Friday, June 27, 2014

Salut buat pemberani Jamhuri, Fadhil dan Aslam

Oleh Ahmad Lutfi Othman
Khabar menyedihkan. Juga mengejutkan. Dua aktivis mahasiswa Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan UMSKAL) berdepan prosiding tatatertib buat kali kedua pada 27 Jun ini.
Angkara Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), yang terbukti terus menekan dan mengongkong meskipun digembar-gemburkan (termasuk dalam program transformasi politik Najib Razak) peraturan itu telah dipinda bagi memberi kebebasan buat mahasiswa. Karut!
Mereka baru saja dihukum pada 26 Mei lalu -- Muhammad Fadhil Abdul Ghani digantung pengajian dan Jamhuri Mohamed dibuang asrama -- atas tuduhan mengadakan perhimpunan dan perarakan dalam kampus tanpa kebenaran pihak universiti.
Kes terbaru ini, khusus buat Jamhuri, juga berkaitan, dengan isu terdahulu, iaitu bantahan pelajar terhadap premis perniagaan mereka yang dirampas pihak universiti. Saya sendiri tidak pasti mengapa kedai mahasiswa itu, yang dikendalikan oleh sekretariat masjid kampus,  begitu "digeruni".

Punca Pengerusi Pro-Mahasiswa UMSKAL ini diseret sekali lagi adalah ekoran kenyataan medianya yang disiarkan Harakahdaily, yang didakwa telah memudaratkan nama baik Pengarah UMSKAL, Dr Ismail Ali.
Dalam tulisannya, Jamhuri menyifatkan peruntukan Seksyen 16 Auku memberikan kuasa mutlak kepada ketua pengarah bagi sesebuah universiti untuk membuat sebarang keputusan. (Ya, kata kuncinya "kuasa mutlak", mengikut tafsiran sendiri).
"Kuasa mutlak inilah yang sering disalahguna oleh pemimpin universiti seperti Pengarah UMSKAL untuk membuat keputusan kuku besi sekali gus mengetepikan kepentingan mahasiswa sebagai kumpulan akar umbi dalam universiti," kenyataan Jamhuri dipetik.
Lebih menggemparkan, pada Jumaat, 12 tengah malam, disedari bilik penginapan asrama Jamhuri telah dipecah masuk dan bangkai ayam diletak atas katil, serta mesej ugutan, "berambus bodoh", diconteng di dinding. Budaya politik rimba yang menular di luar kampus kini menjalar ke kampus Labuan.
Manakala Fadhil, rakan sekursus dengan Jamhuri, iaitu pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa, dituduh menganjurkan perhimpunan haram, iaitu mengadakan mesyuarat bagi memilih kepemimpinan untuk Pro-Mahasiswa di kawasan terbuka, iaitu kafeteria. (Pilihan raya untuk mengundi pemimpin pelajar dalam kelompok sendiri pun salah).

Bagi memastikan anda lebih jelas dengan tuduhan bebal (sebenarnya karut-marut) itu, saya perturunkan pertuduhan penuh Fadhil yang dikeluarkan Bahagian Perundangan dan Tatatertib, Jabatan Pendaftar UMS:

"Adalah kamu melalui surat bertarikh 24 April 2014 dengan tajuk "Surat Pemakluman Aktiviti Pilihan Raya Kecil Mahasiswa 2014" yang ditujukan kepada Pengarah UMSKAL Datelah dengan apa-apa cara terlibat dalam melakukan apa-apa perbuatan untuk mengadakan atau menganjurkan atau memanggil apa-apa perhimpunan yang lebih daripada lima orang dalam mana-mana bahagian kampus. Perbuatan kamu ini adalah tanpa kebenaran terdahulu Naib Canselor dan ini merupakan satu kesalahan tatatertib di bawah Kaedah 9(1) Kaedah-kaedah UMS (Tatatertib Pelajar-Pelajar 1999) Auku 1971 ...."

