Sunday, March 23, 2014

Bongkar, selongkar isu rakyat di Pekan

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Hujung minggu lalu, Sabtu dan Ahad, bersama tiga wartawan Harakah, saya ke Pantai Timur; singgah di kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan, mengunjungi pimpinan PAS Kawasan Pekan, seterusnya sempat bertanya khabar rakan-rakan aktivis mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Meskipun pencarian kehilangan MH370 sudah melewati tempoh seminggu, topik utama perbincangan kami tidak dapat lari daripada pelbagai misteri yang tersimpan di dalamnya. 

"Mungkin wartawan ada info eksklusif, kongsilah sikit dengan kami?" seorang aktivis PAS Pekan cuba meneka.  Saya hanya menggelengkan kepala sambil tersenyum, "sama saja maklumat kita, masih banyak misteri yang belum terbongkar". 

Cerita dan gosil mengenai  kehilangan pesawat Boeng 777 Penerbangan itu menyebabkan saya hampir terlupa dengan pilihan raya kecil Kajang (apatah lagi kerusi Balingian, Sarawak) sehinggalah  ada teman  di Gambang, bertanyakan peluang Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Ismail untuk meningkatkan majoriti undi.

"Adakah mustahil calon BN hilang wang pertaruhan?" soalnya, sambil merujuk kes dua calon BN Pulau Pinang menerima nasib malang itu dalam PRU13, iaitu wakilnya  di Dun Pengkalan dan Dun Berapit apabila gagal memperolehi sekurang-kurangnya satu perlapan daripada keseluruhan undi.

"Usah remehkan kempen MCA, mereka serius mahu hantar wakil tunggal ke Dun Selangor, dan tak elok nampakkan kita seolah-olah takbur," pintas saya, selain juga mahu menekankan, tanpa kehadiran Anwar Ibrahim sebagai calon, kempen semacam hilang serinya, lagipun tidak ramai menjangkakan saingan sengit BN.

Melalui siaran berita TV, saya terdengar pengakuan pemimpin Wanita Umno bahawa pengundi Kajang tidak memberi reaksi sewajarnya, malah ada yang menutup pintu, kepada kempen mereka. Secara terbuka beliau mendedahkan, ada penduduk yang memberi ruang untuk masuk ke rumah tetapi mengambil kesempatan untuk mengkritik balik petugas BN.

"Apa posisi Kak Wan bila menang nanti? Mungkinkah gaya pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim berubah selepas ini?" rakan saya terus bertanya. Saya sekadar memintanya merujuk kepada kolum Liew Chin Tong dalam Harakah baru-baru ini, yang membayangkan langkah memenjarakan Anwar telah mendorong keyakinan strategis DAP itu bahawa Dr Wan Azizah adalah PM yang dinobatkan Umno secara tidak sengaja.

(Saya kemudiannya membaca kenyataan Lim Kit Siang bahawa misi "menghilangkan deposit" calon BN adalah bertujuan baik, iaitu menyelamatkan empat  pihak; Anwar dari hukuman lima tahun penjara, juga Karpal Singh yang dihukum atas kesalahan menghasut, selain badan kehakiman dan sistem keadilan negara yang bakal terjerumus ke zaman gelap, serta Malaysia yang dilanda enam krisis serangkai).

Di kampus UMP, Pekan, selesai solat jamak Zuhur-Asar, ada khabar duka tentang tragedi kematian dalam konsert liar di Bukit Jalil, ekoran penggunaan berlebihan dadah, difahamkan turut melibatkan pelajar IPTA dari Pahang. Memang kami terkejut, tetapi jauh di lubuk hati saya menginsafi keluarga malang itu pastinya lebih menderita dengan peristiwa sedih itu.

Bagaimanapun, diskusi kami mengenai pergolakan politik mahasiswa, antara lain insiden pembatalan majlis penyerahan watikah ahli Majlis Perwakilan Pelajar UMP, lebih mengujakan. Harakah telah membuat liputan mengenai kontroversi berkenaan.

Kebangkitan mahasiswa UMP -- yang selama ini terpisah daripada kampus Lembah Kelang -- cukup memikat perhatian saya. Tanpa diduga mereka bangun membantah pentadbiran universiti yang mencantas sewenang-wenangnya, tanpa alasan munasabah, nama-nama calon tertentu,  daripada menyertai pilihan raya kampus, sehingga mencetuskan demonstrasi aman yang cukup mengejutkan.

Ya, pelajar-pelajar itu seperti mahu mengajar pengurusan kanan UMP, agar jangan pandang rendah maruah dan harga diri mahasiswa. Mentaliti meremehkan mahasiswa oleh pegawai tinggi Hal Ehwal Pelajar memang menjadi lumrah meskipun Akta Universiti dan Kolej Universiti telah dipinda.

Kongkongan dan sekatan di kampus semakin menjadi-jadi, khususnya melalui "arahan tidak bertulis", bagi memastikan mahasiswa kekal sebagai "pelajar sekolah menengah atas". Segala perancangan dan program Majlis Perwakilan Pelajar harus dirujuk -- dan sudah pasti mesti mendapat kelulusan -- HEP. Dan di UMP, situasi sama, malah lebih ketat, terus menyekat gerakan pelajar daripada selesa bereksperimen mematangkan organisasi.

Menjelang tengahari Ahad itu, bertolak dari Hotel Sri Manja, Indera Mahkota, tidak jauh dengan kampus UIAM Kuantan, kami menuju ke Pekan. Saya terkenangkan rombongan PAS Pekan yang mengunjungi Pejabat Harakah di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur, tidak lama selepas saya menjalani  pembedahan pintasan jantung.

Sepanjang perjalanan, nampak hutan kecil di kiri kanan jalan terbakar. Seperti di lokasi lain, di musim kemarau ini, tiada pasukan bomba datang memadam. Menghampiri bandar Pekan, rakan wartawan, Ali Bukhari Amir -- yang banyak menulis tentang "revolusi dan penggulingan" -- menunjukkan banner kedai makan "Ustaz Najib". Kami sama-sama ketawa, sambil mengambil maklum ia tiada kaitan dengan Perdana Menteri, Najib Razak!

Ali turut asyik bercerita, khususnya kepada dua lagi teman wartawan, Arif Atan dan Arif Juhani yang memandu, tentang populariti Pekan sebagai "pekan martabak", iaitu Martabak Mengkasar. Sayang sekali, kedai makan di Jalan Sultan Abu Bakar itu belum dibuka ketika kami sampai.

Semasa bertukar-tukar pandangan dengan Yang Dipertua PAS Pekan, Ustaz Abu Kasim Manaf, di Pejabat PAS Kawasan, saya agak tersentak dengan pendedahan rangkaian isu-isu besar yang tidak ditangani dengan baik oleh Ahli Parlimennya, Najib Razak.

Dua tiga anggota Dewan Harian  PAS Pekan yang  turut sama dalam pertemuan itu menyenaraikan masalah rakyat, termasuk isu bekalan air bersih dengan segala kompleksitinya, masalah banjir. isu di Kuala Pahang, projek-projek terbengkalai termasuk yang bernilai berbilion ringgit, peluang pekerjaan, gangguan keselamatan, harga rumah yang mahal dan lain-lain lagi.

"Banyak isu di kawasan Perdana Menteri ini ... sayang sekali Harakah jarang menyiarkannya,"  Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Kapten (B) Ahiatuddin Daud meluahkan.

"Adakah Harakah juga takut dengan Najib?" seorang rakannya menambah, disambut ketawa hadirin yang lain. "Apalah yang nak ditakutkan, dan kalau nak tahu, saya bawa bersama hari ini tiga wartawan yang banyak bercakap tentang 'penggulingan Najib'," pintas saya, menyebabkan gelak-tawa berpanjangan dan bertambah nyaring.

"Lagi satu, kenapa Harakah tidak tekankan, mengapa perlu Najib lantik sepupunya Hishamuddin Hussein sebagai pemangku Menteri Pengangkutan, sedangkan dia telah gagal sebagai Menteri Dalam Negeri ketika menguruskan kes Lahad Datu dulu?" ujarnya lagi.

Perbincangan kami tengahari itu seperti susah untuk ditamatkan. Saya memahami begitu banyak yang mahu diluahkan, untuk kami rakam dan laporkan dalam Harakah. Apu pun, ia tentunya memerlukan kami turun ke gelanggang, melihat sendri masalah masyarakat akar umbi di kawasan Perdana Menteri.

Semasa bersalaman dengan Ustaz Abu Kassim, selepas menikmati juadah tengahari yang menyelerakan, saya seolah-olah memberi jaminan: "Insya-Allah, Ustaz tak perlu tunggu lama kehadiran kami ke sini lagi."

"Basiron pernah buat tinjauan  turun padang ke Pekan, tapi peliknya kenapa laporan dia tak disiarkan," tanya Ustaz Abu Kassim merujuk wartawan Harakah Pahang, Basiron Abd Wahab.

"Rasanya ada silap kat mana-mana tu, Ustaz. Takpa, kita akan betulkan kesilapan di peringkat editorial. Dari segi pemberitaan, Pekan memang ada keistimewaan tersendiri," jawab saya mohon berundur.

Kami masih ada temujanji di kampus UMP Pekan tidak jauh dari situ. Saya juga perlu mengejar waktu pulang segera memandangkan esok paginya perlu menjalani rawatan berkaitan masalah buah pinggang di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Dan semasa kami melintasi kedai Martabak Mengkasar, ia masih belum dibuka. Memang bukan rezeki hari itu...

Sememangnya, di mana-mana saja, di seluruh pelosok negara, elit penguasa yang menyuburkan budaya rakus kroni-kapitalisme, tidak segan-silu terus memunggah khazanah kekayaan, dengan membolot apa jua peluang bagi memenuhkan tembolok diri dan suku-sakat.  Justeru, Pekan tidak sekali terkecuali, kalau pun tidak menjadi salah satu daripada lubuknya.

Kabel politik sentiasa menjadi medium untuk melonjakkan lagi penggandaan kekayaan, membiarkan majoriti rakyat yang terus terkepung dengan asakan kenaikan kos sara hidup, selepas menjinakkan mereka dengan umpan BR1M dan seumpamanya.

Edisi terbaru majalah The Economist menyenaraikan Malaysia sebagai negara dalam kedudukan ketiga dalam indeks kapitalisme-kroninya bagi tahun 2014, kedudukan yang sama sejak kajian tersebut dilakukan pada tahun 2007.

Kunjungan singkat ke Kuantan dan Pekan ini, sekurang-kurangnya membuka peluang untuk bukan saja  kami mengenali "potensi kebangkitan" di Pantai Timur, malah mendekati kelompok yang banyak menyimpan cerita dan isu, untuk dikongsi lebih ramai orang.

Najib mungkin tidak lagi bimbangkan pengundi Pekan -- biarpun hampir dikalahkan pada Pilihan Raya Umum 1999, hanya menang dengan majoriti tipis 241 undi mengalahkan  calon PAS, Ustaz Ramli Mohamed -- dalam PRU berikutnya, namun suara keresahan masyarakat Pekan dan keberanian anak muda UMP tetap menarik perhatian kami untuk datang lagi, selain "pekena" Martabak Mengkasar yang belum sempat dijamah itu ....

Baca Seterusnya......

Abang besar Pakatan dan teori konspirasi MH370

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Saya agak terkilan kerana tidak dapat hadir Konvensyen Pakatan Rakyat kali kelima, di Shah Alam, Sabtu lalu. Keletihan dan keuzuran selepas menyiapkan Harakah edisi Isnin pada pagi 8 Mac itu menjadi penghalang.

Mungkin sebahagian kita menganggap pertemuan itu sekadar acara rutin yang kurang memberi impak besar, berbanding perhimpunan tahunan atau mesyuarat agung parti masing-masing -- PAS, DAP mahupun KeADILan. Tiada agenda besar yang bakal dibahaskan. Liputan media juga tidak terserlah, malah agak ramai yang tidak mengetahui program tersebut

Sedangkan, pada hemat saya, konvensyen tahunan keluarga besar Pakatan itu, sewajarnya diangkat ke tahap lebih istimewa, yang memungkinkan interaksi dan perbincangan aktivis akar umbi ketiga-tiga parti dapat dibuat secara lebih selesa, jujur dan  tempoh masanya bukan hanya sehari.

Pidato dan amanat 

Yakni, tidak setakat mendengar pidato dan amanat pemimpin tertinggi, seterusnya membacakan resolusi dan ketetapan bersama, malah sepatutnya menyediakan platform buat penggerak parti mengemukakan pandangan, hujah atau teguran bernas.

Ya, biar  aliran perbincangan dua hala dan boleh saja menyentuh isu-isu sensitif yang mungkin selama ini tidak terdedah kepada perbahasan. Pilihan raya masih jauh lagi, 'kan?

Lebih penting ada ruang untuk aktivis parti yang datang dari seluruh negara bersemuka secara lebih santai, mungkin dalam sesi minum teh atau selingan pertunjukan kesenian-kebudayaan.  

Berbeda dengan BN yang hanya mengutamakan persefahaman di peringkat elit atasan (atas dasar kepentingan dan habuan), penyelarasan dalam Pakatan tentunya tidak hanya diharapkan merata dan menyeluruh di semua peringkat tetapi harus lebih tulus dan terbuka.

Perkongsian kuasa dalam BN lebih terarah kepada tolak ansur  dan permuafakatan pemimpin tertinggi semua komponen parti sedangkan di lapis pertengahan dan bawahan, elemen syak wasangka dan curiga cukup tebal.

Sesekali menghadiri program Pakatan, termasuk ceramah politik dan majlis keramaian, terserlah gandingan dan toleransi yang sukar dilihat dalam majlis anjuran BN. Pakatan sememangnya sudah mengisi "posisi pertengahan" atau "jalur tengah" yang selama ini dimonopoli oleh BN, yang menyediakan laluan selesa untuknya menguasai pemerintahan sejak merdeka lagi.

Saya masih ingat, dalam pertemuan dengan Setiausaha Agung DAP,  Lim Guan Eng di LCCT, semasa menunggu penerbangan AirAsia ke Pulau Pinang, sekitar tahun 2011, mengulas hubungan PAS-DAP, Ketua Menteri itu memberi jaminan, selagi ada "orang-orang lama" yang pernah melalui siri tekanan yang sama, seperti Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dan Lim Kit Siang, kerjasama itu mudah untuk diputuskan.

Iktibar penahanan ISA  

Dan baru-baru ini, strategis DAP, yang juga kolumnis Harakah, Liew Chin Tong turut memberi komentar tentang latarbelakang hubungan erat pembangkang: "Tanpa diduga, Ops Lalang telah “menyatu-padukan” pembangkang dan aktivis NGO dalam kem tahanan buat kali pertama. Tahanan seperti Mohamad Sabu (kini Timbalan Presiden PAS), Lim Guan Eng (kini Setiausaha Agung DAP) dan sebagainya, adalah “orang baru” dalam politik ketika tahun 1987. Tahanan politik ini mendapati bahawa perselisihan kaum dan agama akhirnya akan menguntungkan Umno-BN."

Namun begitu, mutakhir ini penganalisis politik yang melahirkan rasa bimbang dengan kesepaduan yang terjalin dalam Pakatan, termasuk pada tahap tertinggi. "Sudah timbul sikap saling mencurigai, dan kalaupun tidak sampai memecahkan, tetapi boleh membuatkan kemenangan tertangguh," ujar seorang daripadanya. 

