Monday, June 30, 2014

'Ya, gaji menteri kita bukan besar sangat, tapi ...'

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Walaupun ada kiraan kasar bahawa kerajaan terpaksa tanggung kos RM10 juta setahun untuk Kabinet selepas anggotanya ditambah kepada 35 orang (timbalan menteri, 27), bagi saya, itu bukanlah isu besar. Ada persoalan lain yang lebih mendesak, yang perlu didebatkan secara rinci, jika kita bicara soal menguruskan dana negara.

Secara relatifnya gaji menteri di Malaysia, termasuk perdana menteri bukanlah besar sangat. Rasanya jika dirujuk rakan-rakan sejawat negara jiran pun -- apatah lagi Singapura yang menawarkan gaji hampir setara dengan kemudahan pihak swasta -- kita tidaklah setinggi mana. Mungkin lebih kecil berbanding menteri besar dan anggota kabinetnya di Selangor, 'kan? Malah, elaun ahli-ahli Parlimen dan Adun jauh daripada mencukupi.

Tetapi, isu yang tidak perlu dipolemikkan lagi adalah saiz Kabinet kita. Ia memang terlalu besar, XXXXL, satu pembaziran paling ketara, tepat seperti perumpamaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, "begitu membusung". Katanya, tidak munasabah jika dibandingkan negara berpenduduk lebih besar tetapi mempunyai 23 menteri, seperti  United Kingdom (63 juta rakyat), Amerika Syarikat (313 juta), dan India (1.1 bilion).

"Orang ramai berharap supaya Perdana Menteri  akan sekurang-kurangnya menggantikan beberapa menteri kabinet Umno untuk mengembalikan portfolio tradisional MCA kepada MCA, bagaimanapun ini tidak berlaku, malah berbanding mengurangkan anggota Kabinet Umno, Najib memilih untuk menambah menjadi 35 orang," ujar Ketua Menteri Pulau itu.

Di Malaysia, jawatan menteri dikejar bukan kerana gaji dan elaun rasmi. Keghairahan memburunya berpunca daripada gamitan pengaruh dan kuasa, yang disusuli peluang meraih pendapatan lumayan. Bukankah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Suffian Hashim pernah membidas Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden AS sendiri mungkin cemburu dengan kuasa tidak terbatas Perdana Menteri Malaysia?

"Sebab itu, berbeda dengan negara-negara tertentu lain, menterinya mudah meletakkan jawatan jika berlaku sebarang krisis atau masalah di bawah potfolio masing-masing," kata seorang pensyarah sains politik ketika kami berbual mengenai integriti anggota Kabinet.

"Puncanya, bukan saja soal integriti, tetapi jawatan Kabinet di negara mereka tidak menawarkan begitu banyak kemudahan seperti di Malaysia. Mungkin gaji tinggi, tetapi kuasa terbatas dan sentiasa dipantau. Sukar untuk manipulasi," tekannya lagi.

Kolumnis Lim Hong Siang,  ketika saya bertanyakan hal gaji Kabinet yang membusung, membalas: "Ada orang kata, gaji menteri-menteri bukan 0.004 peratus daripada bajet negara, tetapi gaji rasmi itu adalah 0.000 peratus daripada pendapatan sebenar mereka."

Dalam pertemuan dengan Dato' Seri Dr Rais Yatim, ketika itu Timbalan Presiden Semangat 46, sekitar tahun 1997, saya sebagai pengarang majalah Tamadun, tertarik dengan ungkapannya: "Satu lorekan mata pena (tandatangan) PM, menteri mahu pun menteri besar, boleh menjadikan seseorang itu sebagai jutawan dalam sekelip mata."

Dan beliau menekankan agar sistem kuasa kita -- yang memberikan banyak kelebihan kepada pihak eksekutif, termasuk untuk campur tangan dalam kehakiman, apatah lagi dalam dunia dagang -- mesti dirombak. Dalam masa sama, institusi penting, yang bertindak sebagai semak dan imbang, misalnya Parlimen dan media, harus diperkukuhkan. Malangnya hingga kini, malah selepas Rais sekali lagi bersara dari menteri, monopoli elit pemerintah itu berterusan.

Kepada pemimpin Umno, apalah ada pada elaun sekitar RM20-30 ribu itu. "Untuk mengikat kesetiaan ahli-ahli Umno dalam sebuah bahagian saja, wang RM30,000 terlalu kecil," dedah seorang calon Naib Ketua Pemuda Bahagian di Kedah yang mahu bertanding jawatan itu, hampir 20 tahun lalu.

"Dengan gaji menteri sekarang, bagaimana mungkin mereka boleh beli kereta mewah anak bernilai jutaan ringgit, miliki rumah puluhan juta, menaja pengikut tegar melancong ke luar negara, membeli sokongan, juga mengugut, dengan politik wang?" tanya seorang rakan, ahli perniagaan yang pernah rapat dengan seorang Exco Kanan (Umno) Kerajaan Negeri.

Dan dia pernah menaja penginapan dan makan-minum hampir RM800,000 untuk para perwakilan semasa pertandingan ketua bahagian Umno. Ya, itu hanya peringkat ketua bahagian, dan kita boleh bayangkan berapa pula yang nilainya untuk membeli undi dalam pemilihan, naib presiden misalnya.

Kuasa menganugerahkan projek-projek besar, khususnya tanpa tender terbuka, atau melalui penyamaran tender terpilih, memastikan hubungan intim antara elit penguasa dengan kalangan korporat terus menyuburkan politik wang, yang menghanguskan kantung negara.

Apabila PM (juga Menteri Kewangan) ataupun TPM. mahukan kroninya -- walaupun dengan kos tidak munasabah dan tiada pengalaman meyakinkan -- mendapat habuan menerusi projek mega, siapa dapat menghalang? Wibawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Jabatan Peguam Negara, PDRM dan juga badan kehakiman, serta tidak terkecuali kebebasan Audit Negara, terus dipersoalkan, walaupun dikatakan sudah melalui proses transformasi.

Semakin ramai menteri dilantik (sebelum PRU13 ada 29, selepasnya 32 dan kini 35), maka tambah banyak lagi hulubalang serta jeneralnya yang "tumpang sekaki". Berduyun-duyun mahu turut mengikuti rombongan "lawatan kerja", terutama untuk makan angin percuma. Dan setiap penglima atau leftenan itu mempunyai anak buah tersendiri, juga perlu "disantuni".

Dari sisi lain, pembesaran -- bukannya rombakan -- Kabinet Najib Razak menunjukkan Presiden Umno itu langsung tidak bersedia untuk melakukan perubahan bagi manfaat rakyat. Beliau lebih memikirkan kepentingan politik dan popularitinya, terutama untuk terus memantapkan sokongan dalam Umno.

Menteri yang buruk prestasinya, dan sering memperbodohkan rakyat, terus dikekalkan. Sebelum PRU13, JPM mempunyai lima menteri (tidak termasuk Najib dan Muhyiddin Yassin), lapan selepas pilihan raya  dan sekarang 10. Apakah bebanan kerja lima menteri awalnya itu terlalu berat hingga erpaksa diagihkan kepada lima yang dilantik kemudiannya? Aduhai.

"Cuba kita bayangkan, andai kata ada parti pembangkang bersedia sertai BN, sudah pasti anggota Kabinet kita senang-senang bertambah jadi 40 orang, 'kan?" usik seorang pembaca Harakah. "Dan potfolio baru itu mudah dicipta, atau lantik saja sebagai Menteri di JPM."

"Walaupun sudah terlalu ramai menteri, Najib masih tidak bersedia lepas Perbendaharaan atau lantik Menteri Kewangan sepenuh masa bagi tangani  cabaran sengit ekonomi sekarang. Dia tak mahu lepaskan post paling berkuasa untuk terus mengawal parti," tambahnya.

Umumnya,  saya kira rakyat dapat menerima wakil parti-parti komponen lain dalam Kabinet, termasuk MCA dan Gerakan. Mungkin ia elok juga jika dilihat daripada sudut keseimbangan kaum dan penyertaan lebih menyeluruh.

Soalnya, Najib patut memilih rombakan -- dan bukannya pembesaran -- Kabinet. Paling kurang tiga menteri Umno wajar digugurkan bagi memberi laluan kepada rakan-rakan MCA dan Gerakan. Dan bukannya susah pun, ramai "tunggul-tunggul mati" dalam Kabinet,'kan?

 

Baca Seterusnya......

Friday, June 27, 2014

Riuh-rendah kisah Firdaus akan segera berakhir ....

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Seorang ibu tua, umur mendekati 70 tahun, kematian suami lebih dua dekad lalu, menghidap pelbagai penyakit kronik, mempunyai tiga anak cacat (OKU), dua daripadanya langsung tidak mampu menguruskan diri

Kedua-duanya terganggu mental, seorang  sejak dilahirkan dan seorang lagi selepas kemalangan jalan raya. Yang seorang ini boleh saja bertindak ganas secara tiba-tiba, termasuk terhadap emaknya sendiri. 

Sepatutnya, ketika dihimpit keuzuran pada usia emas, ibu tua ini yang perlu dirawat dan disantuni, tidak seharusnya lagi menguruskan karenah anak-anak yang begitu memenatkan. Mahu sebentar keluar rumah pun harus pastikan dulu anak-anak cacat ini

Apakan daya, anak-anak yang lain juga dibebani masalah tersendiri. Alhamdulillah, ada juga anak yang sedia duduk sebumbung, menampung rumah sewa dan belanja seharian, ala kadar. Dan ibu tua cukup memahami perasaan si anak budiman ini, yang pastinya tidak mudah menjalani kehidupan seharian dalam situasi itu.

 

Dalam keadaan berjalan pun terketar-ketar, mata kabur teruk akibat pendarahan diabetik, dia harus terus -- dengan sabar, dedikasi dan penuh kasih sayang -- memelihara anak-anak OKU, jantung hatinya. Tidak pernah merungut, apatah lagi mengeluh atau membayangkan keresahannya memikul amanah Ilahi.

"Makcik beruntung sebenarnya, tiga anak makcik itu bakal ahli syurga tanpa hisab, mereka akan menunggu di pintu jannah nanti, insya-Allah, asalkan makcik tetap reda dengan ujian ini," kata-kata jirannya mengubat hati dan melapangkan dada.

Seorang daripada anaknya itu, melewati usia 40-an, sukar melangkah ekoran masalah tulang pinggul selepas jatuh dan hanya terbaring lemah. Penglihatannya juga samar-samar, mesti dituntun dan dipapah. Kadang-kadang kencing berak bersepah. Ya, perlukan pengawasan hampir 24 jam, 7 hari seminggu. Ia mengingatkan saya tentang kegigihan aktivis Ronasina (Mohd Affandi Ramli) dan isterinya, Raja Rohaisham Raja Muhaiddin, yang berkorban segalanya untuk dua anak cerebral palsy.

Apa pun, ibu tua ini tetap mementingkan kebersihan. Tiada kompromi. Yang diutamakan, suci daripada najis. Mudahnya, boleh solat di mana saja dalam rumah sempitnya. Dengan keuzuran yang makin ketara, dia tetap tampak bersahaja melalui hidup seharian, biarpun berdepan penat lelah, sekurang-kurangnya untuk  memastikan kediaman bebas daripada waswas kekotoran.

Namun, sebagai insan biasa, jiwanya sering berperang. Reda dengan ketetapan Tuhan tetapi keyakinannya sesekali turut goncang terutama apabila  keseorangan menanggung keperitan. Anak yang cacat mental tapi masih tegap ke sana-sini, sentiasa menagih wang, terutama untuk bekalan rokok dan minuman di restoran mamak berdekatan.

Pernah mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Zakat. Tetapi, apabila sering berpindah-randah, bertukar alamat, namanya kemudian tercicir daripada senarai. Cuba memohon semula tetapi pelbagai soalan diasak; lebih pedih apabila terpaksa berdepan sindiran pedih.

Bagi ibu tua, kesusahan tidak bermakna mesti dizahirkan dengan keadaan selekeh dan kusut-masai, hanya dengan tujuan untuk menagih simpati. Penampilannya sentiasa kemas, berjubah dan berjilbab labuh. Dia pantang sama sekali  sengaja menghina diri, demi mengharapkan bantuan.

"Makcik ni segak aja, pakaian pun kemas, tak nampak macam orang susah," pernah dia disindir seorang kerani ketika membawa borang bantuan. "Biar permohonan aku tak lulus, untuk merayu-rayu, apatah lagi mengemis, itu bukan tabiat aku," tegasnya.


Sudah jatuh ditimpa tangga. Bertindan-tindih masalah silih berganti. Memang tepat perumpamaan Melayu itu. Bukan saja buat ibu tua ini, tetapi ramai lagi yang dirundung malang. Tiada bahu tempat menyandar ketika susah. Tiada telinga sudi mendengar luahan hati.

Tidak kurang yang mencebik bibir  terutama melihat tingkah-laku anaknya yang kadang-kala nampak tidak sopan dan menjolok mata. Ya... orang yang terencat akal, mana tahu segan dan malu, 'kan? Lebih menyedihkan, tidak kurang yang mendakwa dia ditimpa azab atas kesalahan dan dosanya masa lalu.

Tambah pilu, ada pihak mengambil kesempatan, menjadi mangsa penipuan berulang kali. Secara semulajadi, dalam posisi terdesak itu, mereka mudah meletakkan kepercayaan dan menggantung harapan walaupun menyedari peluang untuk menjadi mangsa muslihat licik begitu tinggu.


Anda tidak perlu menjelajah ke pelosok paling dalam untuk mencari mereka. Mungkin saja jiran,  kenalan atau melalui khabar yang anda perolehi daripada media. Sudahlah fakir, menanggung anak cacat, ketua keluarga pula uzur, berulang-alik ke hospital.

Lebih perit, mereka seperti keseorangan menanggung beban. Ada di antara ibu terbabit ditinggalkan suami dan terpaksa mencari nafkah sendiri. Bukan tiada kemudahan disediakan pihak berkuasa -- meskipun diakui jauh daripada memadai -- tetapi sebahagiannya tiada akses, atau jahil mengenainya. Sukar keluar daripada "lingkaran setan".