Meneliti Auku, Akta 174 (bagi UiTM) dan kaedah-kaedah tatatertib universiti, jelas tergambar begitu terkongkong sekali kehidupan warga kampus, anak-anak muda terpelajar. Seolah-olah segala-galanya dilarang, kecuali mendapat perkenan, restu  dan kebenaran bertulis naib canselor atau yang setaraf dengannya.
Ya, berhimpun lebih daripada lima orang pun satu kesalahan besar di kampus; jangan main-main, jika didapati bersalah boleh dipecat daripada universiti atau digantung pengajian, selain boleh dibuang asrama dan didenda!
Mana relevannya dengan semangat dalam Akta Perhimpunan Aman dan pemansuhan Seksyen 27(5) Akta Polis 1967? Suasana di kampus sekarang seperti situasi cemas semasa darurat, berdepan ancaman pengganas komunis bersenjata.
Kalaupun nampak mereka seolah-olah bebas beraktiviti, itu adalah ehsan naib canselor, dan bukannya hak mahasiswa!
Selain itu, merujuk kes prosiding tatatertib membabitkan lapan aktivis pelajar Universiti Malaya, pada 18 April dan 9 mei lalu, mereka tidak dibenarkan menyertai apa-apa kegiatan di luas kampus "yang mendatangkan kesan buruk kepada universiti atau yang memudaratkan kepentingan universiti".
Mahasiswa juga tidak dibenarkan untuk "membuat, mengibar atau memiliki apa-apa bendera, sepanduk, plakad, poster, lambang atau alat lain yang menimbulkan keadaan tidak berdisiplin, kekacauan, keingkaran ..."
Dan dalam kes aktivis mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Kinabalu, Mohd Fathihie Daimin, kesalahannya adalah membuat kenyataan terbuka di laman sosial Facebook, yang dianggap menggugat kepentingan UiTM.
Larangan lain, mereka tidak dibenarkan memiliki atau menggunakan apa-apa pembesar suara, pelaung suara atau penguat suara. Turut dianggap satu kesalahan adalah menerbitkan, membahagi-bahagikan atau mengedarkan apa-apa dokumen di dalam dan juga di luar kampus.
Itu pun anda belum  mengetahui lagi bagaimana prosiding  dijalankan, sehingga proses memutuskan hukuman dibuat.
Pernah sekumpulan pelajar yang dituduh, hanya diajak "sembang santai" oleh pihak universiti, tanpa mengemukakan fakta kes yang meyakinkan, dan kemudiannya selang beberapa hari, dimaklumkan mereka digantung pengajian kerana mengikuti perhimpunan haram dalam kampus.
Justeru, tidak hairan apabila dimaklumkan nasib menimpa Aslam Abd Jalil, pelajar Malaysia di Universiti Nasional Australia (ANU), pemegang biasiswa kerajaan persekutuan, yang menerima surat tunjuk sebab JPA, pada 18 Jun lalu.
Kesalahannya kerana mengambil bahagian dalam forum isu semasa Malaysia, "Race, Religion, Royalty with YB Tony Pua", yang diadakan di universiti berkenaan, 22 April 2014.
Aslam dikira telah melanggar perjanjian biasiswa, yang melarang mengambil bahagian atau menyertai aktiviti berunsur hasutan atau demonstrasi, yang pada pendapat kerajaan memudaratkan kepentingan Malaysia atau sesuatu institusi pendidikan.
Pelik sekali bagaimana program forum atau perdebatan terbuka seumpama itu boleh dikategorikan sebagai memudaratkan atau mengancam negara, apatah lagi "berunsur hasutan atau demonstasi". Tunjuk perasaan bagaimana pula, dan hasutan macamana tu?
Saya menyokong penuh penekanan Nik Nazmi Nik Ahmad, Timbalan Speaker Dun Selangor yang mula mendedahkan hal ini: "Kerajaan Australia, Australian Capital Territory dan Kedutaan Besar Australia di Malaysia serta pentadbiran ANU, perlu mengambil perhatian bahawa seorang pelajar dari salah satu universiti mereka sedang didakwa di bawah satu pendakwaan yang jelas merupakan pendakwaan politik."
Alahai, malang sekali menjadi mahasiswa Malaysia, sama ada yang menuntut di kampus dalam negara, mahupun jauh di seberang lautan! Anda tidak terlepas daripada kongkongan puak yang bebal dan memandang hina orang lain.

2 comments:

IBU RISKA said...
This comment has been removed by a blog administrator.
JUNAIDI said...
This comment has been removed by a blog administrator.