"Saya tidak risau keadaan ahli dan penyokong di bawah. Mereka tidak sabar-sabar lagi mahu menamatkan era BN yang korup ini. Sebahagiannya tiada kepentingan langsung. Ikhlas mahu melihat perubahan. Rakyat sudah lama menderita terutama ekoran kenaikan kos sara hidup," tambah beliau, sambil mengingatkan bahawa kerjasama dan persepakatan mesti tambah mantap kerana itulah satu-satunya senjata paling ampuh untuk berdepan BN yang memiliki segala kelebihan.

Justeru, himpunan tahunan gabungan yang belum diluluskan Pendaftar Pertubuhan itu cukup bermakna sekali, bukan saja di kala kesatuan  di antara ketiga-tiga pimpinan parti cuba diremehkan, malah ia semakin menarik perhatian ramai apabila diadakan sehari selepas Anwar Ibrahim dihukum penjara, sekali gus menghilangkan kelayakannya bertanding dalam PRK Kajang.


Tanpa kehadiran di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam itu, cukup sekadar menatap gambar-gambar yang dirakam jurufoto Harakah, Wan Zahari Wan Salleh, saya bukan saja dapat membayangkan kemeriahan persidangan tetapi seakan-akan mampu menghayati kesetiakawanan pimpinan Pakatan di segenap peringkat.

Misi dan cabaran getir  berdepan PRU14 sudah bermula, apatah lagi dengan kemungkinan Anwar kembali terperosok dalam penjara. Sekali lagi, persefahaman erat begitu ditagih, bagi memastikan bahtera besar Pakatan tidak dibocorkan rakan-rakan sendiri.

 

Benar, sesama Pakatan, tidak ada "abang besar" sepertimana gelagat Umno dalam BN. Masing-masing setaraf dan seimbang. Setiap suara dihormati. Setiap keluhan didengari. Konsensus menjadi syarat utama. Biarpun begitu, seperti biasa, idealisme murni tidak semestinya dapat dilaksanakan dengan baik dan cukup berkesan, terutama jika dirujuk pemerintahan di negeri-negeri.

Cedera dan terluka

Seperkara lagi, adat dalam persaingan politik, jumlah pemilikan kerusi Dun mahupun Parlimen tetap membawa petunjuk penting. Dibimbangi ada yang cedera dan terluka dalam proses "meluaskan wilayah". Maka, agihan kuasa dan sumber perlu dibuat, bukan hanya dengan kaedah yang lebih adil tetapi harus menjiwai prinsip tiada "abang besar" yang membuli.

Tempoh yang relatif lama menjelang PRU14 wajar dimanfaatkan untuk pelbagai persiapan dan persediaan memperkukuhkan dalaman parti serta meneroka kawasan "deposit tetap" Umno-BN secara lebih inovatif. Begitu juga dengan cabaran kritikal proses persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Mungkin pelbagai eksperimen politik, khususnya berdepan pengundi muda dan masyarakat Melayu luar bandar, boleh dibuat dalam jangka waktu ini. Pakatan tidak perlu risau sekiranya percubaan-percubaan itu kurang berhasil, malah kalau pun "menikam balik", ia masih terbuka kepada pembetulan atau penambahbaikan.

Pada petang konvensyen itu juga, seluruh negara gempar dengan misteri kehilangan pesawat MH370. Sehingga pagi Rabu -- lima hari selepas insiden -- bukan saja jawapan gagal diperolehi, malah banyak persoalan lain timbul, ditambah kecelaruan kenyataan bercanggah oleh pihak berkuasa.

Saling bercanggahan 

Hujah panglima tentera mungkin berbeda dengan Ketua Pengarah Jabatan Jabatan Penerbangan Awam, yang tidak disepakati pula oleh Ketua Polis Negara atau Ketua Pegawai Operasi MAS. Belum diambil kira kenyataan Menteri Pengangkutan dan juga Menteri Dalam Negeri. Bertambah pening dengan isu pesawat berpatah balik atau "air turn back", hilang daripada cerapan radar, bagasi yang dipunggah dan pelbagai cerita yang saling bertentangan.

Serentak dengan itu, termasuk didorong rasa tidak puas hati dengan bentuk pengurusan krisis yang kelihatan  kurang sistematik, di bawah garis profesionalisme, sehingga dianggap tidak kompeten -- selain nampak cuba menyembunyikan fakta dan keterangan kes -- rangkaian spekulasi dan gosip bukan saja muncul tetapi mampu mempertikai kenyataan rasmi. Kemahiran berkomunikasi para pegawai tinggi operasi mencari dan menyelamat juga 
dikritik hebat.

Misteri menjadi lebih rumit dan tambah mengelirukan. Di zaman langit terbuka, dengan pelbagai aplikasi teknologi canggih, maka gosip, andaian, dan jangkaan  peribadi kini boleh dikongsi secara meluas.  Sudah pasti "teori konspirasi" -- sebahagiannya tidak dapat diterima akal pun -- antara topik yang paling diminati.

Rasa ingin tahu sukar dibendung, apatah lagi apabila jawapan rasmi mudah dipertikai. Sementalahan pula banyak rujukan dalam dunia maya boleh disandarkan. Tiba-tiba ramai menjadi pakar -- bukan saja dalam dunia penerbangan tetapi juga hal berkaitan terorisme serta politik antarabangsa -- dan mengemukakan analisis yang nampak meyakinkan.

Tidak hairan jika hanya media sosial yang menyebarkannya. Ia turut "disahkan" laporan akhbar atau portal berita yang terpaksa bersaing mengejar berita. Sedangkan persidangan media rasmi di KLIA lebih banyak mendedahkan maklumat yang dianggap basi dan tiada "scoop".

Saya tidak sempat menelaah insiden ini, Dua rakan saya, Wan Nordin Wan Yaacob dan Arif Atan mengulas dari segi keselamatan negara, bukan saja terbukti mudah bolos sebelum ini, tetapi semakin terancam dengan kehadiran aset-aset ketenteraan negara asing yang sofistikated.

Malaysia diteropong halus

Kehilangan MH370 ini -- yang cukup aneh dan mungkin tidak pernah berlaku -- membuatkan tumpuan seluruh dunia tertumpu ke negara kita. Cara kita menanganinya diteropong halus. Jika ada kelemahan dan kepincangan, maka amat sukar sekali untuk disembunyikan. Tahap profesionalisme para pegawai kita -- juga elit penguasa -- sedang dihakimi. Oleh kerana ia melibatkan secara langsung faktor  keselamatan, maka prestasi Malaysia turut diberikan gred tertentu. Harapnya tidaklah sampai ke peringkat yang boleh memalukan negara! 

Budayawan H Fansuri pula menyinggung soal spekulasi: "Rakyat berspekulasi dengan kejujuran. Justeru, hormatilah spekulasi rakyat. Spekulasi bukan dosa dan tidak pernah pula dianggap sebagai satu jenayah oleh mana-mana bangsa. Akan ada spekulasi yang salah dan buanglah. Akan ada juga spekulasi yang munasabah dan masih boleh diterima akal."

Sementara itu, pandangan bekas ketua juruterbang Boeng 777 MAS, Kapten Noruden Abdul Majid, melalui Buletin Utama TV3, yang   mencadangkan supaya orang soleh dipanggil untuk mengesan MH370 mendapat reaksi bercampur.

"Sebagai orang beriman, ini adalah ketentuan. Allah SWT menentukan segala-galanya. (Kehilangan) ini mengelirukan dan menjadi perkara ajaib yang kita dan dunia kena terima," katanya.

Beliau mencadangkan gabungan pendekatan saintifik dan kaedah berdoa: "Doa daripada orang-orang yang soleh yang dekat dengan Allah dan keluarga (yang terlibat), kerana mereka sedang beremosi dan Allah sedang melihat mereka."

“Panggil mereka supaya mereka berdoa kepada Allah. Allah yang dapat mengembalikan kapal terbang yang hilang itu kerana teknologi yang secanggih mana pun tidak dapat mengatasi kuasa Allah,” katanya.

Atas daripada segalanya, kita mendoakan yang terbaik dalam pencarian ini. Sekalung penghormatan buat mereka yang bertungkus-lumus berusaha, berikhtiar dan tulus memohon pertolongan Allah SWT agar segala misteri segera terlerai. Sesungguhnya kita insan kerdil yang tidak mampu melakukan apa-apa melainkan dengan keizinan-Nya.

Baca Seterusnya......

Langkah Anwar belum terhenti

Ahmad Lutfi Othman

Saya mendapat khabar sedih -- tapi sudah dijangka -- yang membatalkan kelayakan Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Kajang, lebih kurang setengah jam selepas Ahli Parlimen Kluang yang juga strategis DAP, Liew Chin Tong meninggalkan pejabat Harakah,  petang Jumaat, 7 Mac lalu.

Selain berkongsi pengalaman mengendalikan lidah rasmi parti, termasuk bersama Ketua Pengarang Roketkini, Wan Hamidi Hamid dan kolumnis Harakah, Lim Hong Siang yang mengiringi Chin Tong, Pengerusi DAP Johor yang mendapat undian tertinggi dalam pemilihan jawatankuasa pusat itu turut menyentuh cabaran generasi baru kepemimpinan Pakatan Rakyat dan pendekatan terbaik mendekati pengundi muda Melayu.

Beliau ternyata berpandangan jauh, rasional dan cukup kalkulatif, khususnya apabila membicarakan peluang Pakatan berdepan PRU14. Lebih penting, saya kira Chin Tong -- yang menghasilkan tesis sarjana muda tentang PAS -- begitu prihatin dan sensitif dengan budaya politik Melayu. Ada kalanya pemimpin DAP dilihat agak keliru dengan "pantang-larang" masyarakat Islam, tetapi Chin Tong bagai arif mengenainya.

Meskipun sesi sembang santai itu menyinggung persoalan Kajang, dengan membayangkan kegerunan elit Umno terhadap potensi Anwar, bukan saja sebagai menteri besar negeri terkaya di Malaysia, juga bergelar Yang Amat Berhormat, dan bukan lagi dikenali sebagai Ketua Pembangkang -- oposisi di Malaysia mempunyai konotasi cukup negatif -- kami tidak pula melebarkan skop diskusi mengenai kemungkinan bekas TPM itu kembali disumbat dalam penjara.

Semua maklum bahawa seteru politik Anwar yang paling ketat dan terus berdendam dengannya (malah masih menggeruninya) adalah Dr Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin. Meskipun, kedua-duanya -- yang pernah rapat dan intim dengan Anwar -- tidak lagi memegang posisi strategik dalam kerajaan, tetapi dikatakan tidak akan mengizinkan beliau mendaki takah yang lebih tinggi daripada jawatan Ketua Pembangkang sekarang.

Tidak dapat dibayangkan Mahkamah Persekutuan pada 2 September 2004 -- genap enam tahun selepas dipecat daripada Kabinet -- akan membebaskan Anwar bagi mengetepikan sabitan kesalahan meliwat, sekiranya Dr Mahathir masih menjadi perdana menteri ketika itu.

Penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi, mungkin nampak lemah dan tidak mempunyai "strong personality", tetapi Perdana Menteri kelima itu cuba membawa reformasi dalaman dan menjarakkan sejauhnya dengan era Mahathirisme. Persaingan kuasa tidak menghakis nilai manusiawi Abdullah.

Baru-baru ini, apabila idea rekonsiliasi nasional dilontarkan Najib Razak, dan disambut baik Anwar Ibrahim, sebagai usaha perdamaian di antara Pakatan dan BN, di samping menyelesaikan begitu banyak masalah negara, khususnya perkauman dan sentimen keagamaan sempit, kos sara hidup dan juga keselamatan, ramai mengharapkan ketegangan politik yang tajam segera berakhir. Kepentingan rakyat harus menjadi prioriti.

Apa pun tafsiran terhadap keputusan PRU13, termasuk menggelar kerajaan minoriti 47% BN, dengan tambahan kerusi Parlimen Pakatan berbanding 2008, namun Najib masih kekal bertakhta. Penafian majoriti dua pertiga bukan lagi isu besar dan urusan kerajaan masih berjalan lancar dalam situasi itu. Sememangnya mana-mana pemerintah tidak perlu diberi kemenangan mutlak, yang mungkin menyebabkan suara kedua yang rasional dipinggirkan begitu saja.

Saya tidak dapat memahami pergolakan dalaman Umno, termasuk mengaitkannya dengan faktor Dr Mahathir dan kemungkinan Najib berdepan tentangan sengit pemimpin kanan partinya sendiri. Jadi, apabila ada gosip yang mendakwa Anwar bersama Pakatan mungkin dibawa masuk ke dalam kerajaan, demi survival Najib, saya menjadi semakin buntu. Apakah benar kedudukan Najib sebegitu kritikal? Imiginasi saya tidak sampai ke tahap itu.

Fenomena "politik baru" yang rancak dibincangkan selepas PRU12, yang membentangkan harapan ke arah mewujudkan sistem "dua parti", sudah cukup untuk mencetuskan perubahan positif. Sekurang-kurangnya rakyat dapat melihat secara positif peranan oposisi yang konstruktif dan bertanggungjawab. Institusi penting, seperti Parlimen, menjadi lebih dihormati.

Dalam suasana persekitaran politik yang diharap lebih beradab, melewati zaman tilam diusung ke mahkamah dan segala lendir dijadikan bahan bukti, diimpikan kuasa tidak lagi ditentukan elemen "kelucahan melampau", yang menyukarkan kita menjawab soalan nakal anak-anak kecil.


Untuk terus menguasai Putrajaya, kelebihan masih berpihak kepada Najib. Sumber ekonomi dikawal ketat. Rasuah BR1M diterima tanpa bantahan. Walaupun monopoli media agak tergugat, majoriti rakyat untuk empat tahun akan datang masih boleh dijinakkan, melalui TV3 mahupun Urusan Malaysia, terutama dengan membakar sentimen. Paling penting, proses persempadanan pilihan raya yang jelas dimanipulasi semahunya tetap memungkinkan untuk suara minoriti undi popular kekal berkuasa.

Bagaimanapun, apabila Peguam Negara -- tentunya dengan kehendak Putrajaya -- melantik peguam Umno, Shafie Abdullah menjadi pendakwa utama mengetepikan pembebasan Anwar oleh Mahkamah Tinggi pada Januari 2012, saya merasakan Najib juga mahu melenyapkan terus Ketua Umum KeADILan ini daripada persada politik tanahair. Anwar sentiasa menjadi penghalang kepada elit penguasa yang rakus, boros dan korup.

Sejak badan kehakiman tercemar dengan teruk pada 1988, ekoran kes rayuan pengharaman Umno, yang membawa kepada pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan dua lagi Hakim Mahkamah Agung, campur tangan eksekutif tidak pernah reda. Abdullah Badawi dan bekas menteri Zaid Ibrahim cuba membersihkannya tetapi gagal -- walaupun kerajaan telah membayar ganti rugi atau saguhati sebanyak RM10.5 juta kepada Tun Salleh dan lima Hakim Mahkamah Agung yang digantung -- dan ditolak elit Umno sendiri.

Diserang dan dimaki dari setiap penjuru, namun Anwar masih merupakan tokoh pembangkang paling berpengaruh yang cukup liat untuk dilentur. Di kala sukarnya mencari pengganti Anwar di kalangan pemimpin politik Melayu, beliau tetap gagah berdiri meneroka wilayah yang masih kebal dengan dominasi Umno-BN.

Sehinggalah episod Kajang bermula, Anwar yang dijangka menggantikan Abd Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor kembali menjadi sasaran "penembak tepat". Mahathir dan Daim pun khabarnya tidak senang duduk.

