Oleh Ahmad Lutfi Othman
Mulanya, hanya menghadiri pertemuan di antara Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakob dengan wartawan tiga negeri di selatan, pada 26 Februari lalu.Salman Hussin (Johor), Zaili Muhammad (Melaka) dan Faiz Abdullah (Negeri Sembilan) lebih selesa memilih Pejabat Perhubungan PAS Melaka sebagai lokasi perbincangan, yang mudah untuk semua.
Selaku bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, yang pernah bersama-sama cuba membentuk satu perkongsian proaktif di antara ketiga-tiga negeri itu -- yang dilihat antara wilayah yang sukar ditembusi pengaruh Parti Islam -- sekitar tahun 2000, Dr Rosli turut berminat untuk mendengar respons terbuka langsung daripada wakil perhubungan negeri berkenaan.
Saya tentunya lebih gembira lagi untuk berkongsi idea dengan rakan-rakan pimpinan PAS bagi melakukan penambahbaikan terhadap Harakah, terutama versi cetak, dalam situasi berdepan cabaran politik yang semakin sengit, di samping berusaha agar lidah rasmi parti ini tetap relevan, dalam suasana langit terbuka.
Mewakili Johor, Setiausaha Perhubungannya, Ir Khairudin Abd Rahim; Melaka, Ketua Penerangannya, Baihaki Ismail, selain wakil tunggal PAS dalam Dewan Undangan Negeri, Dr Khalid Kassim; Negeri Sembilan, Pengarah Pilihan Raya, Hasan Tambi.
Banyak cadangan baru dan idea segar dikemukakan. Semuanya menggambarkan harapan cukup tinggi ahli-ahli dan pimpinan akar umbi PAS, untuk melihat Harakah, bukan saja berkesan sebagai organ parti, malah mampu mempengaruhi khalayak lebih meluas dan membantu menjayakan misi jamaah.
Sesekali turun ke padang, meninjau realiti yang pastinya berbeda dengan bayangan daripada bilik kerja di pejabat berhawa dingin, saya sentiasa teruja untuk mendekati degup nadi dan keluh-kesah masyarakat.
Berbicara panjang dengan Dr Khalid, Adun Bukit Baru, seusai pertemuan rasmi selepas menikmati hidangan tengahari asam pedas, saya melihat potensi negeri-negeri di selatan tanahair begitu besar sekali.
Malah, laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya, perlu dirintis melalui ketiga-tiga negeri ini. Mungkin ramai pemerhati lebih berminat dengan percaturan politik di negeri Johor, dengan jumlah kerusi yang lebih besar dan kompleksiti pengundinya yang cukup menarik, namun Melaka dan Negeri Sembilan tetap menggamit perhatian.
Dr Khalid tetap merendah diri, mengakui dirinya masih muda dalam kancah siasah, tetapi pendekatan politik di Melaka, saya kira, perlu dicanai dalam bentuk yang lebih merakyat dan memikat dan beliau dikira mampu merintis perubahan itu.
Dan bekas Timbalan Pengarah Hospital Melaka ini, yang diamanahkan menerajui sekretariat khusus untuk memantau 13 kerusi Dun yang ditandingi PAS Negeri, perlu diberi peluang secukupnya, bukan saja untuk bereksperimen, malah melaksanakan gagasan yang diyakininya dapat menyentuh imiginasi penduduk negeri penuh bersejarah ini.
Cikgu Yusof Wahab, aktivis PAS Bukit Katil, individu yang banyak membantu melancarkan aktiviti dan kunjungan Dr Khalid menyantuni pengundi, mendesak saya dan wartawan Arif Juhani agar tidak segera balik Kuala Lumpur.
"Lain kali, bila sesekali turun Melaka, biarlah lama sikit, boleh kita susun jadual, dekati masalah rakyat di sini, banyak isu yang menekan mereka yang perlu ditonjolkan Harakah," katanya, separuh merayu, tapi dalam nada berseloroh.
"Esok tengahari pun kita dah atur ziarah seorang ibu yang ditinggalkan suami, dan menumpang di rumah ibunya, boleh buat rayuan sumbangan orang ramai untuk bina rumahnya sendiri," tambahnya, sambil mengharapkan kami dapat bersama.
"Ya, peranan Harakah cukup besar, dan banyak membantu tugas saya sebagai Adun," ujar Dr Khalid.