Laporan Sinar Harian, 25 Jun lalu, mengingatkan saya dengan nasib ibu tua tadi. Hampir sama keadaan mereka. Ibu tunggal, Mariam Abdul Kadir, 67, cekal menguruskan tiga anak istimewanya (OKU lembam) sejak kematian suami, Kamaruddin Zainal Abidin, pada Mei 2010.

“Anak-anak ini permata hati makcik. Mereka saham akhirat saya ...," kata Mariam. Bagaimanapun cabaran dalamannya juga hebat. Mariam mengakui, jika duduk termenung, terngiang-ngiang bisikan iblis menggodanya supaya bertindak kejam ke atas anak-anaknya itu.

“Bisikan itu seolah-olah mengejek makcik kerana memiliki anak-anak OKU dan ada yang menyuruh makcik beri racun sahaja kepada anak-anak.

“Malah, bisikan itu terus menggoda makcik supaya tidak mengikut nasihat alim ulama atau ustaz-ustaz yang banyak memberikan nasihat kepada makcik untuk lebih sabar menjaga anak-anak OKU ini.

"Setiap kali bisikan itu datang, makcik akan ambil wuduk dan menunaikan solat memohon pertolongan Allah untuk mengurniakan kesihatan buat makcik bagi menguruskan anak-anak," kata Mariam, seperti dilaporkan Sinari Harian.
 

Justeru, apabila Selebriti Wardina Saffiyah Fadlullah Wilmot diberitakan menyelar kerajaan kerana gagal memberi bantuan secukupnya kepada keluarga anak OKU (cerebral palsy), Muhammad Firdaus Dullah, 15 tahun,  yang ditemui kurus-kering dalam bilik terkurung penuh najis di flat Taman Semarak, Nilai, saya kira isu menggemparkan ini harus dilihat dalam perspektif lebih menyeluruh.

Memang mudah menyalahkan ibu Firdaus dan juga ayah tirinya, tetapi kes tersebut wajar membuka mata seluruh anggota masyarakat, terutama elit penguasa.

Wardina membandingkan layanan negara "kafir" terhadap keluarga OKU dengan Malaysia.
Beliau  memberi contoh, Australia, di mana ibu bapa yang mempunyai anak OKU diberikan pelbagai peruntukan seperti elaun bulanan selain dapat menjalani sesi terapi dengan percuma.

Katanya, seperti dilaporkan Malaysian Insider, yang memetik laman Instagramnya,  dengan segala kemudahan yang diberikan Australia kepada golongan demikian membuktikan betapa kerajaan negara itu memahami kesukaran dan kesulitan ibu bapa membesarkan anak OKU.

“Malah kawan saya mempunyai anak OKU, kedua-dua suami dan isteri tidak perlu bekerja kerana disuruh kerajaan untuk fokus menjaga anaknya yang OKU. Anak OKU dihantar  terapi secara percuma. Dihantar ke sekolah OKU berkualiti dengan percuma dan ibu bapa diberi cuti percuma setiap tahun."

Pihak kerajaan tentunya bingkas menafikan teguran Wardina. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Seri Rohani Abdul Karim berkata, kenyataan terbabit tidak berasas sama sekali kerana pihaknya sangat mementingkan kebajikan golongan berkenaan dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan.


"Lihatlah selepas empat hari penemuan remaja itu, dia dibantu dan dibela kerana pihak kami sangat mementingkan kebajikan OKU,” katanya dalam sidang media selepas melawat Firdaus di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, sambil menekan ibu Firdaus juga  tidak pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.


Memang ada bantuan, termasuk kewangan secara bulanan, tetapi ia bukan saja jauh daripada mencukupi, malah agak sukar memperolehinya, sehinggakan menimbulkan persepsi negatif di kalangan masyarakat, dan turut membuatkan ada keluarga terbabit  yang langsung tidak  membawa anak mereka ke JKM.


Walaupun lebih ramai ibu bapa yang tidak mengabaikan tanggungjawab membesarkan anak-anak OKU, seperti ibu tua di atas dan Mariam Abd Kadir, tetapi bebanan mereka harus diringankan, terutama melalui dasar dan polisi kebajikan yang holistik.

Mungkin saja memerlukan menteri khusus -- bukan lagi Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat -- yang memberikan tumpuan kepada OKU. Lagi pun, bukankah Menteri di Jabatan Perdana Menteri begitu ramai sekarang? 

Ya, hari ini kita riuh-rendah berbicara mengenai Firdaus, terutama apabila terbayang rakaman televisyen yang sebenarnya tidak beretika itu,  tapi percayalah, tanpa menunggu lama, isu ini akan segera hilang apabila timbul isu-isu panas yang lain, yang menunggu masa untuk memalingkan perhatian masyarakat.

Maka, tinggallah keluarga terbabit meneruskan kehidupan sendiri .... Orang seperti ibu tua dan Mariam tadi, juga kanak-kanak yang senasib dengan Firdaus tidak lagi dipedulikan.

Baca Seterusnya......

Salut buat pemberani Jamhuri, Fadhil dan Aslam

Oleh Ahmad Lutfi Othman
Khabar menyedihkan. Juga mengejutkan. Dua aktivis mahasiswa Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan UMSKAL) berdepan prosiding tatatertib buat kali kedua pada 27 Jun ini.
Angkara Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), yang terbukti terus menekan dan mengongkong meskipun digembar-gemburkan (termasuk dalam program transformasi politik Najib Razak) peraturan itu telah dipinda bagi memberi kebebasan buat mahasiswa. Karut!
Mereka baru saja dihukum pada 26 Mei lalu -- Muhammad Fadhil Abdul Ghani digantung pengajian dan Jamhuri Mohamed dibuang asrama -- atas tuduhan mengadakan perhimpunan dan perarakan dalam kampus tanpa kebenaran pihak universiti.
Kes terbaru ini, khusus buat Jamhuri, juga berkaitan, dengan isu terdahulu, iaitu bantahan pelajar terhadap premis perniagaan mereka yang dirampas pihak universiti. Saya sendiri tidak pasti mengapa kedai mahasiswa itu, yang dikendalikan oleh sekretariat masjid kampus,  begitu "digeruni".

Punca Pengerusi Pro-Mahasiswa UMSKAL ini diseret sekali lagi adalah ekoran kenyataan medianya yang disiarkan Harakahdaily, yang didakwa telah memudaratkan nama baik Pengarah UMSKAL, Dr Ismail Ali.
Dalam tulisannya, Jamhuri menyifatkan peruntukan Seksyen 16 Auku memberikan kuasa mutlak kepada ketua pengarah bagi sesebuah universiti untuk membuat sebarang keputusan. (Ya, kata kuncinya "kuasa mutlak", mengikut tafsiran sendiri).
"Kuasa mutlak inilah yang sering disalahguna oleh pemimpin universiti seperti Pengarah UMSKAL untuk membuat keputusan kuku besi sekali gus mengetepikan kepentingan mahasiswa sebagai kumpulan akar umbi dalam universiti," kenyataan Jamhuri dipetik.
Lebih menggemparkan, pada Jumaat, 12 tengah malam, disedari bilik penginapan asrama Jamhuri telah dipecah masuk dan bangkai ayam diletak atas katil, serta mesej ugutan, "berambus bodoh", diconteng di dinding. Budaya politik rimba yang menular di luar kampus kini menjalar ke kampus Labuan.
Manakala Fadhil, rakan sekursus dengan Jamhuri, iaitu pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa, dituduh menganjurkan perhimpunan haram, iaitu mengadakan mesyuarat bagi memilih kepemimpinan untuk Pro-Mahasiswa di kawasan terbuka, iaitu kafeteria. (Pilihan raya untuk mengundi pemimpin pelajar dalam kelompok sendiri pun salah).

Bagi memastikan anda lebih jelas dengan tuduhan bebal (sebenarnya karut-marut) itu, saya perturunkan pertuduhan penuh Fadhil yang dikeluarkan Bahagian Perundangan dan Tatatertib, Jabatan Pendaftar UMS:

"Adalah kamu melalui surat bertarikh 24 April 2014 dengan tajuk "Surat Pemakluman Aktiviti Pilihan Raya Kecil Mahasiswa 2014" yang ditujukan kepada Pengarah UMSKAL Datelah dengan apa-apa cara terlibat dalam melakukan apa-apa perbuatan untuk mengadakan atau menganjurkan atau memanggil apa-apa perhimpunan yang lebih daripada lima orang dalam mana-mana bahagian kampus. Perbuatan kamu ini adalah tanpa kebenaran terdahulu Naib Canselor dan ini merupakan satu kesalahan tatatertib di bawah Kaedah 9(1) Kaedah-kaedah UMS (Tatatertib Pelajar-Pelajar 1999) Auku 1971 ...."

Meneliti Auku, Akta 174 (bagi UiTM) dan kaedah-kaedah tatatertib universiti, jelas tergambar begitu terkongkong sekali kehidupan warga kampus, anak-anak muda terpelajar. Seolah-olah segala-galanya dilarang, kecuali mendapat perkenan, restu  dan kebenaran bertulis naib canselor atau yang setaraf dengannya.
Ya, berhimpun lebih daripada lima orang pun satu kesalahan besar di kampus; jangan main-main, jika didapati bersalah boleh dipecat daripada universiti atau digantung pengajian, selain boleh dibuang asrama dan didenda!
Mana relevannya dengan semangat dalam Akta Perhimpunan Aman dan pemansuhan Seksyen 27(5) Akta Polis 1967? Suasana di kampus sekarang seperti situasi cemas semasa darurat, berdepan ancaman pengganas komunis bersenjata.
Kalaupun nampak mereka seolah-olah bebas beraktiviti, itu adalah ehsan naib canselor, dan bukannya hak mahasiswa!
Selain itu, merujuk kes prosiding tatatertib membabitkan lapan aktivis pelajar Universiti Malaya, pada 18 April dan 9 mei lalu, mereka tidak dibenarkan menyertai apa-apa kegiatan di luas kampus "yang mendatangkan kesan buruk kepada universiti atau yang memudaratkan kepentingan universiti".
Mahasiswa juga tidak dibenarkan untuk "membuat, mengibar atau memiliki apa-apa bendera, sepanduk, plakad, poster, lambang atau alat lain yang menimbulkan keadaan tidak berdisiplin, kekacauan, keingkaran ..."
Dan dalam kes aktivis mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Kinabalu, Mohd Fathihie Daimin, kesalahannya adalah membuat kenyataan terbuka di laman sosial Facebook, yang dianggap menggugat kepentingan UiTM.
Larangan lain, mereka tidak dibenarkan memiliki atau menggunakan apa-apa pembesar suara, pelaung suara atau penguat suara. Turut dianggap satu kesalahan adalah menerbitkan, membahagi-bahagikan atau mengedarkan apa-apa dokumen di dalam dan juga di luar kampus.
Itu pun anda belum  mengetahui lagi bagaimana prosiding  dijalankan, sehingga proses memutuskan hukuman dibuat.
Pernah sekumpulan pelajar yang dituduh, hanya diajak "sembang santai" oleh pihak universiti, tanpa mengemukakan fakta kes yang meyakinkan, dan kemudiannya selang beberapa hari, dimaklumkan mereka digantung pengajian kerana mengikuti perhimpunan haram dalam kampus.
Justeru, tidak hairan apabila dimaklumkan nasib menimpa Aslam Abd Jalil, pelajar Malaysia di Universiti Nasional Australia (ANU), pemegang biasiswa kerajaan persekutuan, yang menerima surat tunjuk sebab JPA, pada 18 Jun lalu.
Kesalahannya kerana mengambil bahagian dalam forum isu semasa Malaysia, "Race, Religion, Royalty with YB Tony Pua", yang diadakan di universiti berkenaan, 22 April 2014.
Aslam dikira telah melanggar perjanjian biasiswa, yang melarang mengambil bahagian atau menyertai aktiviti berunsur hasutan atau demonstrasi, yang pada pendapat kerajaan memudaratkan kepentingan Malaysia atau sesuatu institusi pendidikan.
Pelik sekali bagaimana program forum atau perdebatan terbuka seumpama itu boleh dikategorikan sebagai memudaratkan atau mengancam negara, apatah lagi "berunsur hasutan atau demonstasi". Tunjuk perasaan bagaimana pula, dan hasutan macamana tu?
Saya menyokong penuh penekanan Nik Nazmi Nik Ahmad, Timbalan Speaker Dun Selangor yang mula mendedahkan hal ini: "Kerajaan Australia, Australian Capital Territory dan Kedutaan Besar Australia di Malaysia serta pentadbiran ANU, perlu mengambil perhatian bahawa seorang pelajar dari salah satu universiti mereka sedang didakwa di bawah satu pendakwaan yang jelas merupakan pendakwaan politik."
Alahai, malang sekali menjadi mahasiswa Malaysia, sama ada yang menuntut di kampus dalam negara, mahupun jauh di seberang lautan! Anda tidak terlepas daripada kongkongan puak yang bebal dan memandang hina orang lain.

Baca Seterusnya......

"Percikan api di setiap kampus, termasuk kubu Umno"

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Setahun dua ini saya lebih kerap bertemu rakan-rakan pimpinan gerakan pelajar. Ia bukan lagi terhad kepada universiti sekitar Lembah Klang. Kampus-kampus baru yang berselerak di seluruh negara, termasuk di Sabah Sarawak, juga menggamit perhatian.

Perjumpaan juga tidak terbatas untuk membincangkan soal penyertaan dalam pilihan raya kampus setahun sekali, tetapi lebih merata dan menyeluruh. Apatah lagi kumpulan yang memenanginya agak seimbang, di antara Aspirasi dan Pro-Mahasiswa, petanda kecenderungan politik majoriti pelajar semakin terbuka.

"Sebenarnya banyak kampus dikuasai oleh kumpulan  Pro-Mahasiswa atau lebih tepat, yang independen dan tidak dikongkong Umno-BN, tetapi mereka memilih untuk tidak bersuara lantang dan mengidentifikasikan diri dengan mana-mana kumpulan," kata sumber.

 

Walaupun lama ditubuhkan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) nampak agak terpencil di utara, tetapi sesekali turut mewarnai kemeriahan politik kampus. Begitu juga Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang dan Pekan yang merakamkan keberanian aktivis mahasiswanya berdepan "kecurangan" pentadbiran tertingginya  memanipulasikan proses pilihan raya kampus.

