apakah perjalanan PRU13 itu adil atau tidak? Sistem pilihan raya bukan hanya dinilai selepas pembubaran Parlimen atau semasa berkempen, apatah lagi pada hari mengundi sahaja, ia satu proses menyeluruh," katanya kepada saya, mengulas suara sumbang yang mempertikai siri perhimpunan "Black505".

Dalam masa sama, seperti warga lain yang prihatin, saya begitu bimbang dengan kempen perkauman yang dibakar dengan marak sekali, terutama oleh Utusan Malaysia. Rupanya ia tidak berakhir selepas BN diisytihar menang, malah api merbahaya itu dinyalakan lebih besar lagi.

Sorotan berita dan analisis pasca PRU13 dibuat dari persepsi jahat, jelas bermotif untuk membangkitkan rasa tidak senang antara kaum, dengan meletakkan masyarakat Tionghua dalam kandang orang salah.

Perdana Menteri, Najib Razak dan mentornya, Dr Mahathir Mohamad boleh dianggap menyalakan mancis untuk membakar sentimen perkauman ini. Dalam siaran Buletin Utama TV3 sebentar tadi, Jumaat 10 Mei, tidak semena-mena ditonjolkan S Nallakaruppan, yang membangkitkan soal 13 Mei dan "amarah orang Melayu terhadap bantahan masyarakat Cina terhadap keputusan PRU13".

"Sudah melampau TV3 ini," rungut saya kepada isteri. Sakit kepala saya tambah mencucuk, dengan laporan tidak bertanggungjawab itu.

Dalam pada itu, beberapa rakan turut terpedaya dengan dakyah kalangan tertentu yang mendakwa pengundi Cina hanya memberi sokongan kepada calon DAP tetapi tidak memilih calon PAS di kawasan sama.

Mereka merujuk keputusan di Gelang Patah apabila Lim Kit Siang menang dengan majoriti hampir 15,000 undi. "Salahuddin Ayub yang bertanding di Dun Nusa Jaya, di bawah Parlimen Gelang Patah, kalah dengan majoriti 2,200 undi. Ini bukti pengundi Cina hanya mahu DAP menang, dan bukannya PAS," kata rakan itu, mengulangi tohmahan Umnp.

Saya terus menyanggah: "Cuba tengok satu lagi Dun di bawah Gelang Patah, iaitu Skudai, yang ditandingi calon DAP, Dr Boo Cheng Hau, dia menang lebih besar, majoriti lebih 18,000. Maknanya, undi itu seimbang, hampir semua pengundi Kit Siang menyokong Salahudin, begitu juga sebaliknya. Takkan sifir semudah itu pun tak faham."

No comments: