Ahmad Lutfi Othman
Saya mendapat khabar sedih -- tapi sudah dijangka -- yang membatalkan kelayakan Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Kajang, lebih kurang setengah jam selepas Ahli Parlimen Kluang yang juga strategis DAP, Liew Chin Tong meninggalkan pejabat Harakah, petang Jumaat, 7 Mac lalu.
Selain berkongsi pengalaman mengendalikan lidah rasmi parti, termasuk bersama Ketua Pengarang Roketkini, Wan Hamidi Hamid dan kolumnis Harakah, Lim Hong Siang yang mengiringi Chin Tong, Pengerusi DAP Johor yang mendapat undian tertinggi dalam pemilihan jawatankuasa pusat itu turut menyentuh cabaran generasi baru kepemimpinan Pakatan Rakyat dan pendekatan terbaik mendekati pengundi muda Melayu.
Beliau ternyata berpandangan jauh, rasional dan cukup kalkulatif, khususnya apabila membicarakan peluang Pakatan berdepan PRU14. Lebih penting, saya kira Chin Tong -- yang menghasilkan tesis sarjana muda tentang PAS -- begitu prihatin dan sensitif dengan budaya politik Melayu. Ada kalanya pemimpin DAP dilihat agak keliru dengan "pantang-larang" masyarakat Islam, tetapi Chin Tong bagai arif mengenainya.
Meskipun sesi sembang santai itu menyinggung persoalan Kajang, dengan membayangkan kegerunan elit Umno terhadap potensi Anwar, bukan saja sebagai menteri besar negeri terkaya di Malaysia, juga bergelar Yang Amat Berhormat, dan bukan lagi dikenali sebagai Ketua Pembangkang -- oposisi di Malaysia mempunyai konotasi cukup negatif -- kami tidak pula melebarkan skop diskusi mengenai kemungkinan bekas TPM itu kembali disumbat dalam penjara.
Semua maklum bahawa seteru politik Anwar yang paling ketat dan terus berdendam dengannya (malah masih menggeruninya) adalah Dr Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin. Meskipun, kedua-duanya -- yang pernah rapat dan intim dengan Anwar -- tidak lagi memegang posisi strategik dalam kerajaan, tetapi dikatakan tidak akan mengizinkan beliau mendaki takah yang lebih tinggi daripada jawatan Ketua Pembangkang sekarang.
Tidak dapat dibayangkan Mahkamah Persekutuan pada 2 September 2004 -- genap enam tahun selepas dipecat daripada Kabinet -- akan membebaskan Anwar bagi mengetepikan sabitan kesalahan meliwat, sekiranya Dr Mahathir masih menjadi perdana menteri ketika itu.
Penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi, mungkin nampak lemah dan tidak mempunyai "strong personality", tetapi Perdana Menteri kelima itu cuba membawa reformasi dalaman dan menjarakkan sejauhnya dengan era Mahathirisme. Persaingan kuasa tidak menghakis nilai manusiawi Abdullah.
Baru-baru ini, apabila idea rekonsiliasi nasional dilontarkan Najib Razak, dan disambut baik Anwar Ibrahim, sebagai usaha perdamaian di antara Pakatan dan BN, di samping menyelesaikan begitu banyak masalah negara, khususnya perkauman dan sentimen keagamaan sempit, kos sara hidup dan juga keselamatan, ramai mengharapkan ketegangan politik yang tajam segera berakhir. Kepentingan rakyat harus menjadi prioriti.
Apa pun tafsiran terhadap keputusan PRU13, termasuk menggelar kerajaan minoriti 47% BN, dengan tambahan kerusi Parlimen Pakatan berbanding 2008, namun Najib masih kekal bertakhta. Penafian majoriti dua pertiga bukan lagi isu besar dan urusan kerajaan masih berjalan lancar dalam situasi itu. Sememangnya mana-mana pemerintah tidak perlu diberi kemenangan mutlak, yang mungkin menyebabkan suara kedua yang rasional dipinggirkan begitu saja.
Saya tidak dapat memahami pergolakan dalaman Umno, termasuk mengaitkannya dengan faktor Dr Mahathir dan kemungkinan Najib berdepan tentangan sengit pemimpin kanan partinya sendiri. Jadi, apabila ada gosip yang mendakwa Anwar bersama Pakatan mungkin dibawa masuk ke dalam kerajaan, demi survival Najib, saya menjadi semakin buntu. Apakah benar kedudukan Najib sebegitu kritikal? Imiginasi saya tidak sampai ke tahap itu.
Fenomena "politik baru" yang rancak dibincangkan selepas PRU12, yang membentangkan harapan ke arah mewujudkan sistem "dua parti", sudah cukup untuk mencetuskan perubahan positif. Sekurang-kurangnya rakyat dapat melihat secara positif peranan oposisi yang konstruktif dan bertanggungjawab. Institusi penting, seperti Parlimen, menjadi lebih dihormati.
Dalam suasana persekitaran politik yang diharap lebih beradab, melewati zaman tilam diusung ke mahkamah dan segala lendir dijadikan bahan bukti, diimpikan kuasa tidak lagi ditentukan elemen "kelucahan melampau", yang menyukarkan kita menjawab soalan nakal anak-anak kecil.
Untuk terus menguasai Putrajaya, kelebihan masih berpihak kepada Najib. Sumber ekonomi dikawal ketat. Rasuah BR1M diterima tanpa bantahan. Walaupun monopoli media agak tergugat, majoriti rakyat untuk empat tahun akan datang masih boleh dijinakkan, melalui TV3 mahupun Urusan Malaysia, terutama dengan membakar sentimen. Paling penting, proses persempadanan pilihan raya yang jelas dimanipulasi semahunya tetap memungkinkan untuk suara minoriti undi popular kekal berkuasa.
Bagaimanapun, apabila Peguam Negara -- tentunya dengan kehendak Putrajaya -- melantik peguam Umno, Shafie Abdullah menjadi pendakwa utama mengetepikan pembebasan Anwar oleh Mahkamah Tinggi pada Januari 2012, saya merasakan Najib juga mahu melenyapkan terus Ketua Umum KeADILan ini daripada persada politik tanahair. Anwar sentiasa menjadi penghalang kepada elit penguasa yang rakus, boros dan korup.
Sejak badan kehakiman tercemar dengan teruk pada 1988, ekoran kes rayuan pengharaman Umno, yang membawa kepada pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan dua lagi Hakim Mahkamah Agung, campur tangan eksekutif tidak pernah reda. Abdullah Badawi dan bekas menteri Zaid Ibrahim cuba membersihkannya tetapi gagal -- walaupun kerajaan telah membayar ganti rugi atau saguhati sebanyak RM10.5 juta kepada Tun Salleh dan lima Hakim Mahkamah Agung yang digantung -- dan ditolak elit Umno sendiri.
Diserang dan dimaki dari setiap penjuru, namun Anwar masih merupakan tokoh pembangkang paling berpengaruh yang cukup liat untuk dilentur. Di kala sukarnya mencari pengganti Anwar di kalangan pemimpin politik Melayu, beliau tetap gagah berdiri meneroka wilayah yang masih kebal dengan dominasi Umno-BN.
Sehinggalah episod Kajang bermula, Anwar yang dijangka menggantikan Abd Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor kembali menjadi sasaran "penembak tepat". Mahathir dan Daim pun khabarnya tidak senang duduk.
Selangor memungkinkan Anwar mencorakkan negeri termaju ini selaras dengan manifesto Pakatan. Bukan hanya merealisasikan impian negeri berkebajikan -- selain menyelesaikan masalah dalaman KeADILan -- juga berupaya melonjakkan sokongan untuk menerajui Kerajaan Persekutuan dalam PRU14.
Seorang pengulas politik memberitahu saya: "Ekoran Serampang Kajang, tiba-tiba Anwar menjadi seteru yang mesti dihapuskan, tanpa belas kasihan lagi. Umno tidak sangup membayangkan bagaimana dinamisme Selangor di bawah Anwar, sekurang-kurangnya boleh meredah sempadan Perak dan Negeri Sembilan, tidak mustahil melantun hingga ke Johor."
"Anwar sebagai MB Selangor cukup menggelisahkan Mahathir," tambahnya.
Hukuman terhadap Anwar ini sudah pasti dilihat sebagai penghakiman yang sarat dengan motif politik. Membunuh pengaruh Anwar, atau paling tidak bertujuan mendiamkannya, seperti dahulu -- di hujung era Mahathir -- boleh menikam balik Najib dan sekutunya.
"Ia tidak lebih daripada satu gerakan politik, yang menggunakan mahkamah, dan kerajaan yang sedia tidak popular ini dengan bebanan melampau kenaikan kos sara hidup akan menerima padahnya," seorang rakan FB saya, pensyarah politik, menghantar mesej.
“Saga berterusan antara kerajaan dengan Anwar selalu membabitkan mahkamah. Ini tidak akan berkesudahan selagi Malaysia tidak belajar bahawa masalah politik perlu diselesaikan menerusi sistem politik,” kata seorang peguam perlembagaan kanan kepada The Edge Review.
Laman freemalaysiatoday melaporkan kenyataan Prof James Chin dari Universiti Monash: “Kerjaya politik Anwar tidak akan tamat. Ini bukan kali pertama dia didapati bersalah." Seorang ahli akademik tempatan, Prof Madya Andrew Aeria berkata: "Keputusan ini dipengaruhi oleh politik ... semua orang nampak. Saya rasa ramai orang tidak akan menerima hukuman ini kerasa nampak sangat elemen politik.”
Editor Rencana Harakah, Haris Zalkapli mengulas: "Pakatan kini perlu memikirkan masa depannya dengan peranan Anwar yang semakin mengecil, atau mungkin juga terus tiada langsung, sekiranya rayuan seterusnya tidak berjaya. ... Pakatan yang menunjukkan wajah lebih inklusif perlu memikirkan dengan serius transisi kepada barisan kepimpinan yang mampu membawa Pakatan ke hadapan, mengatasi cabaran-cabaran dalaman dan sesama parti komponen."
Sebenarnya singgungan Haris yang menyarankan proses transisi kepemimpinan Pakatan itu perlu difikirkan secara serius, bukan hanya kerana penghakiman Anwar, tetapi keperluan menyeluruh bagi mengatasi cabaran masa depan lebih sengit.
Bagaimanapun, saya masih belum mahu memikirkan realiti politik Malaysia tanpa Anwar, dengan menyedari peluangnya untuk menerajui Pakatan dalam PRU14 -- apatah lagi untuk mengetuai kerajaan baru selepasnya -- semakin tipis (saya pernah menghasilkan buku politik berjudul Malaysia Tanpa Anwar, terbitan tahun 1999). Langkah Anwar belum terhenti ...
No comments:
Post a Comment