"Ada percikan api di sana!" saya menjawab soalan seorang teman apabila mendapat tahu saya turun ke Pahang, Pulau Pinang, Kedah, Johor meninjau gelodak rasa masyarakat terpelajar yang terus dikongkong.

"Potensi anak muda sebagai agen perubahan tidak pernah padam, walaupun kadang-kadang nampak suram, sampai masanya ia menggelegak juga," saya cuba menekankan fungsi gerakan mahasiswa  yang bertenaga untuk mempengaruhi lanskap sosio-politik tanahair, atau secara lebih khusus membela kepentingan rakyat tertindas.

Bayangkan, jumlah pelajar IPTA, IPTS, IPG (Institut Pendidikan Guru), politeknik dan kolej komuniti mencecah 1.3 juta orang. Mereka merupakan kelompok yang paling strategik dan kritikal untuk mana-mana gerakan perubahan. Tanpa mendampingi anak-anak muda ini usaha pembaharuan dan reformasi akan terbantut.


Terbaru, saya lebih tertarik mendengar kampus-kampus Universiti Teknologi Mara yang  juga mula berkocak. Umno sering berbangga dengan UiTM, manakala pergerakan mahasiswanya teruk ditekan. Pengurusan kanannya seolah-olah mahu memastikan setiap siswazah "menurut kata" dan "tidak melawan".

UiTM mempunyai pelajar paling ramai dan kampus cawangannya ada pada setiap negeri, kecuali Wilayah Persekutuan. Saya tidak pasti berapa ramai jumlah keseluruhan mahasiswanya, tetapi merujuk kenyataan Perdana Menteri pada 14 September 2013, pengambilan pelajar UiTM sudah mencapai 180,000, dengan sasaran 250,000 menjelang tahun 2020.

"Sdr jangan abaikan potensi hebat UiTM. Jumlah pelajar dan cawangannya yang merata adalah kekuatan yang kini tersembunyi dan perlu digilap," pesan saya kepada sekumpulan pimpinan mahasiswa yang berkunjung ke pejabat Harakah, 10 Jun lalu, apabila menyedari salah seorang daripadanya daripada UiTM.

Tentunya ramai masih ingat karenah dan kontroversi bekas Naib Canselor UiTM, Dr Ibrahim Abu Shah. Lagaknya umpama Ketua Umno Cawangan atau pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK).

Nada ucapan Ibrahim semasa mengetuai UiTM sarat dengan perkauman. Tidak pelik beliau dilantik Najib Razak sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno, hujung November 2013.

Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, beberapa hari sebelum pilihan raya kecil Teluk Intan yang menyaksikan setiausaha politiknya, lulusan UiTM, Dyana Sofya Mohd Daud bertanding, menyifatkan pelajar UiTM bukan lagi robot.

"Dyana Sofya adalah testimoni kegagalan Ibrahim Abu Shah selama sembilan tahun menjadi Naib Canselor UiTM untuk menjadikan pelajarnya sebagai robot Umno dan membunuh idealisme serta impian anak muda Malaysia," kata Ketua Parlimen DAP itu.

Terkini, kes Mohd Fathihie Daimin dari UiTM Kota Kinabalu, yang dikenakan prosiding tatatertib, hanya disebabkan kenyataannya dalam Facebook, yang dianggap menggugat kepentingan UiTM, dan terlibat dalam perhimpunan tanpa kebenaran, menjolok mata sekali.

"Menarik sekali. Pertama, babitkan pelajar UiTM. Kedua, dari Sabah pula tu," respons segera seorang rakan, juga peminat politik kampus.

Sayang sekali, ketika rakan-rakannya, termasuk tiga pimpinan pelajar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) bertandang ke rumah saya, baru-baru ini, Fathihie terpaksa pulang awal ke KK dan kami tidak sempat berkenalan lebih lanjut.

UMSKAL -- nun jauh di Labuan -- yang begitu jarang diperkatakan, malah mungkin sebahagian mahasiswa sendiri tidak menyedari kewujudannya, sebenarnya menyimpan cerita penuh warna-warni.

Sejumlah 16 aktivis pelajarnya dibicarakan pada 26 Mei lalu, atas tuduhan mengadakan perhimpunan dan perarakan dalam kampus tanpa kebenaran. Tiga digantung pengajian satu semester, lapan diberi amaran dan dibuang dari kolej kediaman, manakala lima lagi masih dalam proses prosiding.

Sering menerima tetamu dari kalangan anak-anak muda yang kental semangat dan padu tekadnya itu  juga, sekurang-kurangnya buat saya, satu rahmat tersembunyi. Ya, ia bagai terapi merawat keuzuran yang bertindan-tindih. Sekurang-kurangnya nyalaan obor jiwa muda dikembalikan walaupun jasad agak longlai!

Sedar tak sedar, saya sering dipanggil "Pak Lutfi" oleh pimpinan mahasiswa yang bertamu -- sambil isteri tidak jemu-jemu menyediakan juadah nasi Arab versi Melayu -- mengingatkan bahawa hampir 30 tahun zaman kampus  telah ditinggalkan. Tempoh yang cukup lama, tetapi masih terasa segar, membekas dan nostalgik.

Sehinggalah apabila sempat berbicara dengan Pengerusi Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku/ Akta 174, Khairol Najib Hashim, di kediaman saya, di Bukit Ampang dan terusnya di pejabat, di Jalan Pahang Barat, saya terasa GMMA/174 tidak boleh dipandang ringan.

Benar, setiap generasi mahasiswa mempunyai gerakan tersendiri untuk membatalkan akta drakonian itu dan sehingga kini mereka belum berjaya. Namun, saya dapat merasai, keazaman lebih 20 aktivis pelajar bersama Khairol Najib, yang bersembang santai di Harakah hampir dua jam petang Selasa itu, cukup  tinggi.

"Anda semua harus buktikan, gerakan mansuh Auku kali ini pasti membekas, dan bukannya hanya mengulangi lagu lama atau sekadar rutin buat setiap generasi kepimpinan mahasiswa," saya seolah-olah mencabar.

Mereka menyedari ia tidak mudah dan sejarah perlu diukir. "Jika ISA boleh dimansuhkan selepas puluhan tahun ditentang, masakan Auku juga tidak boleh dikuburkan?" kata seorang daripadanya.

"Tapi ISA hanya mansuh selepas demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur?" jolok seorang yang hadir.

"Auku juga mungkin begitu ... kita tidak tolak pilihan himpunan raksasa," terdengar respons segera, disambut gelak ketawa, bukan petunjuk meremehkannya, tapi tanda kerelaan untuk turun ke padang.

Usaha membebaskan kongkongan yang berpanjangan sejak 1971, dan diperketatkan pada 1975 itu, memerlukan lonjakan dan momentum baru, sehingga Auku dimansuhkan sepenuhnya.

Bukan lagi dikaburi pindaan kosmetik, misalnya pada 2012 yang membenarkan mahasiswa berpolitik, sedangkan kebebasan berorganisasi dan bersuara dalam konteks lebih luas tetap terpasung kukuh.

Apa pun, jasa dan komitmen luhur bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifuddin Abdullah akan tetap terakam dalam sejarah. Dia memang seorang tokoh pembaharu dalam dunia pendidikan. Sayang, khidmatnya tidak lama.

Situasi sebenar di menara gading masih cukup menyedihkan. Anak-anak muda berpotensi, seperti ungkapan Dr Siddiq Fadil, telah dicederakan atau dicacatkan secara sengaja oleh ibu bapa mereka sendiri. Sadis sekali.

Agenda mansuhkan Auku tidak harus dibebankan hanya kepada mahasiswa ataupun warga kampus yang lain, misalnya tenaga akademik ataupun  para pensyarah. Ia tanggungjawab bersama, melibatkan setiap individu-kumpulan prihatin yang peduli dan resah dengan kebobrokan melampau ini, ya ... termasuk Harakah, 'kan?

 

Baca Seterusnya......

Hubungan rapuh PAS-DAP?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

BANYAK ulasan dan analisis dibuat terhadap keputusan PRK Teluk Intan, termasuk menyifatkannya sebagai loceng peringatan, bukan saja buat DAP, malah untuk rakan pentingnya dalam Pakatan, PAS.

Parti Islam itu sepanjang kempen dilihat bersungguh-sungguh membantu calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, khususnya dalam kawasan Dun Changkat Jong, yang pernah diwakili PAS pada 2008.

Cuma saya menambah, janganlah seseorang yang sedang tidur lena, bingkas bangun bila terdengar “wake up call”, dan dalam keadaan “mamai” terkejut bertindak separa sedar “terjun ikut tingkap” pula!

Apabila ada pemimpin DAP melatah dengan kekalahan tipis Dyana, seterusnya membuat rumusan yang dikira menyinggung sekutu rapatnya, saya tidak terkejut jika ia mengundang reaksi hampir sama di pihak PAS.

 

 

Namun begitu, biarpun agak kerap dikocak dengan pelbagai isu sensitif-kontroversi, kedua-dua parti – yang mempunyai hubungan istimewa bagi menentukan survival Pakatan Rakyat – tetap memilih jalur sederhana, saling memahami dan cuba merongkai masalah yang timbul dalam adab kekeluargaan.

DAP dan PAS, parti yang sering dilihat sebagai berbeda kutub, kini sepatutnya melalui fasa kerjasama yang lebih mengakar dan matang, terutama membabitkan barisan kepemimpinan akar umbi dan pertengahan, selain mengekalkan hubungan baik di peringkat tertinggi.

Tidak bertembung semasa perundingan kerusi dalam pilihan raya – mungkin DAP dan KeADILan ataupun PAS dan KeADILan lebih terdedah kepada ‘perebutan kawasan’ – kerana tumpuan konstituensi berbeda bukan bermakna selamat daripada pergeseran tajam dan konflik.

“Bukan saja persefahaman PAS dan DAP nampak rapuh dan mudah diganggu dengan isu-isu yang seolah-olah telah disapu di bawah karpet, malah kerjasama PAS dan KeADILan juga saya kira tidak seutuh mana. Masing-masing dengan agenda tersendiri,” seorang yang memperkenalkan diri sebagai bekas pimpinan KeADILan di Terengganu, menghantar SMS kepada saya.

“Kita bergerak dalam sistem demokrasi, menyertai pilihan raya, tentunya dengan menyedari kemajmukan rakyat Malaysia, termasuk kepelbagaian Sabah dan Sabah,” kata teman saya, pensyarah kanan sains politik di Kuala Lumpur.

“Bukan sampai menggadai prin sip, tapi gelanggang ini ada sensitiviti dan pantang-larang yang unik,” tambah beliau. “Jangan biarkan Umno-BN yang korup itu terus bernafas hanya disebabkan kelemahan kita menari atas pentas yang kita pilih sendiri,” ujarnya.

Kedua-dua parti, PAS dan DAP. diikat dengan ideologi perjuangan tersendiri. Jika mahu dilihat dari segi perbedaan, memang mudah sekali untuk mencari “medan berlaga”, tetapi kalau disorot secara lebih cermat, potensi untuk menggembleng kekuatan bersama cukup menyerlah.

Umno-BN selama ini mempunyai formula cukup mudah untuk terus bertakhta dalam tempoh yang cukup panjang (sehingga mencatat rekod dunia), antaranya, dengan bijaksana membakar sentimen perkauman dan keagamaan sempit.

Ternyata, PAS dan DAP mengambil masa begitu lama bagi mencari keserasian; bibit mulanya pada 1990, diperkukuhkan pada 1999 tapi retak pada 2001, sebelum dipertautkan kembali “secara tidak sengaja” selepas tsunami 2008.

Ya, parti-parti dalam Pakatan Rakyat sebenarnya mempunyai ruang dan kesempatan terbaik untuk membuktikan bahawa per sefahaman mereka jauh lebih tulus-erat berbanding komponen dalam BN walaupun dalam tempoh singkat.

Lebih penting lagi, kerjasama sesama Pakatan akan mendatangkan manfaat besar buat rakyat.

Bagaimanapun, ia tergantung kepada kemampuan untuk membentuk kerajaan baru terlebih dahulu, didahului keyakinan pengundi, bagi menggantikan pemerintahan yang penuh rasuah, kronisme, kapitalisme suku-sakat, kezaliman dan penindasan.

Dalam pada itu, cabaran baru timbul selepas PAS dan DAP berupaya “diserasikan”. Ketika PAS mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu pada 1999, DAP berada pada tahap yang agak lemah, ditandai dengan kemerosotan jumlah kerusi Parlimen, termasuk kekalahan pemimpin utamanya, Karpal Singh dan Lim Kit Siang.

Sewaktu DAP berada di kemuncaknya pada PRU13, PAS pula bukan saja tidak dapat menganjak posisinya ke tangga lebih atas, malah kehilangan Kedah dan beberapa kerusi Parlimen di kawasan Melayu di negeri tersebut.

Kawasan luar bandar masih boleh dianggap sebagai kubu Umno.

Sokongan hampir tidak berbelah bahagi masyarakat bukan Melayu, khususnya Cina, banyak menyumbang kelebihan kepada PAS. Soalnya, apakah Teluk Intan membawa mesej bahawa masyarakat Tionghua tidak boleh lagi dianggap sebagai “deposit tetap” buat Pakatan?

“Mungkinkah untuk masa depan, sekiranya pengundi Melayu menyokong PAS, khususnya di luar bandar, dalam masa sama masyarakat Cina akan kembali mengundi BN pula?” ujar seorang pembaca Harakah dari Pulau Pinang.

“Saya cuba nak sampaikan kepada sdr, teori pendulum tidak pernah berakhir dan ia memberi keuntungan kepada BN,” tambahnya. “Harus dicari jalan keluar nya.”

Baca Seterusnya......

Harap bertenang dengar loceng amaran, usah terjun tingkap!

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Debaran jantung saya ketika menunggu pengumuman keputusan PRK Teluk Intan, malam Isnin, 31 Mei lalu, tidaklah sekencang semasa menonton siaran langsung pertandingan akhir Piala Thomas di antara Malaysia dan Jepun, seminggu sebelumnya.
Saya terpaksa menenangkan diri, dengan berbar...ing di atas katil, di bilik bersebelahan ruang tengah, sambil mengurut dada, secara psikologi untuk meredakan ketegangan. Walaupun isteri menasihatkan agar terus tidur sahaja -- tambahan pula agak letih sebaik pulang dari meninjau kawasan pilihan raya pada Sabtu dan Ahad -- saya tetap gagahi juga.