Bermalam di rumah Zaili, dekat Sungai Rambai, mengingatkan saya dengan dua Adun PAS di sempadan Johor, Dr Mohammad Taslim (Maharani) dan Dr Sheikh Ibrahim Salleh (Sungai Abong), yang agak jarang muncul dalam Harakah.
Untuk ke Muar, hanya perlukan tidak sampai 15 minit. Zaili mengajak kami mencuba sup kambing terbaik di bandar diraja itu.
Buat seketika saya terpaksa melupakan diet ketat berkaitan protein dan lemak yang boleh mempercepatkan lagi kegagalan fungsi buah pinggang yang sedang saya alami.
Aroma Muar Soup House memang menyelerakan, tapi saya hanya terdaya menghabiskan separuh daripadanya. Mulut memang terasa sedap tapi kebanyakan makanan lazat sudah menjadi racun buat saya!
Klinik Dr Mohammad di tengah pekan Muar agak sunyi. (Ada orang menggelarkan Muar bandar orang pencen; saya tidak pasti mengapa disebut begitu). Perabotnya nampak stail lama. "Macam zaman P Ramlee," usik Zaili. Pagi Khamis itu masih awal. Tiga pesakit menunggu. Suasana damai dan tenang.
Dr Mohammad menyapa kami, mesra. "Patutlah rasa istimewa pagi ini, ada tetamu dari jauh," dia ketawa kecil, memimpin saya masuk ke biliknya.
Walaupun awalnya saya menjangka beliau agak pendiam, tetapi banyak sekali cerita menarik dan pengalaman berharga yang mahu dikongsi. Bersama Dr Sheikh, Dr Mohammad sudah dua penggal menjadi Adun. Satu keunikan di Johor -- yang pernah dikenali sebagai negeri "karat hijau" Umno -- ketiga-tiga Adun awal, didahului Adun Senggarang, Dr Mohd Ramli Kari adalah doktor perubatan dan tidak begitu terdedah dengan sepak terajang politik.
Namun, bagi saya, penampilan mereka dalam persada politik Johor mempunyai kelebihan tersendiri, sekurang-kurangnya untuk membuka laluan lebih luas kepada perubahan sikap dan memecahkan tohmahan palsu terhadap PAS.
"Harapan pengundi kepada wakil rakyat PAS semakin realistik, terutama selepas mereka faham tiada peruntukan kerajaan seperti diberikan kepada Adun atau Ahli Parlimen BN. Alhamdulillah, kerjasama serta sokongan ahli dan pemimpin parti akar umbi cukup memberangsangkan dan begitu membantu," kata Dr Mohammad.
Saya memohon diri, berundur lebih awal, bimbang pesakit terpaksa menunggu lama di luar. Beliau seakan-akan sukar mencari nokhtah terakhir kepada ceritanya. Semasa mengiringi kami, Dr Mohammad memperkenalkan saya kepada dua pelanggannya. "Inilah Ketua Pengarang Harakah, kalau beli suratkhabar, tengok muka 31 dulu," gurauannya cukup menyenangkan sekali.
Khamis, hampir senja, baru saya tiba di rumah, Bukit Ampang. Impian memang besar, untuk membantu rakan-rakan Pakatan melakar sejarah di selatan tanahair. Namun, kudrat terbatas. Di kala masyarakat Tionghua tidak berbelah bahagi, komited untuk melakukan perubahan, cabaran pengundi Melayu masih tidak menunjukkan jalan keluar.
Esoknya, selepas subuh, mata masih mengantuk. Ya, deadline Fikrah Harakah hanya dapat dilangsaikan jam 3 pagi. Sedangkan saya sudah berjanji dengan dua rakan lagi, termasuk wartawan Arif Atan (di ibu pejabat Harakah, kami ada tiga wartawan bernama Arif), untuk menjelajah ke utara pula. Misi kali ini lebih khusus.
Saya dilahirkan dalam keluarga pesawah, di daerah Mada, Kubang Pasu, tetapi gelora bahtera kehidupan anak tani terasa asing. Membaca kesukaran masyarakat bendang berdepan, bukan saja kenaikan kos sara hidup tetapi juga peningkatan kos pengeluaran padi, saya dihimpit rasa bersalah. Masakan boleh berdiam diri memandang dari jauh, atau sesekali menzahirkan sokongan dan solidariti, tanpa melakukan aksi lebih bermakna.