Selangor memungkinkan Anwar mencorakkan negeri termaju ini selaras dengan manifesto Pakatan. Bukan hanya merealisasikan impian negeri berkebajikan -- selain menyelesaikan masalah dalaman KeADILan -- juga berupaya melonjakkan sokongan untuk menerajui Kerajaan Persekutuan dalam PRU14.

Seorang pengulas politik memberitahu saya: "Ekoran Serampang Kajang, tiba-tiba Anwar menjadi seteru yang mesti dihapuskan, tanpa belas kasihan lagi. Umno tidak sangup membayangkan bagaimana dinamisme Selangor di bawah Anwar, sekurang-kurangnya boleh meredah sempadan Perak dan Negeri Sembilan, tidak mustahil melantun hingga ke Johor."


"Anwar sebagai MB Selangor cukup menggelisahkan Mahathir," tambahnya.

Hukuman terhadap Anwar ini sudah pasti dilihat sebagai penghakiman yang sarat dengan motif politik. Membunuh pengaruh Anwar, atau paling tidak bertujuan mendiamkannya, seperti dahulu -- di hujung era Mahathir -- boleh menikam balik Najib dan sekutunya.

"Ia tidak lebih daripada satu gerakan politik, yang menggunakan mahkamah, dan kerajaan yang sedia tidak popular ini dengan bebanan melampau kenaikan kos sara hidup akan menerima padahnya," seorang rakan FB saya, pensyarah politik, menghantar mesej.

“Saga berterusan antara kerajaan dengan Anwar selalu membabitkan mahkamah. Ini tidak akan berkesudahan selagi Malaysia tidak belajar bahawa masalah politik perlu diselesaikan menerusi sistem politik,” kata seorang peguam perlembagaan kanan kepada The Edge Review.

Laman freemalaysiatoday melaporkan kenyataan Prof James Chin dari Universiti Monash: “Kerjaya politik Anwar tidak akan tamat. Ini bukan kali pertama dia didapati bersalah." Seorang ahli akademik tempatan, Prof Madya Andrew Aeria berkata: "Keputusan ini dipengaruhi oleh politik ... semua orang nampak. Saya rasa ramai orang tidak akan menerima hukuman ini kerasa nampak sangat elemen politik.”


Editor Rencana Harakah, Haris Zalkapli mengulas: "Pakatan kini perlu memikirkan masa depannya dengan peranan Anwar yang semakin mengecil, atau mungkin juga terus tiada langsung, sekiranya rayuan seterusnya tidak berjaya. ... Pakatan yang menunjukkan wajah lebih inklusif perlu memikirkan dengan serius transisi kepada barisan kepimpinan yang mampu membawa Pakatan ke hadapan, mengatasi cabaran-cabaran dalaman dan sesama parti komponen."

Sebenarnya singgungan Haris yang menyarankan proses transisi kepemimpinan Pakatan itu perlu difikirkan secara serius, bukan hanya kerana penghakiman Anwar, tetapi keperluan menyeluruh bagi mengatasi cabaran masa depan lebih sengit.

Bagaimanapun, saya masih belum mahu memikirkan realiti politik Malaysia tanpa Anwar, dengan menyedari peluangnya untuk menerajui Pakatan dalam PRU14 -- apatah lagi untuk mengetuai kerajaan baru selepasnya -- semakin tipis (saya pernah menghasilkan buku politik berjudul Malaysia Tanpa Anwar, terbitan tahun 1999). Langkah Anwar belum terhenti ... 

Baca Seterusnya......

Dari Muar ke Kuala Ketil: Dekati keresahan nurani akar umbi

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Mulanya, hanya menghadiri pertemuan di antara Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakob dengan wartawan tiga negeri di selatan, pada 26 Februari lalu.Salman Hussin (Johor), Zaili Muhammad (Melaka) dan Faiz Abdullah (Negeri Sembilan) lebih selesa memilih Pejabat Perhubungan PAS Melaka sebagai lokasi perbincangan, yang mudah untuk semua.

 Selaku bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, yang pernah bersama-sama cuba membentuk satu perkongsian proaktif di antara ketiga-tiga negeri itu -- yang dilihat antara wilayah yang sukar ditembusi pengaruh Parti Islam -- sekitar tahun 2000, Dr Rosli turut berminat untuk mendengar respons terbuka langsung daripada wakil perhubungan negeri berkenaan.

Saya tentunya lebih gembira lagi untuk berkongsi idea dengan rakan-rakan pimpinan PAS bagi melakukan penambahbaikan terhadap Harakah, terutama versi cetak, dalam situasi berdepan cabaran politik yang semakin sengit, di samping berusaha agar lidah rasmi parti ini tetap relevan, dalam suasana langit terbuka.

Mewakili Johor, Setiausaha Perhubungannya, Ir Khairudin Abd Rahim; Melaka, Ketua Penerangannya, Baihaki Ismail, selain wakil tunggal PAS dalam Dewan Undangan Negeri, Dr Khalid Kassim; Negeri Sembilan, Pengarah Pilihan Raya, Hasan Tambi.

Banyak cadangan baru dan idea segar dikemukakan. Semuanya menggambarkan harapan cukup tinggi ahli-ahli dan pimpinan akar umbi PAS, untuk melihat Harakah, bukan saja berkesan sebagai organ parti, malah mampu mempengaruhi khalayak lebih meluas dan membantu menjayakan misi jamaah.

Sesekali turun ke padang, meninjau realiti yang pastinya berbeda dengan bayangan daripada bilik kerja di pejabat berhawa dingin, saya sentiasa teruja untuk mendekati degup nadi dan keluh-kesah masyarakat.

Berbicara panjang dengan Dr Khalid, Adun Bukit Baru, seusai pertemuan rasmi selepas menikmati hidangan tengahari asam pedas, saya melihat potensi negeri-negeri di selatan tanahair begitu besar sekali.

Malah, laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya, perlu dirintis melalui ketiga-tiga negeri ini. Mungkin ramai pemerhati lebih berminat dengan percaturan politik di negeri Johor, dengan jumlah kerusi yang lebih besar dan kompleksiti pengundinya yang cukup menarik, namun Melaka dan Negeri Sembilan tetap menggamit perhatian.

Dr Khalid tetap merendah diri, mengakui dirinya masih muda dalam kancah siasah, tetapi pendekatan politik di Melaka, saya kira, perlu dicanai dalam bentuk yang lebih merakyat dan memikat dan beliau dikira mampu merintis perubahan itu.

Dan bekas Timbalan Pengarah Hospital Melaka ini, yang diamanahkan menerajui sekretariat khusus untuk memantau 13 kerusi Dun yang ditandingi PAS Negeri, perlu diberi peluang secukupnya, bukan saja untuk bereksperimen, malah melaksanakan gagasan yang diyakininya dapat menyentuh imiginasi penduduk negeri penuh bersejarah ini.

Cikgu Yusof Wahab, aktivis PAS Bukit Katil, individu yang banyak membantu melancarkan aktiviti dan kunjungan Dr Khalid menyantuni pengundi, mendesak saya dan wartawan Arif Juhani agar tidak segera balik Kuala Lumpur.

"Lain kali, bila sesekali turun Melaka, biarlah lama sikit, boleh kita susun jadual, dekati masalah rakyat di sini, banyak isu  yang menekan mereka yang perlu ditonjolkan Harakah," katanya, separuh merayu, tapi dalam nada berseloroh.

"Esok tengahari pun kita dah atur ziarah seorang ibu yang ditinggalkan suami, dan menumpang di rumah ibunya, boleh buat rayuan sumbangan orang ramai untuk bina rumahnya sendiri," tambahnya, sambil mengharapkan kami dapat bersama.

"Ya, peranan Harakah cukup besar, dan banyak membantu tugas saya sebagai Adun," ujar Dr Khalid. 

Bermalam di rumah Zaili, dekat Sungai Rambai, mengingatkan saya dengan dua Adun PAS di sempadan Johor, Dr Mohammad Taslim (Maharani) dan Dr Sheikh Ibrahim Salleh (Sungai Abong), yang agak jarang muncul dalam Harakah.

Untuk ke Muar, hanya perlukan tidak sampai 15 minit. Zaili mengajak kami mencuba sup kambing terbaik di bandar diraja itu.

Buat seketika saya terpaksa melupakan diet ketat berkaitan protein dan lemak yang boleh mempercepatkan lagi kegagalan fungsi buah pinggang yang sedang saya alami.

Aroma Muar Soup House memang menyelerakan, tapi saya hanya terdaya menghabiskan separuh daripadanya. Mulut memang terasa sedap tapi kebanyakan makanan lazat sudah menjadi racun buat saya!

Klinik Dr Mohammad di tengah pekan Muar agak sunyi. (Ada orang menggelarkan Muar bandar orang pencen; saya tidak pasti mengapa disebut begitu). Perabotnya nampak stail lama. "Macam zaman P Ramlee," usik Zaili. Pagi Khamis itu masih awal. Tiga pesakit menunggu. Suasana damai dan tenang.

Dr Mohammad menyapa kami, mesra. "Patutlah rasa istimewa pagi ini, ada tetamu dari jauh," dia ketawa kecil, memimpin saya masuk ke biliknya.

Walaupun awalnya saya menjangka beliau agak pendiam, tetapi banyak sekali cerita menarik dan pengalaman berharga yang mahu dikongsi. Bersama Dr Sheikh, Dr Mohammad sudah dua penggal menjadi Adun. Satu keunikan di Johor -- yang pernah dikenali sebagai negeri "karat hijau" Umno -- ketiga-tiga Adun awal, didahului Adun Senggarang, Dr Mohd Ramli Kari adalah doktor perubatan dan tidak begitu terdedah dengan sepak terajang politik.

Namun, bagi saya, penampilan mereka dalam persada politik Johor mempunyai kelebihan tersendiri, sekurang-kurangnya untuk membuka laluan lebih luas kepada perubahan sikap dan memecahkan tohmahan palsu terhadap PAS.

"Harapan pengundi kepada wakil rakyat PAS semakin realistik, terutama selepas mereka faham tiada peruntukan kerajaan seperti diberikan kepada Adun atau Ahli Parlimen BN. Alhamdulillah, kerjasama serta sokongan ahli dan pemimpin parti akar umbi cukup memberangsangkan dan begitu membantu," kata Dr Mohammad.

Saya memohon diri, berundur lebih awal, bimbang pesakit terpaksa menunggu lama di luar. Beliau seakan-akan sukar mencari nokhtah terakhir kepada ceritanya. Semasa mengiringi kami, Dr Mohammad memperkenalkan saya kepada dua pelanggannya. "Inilah Ketua Pengarang Harakah, kalau beli suratkhabar, tengok muka 31 dulu," gurauannya cukup menyenangkan sekali.

Khamis, hampir senja, baru saya tiba di rumah, Bukit Ampang. Impian memang besar, untuk membantu rakan-rakan Pakatan melakar sejarah di selatan tanahair. Namun, kudrat terbatas. Di kala masyarakat Tionghua tidak berbelah bahagi, komited untuk melakukan perubahan, cabaran pengundi Melayu masih tidak menunjukkan jalan keluar.

Esoknya, selepas subuh, mata masih mengantuk. Ya, deadline Fikrah Harakah hanya dapat dilangsaikan jam 3 pagi. Sedangkan saya sudah berjanji dengan dua rakan lagi, termasuk wartawan Arif Atan (di ibu pejabat Harakah, kami ada tiga wartawan bernama Arif), untuk menjelajah ke utara pula. Misi kali ini lebih khusus.

Saya dilahirkan dalam keluarga pesawah, di daerah Mada, Kubang Pasu, tetapi gelora bahtera kehidupan anak tani terasa asing. Membaca kesukaran masyarakat bendang berdepan, bukan saja kenaikan kos sara hidup tetapi juga peningkatan kos pengeluaran padi, saya dihimpit rasa bersalah. Masakan boleh berdiam diri memandang dari jauh, atau sesekali menzahirkan sokongan dan solidariti, tanpa melakukan aksi lebih bermakna.

Apakah sekadar Harakah melaporkan kempen tandatangan menuntut kenaikan harga padi, atau mengimbau nostalgia demonstrasi pesawah di perkarangan Wisma Negeri, 34 tahun lalu, ketika saya  di Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Teknik, Alor Setar, hanya 3km dari lokasi petani meluahkan amarah dan protes?

Mengharapkan ketua biro Harakah Kedah-Perlis, Bashir Ishak, membuat temujanji dengan rakan-rakan aktivis BelaTani, NGO yang meningkat naik namanya, memberi penerangan dari kampung ke kampung, bertemu muka dengan petani, mengutip sokongan dan membentuk gelombang kesedaran baru.

Pesawah yang ditindas tentu sekali memerlukan kesatuan yang lebih utuh, untuk memperjuangkan hak yang dinafikan sejak lama. Dan gabungan tokoh  seperti Aris Awang, bekas Setiausaha Perhubungan PAS Kedah, yang tulus perjuangannya untuk membela rakyat, bersama teman-teman yang bergelumang dengan padi, misalnya Muhd Subri Said dan Mohamad Salleh menawarkan harapan yang menjanjikan.

Isu padi bukan perkara baru, tetapi malang sekali, kemelut yang membelit pesawah tidak dapat diangkat sebagai agenda nasional yang harus disegerakan formula penyelesaiannya.

Bagi saya, pertemuan dan diskusi di Pejabat Adun Kubang Rotan, petang Jumaat itu, sarat dengan fakta dan data yang baru saya temui. "Tujuan saya, bukan sekadar menampal isu petani dalam Harakah, tapi kunjungan hari ini mahu belajar untuk menghadam masalah yang dihadapi oleh adik-beradik dan saudara-mara saya sendiri," jawab saya kepada Aris apabila ditanya motif sebenar perjumpaan.

Penat saya menelan keterangan Aris (yang selesa dipanggil Pak Teh) dan Subri (Pak Tam). Daripada isu harga siling padi dan cadangan harga lantai, kaedah potongan berat padi, masalah Pertubuhan Peladang Kawasan, program Subsidi Beras Untuk Rakyat (SUBUR) yang membingungkan dan banyak lagi.

Apa pun, saya sukar melupakan jolokan nama buat pesawah, iaitu sebagai "pegawai penyedia makanan asasi negara, yang menjamin stok makanan asasi tetap stabil walaupun dalam keadaan darurat.

Belum sempat menghadam isu padi, esoknya, Sabtu, kami berkejar ke Kuala Nerang, bertamu di kediaman Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Nasir Zakaria. Episod harga getah yang menjunam dan kesempatan bertemu wajah dengan penoreh getah di Kg Sayak, Kuala Ketil, bersama Adun Cikgu Md Zuki Yusof dan perjalanan yang cukup memeritkan apabila saraf kaki kiri saya menyucuk sakit mungkin dapat dikongsi dalam keluaran akan datang.

Begitu juga dengan pertemuan pagi Ahad, dengan pegawai TUDM yang cukup patriotik, juruterbang Mejar Zaidi Ahmad, di Pantai Bersih, Seberang Perai. Zaidi menghadapi tujuh tuduhan di Mahkamah Tentera berhubung isu dakwat kekal dalam PRU13. Kesnya akan dibicarakan pada 8 hingga 10 April ini.

NGO Bersih yang menggerakkan "Kempen Rakyat Sokong Mejar Zaidi" u meminta pengguna media sosial memuatkan gambar dengan slogan sokongan kepada Mejar Zaidi melalui laman Facebook dan Twitter.

Zaidi yang tinggi lampai tenang sekali bila bercerita. Langsung tidak nampak kerisauannya menunggu hari perbicaraan. Dia fasih menjelaskan isu-isu kritikal keselamatan dan kedaulatan negara, termasuk tuntutan China terhadap kepulauan di Laut China Selatan.

Pengetahuannya mendalam. Keprihatinannya tajam sekali. Malah Zaidi menegur Harakah yang tidak banyak menekankan isu-isu keselamatan negara. Tengahari itu, saya bagaikan mendapat kuliah percuma tentang persoalan yang sepatutnya ditangani Harakah sejak lama.

Baca Seterusnya......

Mejar Zaidi yang patriotik dilupakan?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Indeks Kebebasan Media Malaysia tahun 2014 berada pada kedudukan ke-147 daripada 180 negara, merosot dua angka berbanding tahun lalu. Ini bukan saja rekod terburuk negara, sejak 12 tahun ia diukur, malah di tangga lebih bawah daripada Myanmar.

Pada tahun-tahun awal indeks kebebasan akhbar ini dilaporkan, misalnya pada 2002, Malaysia mendapat tempat ke-110, tahun 2003, tangga ke-104 dan 92 pada 2006. Di bawah era Najib Razak, kedudukan negara menjunam ke tahap 141 (2010), 145 (2013) dan 147 (2014).

Kebanyakan negara jiran, misalnya Brunei, Thailand dan Indonesia mengatasi kita. Hanya Singapura, pada tangga ke-150, berada di bawah Malaysia.

Namun begitu, mungkin tidak ramai mahu ambil peduli dengan penyenaraian pemantau bebas berpusat di Perancis, Wartawan Tanpa Sempadan itu. 

Walaupun kebebasan akhbar merupakan intipati penting dalam sistem demokrasi, namun majoriti rakyat jarang memberi perhatian serius, apatah lagi Malaysia sememangnya sejak lama dikenali sebagai negara yang mengongkong media.

"Bukan cerita baru lagi isu KDN tekan media. Wartawan pun tak ambil peduli. Semua dah anggap perkara biasa," kata seorang teman yang tidak lagi berminat apabila saya mengajaknya berbicara soal sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, 3 Mei nanti.

"Kalaupun nak sambut juga, jangan ulangi rutin, mesti fikirkan idea gila yang luar biasa," sambut seorang lagi rakan. "Kalau kita, aktivis media, nak turun demonstrasi di Putrajaya atau Dataran Merdeka, ada yang nak ikut?" pintas kawan yang ketiga, yang sudah bosan dengan acara forum, disusuli makan-makan, sembang-sembang dan bersurai. 

Ya, pemerintah tetap mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan atau menolak permohonan permit, juga berhak menggantung dan menarik balik, atau mengharamkanya. (Dan saya pasti ramai pembaca yang mulai bosan apabila dapat mengesan saya kerap mengulangi isu basi ini, 'kan?)

Dalam kes pembatalan permit penerbitan FZ Daily, hanya selepas beberapa jam penerbitnya mendapat keizinan Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding terhadap KDN ekoran penggantungan  permit tanpa sebab pada 28 Ogos 2013, ia lebih mengejutkan.

Bayangkan, bagaimana sebuah akhbar boleh diluluskan permitnya pada 20 Ogos 2013, dan tanpa menunggu lama, sekitar seminggu selepas itu, terus digantung dan kemudiannya dibatalkan, sedangkan ia belum pun diterbitkan!

(Penerbit FZ Daily, berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan, khususnya setelah 20 tahun menerbitkan akhbar mingguan The Edge, yang kini melewati bilangan ke-1000, dan juga akhbar harian The Edge Financial Daily).

Tidak cukup setakat itu -- lagi tentang isu kebebasan media -- stesen radio perniagaan, BFM, dilarang daripada menyiarkan temubualnya dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Seperti penggantungan akhbar The Heat, saya lebih tertarik dengan daleh yang dikemukakan pihak berkuasa. KDN pernah memberi alasan kandungan The Heat bercanggah dengan mock-up asal yang dikemukakan penerbit.

Begitu juga dengan hujah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Nada dan skripnya serupa. Melambangkan kebebalan dan kontang idea. Paling menyerlah, menonjolkan "kebimbangan melampau" banyak pihak terhadap penampilan bergaya Anwar di Kajang.

(Saya tertarik dengan artikel Malaysian Insider, berjudul "Kenapa Putrajaya takut sangat Anwar?" Pandangan penganalisi dipetik:  Khalid Ibrahim terbukti pemimpin yang baik, tetapi Anwar boleh jadi lebih baik untuk kedua-duanya, iaitu ekonomi dan politik. Satu lagi alasan Putrajaya hendak menutup peluang Anwar ialah beliau akan menggunakan RM3 bilion rizab Selangor dengan lebih baik berbanding Khalid, atau apa yang kerajaan BN boleh buat di Putrajaya.)


BFM dilarang menyiarkan wawancara Anwar disebabkan ia menyinggung hal politik (pastinya ada kaitan dengan pilihan kecil Kajang) walhal, bagi SKMM, "stesen radio itu dilesenkan mengikut tema berdasarkan genre yang mereka pohon -- iaitu berita, hal ehwal wanita, pelancongan atau perniagaan."

Difahamkan penerbit FZ Daily, The Edge Communications Sdn Bhd, mempunyai kepentingan sekitar 23 peratus dalam BFM. Rata-rata pemimpin Umno tidak senang dengan laporan akhbar The Edge dan juga laman fz.com. (Kandungan FZ Daily dibayangkan hampir menyamai laporan fz.com -- yang kini boleh dilayari secara percuma -- yang juga menyentuh isu-isu semasa dan situasi terkini politik).

Tahun lalu, wartawan fz.com tidak mendapat pas media untuk  membuat liputan Perhimpunan Agung Umno. Elit parti pemerintah itu melihat laman berkenaan lebih cenderung kepada Pakatan meskipun pemiliknya juga rapat dengan PM Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi.

"Menariknya, pemilik The Edge dan FZ Daily merupakan seteru perniagaan kepada tuan punya akhbar Focus Malaysia dan The Heat," beritahu seorang wartawan senior kepada saya.

Beliau menambah, kebebasan akhbar di negara ini terjejas bukan hanya difaktorkan oleh KDN tetapi juga permusuhan sesama penerbit. "Dengar cerita, akhbar Sinar Harian yang nampak lebih bebas dan berani menyiarkan berita Pakatan Rakyat juga dicemburui oleh dua harian berbahasa Melayu lainnya. Mereka bimbang trend penurunan jualan akhbar menjadi lebih ketara bila saingannya ada scoop menarik," ujarnya.

Semasa saya cuba menghubungi rakan-rakan yang rapat dengan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) bagi membincangkan sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, 3 Mei nanti, seorang daripadanya memberi respons:

"Waktu akhbar The Heat digantung, rakan-rakan media bangkit melawan. Baguslah tu, tapi bila seorang pegawai kanan tentera, Zaidi Ahmad didakwa kerana isu dakwat tak kekal, dia macam dibiarkan bersendirian?

"Bukankah isu proses pilihan raya yang bebas dan adil juga satu isu besar yang cukup kritikal. Dan tuntutan akses kepada media bebas adalah salah satu di bawah tajuk besar, sistem demokrasi yang pincang?"

Membaca teks SMS rakan saya itu, saya agak terkedu. Terpaksa diakui kes mahkamah Mejar (Udara) Zaidi Ahmad ini, berkaitan kenyataannya kepada media dan menghantar SMS berbaur politik dan hasutan pada hari mengundi, 1 Mei lalu, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kepala Batas dan Pangkalan Udara Butterworth, seperti tidak diberikan sorotan khusus, termasuk oleh Harakah dan media oposisi lainnya.

Laporan itu dibuat  Zaidi dan dua yang lain kerana dakwat kekal yang dicalit di jari telunjuk tangan kiri  mereka semasa pembuangan undi awal luntur apabila di basuh dengan sabun dan pencuci tangan.

Sedangkan pendedahan Zaidi merupakan satu lagi testimoni jelas terhadap kegagalan pembaharuan untuk melakukan penambahbaikan ke atas perjalanan pilihan raya kita, khususnya penggunaan dakwat kekal bagi mengelak pengundian berganda. Dia dituduh, antaranya,  di bawah Seksyen 50 (2) Akta Angkatan Tentera 1972.

Di hadapan panel enam anggota pegawai tentera, Zaidi mengaku tidak bersalah. Beliau boleh dihukum penjara sehingga dua tahun jika didapati bersalah di atas pendedahan beraninya itu.

Meneliti laporan Harakah terdahulu, pada 3 Mei 2013, direkodkan, Mejar Zaidi Ahmad ditukarkan serta merta ke Kuala Lumpur. "Dengan arahan pertukaran ini, saya secara rasmi telah dilucutkan dari jawatan sebagai Pegawai Memerintah No 12 Skuadron Pangkalan Butterworth, dan terlepas peluang untuk dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel TUDM," SMS beliau kepada media dipetik.

Selain itu, memang ada kenyataan atau ulasan, misalnya daripada pemimpin kanan PAS, seperti Naib Presiden Mahfuz Omar, pada 6 Februari lalu, yang menggesa TUDM membatalkan pendakwaan di Mahkamah Tentera.

"Pendakwaan ke atas Zaidi adalah tindakan tidak wajar malah akan memalukan institusi tentera memandangkan anggotanya itu hanya menzahirkan haknya sebagai seorang pemilih yang sah.

"Kes ini adalah hak dan kebebasan demokrasi berparlimen. Ia bukan kes salah laku dalam tentera secara khusus.Dia buat atas dasar hak dia sebagai seorang rakyat, dan terpanggil untuk menyatakan kepincangan yang berlaku dalam pilihan raya yang dia alami sendiri," tegas Mahfuz.

Malah, lebih jelas lagi Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menegaskan: "Jika Pakatan berjaya membentuk kerajaan Persekutuan, saya akan mencadangkan Mejar Zaidi Ahmad, dinaikkan pangkat.

"Saya menyeru kerajaan menggugurkan segala pertuduhan ke atas Zaidi kerana beliau sepatutnya diberi anugerah dan bukan dikenakan tindakan apabila bersuara tentang dakwat kekal semasa PRU13. Mengapa mahu dihantar seorang patriotik ke dalam penjara selama dua tahun hanya kerana berkata benar atas asas kejujuran?”


Sementara itu, semasa merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan), 14 Februari lalu,  Anwar turut menyentuh kes mahkamah Zaidi.

 

“Mejar Zaidi ini dilatih untuk berdisiplin dan berintegriti. Bila dia dapati dakwat kekal itu tak kekal jadi dia buat laporan polis. Ini satu malapetaka apabila orang yang tidak bersalah mahu dihukum," ujarnya.

Sambil melahirkan sokongan, Anwar berkata beliau  akan bermesyuarat bersama pimpinan Pakatan Rakyat untuk membantu mempertahankan Zaidi.


Ketika banyak pihak menimbulkan isu persempadanan semula kawasan pilihan raya, yang sering dijadikan senjata utama oleh BN untuk menang mudah, persoalan dibangkitkan Zaidi juga relevan untuk dibahaskan.

Kempen besar-besaran di seluruh negara harus dilancarkan, bukan saja untuk membela dan memberi bantuan yang perlu kepada Zaidi, selain sokongan moral di atas sikap berani dan patriotismenya, tetapi juga menekankan kepentingan menggerakkan semula tuntutan menyeluruh bagi "membersihkan" seluruh sistem, proses dan perjalanan pilihan raya di Malaysia.

Bukankah selama berdekad lamanya, pengundi pos, dan kemudiannya pengundi awal, di kalangan anggota tentera dan polis dikatakan aset tetap buat kemenangan Umno-BN, terutama disebabkan mekanisme pengundian yang tidak telus, dan kini Zaidi telah menunjukkan teladan bagaimana patriotisme dan kesetiaan itu boleh didefinisikan secara lebih praktikal.

Baca Seterusnya......

Polemik UG, Konsensus dan penoreh menanti kebuluran?

Ahmad Lutfi Othman

Dua tiga rakan karib sering bertanya situasi terakhir di Kajang. Bukan mereka bimbangkan kemenangan calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil itu, cuma khuatir dengan gosip perselisihan dalaman di antara PAS dan KeADILan.
"Saya tidak bimbang konflik di antara parti, termasuk dengan Anwar Ibrahim, tetapi lebih risaukan pertembungan sesama atau dalaman PAS sendiri," kata seorang teman, juga wartawan politik.

Dia tidak menyorok kerisauannya terhadap kesepaduan Pakatan melalui usia enam tahun, Mac ini. "Sekarang, heboh pula isu Konsensus Nasional, apatah lagi bila dibangkitkan semula soal Kerajaan Perpaduan, UG. Semua ini langsung tidak membantu misi kita ke Putrajaya," ujarnya, berhati-hati.

"Eloklah, PRU14 pun masih jauh lagi, bpleh kita selesai perbalahan ini secara baik, lagipun percanggahan tidak bermakna perseteruan. PAS sudah masak melaluinya," pintas saya, sambil ketawa kecil, bertujuan meredakan ketegangan pada raut wajah teman saya itu.

"Hal Kajang ini  jangan takutlah ... Anwar akan dapat majoriti lebih tinggi nanti, lagi pun bila Dr Mahathir Mohamad dan Umno takut sangat Anwar bertanding, bermakna elok sangatlah Anwar di situ buat kepentingan Pakatan," usik saya.

 

Hari itu, rakan saya ini nampaknya susah ketawa, tanda dia memang serius memikirkan masalah dalaman parti. Seterusnya dia menyebut perbedaan ketara dalam tulisan dua AJK PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi dan Ustaz Idris Ahmad, serta membandingkannya dengan rakan sejawat mereka, Khalid Samad.

"Ada yang menyamakan konsep UG dengan Konsensus Nasional (KN), tetapi saya lebih tertarik dengan hujah Khalid yang sentiasa vokal itu," tambahnya. Beliau menunjukkan petikan dari blog Khalid: "KN membawa erti pemerintah dan pembangkang duduk bersama berbincang mengenai isu-isu tertentu dengan tujuan mencari titik persamaan dan persetujuan terhadap cara mengusahakan sesuatu penyelesaian secara bersama. Ini dilakukan dalam keadaan parti pemerintah tetap sebagai parti pemerintah dan parti pembangkang kekal sebagai parti pembangkang dan masing-masing terus dengan peranan masing-masing."

Dia turut menggariskan point Khalid seterusnya: "UG pula adalah pembentukan sebuah kerajaan bersama di antara BN dan Pakatan. Walaupun ada yang berpendapat di antara Umno dan PAS, tetapi saya memahaminya sebagai BN dan Pakatan. Dan dalam masa yang sama pembangkang ditiadakan. Semua duduk sebagai kerajaan dan persaingan parti pemerintah dan pembangkang secara terbuka ditiadakan."

(Manakala Ustaz Nasruddin mempertahankan konsep UG cetusan Presiden PAS tapi "belum sempat idea besar ini diwacana, dibahas dan dikaji secara tulus dan akademi, ia telah dibunuh dengan meletuskan satu persepsi jahat bahawa Ustaz Abdul Hadi mahu mengheret PAS menyertai Umno dan polemik ini berlanjutan sehingga tiga siri muktamar tahunan PAS selepas itu".)

Saya sekadar mengangguk, sekali gus memahami bahawa tidak mudah sesuatu isu dapat disepakati bersama, tanpa sedikit pun perbedaan. Masing-masing ada perspektif, nas dan hujah tersendiri. Sudut pandangan berdasarkan, bukan saja,  dari sudut mana ia dilihat tetapi juga latarbelakang dan kecenderungan seseorang pemimpin itu. Khilaf itu tidaklah sampai memecahkan, dan sememangnya ia cabaran besar buat parti Islam yang matang dan tahan uji dengan seribu satu pergolakan seumpama PAS.


Dalam pada itu, saya agak terganggu dengan komentar seorang lagi rakan, dalam usia akhir 60-an,  bekas pemimpin Umno bahagian, kini aktif dalam PAS peringkat kawasan dan cukup prihatin dengan situasi siasah di Selangor: "Dulu-dulu Menteri Besar Selangor tersingkir kerana rasuah, skandal seks dan lain-lain yang negatif. Tan Sri Khalid berjimat dan tidak rasuah, duit negeri pun banyak, tetapi dia nak disingkirkan gara-gara pimpinan parti tak dapat banyak projek dan jadi ahli lembaga pengarah GLC."

Saya kira rakan saya yang ramai kenalan politik dalam Umno, PAS dan KeADILan ini tentu memahami pergolakan sebenar kerajaan Selangor. Beliau juga bimbang sekiranya gejala yang memusnahkan Umno turut menghinggap PAS, terutama apabila diasak hebat hambatan keduniaan selepas menjadi rakan kongsi dalam pemerintahan di negeri termaju itu.


Ketika rakan-rakan sibuk membincangkan kontroversi Konsensus Nasional dan UG, fikiran saya lebih terarah dengan masalah dan kemelut harian, yang menyentuh soal survival kehidupan, terutama berkaitan cabaran peningkatan kos sara hidup, khususnya membabitkan golongan pesawah padi dan penoreh getah.

Belum pun dicapai formula penyelesaian yang dituntut NOG BelaTani, mengenai harga lantai padi sehingga RM1,355/tan metrik atau kadar subsidi yang tidak pernah berganjak, beberapa siri demonstrasi penoreh tidak boleh dipandang ringan. Apabila perut memulas dan dapur tidak berasap, amarah sukar dibendung lagi.

Berdasarkan laporan wakil Harakah di Kedah, perjuangan pesawah dan penoreh memang perlukan sokongan dan hebahan meluas agar tekanan meningkatkan harga lantai padi dan getah diberi perhatian elit pemerintah.

Kedah pernah menyaksikan demonstrasi besar-besaran penoreh di Baling pada 1974 ekoran harga getah menjunam dan lebih kurang 35 tahun lalu, di hadapan Wisma Negeri, Alor Setar, ribuan petani menunjuk perasaan, menyebabkan kerajaan terpaksa menaikkan harga subsidi padi.

Mungkin elit pemerintah lebih memahami bahasa aksi protes daripada memorandum ataupun keluhan melalui media?

Di sekitar Kuala Ketil, Sik, Padang Terap dan Sungai Petani, Kedah, penoreh mula turun ke jalan raya dan berkumpul di tengah kebun getah yang luruh dan kering sekarang. Mungkin menunggu masa untuk 'mengamuk" dan mencipta sejarah Baling II?


Harga merudum ke paras terendah,  RM2.30 sekilo lebih mahal daripada sekilo gula, dan kebanyakannya terpaksa bahagi dua dengan tuan kebun, disebabkan majoriti menoreh secara pawah.

Saya juga masih belum dapat melupakan luahan hiba seorang isteri muda melalui panggilannya ke sebuah stesen radio. Dia menceritakan keadaan suaminya yang berubah drastik, menjadi murung dan mudah panas baran.

Puncanya kerana kesempitan hidup berdepan kenaikan kos hidup, dengan harga barangan keperluan harian meningkat terus. Berdasarkan nada percakapan, si isteri kedengaran tambah terapi bimbang jika suaminya gagal mengawal tekanan perasaan.

Ia tentu sekali bukan kes terpencil. Memang secara luaran realiti masyarakat nampak berjalan secara biasa tetapi jika kita mendekati setiap isi rumah, menyelami denyut nadi pergolakan harian, tidak kira di tengah kekalutan kota raya ataupun jauh di hujung desa terpencil, tekanan sama adalah situasi lumrah.

Ya, sesekali berkunjung ke pasar, usah terkejut melihat harga ayam, ikan dan sayur. belum dihitung perbelanjaan lain lagi. Media pula tidak menghebahkannya lagi, mungkin menganggapnya bukan berita besar lagi. Ia sudah dianggap realiti yang mesti diterima, 'kan?

Namun, himpitan tekanan hidup telah mengancam kesejahteraan hidup berkeluarga, sehingga boleh menyebabkan kes perceraian meningkat. Begitu juga dengan perkembangan keperibadian anak-anak.  Ramai tidak dapat menyerap himpitan dengan baik.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, dalam perhimpunan agung Umno 2013, pernah mendedahkan kajian bahawa 75 peratus daripada belia bandar yang berpendapatan bulanan RM3,000 terjejas dan "selepas mereka bayar kereta, rumah dan perbelanjaan makanan harian, mereka langsung tiada baki sesen pun di akhir bulan”.


Mengikut Jabatan Perangkaan, lebih 55 peratus pendapatan isi rumah di negara ini  berada di bawah RM4,000 sebulan dan bagi warga kota, perolehan sekitar itu tidak dapat menjamin keselesaan. Golongan miskin bandar juga perlu didekati gelodak rasa mereka.


Dan untuk menyelami lebih dekat tekanan hidup penoreh getah, wartawan Harakah Kedah, Sarina Ismail menemui beberapa orang daripadanya.

Rosli Md Lazim, 48, dari Kampung Panjang, Jenun, menceritakan: "RM2.30 kena bahagi dua pula, banyak mana boleh dapat? Saya terpaksa memukat ikan untuk tampung pendapatan. Sekurang-kurangnya saya boleh jual ikan dengan harga yang lebih tinggi dari getah.

"Anak saya empat orang, kalau hanya pendapatan RM15 sehari, bagaimana saya tampung perbelanjaan. Barang keperluan mahal, ikan temenung pun sekilo RM12."


Shafie Ahmad, 49, dari Kampung Kubang Teradeh yang bersama-sama isteri menampung kehidupan sepenuhnya dengan menoreh getah meminta kerajaan tidak memandang mudah nasib mereka.

"Kerajaan kena kaji, jangan pandang mudah pada kami. Kalau sehari, kami hanya mampu dapat RM15 sedangkan nak datang kekebun pun, kos minyak motor pun dah hampir RM2.50, itu tak termasuk makan pagi. Sudahlah pula kami keluar rumah seawal 6.30 pagi.

"Jangan hanya dekat pilihan raya sahaja penoreh getah diberi umpan, naikkan harga getah tapi bila selesai mengundi, harga getah jatuh. Nasib penoreh getah tak terbela," ujar Shafie.

"Kalau musim hujan bolehlah juga dapat 20 kilo sehari tapi kemarau seperti ini hanya boleh dapat separuh dari itu. Sedangkan perbelanjaan seharian lebih dari RM20. Mana kami nak cari? "Saya harap harga getah dinaikkan paling rendah RM5.00 sekilo, jangan kurang," tambahnya.

Wartawan Izwan Abd Halim turut menemui seorang penoreh. Saarin Osman, di Kuala Ketil. "Pesawah dapat subsidi 0.35 sen sekilogram padi, nelayan ada subsidi disel. Penoreh getah tak dapat apa pun. Ditekan lagi dengan harga barang naik, contoh 6 kilogram sekerap getah baru boleh beli sekilogram ikan temenung yang harga RM12.00 sekilo," katanya.
 
"Secara purata setiap penoreh kini memperolehi pendapatan maksimum RM25.00 sedangkan keperluan hidup tidak terbatas pada makan dan minum. Tambahan, harga barangan juga kian melambung di samping utiliti di bawah seliaan kerajaan turut mengalami kenaikan harga."
 
 

Baca Seterusnya......

Ustaz Mad, tol dan nafikan TYT Taib!

Ahmad Lutfi Othman

Walaupun tidak ada dalam perancangan asal dan tidak sempat mengatur temu janji, petang Selasa lalu, Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato' Ahmad Yakob balik semula ke pejabatnya di Kota Darulnaim, mencuri waktu untuk menemui kami.

Saya, Ketua Pegawai Operasi Harakah, Mohkhtar Rozaidi dan wartawan Arif Juhani berkunjung ke Kota Bharu, 4 dan 4 Februari, bukan untuk mencari berita eksklusif -- apatah lagi untuk menelek situasi politik dalaman PAS yang didakwa sebuah portal berita  sebagai bermasalah -- tetapi dalam rangka meneliti peluang untuk meningkatkan lagi rangkaian pengedaran Harakah.

Ustaz Ahmad, sepatutnya menyambut ulangtahun ke-64 pada 1 Februari lalu, kelihatan tenang, tulus dan sederhana sekali, juga menyembunyikan kepenatan di wajahnya. Sayang, saya sendiri pula yang agak uzur, sehingga tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya sesi pendek wawancara itu yang diatur pantas Setiausaha Politik MB, Wan Nik Wan Yusof.


Tengahari esoknya, semasa berbincang panjang dengan seorang pegawai kanan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), beliau menceritakan pengalaman awalnya berurusan dengan Ustaz Ahmad dalam suatu mesyuarat.

Katanya, semasa memaklumkan pembinaan projek baru perumahan di sebuah lokasi di Kota Bharu, Ustaz Ahmad terus bertanya, ke mana penduduk di situ hendak ditempatkan. Dan apabila diberitahu jumlah pampasan, Menteri Besar mahu penempatan baru dibina terlebih dahulu sebelum mereka dipindahkan.

"MB cukup prihatin nasib rakyat, terutama yang berpendapatan rendah. Dia akan segera menghubungi wakil rakyat tertentu sebaik mendapat tahu  ada penduduk yang ditimpa musibah, seperti kebakaran, dengan menghantar bukti gambar yang dirakamnya sendiri daripada paparan akhbar melalui telefon bimbitnya," tambah pegawai berkenaan.

Ustaz Ahmad turut menekankan soal pelaksanaan undang-undang syariah semasa bercerita pengalaman rombongan kerajaan Kelantan yang diketuainya semasa menghadap Sultan Brunei tidak lama dulu. Beliau sendiri menzahirkan penghargaan kepada baginda di atas komitmen tinggi kerajaan Brunei untuk mula melaksanakan hukuman takzir, April depan.

Ketika mengunjungi anggota Exco Kerajaan Negeri, Dato' Dr Mohd Fadzli Hassan, yang turut sama dalam rombongan itu, beliau memberitahu kami bahawa Kanun Jenayah Syariah yang diluluskan oleh Dun Kelantan juga menjadi sumber inspirasi kepada kerajaan Brunei.

"Pada 2006, mereka (rombongan Brunei) datang ke Kelantan untuk belajar mengenai sistem perundangan Islam dan apabila dibawa balik ke Brunei, mereka melakukan penambahbaikan dan meneliti suasana yang sesuai dengan keadaan masyarakat di sana," ujar Dr Fadzli.

Beliau turut menceritakan reaksi Sultan Brunei semasa kunjungan tersebut, khususnya selepas Ustaz Ahmad mengucapkan tahniah: "Kita yang berada di situ boleh nampak riak muka baginda yang sangat terharu dan seperti cuba menahan air mata."

Malam sebelumnya, sambil mencari tempat makan istimewa berdekatan hotel penginapan, saya cuba merisik gosip politik. Sekurang-kurangnya untuk mencari jawapan kepada pelbagai persoalan yang ditimbulkan rakan-rakan di Kuala Lumpur. Kebetulan ada satu dua insiden yang dikaitkan.

"Kelantan sentiasa bergolak, politiknya cukup dinamik, termasuk dalaman parti, tetapi ia dianggap lumrah dan situasi biasa saja, kecuali jika membabitkan dua kelompok besar yang berpengaruh," kata seorang rakan, bekas editor akhbar politik.

"Tak bimbang PAS mungkin jatuh dalam PRU14 di kubu terkuatnya ini? Bukankah ia dalam trend menurun?" usik saya. "Asal jangan bergaduh sesama sendiri sampai terbahagi dua," sambut pantas rakan saya itu, disulami ketawa kecil.

"Harapnya begitulah, terutama bila masuk tahun terakhir menjelang PRU14, pengundi Kelantan memerhati, menilai dan bersedia menghukum," balas saya. "Lama lagi tu," dia berkata.

"Yang penting, jangan buat kesilapan besar, dan aku yakin Ustaz Mad ada kekuatan sendiri untuk teruskan legasi Tok Guru Nik Aziz. cuma Ustaz Mad perlu masa agar dia tidak terus dibandingkan dengan gaya Tok Guru," saya memintasnya. "Elemen pemerintahan Islam dan good governance yang digariskan Tok Guru wajar dimantapkan lagi, dan ini tentu tiada tolak ansur, 'kan?"

"Tapi dengar kata, kemenangan PAS di sini lebih banyak difaktorkan oleh perantau yang balik mengundi, dan bukannya sokongan masyarakat tempatan. Bahaya tu kalau kita gagal membaca sentimen anak Kelantan di luar," tambah saya mengulangi kerisauan banyak pihak lain.

Di Kota Bharu, bertemu kenalan dan pimpinan PAS, isu pilihan raya kecil Kajang tetap menarik minat. Polemik masih sama. Pendapat berbelah bahagi. Saya ditanya kenyataan Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat, yang membayangkan penolakan terhadap cadangan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Suhaizan nampak lebih terbuka tetapi dalam kes Kajang ini, bila babitkan Anwar, tertutup pula jadinya, mengapa PAS seperti susah sangat nak terimanya. Dulu menjelang PRU13, PAS juga tolak Anwar sebagai calon PM Pakatan," rungut seorang daripadanya. Dia tertanya-tanya mengapa Suhaizan, dan sebelumnya Ketua Pengarah Pilihan Raya Pemuda, Sany Hamzan mengambil pendirian sama.

"Suhaizan memang terbuka, mudah berbincang, tapi dia juga faham sensitiviti parti, selain harus menjaga kepentingan PAS, lagipun jawatan MB belum dibincangkan," kata saya. "Usah gundah gulana, akhirnya, selepas diputuskan pimpinan tertinggi Pakatan, semua akur dan saya yakin Pemuda di bawah Suhaizan mempunyai banyak lagi isu besar yang akan diperjuangkannya."

"Sekurang-kurangnya kerana sikap unik Pemuda terhadap PRK Kajang, Suhaizan dijemput RTM bercakap secara langsung, tak mudah dapat peluang itu" tambah saya, disambut ketawa memanjang.

II.

Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pembekuan kenaikan kadar tol selama tahun disambut reaksi bercampur, terutama apabila kerajaan terpaksa membayar RM400 juta kepada syarikat konsesi.

Umum maklum, kebanyakan syarikat konsesi mengaut keuntungan besar selama ini dan kerajaan persekutuan sepatutnya tidak perlu membayar pampasan sebanyak itu. Tetapi segalanya tertakluk kepada perjanjian konsesi, yang cukup mengambil berat kepentingan syarikat.

Difahamkan, syarikat konsesi tol merupakan antara penyumbang buat dana kempen pilihan raya Umno-BN. "Duit terpijak" itu digunakan untuk membeli undi bagi memastikan survival kuasa BN tidak terjejas.

Masakan kerajaan langsung tiada ruang untuk merundingkan semula syarat-syarat yang telah dipersetejui secara berat sebelah itu. Menunda kenaikan tol ataupun memanjangkan tempoh konsesi bukan satu penyelesaian, malah akan membebankan pengguna untuk jangka panjang.

"Dari mana pampasan RM400 juta itu diambil? Bukankah wang pembayar cukai juga ataupun hasil pengurangan subsidi minyak dan gula? Rakyat juga yang diperah akhirnya," tulis seorang pembaca setia Harakah melalui emel kepada saya.


Tentu sekali Muhyiddin menafikan keputusan kabinet itu ada kaitan dengan taktik terdesak BN untuk berdepan PRK Kajang, 23 Mac nanti. Selain isu-isu yang dikitar semula, seperti soal seks, yang akan dijadikan tema kempen untuk mengaibkan Anwar, jentera BN akan cuba memperbodoh pengundi dengan mengeksploitasi isu tol ini.

Saya pasti, rakyat belum lupa dengan jaminan BN dalam manifesto pilihan raya 2013 untuk mengurangkan kadar tol secara berperingkat-peringkat. Ya, bukan dengan menangguhkan kenaikan tol tetapi bertindak mengurangkannya, ataupun kalau boleh memansuhkan terus apabila sampai tempohnya.

"Reformasi sebenar terhadap kontrak lebuh raya yang begitu berat sebelah hanya dapat dilaksanakan apabila tidak ada keperluan menggunakan wang rakyat bagi membayar pampasan kepada syarikat tol apabila kenaikan kadar tol ditunda atau dimansuhkan.

"Lagipun kebanyakan operator lebuh raya bertol sudahpun mendapat faedah dan pulangan modal asal. Apa yang mereka perolehi sekarang adalah keuntungan bersih semata-mata," kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Apa pun, saya tetap yakin, solidariti rakyat dan tekanan membantah kenaikan tol merupakan punca utama ia ditangguhkan. Justeru, kekuatan asas ini harus digembleng secara berterusan.

Pamerkan kesepaduan menentang kerakusan dan kesombongan elit penguasa itu, antaranya bukan sahaja memenangkan Anwar di Kajang tetapi memastikan majoriti undinya lebih besar lagi.

 

III.

Hebahan kemungkinan Ketua Menteri Sarawak yang keempat, Tan Sri Taib Mahmud, 78 tahun, bersara bukan lagi berita. Langsung tidak mengejutkan. Sudah lama rakyat menunggu beliau berhenti daripada jawatan yang disandangnya sejak Mac 1981 menjadikannya paling lama berkuku di negeri yang kaya dengan hasil buminya.

Taib bukan lagi disebut sebagai ketua kerajaan negeri, tetapi umpama ketua negeri, melambangkan kedudukannya seperti seorang maharaja, yang digeruni dan ditakuti, dengan pengaruh dan kuasa tidak terbatas.

Dalam kempen PRU13, Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak mengisytiharkan Taib akan bersara sebelum pilihan raya negeri, yang perlu diadakan tahun 2016. Bagaimanapun, ramai menjangka, Dun Sarawak akan dibubarkan lebih awal, mungkin selepas genap tempoh tiga tahun pasca pilihan raya negeri April 2011.

Dalam satu jamuan makan malam di Kuching pada 12 April 2011, Taib berucap: "Secara terus-terang saya berkata kepada anda.  Saya berkata dari hati saya, kerana saya akan meninggalkan anda dalam masa dua tahun.  Sebagai kata perpisahan, saya sayang kamu semua.  Tak apa kalau kamu tak dengar kata-kata saya."

Lama sebelumnya, akhbar Borneo Post 7 November 1995, Taib dilaporkan berjanji akan berundur dalam tempoh lima tahun. Dan saya kira ramai lagi penganalisis politik boleh menampilkan lebih banyak bukti tentang jaminan Taib untuk berundur tetapi tidak tertunai. Malah ada tokoh akademik mendedahkan Taib berjanji lebih sepuluh kali untuk bersara.

 

Kali ini, terbukti benar Taib akan pencen terus daripada politik tetapi ia tetap bukan berita besar. Dia sudah mendapat segala-galanya. Begitu juga dengan anak beranak dan saudara-maranya. Khazanah kekayaan Sarawak menjadi seperti aset syarikat milik keluarganya.

Anaknya, Mahmud Abu Bekir Abdul Taib, disebut di dalam mahkamah, mempunyai aset hampir RM2 bilion. Bekas isterinya, Shahnaz A Majid, dalam kes tuntutan mutaah RM100 juta, mendedahkan hal itu di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur. Malah ada pihak mendakwa

Selain itu, sebuah video bertajuk 'Inside Malaysia's Shadow State' didedahkan sebuah NGO berpangkalan di London, Global Witness yang merakam perbualan penyiasat persendiriannya dengan sepupu Taib, yang menunjukkan saudara Ketua Menteri itu memperolehi tanah dengan mudah dan cuba menjualnya kepada pelabur.

Kemewahan melampau Taib, anak beranak, saudara-mara, ipar-duai dan suku-sakatnya bukan rahsia lagi. Sebuah laman, Sarawak Report banyak membongkar salahguna kuasa, penyelewengan, rasuah dan juga penindasan Taib, bagi "merompak" hasil mahsul kekayaan negeri. Begitu juga dengan Radio Free Sarawak.

Khabarnya, ada beberapa tesis kedoktoran yang menyelongkar penguasaan ekonomi keluarga Taib dan mengaitkannya dengan amalan korupsi dan nepotisme. Sebuah pertubuhan di Switzerland mendakwa anggaran aset Taib sekitar RNM64 bilion.

Semua itu bukan lagi berita panas. Malah, lebih ramai yang tidak mengendahkannya lagi.

Bagaimanapun, apabila Taib -- yang penuh kontroversi -- diuar-uarkan bakal dilantik Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri,  selepas bersara politik, maka saya kira perkembangan ini ada nilai berita yang besar.

Jawatan tertinggi itu tentu tidak sewajarnya diisi oleh tokoh yang terpalit dengan tuduhan rasuah, salahguna kuasa dan korupsi melampau.

Di Semenanjung, kontroversi sama, mungkin dalam skala lebih kecil, pernah berlaku apabila penyandang kedudukan serupa (TYT) diserahkan kepada bekas pemimpin politik (menteri besar yang juga dikaitkan dengan salahlaku rasuah.

Sekali lagi, saya tertarik dengan kenyataan Suhaizan. Pemuda PAS mungkin akan menghadap Yang di-Pertuan Agong memohon pertimbangan baginda untuk tidak melantik Taib sebagai TYT Sarawak selagi beliau tidak dibersihkan daripada pelbagai dakwaan rasuah.

Soalnya, apakah sukar untuk SPRM membersihkan Taib? Apakah proses siasatan terhadap kes Taib dapat berjalan secara bebas dan profesional, tanpa gangguan Putrajaya?

Jawapan ke atas soalan ini juga mudah untuk ditelah, 'kan?

Justeru, apabila dikhabarkan kemungkinan ada gerakan besar untuk berkempen bagi menghalang Taib daripada dilantik Yang Dipertua Negeri, saya kira usaha itu tidak boleh dipandang remeh.

Biarlah Sarawak benar-benar melalui period yang lebih segar, berwajah baru dengan berintegriti tinggi ....

Baca Seterusnya......

KDN, Najib, Zahid kekal bebal dan primitif

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Mingguan The Heat yang digantung permit penerbitannya pertengahan Disember 2013 kembali di pasaran minggu lalu, edisi 8 Februari 2014. Saya tercari-cari juga akhbar sensasi itu; mahu melihat kemungkinan penampilannya berbeda.


Agak sukar mendapatkannya. Di kedai biasa saya melanggan akhbar, ia laris. Ya, KDN dan rakan-rakan pejuang kebebasan akhbar, khususnya GERAMM telah berjaya mempopularkan The Heat. Demonstrasi di tengah bandaraya semasa hujan lebat, kempen melalui laman sosial, majlis forum serta bantahan tokoh media dalam dan luar negara, juga ahli politik kerajaan mahupun oposisi, tentu saja membuatkan pentadbiran Najib Razak sedikit terusik.

The Heat kini menjadi lebih dikenali dan ditunggu "kepulangannya". Saya terpaksa meminta bantuan seorang teman mendapatkan naskhah isu ke-16 tabloid tersebut. Berdasarkan tatapan sepintas lalu, saya kira, persembahan dan kandungannya tidak banyak berubah. Masih menyimpan bahang! Sekalung tahniah buat rakan-rakan di sana.

Fokus muka depannya juga menarik. Mengimbau gelombang baru "student power', juga tema kegemaran saya sejak menulis pada awal 1980-an. Sosok ikon mahasiswa, Adam Adli, yang masih digantung pengajian oleh UPSI, disorot.

Sudah pasti ada cerita tentang kebebasan media, penghargaan buat mereka yang membantah penggantungan The Heat, selain episod Anwar Ibrahim dan pilihan raya kecil Kajang, peningkatan kos sara hidup, impak GST terhadap kos perubatan, langkah penjimatan kerajaan, PTPTN serta eksklusif bersama Ani Arope, bekas Pengerusi Eksekutif TNB, yang tidak dapat daripada kontroversi IPP (independent power producer).


Ani menyifatkan rundingan mengenai IPP sangat berat sebelah dan kerajaan meluluskan penjana kuasa bebas itu tanpa memikirkan keperluannya, dengan terma-terma yang merugikan wang rakyat apabila TNB dipaksa membeli tenaga daripada IPP dengan harga lebih tinggi.


Berdasarkan reaksi masyarakat, terutama pengamal media, terhadap penggantungan The Hebat, isu kebebasan akhbar bagaikan sudah diterima sebagai agenda penting nasional dan penerbit-wartawan yang digantung atau diharamkan penerbitan mereka tidak lagi merintih sendiri.

Amarah itu dikongsi bersama. Berbeda sama sekali ketika KDN mengamuk sejurus keputusan Pilihan Raya Umum 1999 yang mengejutkan Umno itu. Tiga permit penerbitan berbahasa Melayu yang dilihat cenderung kepada gerakan reformasi yang dipimpin Anwar, mingguan Eksklusif, majalah-majalah Detik dan Wasilah, dibatalkan. Akhbar dua kali seminggu Harakah dipancung kekerapannya menjadi dua kali sebulan. Reaksi rakyat sekadar suam-suam kuku dan mudah  sejuk.

Namun begitu, malang masih berulang, kembalinya The Heat ke pasaran rupa-rupanya tidak bermakna pentadbiran Najib benar-benar menghormati hak kebebasan bersuara. Elit pemerintah masih kekal angkuh, sombong dan sentiasa mahu menunjukkan bahawa merekalah sebenarnya yang berkuasa dan boleh menentukan apa saja. Lebih penting, jangan sama sekali cuba mencabar ego penguasa.

Akhbar harian umum FZ Daily, terbitan syarikat yang menerbitkan mingguan perniagaan The Edge, yang baru mendapat permit dan isu pertamanya belum pun muncul di pasaran menjadi mangsa terbaru kerakusan KDN.

(Ingat apa komen menterinya, Zahid Hamidi, terhadap tindakan menyembelih dua ekor ayam, menyimbah darahnya ke atas kain rentang sebagai ugutan kepada Teresa Kok, selain  tawaran upah RM1,200 menampar Ahli Parlimen DAP itu).

Permit FZ Daily diterima The Edge Communications Sdn Bhh melalui surat KDN bertarikh 20 Ogos 2013. Sebenarnya permohonan awal telah dibuat pada Oktober 2012 lagi. Pembayaran permit sebanyak RM2,000 dilunaskan dua hari selepas diluluskan. Bagaimanapun seminggu kemudian KDN mengeluarkan surat menggantung permit berkenaan.

Dan pada 5 Februari lalu, apabila syarikat The Edge mendapat kebenaran awal untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas tindakan KDN, di sebelah paginya, tiba-tiba pada sebelah petang hari yang sama, muncul surat baru KDN yang memaklumkan: "... Kementerian ini telah mengambil keputusan untuk menarik balik kelulusan ... dan permohonan permit penerbotan FZ Daily adalah TIDAK DILULUSKAN. Sehubungan itu, kelulusan .... bertarikh 20 Ogos 2013 adalah DIBATALKAN".

Ya, cukup menjolok mata sekali. Keputusan U-turn yang langsung tidak bermaruah, tidak diasaskan kepada rasional dan logika, menjelaskan lagi budaya rimba yang menganggap boleh berbuat apa saja. Mungkin klausa Seksyen 6(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan diperalatkan, iaitu: "Menteri boleh pada bila-bila masa membatalkan atau menggantung sesuatu permit selama sesuatu tempoh yang difikirkannya mustahak."


Justeru, sesiapa pun tidak akan terkejut apabila pemantau antarabangsa, Wartawan Tanpa Sempadan, yang berpusat di Perancis, menyenaraikan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media 2014 pada tangga ke-147 daripada 180 negara, merosot dua angka berbanding tahun lalu. Ini adalah rekod terburuk pernah dicapai Malaysia.

Kebebasan berkarya juga tercemar apabila RTM turut menggantung penyiaran sitkom 88 Kopitiam hanya disebabkan salah pelakonnya muncul dalam klip video Tahun Baru Cina, 'Onederful Malaysia', yang membabitkan Teresa.

Pelakon wanita itu, Lim Chin Miau  berlakon sebagai "Mrs Jit", seorang pakar feng shui, digambarkan sebagai wanita gemuk berambut tebal yang menyukai barang kemas dan beng tangan.

Seperti artikel The Heat yang menyinggung perbelanjaan mewah Perdana Menteri dan isteri, sehingga ia digantung permitnya, klip video satira politik itu juga dilihat merujuk gaya hidup Rosmah Mansor, terutama apabila mengaitkannya dengan cincin berlian, beg tangan berjenama, hartanah di New York.

Pada 11 Februari lalu, pihak polis bertindak "pantas dan cekap". Lim disoal siasat hampir dua jam. Ditanya hampir 30 soalan berkaitan kandungan video jenaka berkenaan.Dua hari sebelumnya, RTM telah menggantung sitkom popular Cina, Kopitiam 88 atas alasan program itu menampilkan pelakon 'Onederful Malaysia'.

Baguslah jika aksi PDRM sememangnya tangkas dan sensitif dengan persoalan ketenteraman awam. Teresa juga wajar disiasat menurut saluran undang-undang jika diperlukan, tetapi pelik sekali apabila tawaran untuk menamparnya langsung tidak diambil peduli polis.

Malah Zahid menganggap ugutan tampar Teresa bukan satu ancaman dan oleh itu tidak perlu disiasat. Tepat kali bidasan Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar: "Saya minta Zahid bercakap sebagai Menteri Dalam Negeri, jangan bercakap sebagai penaung Perkasa."

Saya dimaklumkan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bahawa pihak tidak bertanggungjawab cuba menganggu Teresa dan keluarganya, dengan pelbagai ancaman, apatah lagi apabila media menggambarkan beliau menghina orang Melayu, agama Islam dan juga merendah-rendahkan pasukan keselamatan.

"Harakah perlu bantu Teresa. Masih banyak suara rasional yang tidak terpengaruh dengan propaganda lapuk itu. Majoriti orang Melayu langsung tidak merasakan klip video itu menghina Melayu, apatah lagi Islam, tetapi ia mungkin menyebabkan pemimpin yang suka membazir dan bermewah-mewah ketika  rakyat susah akan terasa," ujar Mohamad.

Terbukti, KDN dan elit politik Malaysia bukan masih bebal dan tertutup mindanya tetapi juga sering beraksi tempang dan saling bercanggah. Kembalinya The Heat tidak bermakna situasi kebebasan bersuara lebih jernih dan terbuka. Tidak juga bermaksud KDN, Najib dan Zahid bersedia mendengar suara berbeda.

Cabaran ini mengingatkan bahawa perjuangan membebaskan kongkongan media tidak pernah selesai. Sekurang-kurangnya pengisian Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang dirayakan setiap 3 Mei perlu mendapat kesegaran baru. tapi, bagaimana ya?

Baca Seterusnya......

Cerita letupan kuari, sekolah tak ada jalan masuk dll di Tawau

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Pagi Ahad, 19 Januari. Hari kedua saya di Tawau. Dua panggilan Yang Dipertua PAS kawasan, Mohamad Husain, tidak sempat dijawab. Sejak awal pagi, kami agak terkejar-kejar membuat tinjauan ringkas, menyelongkar isu-isu rakyat di lapangan, yang belum didedahkan secara menyeluruh oleh media.

 
Saya dan wartawan Arif Atan tiba agak lewat di lokasi, Pasti Nurul Hannani, Jalan Kuhara. (Rupanya Pasti di Tawau -- antara yang terbaik pengurusannya di Malaysia -- mendapat sambutan hebat ibu bapa, termasuk keluarga penyokong dan pemimpin Umno).  Pengarang Berita, Wan Nordin Wan Yaacob sampai lebih awal. Majlis jamuan dan meraikan bekas tahanan ISA, bertempat sudah bermula.

 

Saya terpaksa berhati-hati menuruni cerun di jalan masuk depan Pasti.  Dua anak muda dengan sopan cuba memapah saya. Terasa macam orang tua kurang upaya!

Bekas tahanan dua kali dikurung di Kamunting, Ustaz Nazri Dollah, baru memulakan ucapan, menekankan teladan unggul Rasulullah s.a.w. Saya perlu meredakan kepenatan di barisan kerusi paling belakang sebelum bersama Nazri dan Mohamad di atas pentas, 

Wajah jernih anak-anak kecil yang pernah berkunjung ke Pejabat Harakah menggamit perhatian saya. Begitu juga para isteri yang dulunya berwajah suram. Sekilas, saya dapat mengesan mereka kini dalam mood berbeda. Alhamdulillah.

Memang kunjungan kali ini bukan lagi waktu untuk berduka atau bercerita kisah sedih. Sebaliknya tanda simbolik menguburkan akta rimba penuh kezaliman yang memisahkan keluarga pejuang. Dan turut mahu dibenamkan ialah ketakburan elit penguasa serta kesombongan pencacai, khususnya anggota Cawangan Khas (SB).

"Saya kira selepas ISA dimansuhkan dua tahun lalu dan semua tahanan dibebaskan minggu lepas, maka ini mungkin kunjungan terakhir ke Tawau, ditambah pula keuzuran badan," ujar saya dalam mukadimah forum  membariskan bekas tahanan berkongsi pengalaman.

"Rupanya, tidak. Dan saya terlewat sampai ini pun kerana terpaksa menyusun jadual melihat sendiri banyak projek sakit dan isu-isu rakyat di Tawau, seperti penyelewengan pembinaan Sekolah Menengah Titingan, dan paling mengejutkan insiden batu besar kuari meranapkan 12 rumah di Kampung Tanjung Batu Kukusan. Dahsyat sungguh!

"Insya-Allah, walaupun ISA sudah berkubur, saya dan rakan-rakan Harakah akan datang lagi ke Tawau," kata saya, disambut ketawa kecil hadirin.

Seawal pagi hujung minggu itu (walaupun sudah dianggap lewat dalam kiraan jam di Sabah) kami menjejaki projek pembinaan Sek Men Kebangsaan Titingan, Tawau, yang hampir siap dan sepatutnya sudah mula beroperasi tahun lalu.

Malam sebelumnya, kami dibawa menikmati juadah makanan laut yang segar dan enak, di sebuah restoran berdekatan, Sri Titingan, memaksa saya melanggar diet diabetis, jantung dan kegagalan buah pinggang.

Saya perhatikan kawasan sekolah dipagar sepenuhnya. Kami ditemani Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, juga Yang Dipertua PAS Kalabakan, Ahmad Dullah. Ahmad yang murah dengan senyuman dan kerap berjenaka itu seperti keberatan membenarkan saya menyelit melalui "lorong tikus". Saya terpaksa mengempiskan perut dan menahan nafas untuk meloloskan diri.

"Dah jauh ke sini, haji, takkan tersekat nak masuk ke dalam, kot," saya bersuara perlahan, ketawa kecil, sambil bertongkat mengimbangi badan agar tidak tersepit. Saya lebih risaukan benda-benda tajam yang boleh melukakan dan berisiko tinggi kepada pengidap diabetik.

Memang mengejutkan. Bangunan sekolah yang menelan kos RM40 juta itu boleh dikatakan siap sepenuhnya tetapi kini terbiar sepi. Lalang hampir separas pinggang.

Banyak peralatan, termasuk pendingin hawa telah dicuri. Hatta pintu dewan besar pun tanggal, lesap. Apatah lagi jeriji besi yang boleh dijual di pasaran gelap dengan mudah.

Pelik bin ajaib juga memikirkan punca masalah bagaimana bangunan sekolah yang siap tidak dapat dimanfaatkan. (Tapi, bukankah tiada yang aneh di negara tercinta ini, segalanya serba mungkin dan tiada yang mustahil, 'kan?)(Gambar:
Tersepit semasa menyelit melalui "lorong tikus" untuk meninjau pembinaan sekolah menengah titingan, tawau, yang menyimpan penuh misteri ... Sekolah ini sepatutnya sudah boleh digunakan tahun lepas tetapi kini naik semak samun dan dipagar rapat.)

Difahamkan tiada jalan masuk ke sekolah baru ini. Soalnya, bagaimana projek boleh diluluskan tanpa dibereskan kemudahan paling asas terlebih dahulu? Mungkinkah -- untuk kesekian kali -- rasuah atau elemen seumpamanya. sepertimana pernah menyebabkan banyak lagi projek sebelum ini terbengkalai atau roboh kemudiannya, terutama di bawah Kementerian Pendidikan?

Soalan-soalan itu sebenarnya tidak lagi menimbulkan tandatanya, malah sudah ada jawapan "sejak azali" lagi! Ya, pemerintahan Umno-BN tidak dapat dicerai-tanggal daripada korupsi, kronisme, salahguna kuasa atau sekurang-kurangnya pembaziran melampau.

Lebih aneh lagi apabila khabarnya Putrajaya telah dimaklumkan bahawa pelajar-pelajar sudah berpindah ke sekolah baru itu.

Belum lega dengan kejutan itu, kami dibawa ke sekolah tumpang, di kawasan setinggan berhampiran, yang terpaksa menampung pelajar sekolah terbengkalai tersebut. Melihat situasi di sekeliling, saya dapat membayangkan risiko tinggi yang menunggu, antaranya banjir dan kebakaran.

Sementara menunggu hidangan juadah nasi Arab di majlis meraikan bekas tahanan ISA, seorang guru membisikkan kepada saya: "Bukan hanya sekolah Titingan yang terbengkalai, banyak lagi projek sakit di Tawau ini." Dia menyebut nama dua sekolah menengah itu, Kubota dan Kinabutan, yang kemudiannya kami lawati esok hari, bersama Mohamad Husain.

Secara peribadi saya tidak begitu kaget dengan perkampungan setinggan atau penempatan di atas air di Tawau. Semasa di Sandakan beberapa bulan lalu, saya perhatikan situasi di sana lebih sesak dan menyedihkan. Begitu juga dengan keadaan anak-anak kecil yang berkeliaran di pasar.

Saya lebih terdorong dan rasa bertanggungjawab untuk mengangkat isu kuari di Kampung Kukusan. Melihat sendiri bongkah batu sebesar rumah, yang meranapkan 12 kediaman, cukup menggerunkan.

Berdepan "lembaga" batu sebesar itu, yang jatuh bagaikan peluru selepas puncak bukit diletupkan, pada April 2013, saya bukan saja terkejut tetapi sekali gus api kemarahan memuncak.

Bukankah aktiviti pengkuarian terpaksa melalui prosedur yang cukup ketat, khususnya daripada Jabatan Alam Sekitar, yang memerlukan laporan EIA dan persiapan kawalan risiko kecemasan yang diluluskan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak polis?

Bukan saja impak gegaran, bau, bunyi bising dan habuk yang diambil berat, malah prioriti paling atas adalah aspek keselamatan, bukan hanya terhad kepada manusia tetapi juga binatang. (Gambar:Nah! Inilah bongkah batu yang mengelongsor jatuh dari atas bukit di Kg Kukusan, Tawau, menghempap 11 rumah ...)

Difahamkan kawasan kuari juga hendaklah dilanskap dengan tumbungan rendang yang dapat menghalang pandangan visual penduduk terdekat. Selain itu, operasi kuari hendaklah dihentikan serta merta jika terdapat sebarang aduan pencemarfan atau gegaran atau batu terbang (flyrock) daripada penduduk sekitar.

Dan sebagai rakyat biasa, saya rasa terhina dengan sikap rakus dan memandang rendah keselamatan orang awam, konspirasi ahli perniagaan tamak bersama elit pemerintah takbur.

Sama sekali anda tidak boleh mempercayainya apabila letupan kuari sedahsyat itu, yang memuntahkan bongkah batu pejal yang masih tersergam, namun ia masih belum berjaya menghentikan operasinya.

"Inilah bukti kerja jahat kapitalis rakus yang mahu mengorek segala khazanah bumi tanpa menghiraukan keselamatan orang awam," Arif Atan meluahkan rasa hati semasa kami masih berkereta menuju jalan masuk ke Kg Kukusan atau lebih popular dengan sebutan Besi Buruk.(gambar:
Kg Kukusan, Tawau, 19 Januari 2013, projek peletupan batu kuari yang langsung tidak mengendahkan keselamatan orang kampung .. 11 rumah hancur dilenyek batu sebesar itu ... Dan lebih mengejutkan semasa saya berkunjung ke lokasi, masih ada gegaran kuat daripada pemecahan batu di atas bukit sana ...
)

"Rasuah dan korupsi akan menghanguskan segalanya," pintas saya. "Dan inilah peranan media bebas seperti Harakah. Kita harus turun selalu ke Sabah. Banyak cerita misteri yang belum kita borek tersimpan di sini," saya seakan berkhutbah.

 

Dari bawah, saya mendengar dengan jelas gegaran di atas bukit, dan melihat kilauan pancaran cahaya daripada mesin pengorek yang terus digerakkan.

Malah, seorang wanita, penduduk kampung, menunjukkan salinan pemberitahuan, bertarikh 20 Januari 2014, daripada pengurusan Kukusan Kuari Tawau bahawa "peletupan bom batu" akan dijalankan pada jam 1.30 petang, 21 Januari.

Petaka apa yang masih ditunggu, bukan saja untuk menghentikan serta merta operasi kuari itu, tetapi juga untuk membentuk satu siasatan terperinci bagi mengenal pasti akar kepada kejadian ngeri yang masih menghantui penduduk itu?


Selama tiga hari di Tawau, saya cukup terkesan dengan personaliti hebat rakan-rakan PAS, tidak terkecuali Muslimat, yang banyak membantu dan ringan tulang, termasuk bersama isteri saya, Siti Hawa Samsam menyediakan juadah nasi Arab untuk jamuan meraikan bekas tahanan ISA. 

Dan saya tentu sekali tidak dapat melupakan sosok tubuh "Uncle Jefferey", 68, atau nama sebenar Kideng ak Benang, seorang lelaki Iban yang tabah dan cekal. Ungkapan kata yang dituturkannya cukup menarik dan membekas. Beliau bijak menyusun madah dan mampu membangkitkan semangat.

Bertemu mata dengannya, mencuri masa kerja beliau sebagai pengawal keselamatan selepas dipaksa meninggalkan kerjaya sebagai petani berjaya, dan berbicara tentang kemusnahan kawasan bercucuk tanam  dan penempatan yang diterokainya sejak 1978, begitu menyentuh hati.

Satu lagi testimoni tentang kerakusan pemerintah merampas tanah yang diusahakan titik peluh rakyat. Saya rasa terkilan kerana tidak sempat mengunjungi kampungnya bagi menyaksikan sendiri proses kezaliman yang tidak pernah terhenti.

"Bukankah pelik apabila kita, manusia, sebagai makhluk Tuhan yang paling indah telah diusir lebih hina berbanding binatang.

"Saya sendiri pernah katakan kepada pihak perhutanan Sabah, gajah, dan binatang liar dalam hutan kamu jaga, pelihara. Sedangkan manusia seperti kami dan sama seperti kamu juga, ciptaan Tuhan yang begitu indah, tapi tidak difikirkan hak sesama manusia, diusir tanpa memberi pilihan," ujarnya lembut tetapi nampak tegas.

Jefferey seterusnya menceritakan perancangan beliau dan rakan-rakannya untuk kembali ke kawasan penempatan mereka yang telah dimusnah dan dirampas: ""Kami akan kembali ke sana 10 April ini. Setiap tahun sejak empat tahun lalu kami berdoa di sana.

"Saya minta kepada Tuhan supaya Tuhan memberi kebijaksanaan, melembutkan hati mereka agar mengembalikan hak rakyat yang mereka rampas. Langkah saya tidak terhenti begitu saja. Setiap tahun kami berdoa begitu. Perjuangan kami belum selesai," tambahnya penuh yakin. Benar, saya tidak perlu menunggu lama untuk mengkagumi watak lelaki ini.

Ikuti kisah menarik Jefferey, bekas ketua cawangan Umno dan seorang yang boleh dianggap bertaraf paderi, juga pelanggan tetap Harakah yang tidak pernah absen mengikuti ruangan kuliah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tok Guru Abdul Hadi Awang, dalam Harakah akan datang.

 

Baca Seterusnya......

PRK Kajang dan Suhaizan yang cool

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Rabu lalu, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat bersama Setiausaha Pemuda, Nasaie Ismail berkunjung ke Jabatan Pengarang Harakah. Setiap Rabu, saya dan editor lain selalunya cuti rehat selepas dua malam deadline.

Pertemuan itu sepatutnya diadakan lebih awal, sebaik beliau menang pertandingan sengit, mengisi kekosongan Ustaz Nasrudin Hassan, hujung November 2013. Saya dan wartawan Arif Juhani hanya bersembang santai, tanpa sempat bersoal-jawab secara khusus  dengan Suhaizan di Pejabat Pemuda, Jalan Raja Laut, satu pagi hujung minggu. 

Waktu itu, Suhaizan lebih banyak mengisahkan pengalaman berkacanya mendaki kerjaya politik sejak di kampus lagi. Kebetulan kami dari universiti yang sama, Universiti Teknologi Malaysia dam belioau turut aktif dalam PMUTM. Saya lebih mengingati komitmennya dalam kempen memansuhkan PPSMI dan juga membongkar senarai daftar pemilih -- menjelang PRU13 -- yang mengelirukan dengan kes nama-nama pengundi pelik.

Sesekali saya cuba mengorek rahsia "pertembungan dalaman" Pemuda, yang khabarnya belum selesai walaupun muktamar sudah berakhir, namun Suhaizan hanya menjawabnya dengan senyuman. Mendengar gosip liar seolah-olah dia cukup terhimpit tetapi lenggok badannya berbeda sekali.

Cerita peribadinya menarik dan wajar dikongsi bersama; cuma saya belum sempat menulisnya. Moga catatan tangan saya di Pejabat Pemuda itu masih boleh dibaca!

Tengahari 29 Januarai lalu, Suhaizan yang berbaju merah, tiba agak lewat. Sebelah paginya ada rakaman perutusan Tahun Baru Cina di Batu Caves. Dia menyapa kami dengan ucap selamat dalam bahasa Cina, yang mungkin baru dilafaznya semasa di studio tadi.

Dalam sesi wawancara itu, saya dapat mengesan keistimewaan awal Suhaizan; dalam apa jua keadaan, dia nampak tenang dan cool. Mungkin tidak banyak isu baru yang ditekankannya dalam perbualan hampir satu jam itu, selain mengulangi kerangka besar haluan Pemuda tapi bersikap terbuka mengakui kelemahan yang perlu diperbaiki dan ruang besar yang masih belum dimanfaatkan.