Dan terbukti, ada nikmatnya melalui situasi cemas "turun-naik menang-kalah" menyaksikan pemain negara bersilih ganti mengutip mata dengan bakat baru Jepun!


Pastinya Dyana memasuki gelanggang jauh lebih yakin dan bergaya daripada pasukan Malaysia melangkah ke New Delhi. Sandaran bekalan majoriti DAP sebanyak 7,313 pada PRU13 agak melegakan.

Sebelum buat pertama kali melihat Menara Condong Intan pada 24 Mei, saya tidak pernah membayangkan jumlah kerusi Parlimen DAP akan merosot. Poster dan banner Dyana, dengan paparan jauh lebih menarik berbanding calon BN, menyuntik lebih keyakinan.

Bagaimanapun, apabila berbicara langsung dengan beberapa penduduk tempatan, semuanya penyokong Pakatan, khususnya di markas induk jentera kempen PAS, saya agak terkedu.

Rupanya kerjasama erat dan kesungguhan yang ditunjukkan aktivis PAS -- sehingga tergambar olah-olah Parti Islam itu sendiri yang bertanding, sekurang-kurangnya di kawasan Dun Changkat Jong -- bukan bermakna laluan Dyana menjadi lebih mudah.

Awalnya timbul rungutan tentang kontroversi hudud ekoran soalan perangkap wartawan terhadap Dyana, juga melarat pemakaian tudung.

"Sdr jangan remehkan sesuatu yang nampak kecil dan terpencil, tetapi dalam konteks Teluk Intan, sebenarnya boleh menjadi persoalan besar atau dapat dibesar-besarkan, di sini masih dianggap kampung," bisik seorang pesara semasa meraikan saya.

"Dyana seorang Muslim, berbeda dengan majoriti pemimpin DAP yang lain, dan kena ingat ini pilihan raya kecil, isu pakai tudung dan T-shirt pendek pun boleh timbulkan keraguan. Saya tak pasti, apakah ada calon Umno dari kalangan wanita, yang tidak bertudung?" tambahnya lancar selepas melihat saya terdiam.

Saya cuba mendefinisikan penyertaan Dyana, wanita muda Melayu berpendidikan tinggi, sebagai calon DAP, terutama untuk menyuburkan budaya politik baru, sekali gus memecahkan tembok perkauman, di samping menyisihkan kempen kebencian.

Ia diharap turut memberi impak besar dan merintis dimensi baru terhadap lanskap siasah negara yang masih sendat dengan bagasi sejarah yang terus memetakkan rakyat pelbagai bangsa dan agama.

Saya tidak pasti apakah rakan baru itu dapat menangkap maksud dan penekanan saya. Bagaimanapun rasa cemas apabila diberitahu "ada protes dalaman terhadap Dyana" reda apabila seorang pimpinan PAS meyakinkan saya bahawa ia akan reda selepas Presiden Tuan Guru Abdul Hadi Awang turun membuat penjelasan keesokannya.

Ketika meninggalkan Teluk Intan, walaupun keyakinan terjejas, namun saya masih percaya Dyana akan menyalakan obor baru yang cukup bercahaya dan sukar dipadam, sebagai persiapan berdepan PRU14.

Justeru, mengakhiri kolum Catatan Hujung, yang ditulis pendek pada 27 Mei, ketika kesan diabetik pada mata agak teruk, saya merakamkan: "Harapnya, penglihatan saya dapat pulih sepenuhnya untuk menyaksikan cahaya itu."

Namun begitu, menjelang hari pengundian, sahabat yang berkampung di Teluk Intan memaklumkan: "Dulu kita bimbang dengan pengundi Melayu, yang masih ragu-ragu untuk mengundi DAP, tapi sekarang lebih bermasalah lagi ... pengundi Cina luar kawasan, yang hampir semuanya penyokong Pakatan mungkin tidak balik. Orang berusia di sini khabarnya lebih tertarik dengan calon BN, anak tempatan, dijamin Najib Razak akan jadi menteri bila menang."

Difahamkan kemenangan besar pada PRU13 disumbangkan oleh peratusan mengundi yang tinggi iaitu 80.6%, berbanding hanya 70% lima tahun sebelum itu, dengan catatan majoriti kemenangan DAP waktu itu, 1,470 undi.

Malah ada yang berani mengunjurkan: "Orang Cina melebihi usia 50 tahun, dan jumlahnya ramai di sini, lebih selesa dengan Mah Siew Keong, juga ada faktor perkauman, lagipun dia dan keluarganya dekat dengan masyarakat setempat. Kalau Melayu tidak beralih banyak, apatah lagi sokongan India merosot, juga tidak puas hati sebab DAP tak letak calon India, kacau!"

"Pengundi Cina lebih pragmatis dan mudah berubah berdasarkan keadaan dan manfaat yang dihitung. Kesetiaan kepada parti tidak sepertimana orang Melayu, mereka bukan deposit tetap untuk sesiapa," demikian ingatan guru politik saya, lama dahulu, sebelum PRU12 lagi.

Disebabkan pertarungan sengit antara Dyana-Mah, selain warna-warni gemerlapan kempen, dan kesungguhan untuk menarik seramai mungkin pengundi Melayu, kami di Harakah memberikan liputan agak istimewa, seolah-olah calon PAS yang bertanding.

Sekitar Maghrib, 31 Mei, SMS wartawan Harakah Perak, Faeez Azahar, sekadar mengesahkan kerisauan saya: "Kalah, 238 undi." Sudah pasti, seperti penyokong Pakatan yang lain, saya turut kecewa.

"Pengundi Cina begitu ghairah untuk ubah kerajaan dalam PRU13. Dari jauh, serata pelosok dunia, mereka terbang balik mengundi, sebab yakin Putrajaya dapat ditawan. Saya tak dapat bayangkan bagaimana kita mahu kembalikan momentum itu, apatah lagi selepas kalah Teluk Intan," seorang pembaca Harakah meluahkan dalam emel, pagi esoknya, Ahad.

"Tan Sri Khalid Ibrahim bukan saja kalah dalam PRK Ijok, malah dimalukan apabila ucapannya yang tersasul sokong BN disiarkan berulang kali di TV, tapi tak lama kemudian, selepas PRU13 dia diangkat MB Selangor," saya memberi respons, mengulangi hujah untuk "menyedapkan hati".

Dyana masih muda; peluangnya terbuka luas. Eksperimen DAP mencalonkan tokoh muda Melayu di kawasan bukan majoriti Melayu perlu dihargai. Dan saya yakin, Dyana bukan setakat tidak mudah mengalah, malah mendapat ilmu dan pengalaman politik melimpah-ruah sepanjang kempen.

Ya, kepada Dyana dan DAP, ada kejutan tidak terduga, termasuk "pantang-larang" dan sensitiviti yang perlu diimbangi. Buat pemain aktif, DAP dan PAS khususnya, usah sembrono mencari daleh. Perlawanan ini tidak terhenti dengan kalah atau menang.

Apa pun, saya lebih suka melihatnya sebagai loceng amaran, buat mengejutkan yang leka-alpa, terutama yang masih beranggapan Pakatan dalam mood berbulan madu lagi, terutama dengan pengundi bukan Melayu.

Tapi, janganlah mereka yang bingkas bangun mendengar deringan yang membingitkan itu terus bertindak melulu sehingga mungkin terjun melalui tingkap tanpa sedar!

Sesama Pakatan pula. uruskanlah perbedaan dengan bijaksana. Pengundi sentiasa menilai ...

Seperti juga menonton final Piala Thomas di antara Malaysia dan Jepun, saya tetap "enjoy" dengan ulasan-ulasan yang dibuat terhadap kekalahan Dyana, meskipun semacam ada tafsiran berbeda pemimpin Pakatan.

sememangnya persefahaman dan keserasian pemimpin Pakatan akan terus diuji.

BERSAMBUNG

-------------
ARTIKEL LUTFI 27 MEI

Obor yang sukar dipadamkan lagi
Oleh Ahmad Lutfi Othman
Saya masih dalam 'pantang' ketika berkunjung ke Teluk Intan, Sabtu lalu. Masalah penglihatan sejak 50 hari lalu menghalang saya menulis dan membaca (serta merenung) dengan baik.

Memang menyeksakan (dan menginsafkan) apabila terpaksa berehat daripada mengisi kolum Catatan Hujung dalam tempoh yang begitu lama. Ya, pernahkah anda terfikir, bagaimana sekiranya secara tiba-tiba, mata gagal melihat?

Gamitan Teluk Intan yang menyegarkan tubuh yang uzur ini tentulah bukan disebabkan keunikan menara condong, mahupun keenakan mee udangnya, tetapi saya tidak boleh menafikan faktor tarikan calon DAP, Dyana Sofia Mohd Daud. Ia menjadikan Teluk Intan lebih meriah-ceria berbanding Kajang dan Bukit Gelugur.

Lebih daripada itu, saya mahu meninjau sendiri proses pembentukan babak baru politik Malaysia, di tengah-tengah gejolak sentimen perkauman yang cuba dibakar semahunya. Sejak tsunami PRU 2008, saya sentiasa yakin, tiba masanya nanti, budaya politik baru, jika dipupuk dan disuburkan, mampu menenggelamkan bahtera BN yang sudahpun hampir karam itu.

Sewaktu anak-anak muda Umno -- tidak terkecuali pemimpin kanannya, seperti Zahid Hamidi -- hilang kewarasan dan menyerlahkan sikap prejudis yang tinggi, pemimpin dan aktivis PAS memilih jalur sederhana yang menyejukkan.

Bagaimanapun, sejarah membuktikan, pendirian politik parti Islam itu tidak mudah dirumuskan. Dalam usaha membentuk persefahaman bersama Tengku Razaleigh Hamzah pada akhir 1980-an, protes dalaman juga tinggi, Dan jangan anggap kerjasama dengan Anwar Ibrahim berjalan begitu mudah, termasuk sehingga kini. Laluannya tetap berliku.

Apatah lagi bersahabat dengan DAP. Barisan Alternatif pernah runtuh beberapa tahun selepas kemenangan bergaya PAS pada 1999 ekoran polemik Negara Islam. Kontroversi Hudud berulang dan kenyataan Dyana turut mengundang rasa tidak selesa penyokong PAS.

Malah, semasa singgah di markas induk jentera kempen PAS di Padang Tembak, Teluk Intan, ada petugas memberitahu saya, seruan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu agar berkerja bagaikan PAS yang bertanding, juga menerima bantahan.

"PAS tak rugi apa-apa jika terus giat berkempen, sebaliknya secara tidak langsung dapat mempamerkan sosoknya umpama saudara tua yang ikhlas dan boleh dipercayai dalam Pakatan Rakyat," ujar saya memujuk.

Namun begitu, saya melihat rata-rata aktivis PAS dari seluruh negara yang berkampung di situ, tetap istiqamah dan bertugas penuh dedikasi. Mereka kelihatan "enjoy" sekali, apatah lagi markas PAS sentiasa dilimpahi makanan, tanda semangat gotong royong tetap berakar.

Satu kelebihan, ahli PAS biarpun mungkin ada yang protes di peringkat awal, tetapi selepas diberi penjelasan, segera bertaut untuk bekerja tanpa was-was lagi.

Sebenarnya makin banyak pilihan raya kecil diadakan, tambah intim persefahaman dalam Pakatan. Kerjasama bukan lagi di peringkat atasan -- kadangkala didorong motif politik tertentu -- tetapi melebar kukuh di kalangan penyokong dan ahli. Lebih indah, persahabatan ini mula dirintis Perak pada tahun 2008. (Ingat kerajaan negeri pimpinan Nizar Jamaluddin).

Apa pun keputusannya pada malam 31 Mei nanti, Dyana -- dengan kecekalan dan keberanianya -- telah berjaya membawa obor yang sukar dipadamkan lagi. Harapnya, penglihatan saya dapat pulih sepenuhnya untuk menyaksikan cahaya itu.
Baca Seterusnya......

Apa tarikan istimewa Pemilu Indonesia?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Hasrat saya untuk meninjau proses pilihan raya Indonesia baru-baru ini terpaksa ditangguhkan. Insya-Allah, menjelang pemilihan Presiden, dijangka Julai nanti, saya berharap dapat meneliti sendiri suasana kempen yang cukup demokratik itu.Selepas reformasi 1998, yang menyaksikan Suharto ditumbangkan dengan kuasa rakyat, republik itu melalui fasa-fasa perubahan - khususnya berkait kebebasan bersuara - yang mengkagumkan.
Sebagai wartawan, tentu sekali minat saya lebih tertumpu kepada faktor akses media buat calon-calon dan parti yang bertanding. Ketika tuntutan Bersih di Malaysia langsung tidak dipedulikan, pengundi Indonesia sudah lebih 15 tahun menikmati "kebebasan akhbar yang lumayan".

Di bawah Orde Baru, akhbar di sana ditindas, wartawan-penulis yang berani diburu, majalah independen digantung, malah penguasa Indonesia yang sukar menerima pandangan berbeda,  melalui pegawai kedutaannya di Kuala Lumpur pernah menegur liputan Harakah yang tidak disenangi mereka!

Tentulah kemunculan media bebas dan adil itu tidak datang dengan sendiri. Ia diperjuangkan sejak lama - juga memakan korban - dan bukannya ehsan pemerintah yang melonggarkan kawalan. Semasa Jakarta merayakan kemenangan reformasi pada 1998, Kuala Lumpur bermuram durja apabila regim Dr Mahathir Mohamad terus kekal berkuasa pada 1999.

Berdepan beberapa kali pilihan raya selepas Suharto ditumbangkan, media Indonesia menyajikan liputan yang relatif berimbang dan adil. Menurut pemerhati politik, "dibandingkan dengan Amerika pun, media massa di negara kita mampu menjaga jarak dengan para calon Pemilu," merujuk integriti media yang bukan saja tidak memihak tetapi "sukar dibeli".

Dan saya turut tertarik dengan ungkapan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, Mac 2014: "Jika anda suatu saat menjadi presiden yang sedang memerintah dan kemudian ikut pilpres lagi, maka jangan kecil hati dan jangan marah jika dunia pers tidak berpihak kepada anda."

Dalam pertemuan dengan wartawan di Surabaya, 5 April, Susilo memberi jaminan: "Media juga sudah tentu akan mengawal perjalanan Pemilu agar bebas."

Tidak perlu  dinukilkan semula situasi yang cukup kontradik di negara kita. Hampas! Tuntutan parti pembangkang untuk mendekati media, bagai anjing menyalak bukit. Bukan hanya berita "dipadamkan" tetapi lebih jelik apabila kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat kerap diputarbelit.

Najib Razak bukan hanya disorot paling eksklusif atas kapasiti Perdana Menteri, malah aktiviti dan ucapannya sebagai Presiden Umno pun disiarkan secara langsung oleh TV kerajaan dan swasta. Benar kata seorang bekas Ketua Hakim Negara, kedudukan istimewa PM Malaysia turut dicemburui Presiden Amerika Syarikat!

Media Malaysia dikawal melalui undang-undang yang menekan, misalnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, serta dasar pemilikan yang ketat. Selain organ parti yang terbatas pengedarannya - Harakah, Suara Keadilan dan Roket - kelulusan permohonan permit akhbar hampir mustahil diberikan kepada pengusaha yang bebas daripada pengaruh elit penguasa.

Selepas dua minggu meneliti Pemilu Indonesia, Dr Agus Yusof, pada 10 April lalu merumuskan beberapa penambahbaikan proses pilihan raya di negara kita berdasarkan pengalaman Indonesia:

1.Media kita perlu lebih terbuka supaya tidak lagi menyajikan pandangan sebelah pihak.

2.Media kita tidaklah perlu terlalu mempropagandakan sesuatu isu sehingga menceroboh intelek rakyat.

3.Media kita hendaklah mengajak pemimpin utama berbahas di TV supaya rakyat berpeluang menilai keupayaan dan kewibawaan mereka.

4.Ketua parti yang bertanding hendaklah dimunculkan di TV untuk menyampaikan visi dan misi perjuangan serta mempertahankannya  dengan mengambil soalan daripada moderator atau penonton.

Sehari sebelum itu, juga dalam akaun Facebook, Dr Agus  mencatatkan: "Ulasan dan analisis panelis Pemilu 2014 di pelbagai saluran TV di Indonesia seimbang sekali. Tidak ada bodek-membodek, caci maki dan keji mengeji.

"Analisis mereka tertumpu kepada pembentukan dasar kerajaan yang menjadi harapan rakyat selepas daripada pemilihan ini. Perbahasan adalah tentang idea bernegara. Rakyat diberikan ruang untuk berfikir. Hebatnya tanggungjawab media di sini. Terujanya."

Dalam pada itu, tulisan Affendy Hasni, Presiden Persatuan Mahasiswa Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, yang turut berpengalaman menyaksikan kempen Pemilu 2014, elok diteliti:

"Saya begitu terkejut dengan menonton iklan kempen oleh setiap parti yang bertanding di kaca TV tanpa henti. Tidak kisahlah parti pemerintah ataupun parti pembangkang, semuanya diberikan peluang untuk menyampaikan manifesto masing-masing.

"Setiap parti politik yang berkempen di TV menggunakan pelbagai idea yang kreatif dalam memikat pengundi. Ini adalah keadaan yang saya tidak lihat dalam pilihan raya lepas di Malaysia.

"Saya adalah pengundi pertama kali dalam PRU13. Rata-rata pengundi muda seperti saya terpaksa beralih ke medium selain TV arus perdana bagi mendapatkan maklumat mengenai parti-parti lain yang bertanding. Kami terpaksa ke beralih ke Facebook, Twitter ataupun laman web rasmi pembangkang."

Jika tahun lalu, sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2013, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang saya terajui telah menganjurkan Konvensyen Akses Media dalam PRU13, kali ini ada cadangan sekitar tarikh 3 Mei, pengalaman media Indonesia dalam Pemilu 2014 boleh dikongsi lebih ramai audien.

"Usaha menuntut kebebasan media, sekurang-kurangnya hak untuk terbit akhbar, juga sampai memiliki stesen TV... jangan patah di tengah jalan. Lawan sampai berhasil. Jadikan Indonesia sebagai rujukan," seorang rakan lama, editor kanan berpengalaman lebih 30 tahun, sentiasa berpesan.

Apa pun, menjelang pilihan raya presiden Indonesia, saya bertekad mengikutinya dari dekat. Bukan tarikan Jokowi atau siapa jua tokoh yang bakal bertanding, tetapi  liputan media negara jiran itu - bebas dan seimbang - sebenarnya yang menggamit.

Baca Seterusnya......

Menanti perarakan petani 1 Mei

Oleh Ahmad Lutfi Othman

MULANYA saya terlepas rombongan untuk ke Baling, . Memang mudah untuk membatalkan sahaja hasrat itu tetapi ada faktor tarikan yang lebih kuat. Lebih kurang sebulan lalu, saya sempat bersua muka dan men dengar keluhan hampir 50 penoreh getah di Kuala Ketil, di temani Adunnya yang cukup prihatin, Cikgu Md Zuki Yusuf.

Saya masih terkenang luah an hati seorang ibu tunggal; anak nya, pelajar sekolah menengah terpaksa ponteng sekolah kerana tidak mampu membayar tambah bas. Pendapatan bulanan, tidak me lepasi RM150, de ngan harga ge tah pada tahap terendah.Ramai lagi yang berbicara sejujurnya hari itu. Rumusannya, ke peritan di peringkat akar umbi sudah tidak dipedulikan elit penguasa.

 

 

Mereka memang terabai.

Justeru, tekad saya ... mesti berada di tengah-tengah khalayak puluhan ribu yang bakal meme riahkan Himpunan Derita Rakyat di Baling, 5 April.

Mungkin tiada formula penyelesaian dapat dicapai, tetapi tiada kompromi untuk absen dalam acara yang diharap mampu meng ukir sejarah. Ya, wartawan perlu merasai sendiri denyut nadi dan degup jantung masyarakat ter aniaya.

Justeru, pilihan yang ada ha nya melalui pesawat pada pagi Sabtu dan turun di Bayan Lepas, Pulau Pinang, seterusnya berkejar ke Padang Keda, Kupang, dan harus sampai sebelum jam 3 petang.

Kampung asal saya di Tunjang, Jitra sebenarnya lebih dekat de ngan lapangan terbang Kepala Batas, Kedah tetapi saya perlu mengelak daripada meredah perjalanan lebih panjang untuk sampai ke Baling.

Saya lebih suka membayangkan ada perarakan raksasa ke pekan Baling, sekurang-kurangnya seper timana himpunan Bersih mengelilingi Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Demonstrasi yang statik tentulah membosankan.

Apa pun, tentulah sukar untuk mengulangi nostalgia tunjuk perasaan Baling, Disember 1974. Ketika itu, tiada rancangan tersusun daripada penganjur untuk menghimpunkan begitu ramai petani yang dihimpit kemiskinan dan diasak kelaparan, kalaupun belum sampai ke tahap kebuluran.

Detik itu, parti-parti pembangkang yang menang besar pada pilihan raya 1969 – PAS, Gerakan dan PPP – berada dalam gabung an BN. Suara warga desa yang ter pinggir berpadu dengan keprihatinan mahasiswa dan keresahan tenaga akademik.

Lebih penting, rakyat yang dilupakan itu benar-benar kecewa dan muak dengan pemerintah. Nu rani mereka memberontak. Tan pa perlu dihasut, orang kampung terdorong untuk berarak menuntut hak.

Namun, saya tetap mengimpikan, selepas 40 tahun, golongan rakyat tertindas, bukan sekadar penoreh, tetapi juga pesawah atau nelayan misalnya, dapat mempamerkan kesatuan, biarpun kini dipayungi parti-parti politik, seperti PAS dan Pakatan Rakyat.

Agak gelisah juga apabila ra kan yang menemani dari Pulau Pinang perlu membereskan urus an terlebih dahulu, menyebabkan kami agak lewat bertolak.

Saya bimbang terperangkap dalam kesesakan lalulintas ataupun terpaksa berdepan sekatan polis, yang bakal menghalang kami tiba awal bagi merakamkan situasi.

Saya masih ingat, semasa berkunjung ke Memali buat kali pertama pada 1985, sejurus tragedi berdarah yang mengurniakan syahid kepada Ustaz Ibrahim Libya dan anakanak muridnya, saya harus melalui, tidak kurang lima sekatan polis. Itupun atas alasan untuk menziarahi saudara terdekat di sana.

Memali bagai dilanggar garuda. Sunyi sepi, hampir tiada peng huni lelaki. Semuanya ditahan bo rong ISA. Berdepan kediaman Assyahid, tangan saya menggeletar, jantung berdegup kencang; jiwa muda 22 tahun tercabar!

Tetapi petang Sabtu lalu, laluan lancar. Saya pula yang risau dan rimas. Bimbang himpunan tidak mendapat sambutan. Apatah lagi sepanjang jalan dari Seberang Jaya, tiada poster atau banner besar yang memaklumkan himpun an.

Hanya apabila sampai ke simpang untuk masuk Kupang, jam 3 petang, baru kelihatan bendera PAS berkibar menyambut tetamu.

Bagaimanapun, Padang Keda yang berdepan Pejabat PAS Kawa san Baling masih kosong.

“Kurang sangat orang ni ...,” bisik saya kepada wartawan Harakah Pulau Pinang, Sabri Said, sambil menunjukkan jam sudah melewati jam 3.15 petang.

“Awal lagi, biasalah, kejap lagi ramailah,” balas Ali Bukhari Amir, yang menemani saya dari Kuala Lumpur.

Antara khabar awal yang mendukacitakan, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim tidak dapat hadir. “Himpunan hari ini lebih bergantung kepada kekuatan PAS,” dakwa rakan yang menyampaikan berita itu.

Anwar adalah tokoh yang se ring dikaitkan, bukan hanya de ngan demonstrasi Baling 1974 te tapi juga tunjuk perasaan pelajar di Kuala Lumpur, sehingga Masjid Negara yang menjadi “pusat perlindungan” dirempuh polis.

Saya memilih untuk mencari tempat rehat melepaskan lenguh kaki dan dahaga di gerai minuman berdekatan. Cukup ramai sekali penjaja berniaga. Sukar mencari kerusi kosong.

Sambil bersembang santai dengan rakan sekampung, Husin Jusoh, pidato daripada pentas utama lantang kedengaran. Ada juga seakan-akan menjerit, mungkin turut bersemangat melihat ke hadiran yang berpusu-pusu.

Selain pimpinan PAS setempat dan wakil-wakil NGO yang me wakili pesawah, peneroka, maha siswa dan masyarakat sivil lainnya, pimpinan KeADILan, termasuk Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, dan DAP juga turut berceramah.

Senada. Mengkritik keras kerajaan BN dan Najib Razak. Saya lebih tertarik dengan persoalan yang dibangkitkan seorang rakan yang baru saya kenali hari itu: “Penoreh getah antara golongan yang paling tertekan sekarang, tapi mengapa majoriti mereka masih kuat menyokong BN, berbanding orang bendang. Malah kalau sesama peneroka pun, yang mengusahakan getah lebih pekat darah Umnonya daripada kelapa sawit.”

Menghampiri jam 6 petang, padang hampir penuh tetapi langit tambah gelap. Tanpa menunggu lama, hujan mencurah. Cukup le bat sekali. Khemah pun tidak berupaya melindungi.

Saya yang masih bertongkat berjalan perlahan-lahan mencari teduh di sebuah gerai mihun sup.

“Patut majlis besar macam ini, kena sediakan tandas bergerak,” tegur seorang rakan lama, dari Shah Alam.

“Tapi, lupakan dulu ... aku nak tanya pandangan hang tentang hudud. Tiba-tiba saja Umno beria-ia sokong. Hang tak rasa ini perangkap nak pecahkan Pakat an? Bagi aku, Umno ini, kalau dia suruh yang baik pun, tak boleh ikut, mesti ada helah sebaliknya,” hujahnya lancar.

Saya sekadar tersenyum. Sahabat saya ini nampak begitu bimbang persefahaman dalam Pakat an terburai ekoran isu hudud. “Dulu Barisan Alternatif pecah ber punca isu Negara Islam,” dia mengingatkan.

“Buat masa ini,” celah saya sambil ketawa kecil, “aku lebih bimbangkan himpunan malam ini, kalau hujan lagi, takut Umno gelakkan kita aja. Derita peneroka mesti diperjuangkan terus. Kalau perlu ajak mereka berarak 1 Mei depan di Kuala Lumpur. Ya, aku lebih suka kita semua berarak bukan hanya dengar pidato macam petang ini.”

Baca Seterusnya......

Thursday, April 10, 2014

Kesukaran saya sebagai OKU beristinjak di musim catuan air ini

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Malam tadi, semasa berkunjung ke rumah mentua di Kota Warisan, Sepang, saya terdengar laporan berita Buletin Utama TV3:

"Penduduk di Lembah Klang mungkin terpaksa menghadapi catuan air sehingga bulan puasa dan hari raya.'Ini kerana paras air di beberapa empangan di Selangor terutamanya empangan Sungai Selangor masih berada di bawah paras 55 peratus paras yang membolehkan catuan air ditarik balik.

 "Situasi itu diburukkan lagi dengan keadaan cuaca yang panas serta kering yang dijangka berterusan sehingga Ogos."

Pagi ini, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan sama, daripada Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Md. Khairi Selamat bahawa penduduk di Lembah Klang mungkin terpaksa berdepan dengan catuan bekalan air sehingga Julai ini bagi membolehkan takungan empangan di negeri ini mencapai paras 55 peratus.

 

"Sampai bulan Ramadan? Teruknya. Masya Allah, apa kerajaan Selangor buat ni? Lepas setuju MoU dengan kerajaan pusat pasal air, lagi teruk jadinya? Harakah kena timbulkan isu catuan yang berlanjutan sampai raya nanti. Jangan diam hanya kerana ia babitkan kerajaan Pakatan. Kalau ia berlaku zaman BN perintah Selangor, saya boleh bayangkan apa serangan hebat Harakah kepada Umno," emel seorang pembaca Harakah dari Tanjong Karang kepada saya dipetik.