Apakah sekadar Harakah melaporkan kempen tandatangan menuntut kenaikan harga padi, atau mengimbau nostalgia demonstrasi pesawah di perkarangan Wisma Negeri, 34 tahun lalu, ketika saya di Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Teknik, Alor Setar, hanya 3km dari lokasi petani meluahkan amarah dan protes?
Mengharapkan ketua biro Harakah Kedah-Perlis, Bashir Ishak, membuat temujanji dengan rakan-rakan aktivis BelaTani, NGO yang meningkat naik namanya, memberi penerangan dari kampung ke kampung, bertemu muka dengan petani, mengutip sokongan dan membentuk gelombang kesedaran baru.
Pesawah yang ditindas tentu sekali memerlukan kesatuan yang lebih utuh, untuk memperjuangkan hak yang dinafikan sejak lama. Dan gabungan tokoh seperti Aris Awang, bekas Setiausaha Perhubungan PAS Kedah, yang tulus perjuangannya untuk membela rakyat, bersama teman-teman yang bergelumang dengan padi, misalnya Muhd Subri Said dan Mohamad Salleh menawarkan harapan yang menjanjikan.
Isu padi bukan perkara baru, tetapi malang sekali, kemelut yang membelit pesawah tidak dapat diangkat sebagai agenda nasional yang harus disegerakan formula penyelesaiannya.
Bagi saya, pertemuan dan diskusi di Pejabat Adun Kubang Rotan, petang Jumaat itu, sarat dengan fakta dan data yang baru saya temui. "Tujuan saya, bukan sekadar menampal isu petani dalam Harakah, tapi kunjungan hari ini mahu belajar untuk menghadam masalah yang dihadapi oleh adik-beradik dan saudara-mara saya sendiri," jawab saya kepada Aris apabila ditanya motif sebenar perjumpaan.
Penat saya menelan keterangan Aris (yang selesa dipanggil Pak Teh) dan Subri (Pak Tam). Daripada isu harga siling padi dan cadangan harga lantai, kaedah potongan berat padi, masalah Pertubuhan Peladang Kawasan, program Subsidi Beras Untuk Rakyat (SUBUR) yang membingungkan dan banyak lagi.
Apa pun, saya sukar melupakan jolokan nama buat pesawah, iaitu sebagai "pegawai penyedia makanan asasi negara, yang menjamin stok makanan asasi tetap stabil walaupun dalam keadaan darurat.
Belum sempat menghadam isu padi, esoknya, Sabtu, kami berkejar ke Kuala Nerang, bertamu di kediaman Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Nasir Zakaria. Episod harga getah yang menjunam dan kesempatan bertemu wajah dengan penoreh getah di Kg Sayak, Kuala Ketil, bersama Adun Cikgu Md Zuki Yusof dan perjalanan yang cukup memeritkan apabila saraf kaki kiri saya menyucuk sakit mungkin dapat dikongsi dalam keluaran akan datang.
Begitu juga dengan pertemuan pagi Ahad, dengan pegawai TUDM yang cukup patriotik, juruterbang Mejar Zaidi Ahmad, di Pantai Bersih, Seberang Perai. Zaidi menghadapi tujuh tuduhan di Mahkamah Tentera berhubung isu dakwat kekal dalam PRU13. Kesnya akan dibicarakan pada 8 hingga 10 April ini.
NGO Bersih yang menggerakkan "Kempen Rakyat Sokong Mejar Zaidi" u meminta pengguna media sosial memuatkan gambar dengan slogan sokongan kepada Mejar Zaidi melalui laman Facebook dan Twitter.
Zaidi yang tinggi lampai tenang sekali bila bercerita. Langsung tidak nampak kerisauannya menunggu hari perbicaraan. Dia fasih menjelaskan isu-isu kritikal keselamatan dan kedaulatan negara, termasuk tuntutan China terhadap kepulauan di Laut China Selatan.
Pengetahuannya mendalam. Keprihatinannya tajam sekali. Malah Zaidi menegur Harakah yang tidak banyak menekankan isu-isu keselamatan negara. Tengahari itu, saya bagaikan mendapat kuliah percuma tentang persoalan yang sepatutnya ditangani Harakah sejak lama.
No comments:
Post a Comment