Editor ruangan antarabangsa Harakah, Haris Zalkapli, yang turut sama dalam sesi wawancaram ketika saya minta merumuskan misi dan visi Suhaizan, mencatatkan: "Yang paling jelas ialah agenda untuk memobilisasi Pemuda PAS menghadapi cabaran semasa anak muda, dengan menggalakkan lagi usaha penyebaran maklumat, pendidikan politik dan kajian serta wacana supaya sebarang tindakan dibuat berdasarkan maklumat yang tepat dan mendapat sumbang saran daripada rakyat."

Dalam isu PRK Kajang, Suhaizan turut menyinggung kritikan keras terhadap KeADILan, sekurang-kurangnya daripada dua pemimpin kanan Pemuda, iaitu Ketua Pemuda Selangor dan Pengarah Pilihan Raya Pemuda Malaysia.

Beliau ternyata bersikap terbuka, meraikan kepelbagaian pendapat, selain memahami gejolak rasa anak muda yang agak "kebingungan" dengan perkembangan drastik itu. Berdasarkan luahan kemarahan dalam facebook dan twitter, "langkah taktikal" KeADILan itu tidak mendapat sokongan ramai.

Jam 12.40 tengahari, saya tidak sempat menikmati  nasi kukus bungkus ayam dara bersama Suhaizan dan Nasaie kerana terpaksa berkejar ke sebuah restoran berhampiran Kedutaan Amerika syarikat, Jalan Tun Razak. Seorang rakan lama, pemaju perumahan berjaya, setia menunggu.

Saya teruja untuk mendengar khabar sensasi dari sumber yang dekat, tentang pertembungan dalaman Umno, dikatakan membabitkan Najib Razak dan mentornya, Dr Mahathir Mohamad. Ya, memang ia bukan rahsia lagi, malah sudah lama dihebohkan.

Sejak saya menulis buku "Anwar Lawan Ghafar?" pada tahun 1992, pergolakan dalaman Umno bukan satu cerita menggemparkan. Cerita tentang perebutan kuasa, konspirasi dan komplot adalah lumrah. Bagaimanapun, selepas Anwar disingkirkan pada 1998, saya tidak berminat lagi untuk merisik kisah dalam kain Umno.

Bagi saya, cerita-cerita Umno tanpa kehadiran aktif Dr Mahathir, Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim sukar menggamit perhatian lagi.

Memilih penjuru restoran yang tersudut, rakan saya itu memanjangkan kisah yang didengarnya daripada sumber-sumber, yang didakwanya, dekat dengan Najib. Dia berminat dengan perkembangan "perdamaian nasional" ataupun yang lebih mutakhir "konsensus nasional".

"Istimewanya kali ini, masuk satu lagi faktor baru, peranan Perdana Menteri Turki, Erdogan, untuk memulihkan hubungan Anwar dan Najib," katanya separuh berbisik, merujuk sumber Pejabatan Perdana Menteri sendiri.

"Dulu katanya ada peranan Jusuf Kalla, bekas Naib Presiden Indonesia, sekarang lebih bersifat global," pintas saya, mengusiknya. "Kerajaan perpaduan bentuk baru kot?" tambah saya. Kami sama-sama ketawa.

Sambil mencicip potongan kek bersama teh kosong, selepas menikmati hidangan spaghetti, rakan saya itu menarik perhatian pertembungan Najib dan Dr Mahathir. "Untuk menyelamatkan sepupunya, Hishammuddin Hussein yang jelas tertinggal masa pemilihan Umno lepas, Najib minta jangan undi anak Mahathir, Mukhriz. Dan Mahathir sangat kecewa," ujarnya.

Saya tidak begitu mengambil serius dakwaannya tetapi tetap mengambil ingatan seorang penganalisis: "Politik sifatnya cukup dinamik, ia sentiasa berkembang dan berubah."

Kami juga berkongsi pandangan tentang situasi di Selangor. Rakan saya yang lama brgiat dalam Umno peringkat bahagian di negeri termaju itu menjangkakan kehadiran Anwar dalam kerajaan Selangor pasti tidak akan menyenangkan Najib dan juga Mahathir.

"Selangor akan menjadi modal besar Pakatan, bukan hanya misi ke Putrajaya tetapi juga usaha menawan Negeri Sembilan, Perak dan Johor," tambahnya. Saya tidak mengerti maksudnya tetapi tidak pula bertanya lebih lanjut.

Dia mahu tahu pandangan dan sikap PAS tentang pengosongan kerusi Dun Kajang. "Aku dengar macam PAS tak dirundingi langsung, seolah-olah bukan rakan kongsi terpenting di Selangor, malah seperti menganggap PAS macam tak ada di Selangor," katanya.

"Setahu saya, pimpinan Pakatan hanya berbincang soal pilihan raya kecil sahaja, menyerahkannya kepada kebijaksanaan KeADILan kerana itu kerusinya, tapi tidak sampai memutuskan jawatan menteri besar. Khalid masih MB," saya tidak menunggu lama untuk menjawab.

Lama mengenalinya saya faham dia lebih menginginkan persefahaman politik lebih erat di antara dua parti Melayu, malah mengharapkan PAS bersama Umno dalam sebuah kerajaan campuran. Beberapa kali dia melahirkan rasa kesal apabila PAS tidak menghantar nama calon menteri besar selepas PRU13.

"Istana Selangor sebenarnya menunggu calon menteri besar PAS," rakan saya itu mengulanginya lagi. Cara dia bercerita seperti mempunyai kenalan rapat yang mengetahui dari dekat kehendak istana. Saya juga, seperti biasa, hanya ketawa kecil, mendengarnya. Saya mengelak untuk berbantahan dengan beliau dalam isu "perpaduan Melayu" ini.

"Okey, sekarang, kalau betul Khalid Ibrahim mahu digugurkan, maka PAS tak perlu terikat dengan persefahaman lama lagi. Bukankah Khalid dipilih semula, termasuk dengan sokongan PAS, bukanlah disebabkan ia wakil KeADILan, tetapi kerana prestasinya selama lima tahun sejak 2008, 'kan? Jadi, pilihan kembali terbuka," dia nampaknya tidak putus asa mahu meyakinkan saya bahawa PAS lebih berhak untuk posisi strategik itu.

Saya tidak mahu memberi harapan palsu kepadanya. "PAS sedar diri dan malu untuk menuntut kuasa," jawapan saya untuk melepaskan diri. Selama ini pun kami jarang sependapat dalam isu-isu kalimah Allah dan perpaduan Melayu.

"Saya bersetuju dengan pandangan Prof Ungku Aziz. Melayu memang sukar untuk bersatu," saya sekadar menduganya. "Tetapi lebih tepat, jika hanya diukur penyatuan kita berdasarkan sokongan politik, kita tidak perlu bersatu pun. Apa salahnya masing-masing ada parti sendiri, bersaing dalam pilihan raya bebas, bersedia untuk berbeda pandangan dan akhirnya hormati keputusan rakyat," nada saya seakan-akan berkhutbah pula.

Semasa kami rancak berborak, saya tidak sedar dua panggilan telefon daripada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu. Bagaikan ada hal penting untuk dikongsi. Saya memendekkan bicara.

"Kami dah terlepas di Jalan Parlimen, nak ke Pejabat KeADILan, ada sidang akhbar bersama Anwar, tadi memang dekat-dekat Harakah," jawab Mohamad Sabu ketika saya menghubunginya kembali.

"Takpa, anta turun ke restoran depan Harakah tu, dalam masa 10 minit saya sampai," ujarnya. Saya terasa bersalah memaksanya berpatah balik sedangkan dia ada acara lebih penting.

Saya sebenarnya mahu mendengat sendiri penjelasan Timbalan Presiden PAS terhadap pelbagai kecaman dan sindiran terhadap keputusan mengosongkan Dun Kajang. Mungkin ada maklumat dalaman yang boleh membantu Harakah menentukan sudut terbaik laporannya.

Rakan-rakan dalam PAS Selangor tidak dapat membantu. Saya faham, mereka sendiri agak keliru dan lebih banyak meneka serta mentafsirkan. Bagi saya, ia sesuatu yang normal. Sebelum keputusan dirumuskan dan penjelasan diberi, biarkan saja suara-suara protes atau yang tidak berpuas hati itu.

Perbedaan pendapat, hatta percanggahan pandangan, tidak perlu dirisaukan sangat. Hakikatnya, ia dizahirkan bukan bertujuan untuk memusnahkan kepentingan bersama tetapi mencari rasional dalam menemukakan yang lebih baik. Lebih penting, rakyatlah yang menghakimi dan mereka menuntut jawapan tuntas, bukan sekadar retorika politik.

Seperti lazimnya, Mohamad tidak gemar untuk menyalahkan rakan-rakan sekutu dalam Pakatan. Beliau lebih selesa mengkoreksi diri pengalaman getir PAS menguruskan pertentangan dalaman.

Ternyata, dalam kes tertentu, dan Mohamad memberi beberapa contoh, PAS sendiri gagal menanganinya dengan baik, sehingga mengakibatkan kuasa beralih tangan.

"Mungkin ini satu pilihan KeADILan, dan lebih baik ia diuruskan dengan kadar segera, lagipun PRU14 lambat lagi," ujarnya sambil mengakui beliau cukup menghormati gaya Khalid Ibrahim menerajui kerajaan Selangor terutama berkaitan good governance dan urus tadbir yang bersih rasuah.

Meskipun diasak pelbagai soalan berkaitan, ternyata Mohamad lebih berminat untuk meminta saya menulis tentang bahang perkauman yang cuba dimarakkan dan ia cukup berbahaya. Rujukannya lebih fokus kepada situasi di Pulau Pinang. Kebetulan Mohamad merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri dan rakan karib kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.


Sambil memuji Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai antara yang pasukan terbaik dan cekap, beliau mempersoalkan mengapa Umno, khasnya di Pulau Pinang, yang cuba menghidupkan sentimen perkauman masih dibiarkan bebas.


"Hairan sekali, apabila orang yang membuang kepala babi dalam masjid dan membakar gereja sampai sekarang tidak dapat ditangkap. Dan cara jenayah itu dilakukan seolah-olah begitu rapi sekali," ujar Mohamad sambil menghirup teh kosong.

"Kelmarin saya tengok berita TV, orang yang melakukan sabotaj dalam demonstrasi aman di Bangkok, melepaskan tembakan rambang, dikenal pasti seorang polis," tambah saya sambil melahirkan rasa curiga dengan peranan Cawangan Khas (SB) dalam kempen provokasi ini.

Mengenai insiden sebuah gereja di Hulu Kelang dibakar tidak lama dulu, saya difahamkan tiga anak muda terbabit sebenarnya didorong oleh sebuah pertubuhan rasis yang dikenali diumum. Sayangnya, dalam perbicaraan motif mereka melakukan jenayah tidak pula dibongkar dan pengkhianatan terancang itu terpendam begitu sahaja.


"Umno Pulau Pinang cuba membawa ke arah perkauman dan semua ini adalah usaha terancang dan kita berharap polis dan pihak keselamatan negara dapat menangani isu ini," kenyataan Mohamad dalam sidang akhbar petang Rabu itu bersama Anwar dipetik.


Sementara itu, Lim Guan Eng mengutuk Umno  atas cubaan untuk mempolitikkan insiden-insiden terkini di Pulau Pinang dengan kenyataan yang menyalahkan parti pembangkang, padahal Umnolah yang bermain dengan api kebencian kaum dan agama; berbanding fokus Pakatan Rakyat terhadap isu kenaikan harga gula, petrol, tarif elektrik dan tol lebuh raya.

Beliau turut manarik perhatian terhadap tiga sepanduk "berkualiti tinggi" dengan mesej menghasut yang dinaikkan diketahui di tiga gereja katolik di Pulau Pinang, selain dua molotov *****tail yang dilempar ke arah rumah ibadat itu.

Lebih serius lagi apabila Ketua Menteri itu mendedahkan: "Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, seorang pegawai kerajaan kanan berketurunan Melayu, Penolong Pegawai Daerah Abu Hassan Osman diserang secara terbuka pada 21 Januari di hadapan 35 pegawai polis yang sepatutnya melindungi beliau di Teluk Bahang. Walaupun pakaian Abu Hassan terkoyak selepas serangan tersebut, penyerangnya tidak diberkas dengan serta merta ..."

Sehinggalah jam 7 malam, 31 Januari lalu, seorang rakan memaklumkan melalui SMS: "Jangan lupa tonton program Lanskap RTM1, jam 9-10 malam, live dari Angkasapuri, Suhaizan lawan Noh Omar isu PRK Kajang."

Saya tidak pasti siapa dua penalis selain Suhaizan, dalam forum yang dipengerusikan Syed Munawar. Seorang mewakili Pemuda Umno, tetapi Suhaizan menyebut, dia mengenali penalis itu sebagai bekas pemimpin Perkasa, lebih tepat Ketua Wiranya.

Seorang lagi cuba digambarkan sebagai penganalisis politik, namun argumen dan hujahnya lebih pekat daripada aktivis Umno sendiri, selain suka mempamerkan kebenciannya kepada Anwar Ibrahim.

Peliknya, dua penalis itu lebih ghairah menujukan soalan kepada Suhaizan, berbanding pertanyaan moderator sendiri. Bertubi-tubi, bukan hanya soalan dikemukakan, malah penjelasan Ketua Pemuda PAS itu cuba diputar-belitkan.

Mereka cuba memerangkap Suhaizan dengan menggambarkan PAS sebagai rakan yang ditinggalkan KeADILan. SUhaizan didesak untuk respons kepada soalan yang sewajarnya dihalakan kepada strategis KeADILan.

Dan Suhaizan menunjukkan sikap terbuka dan jiwa besarnya apabila menjawab penuh ketenangan, langsung tidak gopoh atau beremosi walaupun diasak, malah cuba direndah-rendahkan. Saya lebih suka perhatikan mimik mukanya berbanding jawaban atau sanggahan Suhaizan.

Saya tidak melebih-lebih jika merumuskan bahawa Suhaizan memang kelihatan cool dan bersahaja. Sesekali beliau mengusik dua penalis tadi yang nampak tidak puas hati mahu menyerangnya.

"Suhaizan terpaksa jadi jurucakap KeADILan dan Anwar pula," saya mengusik  rakan baik Suhaizan melalui SMS. "Kenapa RTM tidak panggil Rafizi Ramli ataupun Saifuddin Nasution Ismail jika mahu mendapat penjelasan langsung persoalan PRK Kajang," saya menambah tanpa mengharapkan reaksinya, menyedari nama Rafizi banyak kali disebut.

Meskipun episod awal PRK Kajang ini turut mendebarkan emosi penyokong Pakatan -- walaupun pertembungan nanti diyakini dapat dimenangi Anwar -- namun saya yakin selepas rasional diperincikan, aktivis ketiga-tiga parti, termasuk PAS dan DAP, akan lebih bersemangat untuk kembali menjayakan road-map ke Putrajaya.

"Berdasarkan forum RTM tadi, saya bagi empat bintang kepada Suhaizan tetapi yang agak mencacatkannya bila  dia nampak terlalu bergantung dengan hujah Rafizi. Saya yakin dia ada rasional sendiri yang lebih meyakinkan tapi terpaksa menghormati rakan-rakan dalam KeADILan," ulas seorang rakan saya, juga bekas aktivis PMUTM, yang sama-sama mengenali dari dekat Suhaizan.

Baca Seterusnya......