Semasa warga Lembah Klang tertunggu-tunggu pengumuman yang melegakan ketika hujan mulai turun dengan lebatnya di sesetengah lokasi, termasuk dengan ribut petirnya sekali, laporan TV3 itu cukup mengejutkan, malah begitu  mengecewakan.

Catuan air sejak beberapa bulan ini -- dan mulai 4 April lalu melibatkan 1.15 juta daripada 1.8 juta pemilik akaun Syabas di Kuala Lumpur dan Selangor -- menimbulkan begitu banyak kesukaran.

Banyak kawasan menyaksikan catuan bukan lagi terhad kepada tempoh hari, tetapi lebih lama lagi. Malah dalam dua masa hari catuan dibuat, penduduk terbabit terpaksa berdepan kesulitan, terutama yang mempunyai keluarga ramai, orang tua, OKU dan mereka yang uzur.

Kita tidak mempersoalkan soal paras air di empangan, ataupun jumlah taburan hujan yang dikira tidak mencukupi untuk mencapai tahap 55 peratus bagi membolehkan catuan berakhir, tetapi apakah cukup sekadar alasan itu diberikan dan kita semua terpaksa menunggu dan menunggu? Apakah segala usaha dan inisiatif proaktif telah dilakukan bagi menamatkan keresahan ini?

Berapa banyaklah air yang boleh disimpan untuk kegunaan selama dua hari? Itupun ratusan ringgit terpaksa "dibazirkan" untuk membeli tong-tong air yang relatif mahal itu. Kalau peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga bekas air, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan/

Pernah pada satu pagi, saya terasa nak bersarapan bubur nasi di KFC Bandar Baru Ampang. Hasrat terhalang apabila kami dimaklumkan KFC tidak menyediakan sebarang minuman panas dan juga bubur nasi kerana tiada bekalan air.

Saya kemudiannya membuat aduan kepada Ibu Pejabat KFC: "Apabila KFC tidak mampu sediakan walaupun hanya secangkir kopi, saya curiga bagaimana tahap kebersihan makanan lain yang disediakan."

Ya, isu kebersihan menjadi topik utama khususnya kepada mereka yang terpaksa makan di luar. Bagaimana bahan-bahan mentah dibersihkan, ketika air menjadi sesuatu yang begitu mahal sekarang?

Seorang pemilik restoran mamak di Ampang memberitahu saya, dia terpaksa membeli air dengan kos yang agak tinggi, untuk meneruskan bisnesnya... Sekurang-kurangnya dia lebih prihatin daripada pengusaha KFC tadi, 'kan?

 

Anda sendiri di rumah, maklum tentang kesukaran untuk menjaga kebersihan ini. Misalnya, bagaimana keadaan tandas di rumah anda? Terlalu berdikit-dikit menggunakan air juga menyebabkan timbul masalah lain. 

Maaf, saya yang uzur sebelah badan termasuk membabitkan tangan kiri ekoran serangan strok, sukar sekali untuk istinjak, terutama selepas buang air besar, dalam tempoh catuan air. Saya membayangkan lebih ramai lagi yang menghadapi kesulitan lebih perit berdepan masalah air yang berterusan ini.

Saya memanjangkan kemarahan warga Selangor-KL -- yang banyak menghantar SMS dan emel -- kepada wakil rakyat Pakatan. Ada yang memberi respons segera sambil turur menegur kaedah menangani krisis ini, tetapi ada juga yang seperti tidak ambil peduli. Ya, memang banyak lagi masalah lain yang lebih besar untuk diberi perhatian segera.

 

"(Syabas, PUAS atau pihak berkuasa) patut cerita apa program nak suppy air dalam tempoh catuan dulu, lepas itu baru boleh cerita sampai bila nak lanjut tempoh catuan," SMS seorang Adun Selangor, memberi reaksi segera.

Cuma, saya teringat keluhan kolumnis Harakah, Selena Tay, dalam tulisannya di Harakah edisi Isnin lalu: "Tiada satu pun Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang membangkitkan isu catuan air pada masa sidang Parlimen yang sedang berlangsung kini.  Semuanya terlalu sibuk pasal pesawat MH370 sehingga sudah lupakan pasal isu catuan air yang menyusahkan kehidupan harian rakyat. 

 

"Inilah rungutan semua 20 orang suri rumahtangga yang diwawancara oleh penulis ini perihal isu catuan air di KL dan Selangor.

"Ramai warga Lembah Klang  berasa hairan mengapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat hanya diam membatu perihal isu ini walhal isu ini amat membebankan rakyat bahkan dalam setengah hal merugikan rakyat juga terutamanya golongan peniaga."

 

Baca Seterusnya......

Wednesday, April 2, 2014

Menanti jalinan mahasiswa, pensyarah dan orang kampung

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Demonstrasi Baling 40 tahun lalu mengingatkan kita kepada ketulenan perjuangan gerakan pelajar dan kepedulian sosial yang tinggi di kalangan masyarakat desa.

Justeru, saya mahu bertanya, apa khabar mahasiswa hari ini? Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 diperketatkan pada 1975 selepas demonstrasi Baling itu, yang juga “membakar” Kuala Lumpur sehingga Masjid Negara yang menjadi “medan tempur” dan autonomi universiti hancur apabila kampus digempur polis, melalui Operasi Mayang, menyebabkan ada aktivis mahasiswa berkelana jauh ke luar negara, misalnya Hishamuddin Rais.

 Kini Auku dilonggarkan, terutama berkaitan sikap dan pendirian politik pelajar, namun kongkongan pentadbiran universiti, khususnya Hal Ehwal Pelajar masih kukuh mengikat.

Kedua, bagaimana pula dengan kesedaran berpolitik warga kampung, yang dikira menjadi penyelamat Umno-BN dalam PRU13?

Apakah kemiskinan menyebabkan mereka lebih mudah dicucuk hidung atau tenggelam dalam “mentaliti subsidi” (satu istilah yang sering disalahtafsirkan)?

Himpunan bersejarah itu juga mengimbau dedikasi tinggi penggeraknya, yang kini mewarnai persada politik tanah air, khususnya Anwar Ibrahim, selain tokoh pelajar – seperti Kamaruzaman Yaakob dan Halim Arshat – serta kakitangan akademik – misalnya Dr Syed Husin Ali dan Gurdial Singh – yang mungkin sudah kurang dikenali siapa mereka.

Lagi pertanyaan, apa cerita para pensyarah kita, yang kelihatan “senyapsunyi” di menara gading, meskipun tanahair tercinta bergolak dahsyat?

Agak lama saya tidak mendengar perkhabaran mengenai persatuan kakitangan akademik; mungkin masingmasing sibuk dengan penyelidikan dan proses mendidik anak bangsa, atau apa sebenarnya, ya?

Rupanya selepas empat dekad, tidak banyak yang berubah dalam negara kita. Kemiskinan dan kelaparan yang menjadi isu besar pada 1974 masih terus membelenggu dan menggigit.

Sikap tidak peduli elit pemerintah terhadap keperitan hidup golongan bawahan tetap mengakar, malah bersama kroni dan suku-sakat, mereka berlumbalumba memenuhkan tembolok masing-masing, membiarkan majoriti rakyat terus dibelit aneka masalah.

Seperti rumusan bermakna Dr Syed Husin Ali dalam Syarahan Baling, 10 Disember 2012: “Keadilan sosial sekarang berbanding hampir 40 tahun lalu, tidak banyak berubah sebab kerajaan pun tidak berubah.”

Saya yang turut hadir, dalam majlis sempena Hari Hak Asasi Manusia yangh dirakan di seluruh dunia itu, yang diserikan pidato utama oleh Anwar Ibrahim, masih mengingati ungkapan Dr Syed: “Baling menunjukkan perlu persefahaman, kesatuan, penggabungan tenaga dan jalinan erat semua pihak bagi menjayakan gerakan perubahan. Tidak harus dibiarkan segelintir kecil orang, tapi besar kuasanya, melakukan kezaliman.”

Apakah himpunan 5 April, di Padang Awam Kupang, Baling nanti dapat mengembalikan nostalgia 40 tahun lalu?

Atau, ada agenda lebih besar untuk menangani cabaran dan hambatan baru, selepas perubahan yang didambakan rakyat masih belum dinikmati? Ya, saya masih meneliti kunci kata demonstrasi Baling; Mahasiswa, masyarakat kampung terpinggir dan kakitangan akademik.

Bagaimana gabungan tiga elemen penting ini, sekarang? – lutfi_detik@ yahoo.com

 http://mindalutfi.blogspot.com/

 


 

Baca Seterusnya......

Tuesday, April 1, 2014

Menanti demo 1 juta umat bantah Mesir dan isu Memali

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Semasa mendapat panggilan dari nombor antarabangsa yang tidak dikenali, sekitar jam 3 petang Jumaat, 28 Mac lalu, saya dan dua anak lelaki sedang berjalan perlahan menuju Kedutaan Mesir, di Ampang Hilir, Selangor selepas solat Jumaat di Masjid Al-Mustaqim, Taman Dagang.

Cuaca walaupun panas tetapi tidaklah sampai menggigit kulit, membuatkan lebih 1,000 peserta demonstrasi, yang membantah hukuman mati ke atas  529 penentang kerajaan haram Mesir, tetap bersemangat.

Kebanyakan mereka berarak dari Surau Nurul Hikmah, Hotel De Palma, Ampang, selepas solat Jumaat di sana. Majoritinya, anak-anak muda, lelaki dan wanita, atau lebih tepat lagi golongan mahasiswa, mahu menzahirkan amarah terhadap kezaliman tanpa batas itu.

 

(Sejak mendengar khabar duka keputusan mahkamah kanggaro Mesir, beberapa hari sebelumnya, iaitu pada malam Perdana Menteri, Najib Razak mengumumkan destinasi terakhir MH370 adalah di Lautan Hindi, fikiran saya cukup terganggu. Apakah siri penindasan melampau ini akan terus dibiarkan begitu saja? Kita belum lupa bagaimana para demonstran yang berhimpun secara aman di Dataran Rabia Adawiya terkulai ditembusi peluru, malah ada mayat yang dibakar. Penembak tepat pula ditempatkan di menara bagi mencari sasaran khusus).

Kelompok besar dari Jalan Ampang tidak dibenarkan pihak polis untuk masuk merapati pintu masuk kedutaan, dijarakkan sekitar 50 meter, dan kami yang datang dari arah bertentangan, kawasan berdekatan tasik Ampang Hilir, turut dihalang daripada bergabung dengan kumpulan utama.

Pasukan keselamatan melarang laluan di hadapan kedutaan mungkin mahu mempastikan warga di dalamnya tidak diancam peserta himpunan, walhal terbukti suara prihatin petang itu yang membantah pencabulan dahsyat hak asasi, termasuk untuk mendapat keadilan di mahkamah, adalah cetusan nurani yang menyanjung tinggi perdamaian. 


Dari jauh, terdengar lantang ucapan wakil parti-parti politik Pakatan Rakyat dan pelbagai NGO, menyifatkan zaman Firaun dan kediktatoran warisan Mubarak-Sadat muncul semula. Disambut seruan takbir dan gema laungan solidariti bersama Ikhwanul Muslimin Mesir, yang kini dilabelkan  beberapa negara Arab sebagai teroris.

Sementara saya meminta izin pihak polis untuk mendekati "pentas pidato" -- sebenarnya sebuah lori di persimpangan jalan -- sempat juga meneliti nombor panggilan yang tiga kali tidak dijawab itu. (Selepas memohon ehsan melintasi bangunan kedutaan, dan menunjukkan kad wartawan, barulah dibenarkan).

Tanpa menunggu lama, pemanggil menghantar SMS, empat kali berturut-turut, sambil memperkenalkan diri ... rupanya Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS, tapi dari London.

"Lebih 500 dihukum mati oleh mahkamah Mesir terhadap penyokong Ikhwanul Muslimin dan para peserta demonstrasi. Sebenarnya, ia bukan satu perbicaraan tapi pembunuhan beramai-ramai oleh kerajaan haram Al-Sisi. Dunia wajib kutuk pembunuhan melalui mahkamah itu," kandungan SMS beliau dipetik.


Seperti mengetahui Kuala Lumpur sedang digegarkan demonstrasi dan beliau tidak berkesempatan untuk memeriahkannya, SMS Mohamad bersambung: "Esok saya cuba pastikan ada himpunan sama di kota London dan akan turut hadir membantah pembunuhan beramai-ramai di Mesir itu.

"Regim Arab yang menyokong kerajaan haram Al-Sisi juga mesti bertanggungjawab atas pembunuhan ala-jahiliyah itu. Rakyat Malaysia, Islam dan bukan Islam, harus bangkit menentang tindakan gila yang cukup memalukan ini. Atur strategi dan kaedah berkesan, termasuk di peringkat antarabangsa, untuk menekan Mesir."

Singgungan Mohamad terhadap regim serantau, di Asia Barat dan Teluk Parsi, mengingatkan saya dengan faktor dan peranan politik Timur Tengah, khususnya Arab Saudi. Ikhwan sememangnya sentiasa dimusuhi Saudi. Pada akhir 1980-an, dalam perjalanan ke Memali, saya cukup terkejut apabila seorang ustaz yang lama menetap di Makkah secara selamba menyifatkan gerakan Ikhwanul Muslimin sebagai pengganas, lama sebelum Bush mengiystiharkan perang dengan teroris!

Berdepan bangunan kedutaan Mesir, yang dikepung pihak polis, saya tidak puas hanya mendengar dari jauh, apatah lagi sebagai wartawan, kita harus jelas butiran yang diucapkan pemidato, selain merasai sendiri situasi. Selepas berbincang dengan seorang pegawai polis, saya bersama anak diiringi untuk menyertai kelompok lebih ramai.

Rupanya delegasi Pakatan dan NGO untuk menyerahkan memorandum langsung tidak dilayan wakil kedutaan. Mereka tidak mahu menerima memo tersebut, sebaliknya minta dimasukkan dalam peti surat sahaja; satu sikap yang menyerlahkan keangkuhan dan kesombongan. Tiga hari sebelumnya, sekumpulan ahli-ahli Parlimen PAS, antaranya Ustaz Idris Ahmad dan Ustaz Nasrudin Tantawi, yang turut menghantar nota bantahan, juga menerima nasib sama.

Saya maklumkan hal duta yang arogan itu kepada Mohamad Sabu, dan beliau membalas pantas melalui SMS: "Tak terima memo satu perbuatan tak bertamadun. Negara Arab dan negara umat Islam mesti belajar untuk jadi civilised. Apa yang dilaukan duta Mesir itu mengundur jauh ke belakang."

Saya kira, jika bantahan serupa dibuat di Mesir sendiri, dalam keadaan aman, mungkin para demonstran, sekurang-kurangnya akan dihujani tembakan gas pemedih mata dan hayunan keras belantan, namun . Tetapi melihatkan ketakburan wakil kedutaan di Malaysia, saya jangkakan, mungkin saja peserta himpunan di Mesir, yang membantah aksi kejam penguasanya, boleh dibunuh tanpa belas kasihan, menerusi bidikan senjata canggih.

Sejarah politik moden Mesir tidak sunyi daripada rantaian konspirasi elit pemerintahnya terhadap Ikhwan. Tuduhan dan bukti untuk mensabitkan kesalahan boleh direka dengan mudah. Penyeksaan di dalam penjara lebih mengerikan, sehingga tidak pernah terbayang pun oleh fikiran yang waras.

Ya, diktator Mesir sejak zaman Gamal Abd Naser, Anwar Sadat, Hosni Mubarak dan konco-konconya memang cukup "berhati kering", kejam tidak terhingga.

Terbaru, Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) menyiarkan laporan tentang pukulan teruk, salah laku seks dan renjatan elektrik dilakukan ke atas tahanan, termasuk kanak-kanak dan remaja di Mesir.

Sekurang-kurangnya 200,000 orang ditangkap sejak Presiden Morsi digulingkan tentara. "Nampaknya Mesir sudah kembali semua ke zaman Mubarak yang terbabit dengan penderaan secara sistematik. Lebih banyak penyeksaan dilakukan sekarang kerana semakin ramai yang ditahan. Apa yang berbeza ialah tahap kekejaman yang semakin dahsyat," kata anggota kumpulan aktivis Rangkaian Arab Bagi Maklumat Hak Asasi, Gamal Eid, seperti dilaporkan Berita Harian.

 

Justeru, saya lega apabila mendengar jaminan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat, selepas memo mereka ditolak mentah-mentah, bahawa demonstrasi lebih besar akan terus dianjurkan pada Jumaat berikutnya, ekoran sikap angkuh wakil kedutaan.

Apa pun, persiapan harus diatur lebih rapi, terutama bagi memastikan kehadiran audien dalam demonstrasi akan datang lebih ramai dan menyeluruh, meliputi pelbagai sektor dan melibatkan pemimpin utama.

Bagi setiap demo, saya akan teruja apabila melihat banner dan  poster kreatif -- yang motifnya dapat disampaikan lebih jelas pada pandangan awam, dengan rekabentuk menarik dan slogan "mengancam" -- dipamerkan, malah risalah penerangan perlu disebarkan kepada "pemerhati dari jauh", khususnya pengguna jalan raya sekitar lokasi perhimpunan.

Mutakhir ini, didapati penganjur himpunan (mungkin lebih baik jika dapat diadakan perarakan raksasa -- seperti demonstrasi Bersih -- dalam jarak yang agak jauh) kurang mengambil berat soal kain rentang, sepanduk, poster, handbill dan flyer. Kalau adapun, banyak tertumpu kepada poster kecil, saiz A4, yang sukar menggamit perhatian masyarakat yang lalu-lalang.

Sementara itu, asakan berterusan harus disasarkan kepada pihak kerajaan agar mengambil langkah proaktif yang lebih agresif, misalnya bukan saja mengecam keputusan mahkamah yang membelakangkan proses keadilan semulajadi, malah bertindak menggantung hubungan diplomatik jika perlu.

Jika usaha untuk membahaskan usul tergempar di Parlimen pun ditolak, apalah yang boleh diharapkan lagi kepada kerajaan Malaysia?


II.

Saya terpaksa menangguhkan ulasan tentang pendedahan Tun Musa Hitam di Kota Bharu, 27 Mac lalu, mengenai Peristiwa Memali, juga satu tragedi pembunuhan beramai-ramai, yang masih tinggal misteri. Tuduh menuduh dalam Umno, mengenai siapa penyebab utamanya, bukan perkara baru.

Nyawa tok guru dan anak-anak muridnya yang terkorban syahid itu tidak wajar dipersiakan. Sekurang-kurangnya tidak terus menjadi bahan tohmah. Bukan hanya mereka perlu "dibersihkan", malah sejarah ramai lagi "penentang kerajaan", khususnya tahanan tanpa bicara wajar ditulis semula.

Isunya bukan soal sama ada Dr Mahathir Mohamad masih  di dalam negara ataupun sudah berlepas ke China ketika negara dikejutkan dengan pembunuhan 19 November 1985. Ia jauh lebih besar daripada penjelasan Musa, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri ketika itu.

Baca Seterusnya......

Sunday, March 23, 2014

Bongkar, selongkar isu rakyat di Pekan

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Hujung minggu lalu, Sabtu dan Ahad, bersama tiga wartawan Harakah, saya ke Pantai Timur; singgah di kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan, mengunjungi pimpinan PAS Kawasan Pekan, seterusnya sempat bertanya khabar rakan-rakan aktivis mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Meskipun pencarian kehilangan MH370 sudah melewati tempoh seminggu, topik utama perbincangan kami tidak dapat lari daripada pelbagai misteri yang tersimpan di dalamnya. 

"Mungkin wartawan ada info eksklusif, kongsilah sikit dengan kami?" seorang aktivis PAS Pekan cuba meneka.  Saya hanya menggelengkan kepala sambil tersenyum, "sama saja maklumat kita, masih banyak misteri yang belum terbongkar". 

Cerita dan gosil mengenai  kehilangan pesawat Boeng 777 Penerbangan itu menyebabkan saya hampir terlupa dengan pilihan raya kecil Kajang (apatah lagi kerusi Balingian, Sarawak) sehinggalah  ada teman  di Gambang, bertanyakan peluang Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Ismail untuk meningkatkan majoriti undi.

"Adakah mustahil calon BN hilang wang pertaruhan?" soalnya, sambil merujuk kes dua calon BN Pulau Pinang menerima nasib malang itu dalam PRU13, iaitu wakilnya  di Dun Pengkalan dan Dun Berapit apabila gagal memperolehi sekurang-kurangnya satu perlapan daripada keseluruhan undi.

"Usah remehkan kempen MCA, mereka serius mahu hantar wakil tunggal ke Dun Selangor, dan tak elok nampakkan kita seolah-olah takbur," pintas saya, selain juga mahu menekankan, tanpa kehadiran Anwar Ibrahim sebagai calon, kempen semacam hilang serinya, lagipun tidak ramai menjangkakan saingan sengit BN.

Melalui siaran berita TV, saya terdengar pengakuan pemimpin Wanita Umno bahawa pengundi Kajang tidak memberi reaksi sewajarnya, malah ada yang menutup pintu, kepada kempen mereka. Secara terbuka beliau mendedahkan, ada penduduk yang memberi ruang untuk masuk ke rumah tetapi mengambil kesempatan untuk mengkritik balik petugas BN.

"Apa posisi Kak Wan bila menang nanti? Mungkinkah gaya pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim berubah selepas ini?" rakan saya terus bertanya. Saya sekadar memintanya merujuk kepada kolum Liew Chin Tong dalam Harakah baru-baru ini, yang membayangkan langkah memenjarakan Anwar telah mendorong keyakinan strategis DAP itu bahawa Dr Wan Azizah adalah PM yang dinobatkan Umno secara tidak sengaja.

(Saya kemudiannya membaca kenyataan Lim Kit Siang bahawa misi "menghilangkan deposit" calon BN adalah bertujuan baik, iaitu menyelamatkan empat  pihak; Anwar dari hukuman lima tahun penjara, juga Karpal Singh yang dihukum atas kesalahan menghasut, selain badan kehakiman dan sistem keadilan negara yang bakal terjerumus ke zaman gelap, serta Malaysia yang dilanda enam krisis serangkai).

Di kampus UMP, Pekan, selesai solat jamak Zuhur-Asar, ada khabar duka tentang tragedi kematian dalam konsert liar di Bukit Jalil, ekoran penggunaan berlebihan dadah, difahamkan turut melibatkan pelajar IPTA dari Pahang. Memang kami terkejut, tetapi jauh di lubuk hati saya menginsafi keluarga malang itu pastinya lebih menderita dengan peristiwa sedih itu.

Bagaimanapun, diskusi kami mengenai pergolakan politik mahasiswa, antara lain insiden pembatalan majlis penyerahan watikah ahli Majlis Perwakilan Pelajar UMP, lebih mengujakan. Harakah telah membuat liputan mengenai kontroversi berkenaan.

Kebangkitan mahasiswa UMP -- yang selama ini terpisah daripada kampus Lembah Kelang -- cukup memikat perhatian saya. Tanpa diduga mereka bangun membantah pentadbiran universiti yang mencantas sewenang-wenangnya, tanpa alasan munasabah, nama-nama calon tertentu,  daripada menyertai pilihan raya kampus, sehingga mencetuskan demonstrasi aman yang cukup mengejutkan.

Ya, pelajar-pelajar itu seperti mahu mengajar pengurusan kanan UMP, agar jangan pandang rendah maruah dan harga diri mahasiswa. Mentaliti meremehkan mahasiswa oleh pegawai tinggi Hal Ehwal Pelajar memang menjadi lumrah meskipun Akta Universiti dan Kolej Universiti telah dipinda.

Kongkongan dan sekatan di kampus semakin menjadi-jadi, khususnya melalui "arahan tidak bertulis", bagi memastikan mahasiswa kekal sebagai "pelajar sekolah menengah atas". Segala perancangan dan program Majlis Perwakilan Pelajar harus dirujuk -- dan sudah pasti mesti mendapat kelulusan -- HEP. Dan di UMP, situasi sama, malah lebih ketat, terus menyekat gerakan pelajar daripada selesa bereksperimen mematangkan organisasi.

Menjelang tengahari Ahad itu, bertolak dari Hotel Sri Manja, Indera Mahkota, tidak jauh dengan kampus UIAM Kuantan, kami menuju ke Pekan. Saya terkenangkan rombongan PAS Pekan yang mengunjungi Pejabat Harakah di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur, tidak lama selepas saya menjalani  pembedahan pintasan jantung.

Sepanjang perjalanan, nampak hutan kecil di kiri kanan jalan terbakar. Seperti di lokasi lain, di musim kemarau ini, tiada pasukan bomba datang memadam. Menghampiri bandar Pekan, rakan wartawan, Ali Bukhari Amir -- yang banyak menulis tentang "revolusi dan penggulingan" -- menunjukkan banner kedai makan "Ustaz Najib". Kami sama-sama ketawa, sambil mengambil maklum ia tiada kaitan dengan Perdana Menteri, Najib Razak!

Ali turut asyik bercerita, khususnya kepada dua lagi teman wartawan, Arif Atan dan Arif Juhani yang memandu, tentang populariti Pekan sebagai "pekan martabak", iaitu Martabak Mengkasar. Sayang sekali, kedai makan di Jalan Sultan Abu Bakar itu belum dibuka ketika kami sampai.

Semasa bertukar-tukar pandangan dengan Yang Dipertua PAS Pekan, Ustaz Abu Kasim Manaf, di Pejabat PAS Kawasan, saya agak tersentak dengan pendedahan rangkaian isu-isu besar yang tidak ditangani dengan baik oleh Ahli Parlimennya, Najib Razak.

Dua tiga anggota Dewan Harian  PAS Pekan yang  turut sama dalam pertemuan itu menyenaraikan masalah rakyat, termasuk isu bekalan air bersih dengan segala kompleksitinya, masalah banjir. isu di Kuala Pahang, projek-projek terbengkalai termasuk yang bernilai berbilion ringgit, peluang pekerjaan, gangguan keselamatan, harga rumah yang mahal dan lain-lain lagi.

"Banyak isu di kawasan Perdana Menteri ini ... sayang sekali Harakah jarang menyiarkannya,"  Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Kapten (B) Ahiatuddin Daud meluahkan.

"Adakah Harakah juga takut dengan Najib?" seorang rakannya menambah, disambut ketawa hadirin yang lain. "Apalah yang nak ditakutkan, dan kalau nak tahu, saya bawa bersama hari ini tiga wartawan yang banyak bercakap tentang 'penggulingan Najib'," pintas saya, menyebabkan gelak-tawa berpanjangan dan bertambah nyaring.

"Lagi satu, kenapa Harakah tidak tekankan, mengapa perlu Najib lantik sepupunya Hishamuddin Hussein sebagai pemangku Menteri Pengangkutan, sedangkan dia telah gagal sebagai Menteri Dalam Negeri ketika menguruskan kes Lahad Datu dulu?" ujarnya lagi.

Perbincangan kami tengahari itu seperti susah untuk ditamatkan. Saya memahami begitu banyak yang mahu diluahkan, untuk kami rakam dan laporkan dalam Harakah. Apu pun, ia tentunya memerlukan kami turun ke gelanggang, melihat sendri masalah masyarakat akar umbi di kawasan Perdana Menteri.

Semasa bersalaman dengan Ustaz Abu Kassim, selepas menikmati juadah tengahari yang menyelerakan, saya seolah-olah memberi jaminan: "Insya-Allah, Ustaz tak perlu tunggu lama kehadiran kami ke sini lagi."

"Basiron pernah buat tinjauan  turun padang ke Pekan, tapi peliknya kenapa laporan dia tak disiarkan," tanya Ustaz Abu Kassim merujuk wartawan Harakah Pahang, Basiron Abd Wahab.

"Rasanya ada silap kat mana-mana tu, Ustaz. Takpa, kita akan betulkan kesilapan di peringkat editorial. Dari segi pemberitaan, Pekan memang ada keistimewaan tersendiri," jawab saya mohon berundur.

Kami masih ada temujanji di kampus UMP Pekan tidak jauh dari situ. Saya juga perlu mengejar waktu pulang segera memandangkan esok paginya perlu menjalani rawatan berkaitan masalah buah pinggang di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Dan semasa kami melintasi kedai Martabak Mengkasar, ia masih belum dibuka. Memang bukan rezeki hari itu...

Sememangnya, di mana-mana saja, di seluruh pelosok negara, elit penguasa yang menyuburkan budaya rakus kroni-kapitalisme, tidak segan-silu terus memunggah khazanah kekayaan, dengan membolot apa jua peluang bagi memenuhkan tembolok diri dan suku-sakat.  Justeru, Pekan tidak sekali terkecuali, kalau pun tidak menjadi salah satu daripada lubuknya.

Kabel politik sentiasa menjadi medium untuk melonjakkan lagi penggandaan kekayaan, membiarkan majoriti rakyat yang terus terkepung dengan asakan kenaikan kos sara hidup, selepas menjinakkan mereka dengan umpan BR1M dan seumpamanya.

Edisi terbaru majalah The Economist menyenaraikan Malaysia sebagai negara dalam kedudukan ketiga dalam indeks kapitalisme-kroninya bagi tahun 2014, kedudukan yang sama sejak kajian tersebut dilakukan pada tahun 2007.

Kunjungan singkat ke Kuantan dan Pekan ini, sekurang-kurangnya membuka peluang untuk bukan saja  kami mengenali "potensi kebangkitan" di Pantai Timur, malah mendekati kelompok yang banyak menyimpan cerita dan isu, untuk dikongsi lebih ramai orang.

Najib mungkin tidak lagi bimbangkan pengundi Pekan -- biarpun hampir dikalahkan pada Pilihan Raya Umum 1999, hanya menang dengan majoriti tipis 241 undi mengalahkan  calon PAS, Ustaz Ramli Mohamed -- dalam PRU berikutnya, namun suara keresahan masyarakat Pekan dan keberanian anak muda UMP tetap menarik perhatian kami untuk datang lagi, selain "pekena" Martabak Mengkasar yang belum sempat dijamah itu ....

Baca Seterusnya......

Abang besar Pakatan dan teori konspirasi MH370

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Saya agak terkilan kerana tidak dapat hadir Konvensyen Pakatan Rakyat kali kelima, di Shah Alam, Sabtu lalu. Keletihan dan keuzuran selepas menyiapkan Harakah edisi Isnin pada pagi 8 Mac itu menjadi penghalang.

Mungkin sebahagian kita menganggap pertemuan itu sekadar acara rutin yang kurang memberi impak besar, berbanding perhimpunan tahunan atau mesyuarat agung parti masing-masing -- PAS, DAP mahupun KeADILan. Tiada agenda besar yang bakal dibahaskan. Liputan media juga tidak terserlah, malah agak ramai yang tidak mengetahui program tersebut

Sedangkan, pada hemat saya, konvensyen tahunan keluarga besar Pakatan itu, sewajarnya diangkat ke tahap lebih istimewa, yang memungkinkan interaksi dan perbincangan aktivis akar umbi ketiga-tiga parti dapat dibuat secara lebih selesa, jujur dan  tempoh masanya bukan hanya sehari.

Pidato dan amanat 

Yakni, tidak setakat mendengar pidato dan amanat pemimpin tertinggi, seterusnya membacakan resolusi dan ketetapan bersama, malah sepatutnya menyediakan platform buat penggerak parti mengemukakan pandangan, hujah atau teguran bernas.

Ya, biar  aliran perbincangan dua hala dan boleh saja menyentuh isu-isu sensitif yang mungkin selama ini tidak terdedah kepada perbahasan. Pilihan raya masih jauh lagi, 'kan?

Lebih penting ada ruang untuk aktivis parti yang datang dari seluruh negara bersemuka secara lebih santai, mungkin dalam sesi minum teh atau selingan pertunjukan kesenian-kebudayaan.  

Berbeda dengan BN yang hanya mengutamakan persefahaman di peringkat elit atasan (atas dasar kepentingan dan habuan), penyelarasan dalam Pakatan tentunya tidak hanya diharapkan merata dan menyeluruh di semua peringkat tetapi harus lebih tulus dan terbuka.

Perkongsian kuasa dalam BN lebih terarah kepada tolak ansur  dan permuafakatan pemimpin tertinggi semua komponen parti sedangkan di lapis pertengahan dan bawahan, elemen syak wasangka dan curiga cukup tebal.

Sesekali menghadiri program Pakatan, termasuk ceramah politik dan majlis keramaian, terserlah gandingan dan toleransi yang sukar dilihat dalam majlis anjuran BN. Pakatan sememangnya sudah mengisi "posisi pertengahan" atau "jalur tengah" yang selama ini dimonopoli oleh BN, yang menyediakan laluan selesa untuknya menguasai pemerintahan sejak merdeka lagi.

Saya masih ingat, dalam pertemuan dengan Setiausaha Agung DAP,  Lim Guan Eng di LCCT, semasa menunggu penerbangan AirAsia ke Pulau Pinang, sekitar tahun 2011, mengulas hubungan PAS-DAP, Ketua Menteri itu memberi jaminan, selagi ada "orang-orang lama" yang pernah melalui siri tekanan yang sama, seperti Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dan Lim Kit Siang, kerjasama itu mudah untuk diputuskan.

Iktibar penahanan ISA  

Dan baru-baru ini, strategis DAP, yang juga kolumnis Harakah, Liew Chin Tong turut memberi komentar tentang latarbelakang hubungan erat pembangkang: "Tanpa diduga, Ops Lalang telah “menyatu-padukan” pembangkang dan aktivis NGO dalam kem tahanan buat kali pertama. Tahanan seperti Mohamad Sabu (kini Timbalan Presiden PAS), Lim Guan Eng (kini Setiausaha Agung DAP) dan sebagainya, adalah “orang baru” dalam politik ketika tahun 1987. Tahanan politik ini mendapati bahawa perselisihan kaum dan agama akhirnya akan menguntungkan Umno-BN."

Namun begitu, mutakhir ini penganalisis politik yang melahirkan rasa bimbang dengan kesepaduan yang terjalin dalam Pakatan, termasuk pada tahap tertinggi. "Sudah timbul sikap saling mencurigai, dan kalaupun tidak sampai memecahkan, tetapi boleh membuatkan kemenangan tertangguh," ujar seorang daripadanya. 

"Saya tidak risau keadaan ahli dan penyokong di bawah. Mereka tidak sabar-sabar lagi mahu menamatkan era BN yang korup ini. Sebahagiannya tiada kepentingan langsung. Ikhlas mahu melihat perubahan. Rakyat sudah lama menderita terutama ekoran kenaikan kos sara hidup," tambah beliau, sambil mengingatkan bahawa kerjasama dan persepakatan mesti tambah mantap kerana itulah satu-satunya senjata paling ampuh untuk berdepan BN yang memiliki segala kelebihan.

Justeru, himpunan tahunan gabungan yang belum diluluskan Pendaftar Pertubuhan itu cukup bermakna sekali, bukan saja di kala kesatuan  di antara ketiga-tiga pimpinan parti cuba diremehkan, malah ia semakin menarik perhatian ramai apabila diadakan sehari selepas Anwar Ibrahim dihukum penjara, sekali gus menghilangkan kelayakannya bertanding dalam PRK Kajang.


Tanpa kehadiran di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam itu, cukup sekadar menatap gambar-gambar yang dirakam jurufoto Harakah, Wan Zahari Wan Salleh, saya bukan saja dapat membayangkan kemeriahan persidangan tetapi seakan-akan mampu menghayati kesetiakawanan pimpinan Pakatan di segenap peringkat.

Misi dan cabaran getir  berdepan PRU14 sudah bermula, apatah lagi dengan kemungkinan Anwar kembali terperosok dalam penjara. Sekali lagi, persefahaman erat begitu ditagih, bagi memastikan bahtera besar Pakatan tidak dibocorkan rakan-rakan sendiri.

 

Benar, sesama Pakatan, tidak ada "abang besar" sepertimana gelagat Umno dalam BN. Masing-masing setaraf dan seimbang. Setiap suara dihormati. Setiap keluhan didengari. Konsensus menjadi syarat utama. Biarpun begitu, seperti biasa, idealisme murni tidak semestinya dapat dilaksanakan dengan baik dan cukup berkesan, terutama jika dirujuk pemerintahan di negeri-negeri.

Cedera dan terluka

Seperkara lagi, adat dalam persaingan politik, jumlah pemilikan kerusi Dun mahupun Parlimen tetap membawa petunjuk penting. Dibimbangi ada yang cedera dan terluka dalam proses "meluaskan wilayah". Maka, agihan kuasa dan sumber perlu dibuat, bukan hanya dengan kaedah yang lebih adil tetapi harus menjiwai prinsip tiada "abang besar" yang membuli.

Tempoh yang relatif lama menjelang PRU14 wajar dimanfaatkan untuk pelbagai persiapan dan persediaan memperkukuhkan dalaman parti serta meneroka kawasan "deposit tetap" Umno-BN secara lebih inovatif. Begitu juga dengan cabaran kritikal proses persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Mungkin pelbagai eksperimen politik, khususnya berdepan pengundi muda dan masyarakat Melayu luar bandar, boleh dibuat dalam jangka waktu ini. Pakatan tidak perlu risau sekiranya percubaan-percubaan itu kurang berhasil, malah kalau pun "menikam balik", ia masih terbuka kepada pembetulan atau penambahbaikan.

Pada petang konvensyen itu juga, seluruh negara gempar dengan misteri kehilangan pesawat MH370. Sehingga pagi Rabu -- lima hari selepas insiden -- bukan saja jawapan gagal diperolehi, malah banyak persoalan lain timbul, ditambah kecelaruan kenyataan bercanggah oleh pihak berkuasa.

Saling bercanggahan 

Hujah panglima tentera mungkin berbeda dengan Ketua Pengarah Jabatan Jabatan Penerbangan Awam, yang tidak disepakati pula oleh Ketua Polis Negara atau Ketua Pegawai Operasi MAS. Belum diambil kira kenyataan Menteri Pengangkutan dan juga Menteri Dalam Negeri. Bertambah pening dengan isu pesawat berpatah balik atau "air turn back", hilang daripada cerapan radar, bagasi yang dipunggah dan pelbagai cerita yang saling bertentangan.

Serentak dengan itu, termasuk didorong rasa tidak puas hati dengan bentuk pengurusan krisis yang kelihatan  kurang sistematik, di bawah garis profesionalisme, sehingga dianggap tidak kompeten -- selain nampak cuba menyembunyikan fakta dan keterangan kes -- rangkaian spekulasi dan gosip bukan saja muncul tetapi mampu mempertikai kenyataan rasmi. Kemahiran berkomunikasi para pegawai tinggi operasi mencari dan menyelamat juga 
dikritik hebat.

Misteri menjadi lebih rumit dan tambah mengelirukan. Di zaman langit terbuka, dengan pelbagai aplikasi teknologi canggih, maka gosip, andaian, dan jangkaan  peribadi kini boleh dikongsi secara meluas.  Sudah pasti "teori konspirasi" -- sebahagiannya tidak dapat diterima akal pun -- antara topik yang paling diminati.

Rasa ingin tahu sukar dibendung, apatah lagi apabila jawapan rasmi mudah dipertikai. Sementalahan pula banyak rujukan dalam dunia maya boleh disandarkan. Tiba-tiba ramai menjadi pakar -- bukan saja dalam dunia penerbangan tetapi juga hal berkaitan terorisme serta politik antarabangsa -- dan mengemukakan analisis yang nampak meyakinkan.

Tidak hairan jika hanya media sosial yang menyebarkannya. Ia turut "disahkan" laporan akhbar atau portal berita yang terpaksa bersaing mengejar berita. Sedangkan persidangan media rasmi di KLIA lebih banyak mendedahkan maklumat yang dianggap basi dan tiada "scoop".

Saya tidak sempat menelaah insiden ini, Dua rakan saya, Wan Nordin Wan Yaacob dan Arif Atan mengulas dari segi keselamatan negara, bukan saja terbukti mudah bolos sebelum ini, tetapi semakin terancam dengan kehadiran aset-aset ketenteraan negara asing yang sofistikated.

Malaysia diteropong halus

Kehilangan MH370 ini -- yang cukup aneh dan mungkin tidak pernah berlaku -- membuatkan tumpuan seluruh dunia tertumpu ke negara kita. Cara kita menanganinya diteropong halus. Jika ada kelemahan dan kepincangan, maka amat sukar sekali untuk disembunyikan. Tahap profesionalisme para pegawai kita -- juga elit penguasa -- sedang dihakimi. Oleh kerana ia melibatkan secara langsung faktor  keselamatan, maka prestasi Malaysia turut diberikan gred tertentu. Harapnya tidaklah sampai ke peringkat yang boleh memalukan negara! 

Budayawan H Fansuri pula menyinggung soal spekulasi: "Rakyat berspekulasi dengan kejujuran. Justeru, hormatilah spekulasi rakyat. Spekulasi bukan dosa dan tidak pernah pula dianggap sebagai satu jenayah oleh mana-mana bangsa. Akan ada spekulasi yang salah dan buanglah. Akan ada juga spekulasi yang munasabah dan masih boleh diterima akal."

Sementara itu, pandangan bekas ketua juruterbang Boeng 777 MAS, Kapten Noruden Abdul Majid, melalui Buletin Utama TV3, yang   mencadangkan supaya orang soleh dipanggil untuk mengesan MH370 mendapat reaksi bercampur.

"Sebagai orang beriman, ini adalah ketentuan. Allah SWT menentukan segala-galanya. (Kehilangan) ini mengelirukan dan menjadi perkara ajaib yang kita dan dunia kena terima," katanya.

Beliau mencadangkan gabungan pendekatan saintifik dan kaedah berdoa: "Doa daripada orang-orang yang soleh yang dekat dengan Allah dan keluarga (yang terlibat), kerana mereka sedang beremosi dan Allah sedang melihat mereka."

“Panggil mereka supaya mereka berdoa kepada Allah. Allah yang dapat mengembalikan kapal terbang yang hilang itu kerana teknologi yang secanggih mana pun tidak dapat mengatasi kuasa Allah,” katanya.

Atas daripada segalanya, kita mendoakan yang terbaik dalam pencarian ini. Sekalung penghormatan buat mereka yang bertungkus-lumus berusaha, berikhtiar dan tulus memohon pertolongan Allah SWT agar segala misteri segera terlerai. Sesungguhnya kita insan kerdil yang tidak mampu melakukan apa-apa melainkan dengan keizinan-Nya.

Baca Seterusnya......